Saya mungkin jadi tidak popular kerana posting ini. Tetapi
saya sebagaimana anda semua masing-masing punya hak dan kebebasan bersuara. Hak
dan kebebasan itu sewajarnya dihormati kecualilah sekiranya ia bertentangan
dengan undang-undang dan peraturan Negara.
Kerana itu selaku seorang blogger contohnya, beliau perlu
bertanggungjawab di atas segala yang ditulis dan diterbitkannya. Jika melanggar
sebarang undang-undang atau peraturan, blogger tadi perlu berani
bertanggungjawab sebagaimana ia berani mengeluarkan pandangannya itu.
Politik keganasan contohnya, adalah sesuatu yang ditolak
rakyat Malaysia. Perhimpunan aman walaubagaimanapun yang menyuarakan hak dan
tuntutan tidaklah termasuk dalam kategori ini. Jenis politik keganasan adalah
menghasut hadirin bangkit menentang dengan cara tidak demokratik, menggunakan
tangan dan tidak undang-undang.
Kebelakangan ini kita membaca kenyataan yang dikeluarkan
oleh pemimpin-pemimpin muda PAS yang kini masing-masing bakal duduk dalam Dewan
Rakyat. Antaranya Nik Abduh, ahli Parlimen Pasir Mas yang menyatakan dalam
facebooknya bahawa:
Anda terfikir untuk
'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya?
Itu adalah gopoh. Fikirkan kemenangan melalui kesabaran.
Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum
ranum?
Orang muda perlu insaf, semangat tidak boleh meminggirkan
ketuanan sifat sabar dalam memburu kemenangan.
Kesedaran rakyat baru bermula. Kita masih ada masa dan masa
itu sedang bersama kita.
Itu pandangan seorang anak muda pemimpin Islam yang waras.
Pandangan itu turut dikongsi oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, ahli parlimen
Temerloh yang juga Ketua Pemuda PAS. Kata beliau:
Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat.
Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan
dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan
Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam
Dan kedua-dua kenyataan ini disahut secara positif oleh
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato Harun Taib apabila beliau menyatakan:
Memang sudah lama, sejak dulu lagi hingga sekarang Pas pilih
demokrasi dan perkara ini kekal menjadi pegangan kita (Pas), mungkin sampai
bila-bila.
Bagi Pas, amalan demokrasi adalah yang sebaik-baiknya, bukan
bertindak mengikut emosi sehingga berlaku huru-hara. Dalam Islam juga tak mahu
berlaku huru-hara.
Biarlah semuanya dalam keadaan aman damai untuk
kesejahteraan rakyat. Perlu ingat, Pas tak suka buat huru-hara.
Saya membangkitkan hal ini ekoran insiden yang melibatkan
aktivis pelajar Adan Adli yang ditahan polis di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan
dan Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan kerana ucapannya dalam satu majlis di Dewan
Perhimpunan Cina Selangor baru-baru ini.
Antara kandungannya:
Kalau ada polis, SB (cawangan khas), ejen Umno, ejen Barisan
Nasional di sini, nama saya Adam Adli Abd Halim... ambil butiran saya, buat
laporan polis kerana hari ini saya mahu mengajak semua rakyat, kita susun dan
kita akan turun ke jalan raya untuk merampas balik kuasa.
Kita tidak banyak masa lagi, kita akan turun ke jalan raya
sebab dalam dunia ketiga seperti negara Malaysia ini, pilihan raya tidak akan
menumbangkan kerajaan, yang boleh hanyalah kuasa rakyat. Ini sahaja peluang
kita ada,
Adam telah mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat
menumbangkan kerajaan yang ada melalui kuasa selain demokrasi. Lalu beliau
didakwa. Jika benar kenyataan ini jelas ia bertentangan dengan
kenyataan-kenyataan di atas. Apa pun Adam kini akan dihadapkan ke mahkamah dan
beliau akan di adili. Di sana beliau berhak mempertahankan diri dan proses
undang-undangnlah yang akan menentukan nasibnya.
Bagi saya kenyataan seperti ini dan kenyataan-kenyataan lain
yang hampir serupa yang dinukilkan oleh blogger tertentu dalam blog mereka
adalah keras dan tajam dan dalam proses politik berpilihanraya, ianya sangat
bertentangan.
Apa pun sesiapa sahaja layak menyatakan apa sahaja yang
tertunjam dibenak hatinya, kalau mahu dikongsi dengan orang-ramai, asalkan ia
sanggup bertanggungjawab.
Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya setuju dengan kaedah
perhimpunan aman dan bantahan secara terbuka namun apa sahaja yang berunsur
ketegangan dan kekerasan perlu ditolak oleh semua, wallahualam.
1 comment:
Saya tidak bersetuju dengan kata-kata Adam adli, tetapi saya lagi tidak bersetuju dengan sikap pilih bulu dalam dakwaan hasutan. 'Sebelah sana', boleh menghasut sesuka hati, tanpa perlu risau akan tindakan. Saya simpulkan, kita tidak pernah bersetuju atau redha dengan penipuan, tetapi, yang patut kita fikirkan sekarang, kenapa Allah benarkan mereka menipu, dan menang dengan penipuan? Bukankah muhasabah itu lebih baik? Dan dalam masa yang sama, saya tidak akan menghina mana-mana pihak yang membantah atas kapasiti menghormati pandangan mereka. Ya, abg lan, pandangan kita memang tidak populis, tetapi, jika kita tahu bahawa kemenangan hak mutlak Allah, kita akan terus berdakwah. Orang bukan Islam makin dekat dengan PAS, kenapa yang Islam makin jauh?? Terus berdakwah abg lan...
Post a Comment