Monday, May 06, 2013

Perjuangan belum berkahir.....(6/5/13)


Tsunami Cina atau Tsunami rakyat namakanlah ia apa sahaja, hakikatnya rakyat telah bersuara. Suaranya bingit dan gemuruh namun ia belum cukup kuat menenggelamkan BN. Apa pun ia sesuatu yang telah menggementarkan BN dan ia jelas tercermin pada wajah Najib Tun Razak ketika menerima keputusan PRU ke 13 dan disaksikan sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia.
Banyaklah kajian dan penelitian serta “post mortem” yang akan dilakukan oleh berbagai pihak untuk membaca natijah dari PRU ke 13 ini.

Bagi saya sebagaimana posting saya sebelum ini, Tsunami kali ini seakan boleh dibaca, itupun bagi mereka yang mahu membaca sedemikian.
Saya ada membuat posting umpamanya DAP akan menang 15-0 di Selangor, ternyata ia benar. DAP sapu bersih semua kerusi yang ia tandinginya di Selangor menamatkan terus saki baki penguasaan MCA di Selangor!

Saya menjangkakan lonjakkan besar masyarakat Cina kali ini kerana ini telah dapat dilihat dari hari-hari sebelum tempoh berkempen membawa sehingga hari-hari terkahir berkempen. Tindakkan berani Lim Kit Siang berhijrah ke Johor, sebuah negeri yang tidaklah subur buat DAP sebagaimana Pulau Pinang, Perak dan Selangor, melihatkan bacaan mendalam Kit Siang, seorang yang masak dalam sepak terajang pilihanraya.
Saya juga menjangkakan masyarakat Melayu walaubagaimanapun akan lebih “sejuk” berbanding rakan-rakan masyarakat Cina. Masyarakat Melayu lebih terpisah-pisah menurut segmen daerah dan kelas dalam masyarakat. Mereka yang di Kelantan dan Terengganu lain pandangan dan persepsinya berbanding di Perlis dan Kedah. Masyarakat Melayu bandar dan berkelas menengah atas dijangka searus dengan masyarakat Cina.

Di Selangor contohnya Tsunami ini seakan Tsunami pelbagai kaum kerana PAS contohnya menang besar di sini, iaitu 15 dari 20 kerusi, pencapaiannya yang terbaik dalam sejarahnya. Melayu di Sabak iaitu luar bandar, Melayu di Gombak, Melayu di Dusun Tua, Melayu di Shah Alam semua bangkit meninggalkan BN kecuali beberapa kerat. Tinggallah BN Selangor dengan harta pusaka 12 kerusi dari 20 kerusi sebelumnya.
Rata-rata kalau dilihat jika lonjakkan orang Melayu terhadap PR sekuat masyarakat Cina sebagimana Melayu di Kelantan dan Terengganu berkemungkinan keputusan PRU ini berbeza tetapi begitulah kehendak rakyat.

Saya tertarik dengan kenyataan awal Ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang positif menyarankan agar usaha berterusan dibuat mulai hari ini untuk meyakin dan memenangi masyarakat luar bandar.
Saya juga ada menaikkan posting berkenaan kemenangan awal 2 kerusi buat PAS iaitu di Shah Alam dan Pasir Mas. Ini kerana masyarakat Malaysia menolak politik ekstrim perkauman dan melampau. Ternyata Zul Nordin dan Ibrahim Ali tergolek dan tidak akan bangun-bangun lagi.

Juga saya naikkan satu posting yang mungkin tidak popular iaitu berkenaan pimpinan PAS yang bertanding di dua kerusi. Saya puji tindakkan Nizar Jamaluddin kerana fokus pada satu kerusi (ternyata beliau berjaya dan dipuji kerana tindakannya itu). Dengan cara ini kita memberi keyakinan pada rakyat bahawa parti kita bertenaga, punya ramai calon berkaliber, suatu cadangan yang dibuat oleh Karpal Singh dan diikuti parti berkenaan dengan pengecualian buat Setiausaha Agungnya. Saya menegaskan apabila kita bertanding di dua kerusi dewasa ini musuh mudah mengeksploitasi, dan ternyata kesudahannya tidak banyak menguntungkan kita.
Kesimpulannya PRU kali ini biarlah menjadi pengajaran besar buat kita. Sahabat-sahabat di Terengganu hampir mengembalikan kuasa, di Kedah pula tewas dan di Perlis gagal. Di Selangor kita teruslah beri tumpuan kepada masyarakat luar bandar.

Dari 21 ahli Parlimen PAS kita lihat gandingan lebih mantap antara ulamak dengan bukan ulamak diketuai Tuan Guru Presiden. Semoga kita terus memain peranan memperjuangkan Islam.
Tahniah buat semua petugas parti, calon-calon yang berjaya dan belum berjaya. Perjuangan belum berkahir……

No comments: