Dalam kita menuntut agar elaun dan ganjaran ahli-ahli
Parlimen kita disemak semula, Dewan Negeri Sarawak telah pun mendahuluinya. Semalam
satu rang undang-undang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Negeri Kedua
Sarawak, bagi menaikkan elaun 71 ADUN dan Kabinet Negerinya sebanyak 300%.
Semakan terakhir dilakukan di Sarawak adalah lebih 33 tahun dahulu iaitu pada
tahun 1980.
Cuma yang lajunya di Sarawak, elaun Ketua Menterinya setelah
disemak semula melalui rang undang-undang berkenaan kini lebih tinggi dari
elaun Perdan Menteri sendiri. Elaun PM Malaysia kini adalah sebanyak
RM22,826.65 manakala elaun Ketua Menteri Sarawak dengan rang undang-undang
berkenaan bakal mencecah RM39,000 iaitu lebih RM16,173.35 dari PM.
Begitu juga elaun bulanan ADUN Sarawak bakal naik RM15,000
(dari RM4,500) berbanding elaun ahli Parlimen Malaysia sekitar RM6,508.59 iaitu
lebih RM 8,491.41!
Bagaimana dengan cadangan kenaikkan buat ahli-ahli Parlimen
kita?
Kalau 300% dijadikan “benchmark” maka ahli-ahli Parlimen
kita juga sepatutnya menerima elaun bulanan RM19,525.77 sebulan.
Sebenar-benarnya adakah tinggi RM19,525.77 itu jika dibayar
kepada ahli-ahli Parlimen kita?
Dua hari lepas akhbar The Star menyiarkan pendapatan dua
orang tokoh korporat yang meninggalkan jawatan korporat mereka kerana menyertai
kabinet. Senator Datuk Paul Low contohnya menerima elaun RM560,000 setahun dari
pelbagai jawatan korporat yang disandangnya iaitu bersamaan RM18,666.66
sebulan. Manakala Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar bekas CEO Maybank pula
menerima RM4.68 juta iaitu bersamaan RM390,000 sebulan!
Bagi saya memandangkan peri pentingnya tugas dan
tanggungjawab ahli-ahli Parlimen kita serta status mereka dalam masyarakat
tidaklah keterlaluan kalau apa yang berlaku di Sarawak turut dinikmati oleh
mereka.
Mudah-mudahan jika ia dipertimbang dan menjadi realiti,
mereka akan memberikan khidmat yang lebih fokus dan baik buat Negara, dan yang
akan menikmati kesejahteraannya nanti adalah rakyat jua.
Padan-padankanlah tugas dan tanggungjawab mereka dengan
imbuhan yang dibayar. Mungkin ada pula nanti kalangan mereka yang menolak,
kalau tolak terpulanglah kepada individu berkenaan tetapi saya yakin yang
selebihnya akan menerimanya dengan nita akan memartabatkan lagi tugas dan
pengorbanan mereka.
1 comment:
yang penting gaji mereka tetap setiap bulan rakyat ramai lagi terkial kial cari kerja untuk menampung kos yang semakin menghimpit
manusia suka melampaui batas dalam kehidupan tengok puak mana yang sering terpalit dengan rasuah tak cukup cukup lagi dengan gaji tetap kalau yang Islam tak mau berpandukan Quran untuk urus amanah akhirnya punah segala amanah.pilih pemimpin yang boleh dipimpin.
Post a Comment