Terbaru satu kenyataan dari Persekutuan Kristian Malaysia
diterbitkan yang antara lain menyebut:
Sesetengah umat Islam mendakwa berulang kali bahawa orang
Kristian di Malaysia enggan berhenti menggunakan kata “Allah” kerana mahu
mengelirukan umat Islam dan memurtadkan penganut Islam, sekali gus menimbulkan
ancaman kepada keselamatan negara. Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana
tiada bukti penggunaan kata ini membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini
kekal sebagai tidak berasas.
Sebaliknya, keadaan sebegitu dibuat kerana jahil dengan
hakikat bahawa apabila orang Kristian menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus
untuk umat Kristian berbahasa Malaysia. Gereja-gereja di Malaysia tidak pernah
mencadangkan untuk mengubah kata “Allah” dan “Lord” kepada “Allah” dan “Tuhan”,
begitu juga bahasa-bahasa lain dalam Al-Kitab.
Janganlah disuakan lagi isu ini untuk dijadikan perdebatan
umum, seakan menggerakkan “gergasi” yang sedang tidur!
Kenyataan Persekutuan Kritian Malaysia ini apabila diketahui
umum pasti akan mengundang reaksi dan akan dibalas pula oleh kenyataan dari
badan dan pertubuhan Islam. Lantas akan jadi hangat membara dan mencetuskan
pelbagai kemungkinan.
Umat Islam di Malaysia, tanpa mengira fahaman politik,
memandang isu ini sangat sensitif. Yang sangat dibimbangi adalah kecenderungan
berlakunya insiden murtad. Pihak gereja tidak boleh menyapu kebimbangan ini
begitu sahaja dengan menyatakan ia tidak berasas sedangkan luka menghadapi kes
Lina Joy, Aishah Bukhari, Joshua Jamaluddin, masing berdarah dan terpahat dalam
ingatan umat Islam Malaysia.
Sebaiknya jangan dokocak air yang tenang. Pihak media
khasnya media alternatif jangan sekali-kali ada agenda menyalakan kembali api
yang semakin padam.
No comments:
Post a Comment