Wednesday, May 22, 2013

Dewan Sarawak naik 300% Dewan Rakyat bagaimana? (22/5/13)


Dalam kita menuntut agar elaun dan ganjaran ahli-ahli Parlimen kita disemak semula, Dewan Negeri Sarawak telah pun mendahuluinya. Semalam satu rang undang-undang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Negeri Kedua Sarawak, bagi menaikkan elaun 71 ADUN dan Kabinet Negerinya sebanyak 300%. Semakan terakhir dilakukan di Sarawak adalah lebih 33 tahun dahulu iaitu pada tahun 1980.
Cuma yang lajunya di Sarawak, elaun Ketua Menterinya setelah disemak semula melalui rang undang-undang berkenaan kini lebih tinggi dari elaun Perdan Menteri sendiri. Elaun PM Malaysia kini adalah sebanyak RM22,826.65 manakala elaun Ketua Menteri Sarawak dengan rang undang-undang berkenaan bakal mencecah RM39,000 iaitu lebih RM16,173.35 dari PM.

Begitu juga elaun bulanan ADUN Sarawak bakal naik RM15,000 (dari RM4,500) berbanding elaun ahli Parlimen Malaysia sekitar RM6,508.59 iaitu lebih RM 8,491.41!
Bagaimana dengan cadangan kenaikkan buat ahli-ahli Parlimen kita?

Kalau 300% dijadikan “benchmark” maka ahli-ahli Parlimen kita juga sepatutnya menerima elaun bulanan RM19,525.77 sebulan.
Sebenar-benarnya adakah tinggi RM19,525.77 itu jika dibayar kepada ahli-ahli Parlimen kita?

Dua hari lepas akhbar The Star menyiarkan pendapatan dua orang tokoh korporat yang meninggalkan jawatan korporat mereka kerana menyertai kabinet. Senator Datuk Paul Low contohnya menerima elaun RM560,000 setahun dari pelbagai jawatan korporat yang disandangnya iaitu bersamaan RM18,666.66 sebulan. Manakala Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar bekas CEO Maybank pula menerima RM4.68 juta iaitu bersamaan RM390,000 sebulan!
Bagi saya memandangkan peri pentingnya tugas dan tanggungjawab ahli-ahli Parlimen kita serta status mereka dalam masyarakat tidaklah keterlaluan kalau apa yang berlaku di Sarawak turut dinikmati oleh mereka.

Mudah-mudahan jika ia dipertimbang dan menjadi realiti, mereka akan memberikan khidmat yang lebih fokus dan baik buat Negara, dan yang akan menikmati kesejahteraannya nanti adalah rakyat jua.
Padan-padankanlah tugas dan tanggungjawab mereka dengan imbuhan yang dibayar. Mungkin ada pula nanti kalangan mereka yang menolak, kalau tolak terpulanglah kepada individu berkenaan tetapi saya yakin yang selebihnya akan menerimanya dengan nita akan memartabatkan lagi tugas dan pengorbanan mereka.

 

1 comment:

Anonymous said...

yang penting gaji mereka tetap setiap bulan rakyat ramai lagi terkial kial cari kerja untuk menampung kos yang semakin menghimpit
manusia suka melampaui batas dalam kehidupan tengok puak mana yang sering terpalit dengan rasuah tak cukup cukup lagi dengan gaji tetap kalau yang Islam tak mau berpandukan Quran untuk urus amanah akhirnya punah segala amanah.pilih pemimpin yang boleh dipimpin.