Tuesday, July 31, 2012

Karpal terus mengundang masalah (31/7/12)


Semakin sabar kita menghadapi dugaan Ramadhan semakin menjadi-jadi pula komen dan kritikan berkenaan Negara Islam dan Hukum Hudud. Ia bermula apabila Ketua Dewan Pemuda PAS menegaskan kembali perjuangan dan pendirian PAS apabila berdebat dengan wakil Umno sebelum Ramadhan lalu.
Rupanya penegasan itu berdesing di telinga Karpal Singh, Pengerusi DAP sehingga beliau bangkit mengulangi pendiriannya yang memang jelas sebelum ini bahawa Negara Islam dan Hudud tidak ada tempat di Malaysia yang berbilang kaum.

Saya kira setelah Mursyidul Am PAS membuat penjelasan sebagaimana saya ulas dalam posting sebelum ini, isu ini reda, rupanya tidak.
Desingan di telinga Karpal terus riuh, mengakibatkan beliau perlu bangkit lagi menyerang Ustaz Nasaruddin Tantawi. Dalam NST hari ini beliau dipetik sebagai berkata:

"I must warn this political upstart to mind his language. No one, no party (and) no organisation can claim to have monopoly of God," Karpal said.
Saya mesti memberi amaran kepada ahli politik setahun jagung ini agar menjaga mulutnya. Tidak ada satu parti atau organisasi yang boleh mendakwa bahawa mereka memonopoli Tuhan

Kelihatan komen-komen Karpal ini semakin hamper menyinggung hati dan perasaan umat Islam dan beliau harus berhati-hati. Beliau dalam kenyataannya di NST menyatakan bahwa kononnya kenyataan Nasaruddin akan mengakibatkan Pakatan Rakyat nanti kehilangan undi, tapi dalam waktu yang sama beliau tidak sedar serangan terbuka seumpama ini terkena atas batang hidup setiap individu Muslim dan ia boleh mengakibatkan sokongan orang Melayu Islam turut terjejas.
Nasaruddin dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan sesiapa yang menolak Hukum Hudud adalah “kufur” atau dalam isitlah Inggerisnya “non-believer”. Saya yakin rujukannya adalah kepada orang Islam. Malah beliau berkata wajarlah Karpal menolak Hudud kerana beliau “non believer’.

Dan memang diakui bahawa sesiapa yang bukan Islam adalah “non believer” sebagaimana orang yang tidak Kristian bagi orang Krisitian adalah “non believer” dan orang yang tidak Sikh bagi orang Sikh adalah “non believer”. Apa amasalahnya dan kenapa harus Karpal mahu cari masalah?
Kerana itu orang Islam percaya sebagaimana diajar di dalam al Quran dalam surah al Kafirun:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".

Say : O ye that reject Faith! [1] I worship not that which ye worship, [2] Nor will ye worship that which I worship. [3] And I will not worship that which ye have been wont to worship, [4] Nor will ye worship that which I worship. [5] To you be your Way, and to me mine. (terjemahan Yusuf Ali)
Janganlah ditarik-tarik lagi isu ini melainkan memang kita mahu cari masalah. Samada Karpal akan senyap atau terus mengaum, saya tidak pasti tetapi jika isu ini berterusan yang akan rugi bukan hanya Pakatan Rakyat malah PAS sekali.

PAS sudah menyatakan bahawa ia akan terus menegakkan perjuangannya sebagaimana termaktub dalam dasar perjuangannya iaitu menegakkan Islam.  Karpal berkawan dengan PAS, maka hormatilah dasar parti kawan sendiri.

Semoga reda cepat.


Sunday, July 29, 2012

TIdak boleh berkahwin kerana kulit hitam di AS (29/7/12)


Presiden Negara kuasa besar dunia ini Barack Obama berkulit hitam. Presiden pertama Negara itu yang berkulit hitam. Tiada Negara di dunia yang berani melakukan sesuatu yang menjejaskan dunia tanpa restu Rumah Putih. Tetapi dalam kehebatan itu percayakah anda bahawa sepasang kulit hitam warga Amerika Syarikat tidak dibenarkan berkahwin di sebuah gereja di Mississipi , Amerika Syarikat atas alas an mereka berkulit hitam!
Berikut laporan NST hari ini:

WASHINGTON: A Mississipi couple got the shock of their lives when the pastor at the church they attended told them the wedding they planned could not be held there because they are black, ABC television reported Saturday.
Pastor Stan Weatherford told the network there had never been a wedding for  blacks at the First Baptist Church in Crystal Springs, Mississippi, since it  was opened in 1883.

 He said some of the white congregarion so virulently opposed the wedding of  Charles and Te’Andrea Wilson, who are black, that they threatened to have him  fired.
Rupanya dalam mengecapi kemajuan yang tersohor dalam dunia sekalipun masih ada manusia yang berfikiran “batu” berfahaman “kuno”. Bayangkan masih ada rakyat dalam Negara yang termaju di dunia membezakan sesama warganegaranya atas dasar warna kulit.

Bersyukur kita berada di Malaysia dimana walaupun kita tidak semaju mereka namun boleh bertoleransi dan menerima hakikat bahawa Negara ini berbilang kaum dan agama, Melayu, Cina, India boleh hidup aman dan bebas!

Menunggu kemunculan al Masih di Syria (29/7/12)


Ketika kita sedang menempuh Ramadhan, pasti bagi siapa sahaja yang prihatin akan melihat dengan hati yang pilu nasib saudara-saudara kita di Syria yang sedang bergelut dalam peperangan saudara. Satu kumpulan rakyat sedang bangkit menentang kerajaan pimpinan Bashar Assad manakala Bashar dan kerajaannya dengan dokongan tentera sedang mempertahankan kekuasaannya.
Bashar dari golongan minoriti Syiah Alawiat sedang menghadapi tentangan dengan kumpulan majoriti Sunni yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan diktatornya.

Maka berlakulah pertumpahan darah sehinggalah masuk ke bulan Ramadhan ini, darah merah sesama Islam terus tumpah mengalir ke bumi.
Adakah Bashar akan menghadapi nasib yang serupa dengan Gadafi yang mati ditangan rakyatnya sendiri atau beliau akan Berjaya mematahkan kebangkitan rakyat ini dan terus memerintah? Setakat ini siapa pun tidak dapat meneka dengan tepay cuma yang pastinya pertempuran terus berlaku semakin sengit dan parah.

Syria adalah bumi bertuah. Di bumi inilah kita umat Islam percaya Nabi Isa a.s akan turun semula ke bumi dengan izin Allah swt sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya:

“Ketika Allah telah mengutus al-Masih Ibnu Maryam, maka turunlah ia di menara putih di sebelah timur Damsyiq ( di Syria ) dengan mengenakan dua buah pakaian yang dicelup dengan waras dan za’faran, dan kedua telapak tangannya diletakkannya di sayap dua Malaikat; bila ia menundukkan kepala maka menurunlah rambutnya, dan jika diangkatnya kelihatan landai seperti mutiara. Maka tidak ada orang kafir pun yang mencium nafasnya kecuali pasti meninggal dunia, padahal nafasnya itu sejauh mata memandang. Isa mencari Dajjal hingga menjumpainya dipintu Lud, lantas dibunuhnya Dajjal. Kemudian Isa datang kepada suatu kaum yang telah dilindungi oleh Allah dari Dajjal, lalu Isa mengusap wajah mereka dan memberi tahu mereka tentang derajat mereka di syurga” (HR. Muslim no. 2937)

Ulamak menyatakan bahawa menara putih yang dimaksudkan dalam Hadis di atas adalah Masjid Jamie Umawi di Damsyik.


Sedang dunia menunggu ketibaan al Masih yang akan membawa keamanan berkekalan itu tiba-tiba hari ini kta melihat di atas bumi karamah itu jugalah darah sesama Islam ditumpahkan.
Semoga keamanan akan segera muncul di Syria. Apa pun kesudahannya biarlah Islam kemabli tertegak sementara menunggu ketibaan al Masih.

Thursday, July 26, 2012

Negara Islam tiada tolak-ansur: Nik Aziz (26/7/12)


Akhirnya Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat emberikan reaksinya terhadap komen Karpal Singh berhubung Hukum Hudud dan Negara Islam. Saya kira isu ini selesai dipihak PAS memandangkan selaku Mursyidul Am Tuan Guru merupakan “authority” yang terkanan dalam PAS. Kenyataan beliau terbit dalam NST hari ini dan bagi saya yang paling menarik dalam kenyataannya itu adalah apabila beliau berkata:

He said the establishment of an Islamic state was not a political objective but a religious obligation, which was of higher priority for Pas.


(Beliau berkata penubuhan sebuah Negara Islam sesungguhnya bukanlah suatu matlamat politik tetapi ia lebih merupakan tuntutan agama yang merupakan keutamaan paling tinggi dalam PAS)

 Oleh hal yang demikian Tuan Guru menyatakan bahawa isu ini tidak boleh dirundingkan atau “non negotiable”.

 Begitulah bagi saya sikap yang tegas yang diperlukan oleh seorang pemimpin dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam dalam Negara ini.  Dan dengan penegasan itu saya yakin para pengundi di Malaysia khasnya yang menghormati PAS kerana konsisten dalam mempertahankan prinsip perjuagannya tanpa kompromi (sejak ia ditubuhkan hingga hari ini) akan terus memberikan kepercayaan dan undi kepada satu-satunya parti Islam di Malaysia itu.

 Mungkin sesetengah pihak merasakan bahawa dengan penegasan itu para pengundi bukan Islam akan lari dari memberikan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dibayangkan oleh Karpal, tetapi sejauh manakah kebenaran hakikat itu kerana PAS bukan baru setahun jagung berada dalam kancah politik Negara dan malah telah diketahui umum kehadirannya serta prinsip yang ia perjuangkan.

 Sebagaimana ditegaskan oleh Tuan Guru dalam NST:

 "There is no need for me to repeat it as it is nothing new and almost everybody knows it. Pas cannot avoid from implementing anything connected to Islam whether in the economy, social sphere or Islamic law.If DAP cannot accept it, we cannot do anything. The debate over this issue will not end,"

(Tidak perlulah saya ulangi perkara ini kerana ianya bukanlah sesuatu yang baru dan semua orang telah mengetahuinya. PAS tidak boleh lari dari melanksanakan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam samada ekonomi, social atau perundangan Islam. Jika DAP tidak boleh terima kita tak boleh buat apa-apa. Perbahasan berkenaan perkara ini tidak akan berkesudahan)

Dalam erti kata lain semua pihak perlu menghormati dasar dan prinsip perjuangan PAS sebagaiamana PAS juga menghormati dasar dan prinsip perjuangan pihak lain. Bagi PAS jika ia berkompromi atau menangguh atau meniadakan sekecil zarah pun apa sahaja berkaitan Islam, maka tidaklah lagi ia boleh dikaitkan dengan perjuangan Islam sebagaimana yang diharapkan oleh umat Islam di Malaysia dan diseluruh dunia.

Wednesday, July 25, 2012

Olimpik bulan Ramadhan: Tunggu Majlis Fatwa (25/7/12)


Dalam posting saya pada 23 Julai lalu http://n32.blogspot.com/2012/07/olimpik-ketika-ramadhan-bagaimana-27712.html saya melontarkan isu berkenaan Olimpik di musim puasa dan bagaimana dengan atklet kita memandangkan ada ulamak di Timur Tengah yang menegah atlit Muslim dari tidak berpuasa.
Setakat ini dua orang Mufti iaitu Perlis dan Perak berpandangan sebab mereka (atlit) musafir dan mereka berhak ambil rukhsah dan keringanan yang diperkenankan oleh syarak. Bermakna para atlit kita punya pilihan samada mahu berpuasa ataupun menangguhkannya atas alas an musafir.

Walaubagaimanapun memandangkan para atlit kita itu nanti mewakili Negara maka sesuai sangatlah kiranya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pandangan berkenaan perkara ini agar menjadi panduan para atlit kita itu. Ada laporan mengatakan Persatuan Ulamak Malaysia telah mendesak agar pihak Majlis Fatwa segera memberikan pandangan.
Para atlit sudah pun mula terbang ke London tetapi Majlis Fatwa bagaimana?

Sewajarnya perkara ini jangan diambil ringan dan mnemandangkan kita ada pihak yang bertanggungjawab maka mereka perlu segera bangkit melaksanakan tugas mereka. Mari kita tunggu, asal jangan sampai selepas Olimpik sudahlah.


Tuesday, July 24, 2012

Penjelasan Dato Dr Mahfodz (24/7/12)


Berikut kenyataan Ahli Majlis Syura PAS, Dato Dr Mahfodz Mohamed berkenaan isu hudud yang disentuh oleh Pengerusi DAP Karpal Singh baru –baru ini ekoran debat antara Ketua Dewan Pemuda PAS dan wakil Umno. Kenyataan ini dikeluarkan oleh akhbar NST hari ini:

……having Islamic laws and setting up an Islamic state were high on Pas’ agenda.
(…..melaksanakan uperundangan Islam dan  Negara Islam adalah agenda utama PAS)

Dr Mahfodz turut dipetik berkata:

Although it was decided during the last (Pas) muktamar that the party will now carry on with its welfare state manifesto, Karpal should remember what Pas is all about and what we stand for.

 "But at the same time we do not want to shock people as we also respect their needs and beliefs. We can always talk and discuss for the betterment of our alliance."


Sebelum itu Ketua Penerangan PAS Pusat Dato Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan rekasi kepoada MStar Online dalam isu yang sama dengan berkata:

"PAS harap Karpal menghormati dasar dan perjuangan PAS yang sudah diketahui umum. Kita tidak akan sekali-kali berhenti daripada menegakkan Islam."

MStar turut melaporkan:

Sambil menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang memartabatkan Islam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya mahu Karpal 'tutup mulut' daripada memberi pandangan mengenai prinsip dan dasar parti itu.

Kesimpulannya ini bermakna PAS kekal dengan agenda Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaannya Fasal 5 (1) yang berbunyi:

 5. (1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya bilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

 Dan kesimpulannya juga kenyataan Karpal dalam hal ini adalah salah, wallahualam.

Indonesia bukan Negara Islam menjelang 2035 (24/7/12)




Kalau satu ketika dahulu isu berkenaan “murtad” di Malaysia hangat diperdebatkan hari ini ia diam begitu sahaja. Barangkali sudah tidak ada lagi kes “murtad” di sini dan kita boleh duduk selesa.
Pernahkan anda mendengar atau membaca atau menonton kempen “SAVE MARYAM” ? Ia membicarakan kes murtad tetapi bukan di Malaysia. Ia berlaku di Negara jiran Indonesia. Indonesia adalah Negara yang mempunyai penduduk Islam yang teramai di dunia. Kira-kira 200 juta penduduknya beragama Islam.

Walaubagaimanapun menurut statistik sekitar 2 juta penduduk Islamnya meninggalkan Islam dan murtad memeluk Kristian setiap tahun! Bukan 20 bukan 200 bukan 2000 tetapi 2 juta!
Sekiranya fenomena murtad beramai-ramai ini tidak dibendung bermakna menjelang tahun 2035  iaitu 23 tahun dari sekarang Indonesia bukan lagi sebuah Negara majoriti umat Islam!

Sudah pastilah hakikat ini membimbangkan. Soalnya jika ia boleh berlaku di Indonesia, apa istimewanya Malaysia?
Kempen “SAVE MARYAM” ini dilancarkan bagi membendung fenomena murtad beramai-ramai ini di Indonesia. Saya kebetulan dimaklumkan berkenaan kempen ini melalui facebook, ternyata ia suatu kempen yang perlu disokong dan diberi perhatian tambahan kita dalam bulan Ramadhan  yang mulia ini.

Semoga ada juga usaha diperingkat kita bagi memastikan Malaysia tidak ditimpa nasib yang sama.
Ini bukan isu politik tetapi ini isu bersama sesama Muslim. Mudah-mudahan semua pihak yang berkepentingan dapat mengembeling tenaga melakukan sesuatu seumpama “SAVE MARYAM” ini bagi memastikan anak cucu kita terselamat.

Berilah sokongan anda.

Monday, July 23, 2012

Reaksi Karpal perlukan penjelasan (23/7/12)


Berikut adalah sedutan laporan akhbar NST hari ini yang memetik kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh:
In a terse reminder, he said Pas leaders must see to it that lower ranked members did not treat the decision of its muktamar with impunity and in the process sabotage Pakatan Rakyat's chances in the coming general election.

Karpal said Pas' bona fides must be reflected in effectively striving for a welfare state in line with the wishes of its leadership and members who voted for the abandoning of the Islamic state.
Karpal said it was also imperative that they continue to pursue setting up of a welfare state decided by them at the muktamar, which had the blessings of both the DAP and the Parti Keadilan Rakyat.

"It boggles the mind for a relatively minor official in the Pas hierarchy in Nasrudin Hassan Tantawi to now publicly pursue and espouse the implementation of the hudud laws which contravene the muktamar's decision to abandon the party's decision to set up an Islamic state in place of a welfare state," he said in a statement.

Karpal memberikan reaksi demikian ekoran debat antara Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Nasaruddin Tantawi dan Pengerusi Ulamak Muda Umno Fathul Bari. Dalam debat berkenaan Nasaruddin dikatakan menegaskan kembali tuntutan PAS bagi perlaksanaan hukum Hudud.

Saya yakin hari ini seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang peka darihal politik Malaysia tahu bahawa PAS adalah sebuah parti Islam yang memperjuangkan perlaksanaan hukum dan peraturan Islam.

Masalahnya adakah benar bahawa ahli-ahli PAS dalam muktamarnya telah mengundi  menggugurkan tuntutan perjuangan menegakkan Negara Islam (voted for the abandoning of the Islamic state) dan menggantikannya dengan Negara Kebajikan?!

Karpal malah menambah bahawa keputusan itu direstui oleh PKR dan DAP.

Karpal mungkin disalah-petik atau menyatakan demikian atas kapasiti peribadinya atau apa sahaja. Tetapi yang penting diperingkat ini adalah bagi pimpinan tertinggi PAS untuk menegaskan kembali apa yang sebenarnya berlaku dan apa tuntutan perjuangan sebenar PAS hari ini, bukan untuk ahli PAS yang saya yakin faham tetapi buat rakyat jelata di luar khasnya pengundi tegar PAS yang berkemungkinan akan keliru dan mula berfikir dua kali.

Ustaz Nasaruddin perlu membuat kenyataan begitu juga Presiden PAS, biar undi PAS tidak terjejas dan biar PAS jangan menanggung liability atas kenyataan di atas.

Karpal boleh teru meyatakan apa sahaja yang mahu terpacul keluar dari mulutnya, tetapi biarlah ada respon yang teguh dan meyakinkan dari PAS sendiri.

"True to my call to Pas, at its muktamar last year, the party decided to abandon its avowed aims to set up an Islamic state and decided to give expression to the provision in the Quran which provided for a welfare state."

(Benar sebagaiamana tuntutan saya kepada PAS dalam muktamarnya tahun lepas parti berkenaan bersetuju menggugurkan tuntutsan perjuangannya untuk membentuk sebuah Negara Islam dan sebaliknya bersetuju memberikan penegasana kepada peruntukkan dalam al Quran yang mengizinkan pembentukan Negara Berkebajikan)




Sunday, July 22, 2012

Olimpik ketika Ramadhan, bagaimana? (23/7/12)


CNN melaporkan darihal delima atlit Muslim yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik di London bermula 27 Julai 2012 ini iaitu bersamaan 7 Ramadhan.
Ada yang berpandangan mereka tidak boleh berpuasa kerana ia akan menjejaskan prestasi mereka ketika bertanding dan ada pula yang berpandangan sebaliknya. Peserta judo dari UAE Humaid Al Darae umpamanya menyatakan bahawa beliau tidak dapat  berpuasa kerana jika berbuat demikian berkemungkinan boleh pengsan kerana kehilangan tenaga.

Darae berkata:
"God is with me wherever I go, whether I fast or not. The most important thing is to have faith in God and give it your best and thank God, whether you win or lose."

Begitu juga peserta kejohanan mendayung British Moe Sibihi yang berkata bahawa setelah berbincang dengan Imamnya, beliau membuat keputusan untuk tidak berpuasa. Dia bercadang untuk memberi makan kepada 1,800  orang di kampungnya di Maghribi sebagai ganti dan akan mengqadha puasanya nanti.
Sementara itu Mufti Besar Dubai Ahmed Abdul Aziz Al Haddad melarang umat Islam meninggalkan puasanya  semasa bertanding dalam Olimpik 2012. Beliau berkata:

“Playing sports is not a requirement in Islam. Players become athletes by choice. This optional activity, therefore, does not allow athletes to break their fast,"
Malah kata beliau lagi olahragawan Muslim sepatutnya menjadi duta agama masing-masing dengan mempertahankan ibadah puasa itu.

Walaubagaimanapun kata beliau jika semasa bertanding olahragawan Musim tadi terancam kesihatannya lantaran bertanding, maka wajarlah ia berbuka ketika itu.
Pandangan Mufti itu dikongsi oleh jurulatih angkat berat wanita Nagwan El-Zawawidari. Beliau berpandangan bahawa anak latihnya wajar berpuasa.  Beliau berkata:

“Many competitions have taken place during Ramadan. I am not convinced you can break your fast. I mean, fasting is a must. There are no excuses”
Memandangkan berita ini bersumber dari CNN maka sudah pasti isu olahrgawan Muslim berpuasa atau tidak semasa Olimpik 2012 nanti pasti akan dijadikan isu. Dan ianya kelihatan lebih dalam mahu memperkecilkan syariat Islam. Saya tidak tahu bagaimana pula dengan olahragawan Malaysia yang mewakili Negara dalam kejohanan itu? Berpuasa atau tidak?

Apa pun jangan sampai kemuliaan dan kebesaran Islam itu dipersenda.

Tekanan dan ujian yang berbeza (22/7/12)


Bulan Ramadhan ini adalah bulan taqwa. Disamping melalui serba ujian dan cabaran bulan ini juga adalah bulan yang membawa kegembiraan kepada mereka yang beriman kerana dalam bulan inilah berbagai tawaran dibuka oleh Allah swt kepada kita yang kepingin mahu mendekatkan diri kepada Nya.
Alhamdulillah dalam bulan barakah ini sekelompok saudara kita nun jauh di Murfreesboro , Tennessee, Amerika Syarikat  turut melonjak gembira. Kenapa? Kerana Mahkamah Presekutuan di sana memberikan keizanan kepada Pusat Islam mereka meneruskan rancangan membina masjid di sana bagi menempatkan 250 keluarga Muslim selain 400 lagi pelajar luar yang beragama Islam.

Selama bertahun mereka menghadapi tentangan dari penduduk majoriti bukan Islam yang membantah pembinaan masjid di sana walaupun umat Islam telah punya Pusat Islam sejak 30 tahun lalu.
Di sana mereka menghadapi berbagai tekanan dan tentangan, sedang di sini kita punya masjid dan surau yang bersepah-sepah selain berdiri indah dan megah, namun tiada pula yang ramai yang ingin memenuhinya. Di bulan Ramadhan ini adalah penuh tetapi berlalu Ramadhan, akan semakin surut dan kadangkala tak padan keluasan masjid dengan bilangan mereka yang hadir di dalam.

Semoga Ramadhan ini memberikan kekuatan kepada kita untuk berubah.


Friday, July 20, 2012

Salam Ramadhan 1433 (20/7/12)

Ramadhan sebenarnya jika kita perhatikan adalah bulan berkasih sayang. Berpuasa dalam keluarga apabila bersahur dan berbuka bersama mencerminkan kasih sayang, demikian juga apabila keluar bertarawih ke masjid dan surau bersama ia juga cerminan kasih sayang.
Berdiri bersama jemaah lain di masjid atau surau (kadangkala tidak mengenali pun mereka yang di sebelah kita sebelum ini) atau bagi mereka yang berbuka bersama di masjid atau surau juga adalah cerminan kasih sayang.

Kesabaran yang merupakan tunggak Ramadhan itu sebenarnya juga adalah cerminan kasih sayang. Kita bersabar menahan lapar, bersabar tidak berkata yang bukan-bukan, bersabar mengawal diri, lidah dan perbuatan semuanya adalah cerminan kasih sayang belaka .
Kasih sayang utama yang dimaksudkan adalah buat Allah dan Rasul. Lantaran kecintaan kita kepada Allah swt, taat kita kepada Rasul s.a.w maka kita gagahkan diri menjalani Ramadhan dengan penuh tertib walaupun terpaksa bersusah berlapar, berdahaga. Terkadang kita teruja untuk melakukan sesuatu yang dilarang lalu segera kita menghentikannya, kenapa kerana kasih sayang tadi jua.

Kasih sayang tadi juga bermaksud buat  suami dan isteri buat ibu dan bapa buat anak-anak buat kawan-kawan buat sesama Muslim.  Si suami disamping menjaga puasanya juga menghormati puasa isterinya, penghormatan itu mencucurkan kasih sayang. Demikian juga buat si isteri. Si isteri tekun bangun di awal pagi menyediakan sahur selain juadah berbuka, manakala si suami terus menolong urusan isteri selain memikul tanggungjawabnya mencari rezeki,
Ibu-bapa kita ingati, kita raikan semasa Ramadhan, memperingati perit jerih mereka semasa membesarkan kita dan menempuh Ramadhan semasa kita kecil, juga akan menyemarakkan lagi kasih sayang yang sedia ada dalam diri kita buat mereka.

Anak-anak yang menempuh Ramadhan sewajarnya menginsafi jua kesabaran yang perlu ditempuh ibu dan bapa, cabaran dan dugaan mereka demi memeriahkan anak-anak dalam Ramadhan dan menjalang Syawal nanti. Kesedaran ini pasti melonajkkan kasih sayang.
Kita melihat rakan-rakan saudara-saudara sesama Muslim taat menempuh Ramadhan, terutama bagi yang tidak bernasib baik sebagaimana kita pasti mengusik jiwa dan melahirkan keinsafan agar kita bersedekah, mengambil prihatin meringankan beban mereka, itulah kasih sayang sebenar.

Apabila umat Islam berkasih sayang sesama mereka dengan kasih sayang yang sejati, tatkala itulah rahmat Allah turun mencurah-curah dan kekuatan ummah menjadi waja.
Itulah maka Ramadhan adalah bagi saya bulan berkasih-sayang, kerana mereka yang tidak begitu, pasti tiada kesabaran, tiada tersentuh jiwa mahu mengasihi suami dan isteri, ibu-bapa, anak-anak. Membawa diri seolah bulan ini sama sahaja dengan bulan yang lain-lain. Kebajikan dan nasib sesama Muslim tidak dipedulikan. Ketiaka tiada kasih sayang dalam jiwa, maka tiadalah erti Ramadhan buat mereka itu.

Salam Ramadhan buat semua, semoga Ramadhan kita kali ini bakal menjadi yang terbaik buat kita, insyallah.

Persaingan YAHOO dan GOOGLE (20/7/12)


Laman carian popular “Yahoo” mengumumkan nama seorang wanita 37 tahun Marissa Mayer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru syarikat berkenaan. Mayer sebelum ini bekerja dengan “Google” sebuah lagi laman carian internet.
Yang menariknya sebagai CEO beliau akan menerima pendapatan tahunan sebanyak USD1juta iaitu bersamaan dengan RM3,182,000 ataupun RM265,166 sebulan (bersamaan RM8,838.88 sehari)!

Selain itu Mayer juga berhak menerima bonus tahunan sebanyak USD2juta sekiranya berjaya memenuhi sasaran kewangan yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat dan telah pun dipersetujui bersama.
Sementara itu Yahoo turut mengumumkan pendapatan  USD226.6juta bagi suku tahun kedua 2012 iaitu bersamaan RM721 juta. (Untuk makluman Google pula mengumumkan keuntungan USD2.79 billion untuk suku kedua iaitu bersamaan RM8.87 billion!) Bayangkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia untuk 2011 adalah USD278.7 billion ataupun RM886billion

Demikianlah persaingan hebat dunia siber antara Yahoo dan Google yang ternyata hampuir mengatasi KDNK Negara.
Semoga syarikat-syarikat tempatan juga satu hari nanti akan mampu bersaing dan melonjakkan keuntungan demikian rupa insyallah.

Thursday, July 12, 2012

Jangan disempit jalan dakwah (12/7/12)


Inilah notisnya yang telah mencetuskan kontroversi sehingga ada arahan untuk menarik balik ia. Ada pula pemimpin yang mendakwa notis larangan itu diusulkan oleh ahli majlis yang “pelampau”.

Saya tidak nampak janggal, ganjil atau apa masalah dengan notis ini sebab ianya sama sahaja dengan notis yang terletak di premis kedai judi berlesen yang menjual judi tikam nombor. Atas arahan Kementerian Kewangan yang melesenkan premis berkenaan ada notis yang melarang umat Islam dari membeli nombor di kedai berkenaan kerana judi adalah “haram”.

Yang penting ia memberi nasihat kepada pengunjung yang beragama Islam sahaja, yang sedia tahu bahawa mereka HARAM bersama yang bukan muhrim dalam keadaan begitu (di panggung wayang). Tidakkah ini suatu mesej dakwah yang berhikmah dan selari dengan firman Allah swt dalam surah an Nahl: 125:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk

Almarhum Prof Hamka di dalam Tafsir al Azharnya membuat kesimpulan bahawa HIKMAH itu merujuk kepada sifat kebijaksanaan. Ertinya seorang pendakwah yang berhikmah ialah pendakwah yang berdakwah secara bijaksana dengan menggunakan akal budi yang mulia, dada yang lapang dan hati yang bersih untuk menarik minat dan perhatian golongan sasaran kepada ajaran Islam.
Memanglah soal tafsiran ini seribu satu pendekatan dan sudut boleh diambil tetapi sekurang-kurangnya jangan lari dari maksud asal.

Apa pun jelas ahli majlis di MDKS telah menjalankan tugas mereka sebagai ahli majlis yang memikirkan maslahah umum dan keperluan syarak. Siapa pun boleh arahkan ditarik balik, dicampak atau dibuang keputusan itu, yang penting ahli majlis berkenaan telah menjalankan tanggungjawabnya kerana beliau nanti akan bertanggungjawab pula di hadapan Qadhi Rabbul Jalil, apakah yang telah beliau lakukan apabila diberi amanah di atas dunia ini.
Janganlah disempitkan peranan dakwah kita atas apa kepentingan sekalipun. Semoga yang hak mendapat tempat dan yang batil kecundang.

Wednesday, July 11, 2012

Bolasepak wanita boleh tutup aurat (11/7/12)


Sedang kehangatan EURO 2012 reda satu pernyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap sukan bolasepak antarabangsa iaitu FIFA berlalu tanpa mendapat banyak publisiti.
Beritanya: FIFA menarik balik larangan mengenakan tudung atau menutup kepala ke atas pemain bolasepak wanita. Berikut adalah laporannya:

(5/07/12) Soccer's rules-making panel has formally approved headscarves for female Muslim players, reversing a ban on the Islamic hijab that's been enforced in FIFA competitions since 2007.
On Thursday, FIFA's International Football Association Board announced the approval of two prototype designs after finding no safety threat in their use.

In the spring, the sport's rule-making body agreed to overturn the hijab ban, tentatively giving Muslim women the option of wearing sport-specific headscarves. Thursday's announcement comes after FIFA's medical committee tested two soccer hijab prototypes.
Semoga dengan keputusan ini ramailah wanita Islam yang menutup aurat boleh menceburkan diri secara aktif dalam sukan ini. Untuk makluman akibat larangan tahun 2007 itu pada tahun 2011 pasukan bolasepak wanita Iran tidak dibenarkan turun padang menentang Jordan dalam kejohanan kelayakan Olimpik beberapa ketika sebelum pertandingan bermula kerana para pemainnya menutup aurat.

(Gambar atas: Pasukan bolasepak wanita Iran tahun 2011)

Terbelenggu dalam dilema (11/7/12)


Saya membaca dengan penuh reash berita dalam akhbar The Star hari ini di bawah tajuk:

MCA slams cinema ruling yang antara lain berbunyi:

SHAH ALAM: A controversial ruling by a district council in Selangor banning unmarried Muslim couples from sitting together in a cinema has been shelved, with the MCA slamming the use of religion in politics.

MCA president Datuk Seri Dr Chua Soi Lek said he was shocked that Islamic values were imposed by the council.He cautioned that friction among the people could happen in a multi-racial country like Malaysia should religion be used in politics.

Separately, the Kuala Selangor district council (MDKS) had been directed to put the ruling on hold immediately.It is learnt that the decision was made by the MDKS full board council meeting in May.

 MDKS councillor P. Thirumoorthy said the ruling was proposed by a councillor from PAS last year.

Ianya berkenaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak Majlis Daerah Kuala Selangor atau MDKS (pentadbirannya meliputi parlimen Kuala Selangor dan Tanjung Karang – kawasan majoriti Melayu/Islam) berhubung larangan ke atas pengunjung panggung wayang Muslim yang bukan muhrim dari duduk bersebelahan antara satu sama lain.

Sekali lagi kontroversi seumpama ini tercetus dan sekali lagi semua pihak dalam dilemma.

Sepatutnya sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan diluluskan oleh majlis penuhnya adalah keputusan bersama. Contoh kalau dicadangkan oleh ahli majlis PAS, kemudian diluluskan ia bukan keputsan PAS tetapi keputusan majlis begitulah bagi yang lain-lain termasuk dalam negeri yang diperintah BN sekalipun.

Memang keputusan ini tampak kontroverial bagi mereka yang melihat begitu tetapi dalam satu sudut jika ianya disentap begitu sahaja maka yang akan memikul masalah dalam kes ini adalah pihak yang mencadang.

 Saya percaya ia dicadangkan semata-mata mengambil kira kehendak syarak dan menepati maslahah umum.  Dan yang pentingnya ia diluluskan pula oleh majlis penuh iaitu keputusan bersama majlis.

Tanganilah perkara ini dengan baik dan berhati-hati jika tidak orang akan melihat kita tidak punya kuasa walaupun hakikatnya dikatakan berkuasa.Banyaklah pihak ambil kesempatan nanti. Wallahualam.

Tuesday, July 10, 2012

Apabila "si kacau" rebah ke bumi.....(10/7/12)


Saya mendapat tahu tentang peristiwa malang ini melalui posting facebook seorang rakan semalam. Pada awalnya dilaporkan bahawa dua orang yang “naik angina” di Putrajaya telah ditembak oleh pihak polis. Ketika itu tiada yang mengaitkannya dengan isu agama.
Hari ini jelas akhbar-akhbar media perdana melaporkan bahawa kedua-dua pasangan (tiada ikatan perkahwinan) tersebut telah mengamuk di perkarangan Komplek B, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya dengan menghunuskan masing-masing sebilah pedang samurai.

Akhirnya apabila keadaan gagal dikawal pihak polis telah melepaskan tembakan mencederakan kedua-dua mereka. Si lelaki akhirnya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan yang dialaminya.
Menurut laporan kahbar juga lelaki berkenaan mendakwa dirinya “Imam Mahdi” dan berniat mahu menggulingkan kerajaan.

Rupanya Allahyarham adalah seorang blogger yang menggunakan nama Jaya Negara. Blognya saya rasa sudah pun ditamatkan mungkin oleh pihak berkuasa.
Apa pun bagi saya peristiwa ini sangat malang dan sudah tentu memberi persepsi yang pelbagai terhadap agama. Benar mungkin si mati dan pasangannya “tidak siuman” namun dari publisiti yang tersibar elemen agama merupakan agendanya lantas sekali lagi mengambarkan imej yang buruk terhadap Islam.

Bayangkan bagaimana orang bukan Islam melihat insiden ini, dikaitkan pula dengan Imam Mahdi dan pemerintahan Islam?
Kalau yang sempat mengelidah blog si mati akan dapati macam-macam tulisan penghinaan dan tak masuk akal dip[ostkan di dalamnya. Termasuklah yang mengkritik seorang Sultan. Dalam antara posting terakhirnya beliau menulis:

“Aku sungguh terbakar wahai Khalil...Aku pasti aku ikut kamu.Aku terbakar kerana aku memang bodoh.Dan hidup dalam kebodohan.Aku juga benci kebodohan.Aku Dhada membenarkan semua kata-katamu.Aku juga mahu pulang.Teruskan. Aku bersamamu.Dhada”
Dan ada lagi:
Sekian. Ini adalah yang terakhir. Kita tidak akan bertemu lagi dalam bentuk tulisan. Kita pasti bertemu dan aku berjanji aku pasti tamatkan semua tugas-tugas ku supaya aku terus saja pulang tidak lagi kembali. Terima kasih Dhada kerana peringatan Ikhlas kamu. Iyakan aku ini manusia sering saja terlupa juga dan ***** macam kamu.

Ini dia peringatan terakhir dari aku. Hayati lah.

Didataran tak bertuan semua dari kita telah bersumpah dengan nama Allah untuk menerima ujian diBumi-bumi ujian yang telah Allah sediakan.

Nanti bila dicerahkan Allah semua kabus-kabus perjanjian antara setiap satu.. satu.. satu.. semuanya jiwa..... maka pastinya menitis tis.. tis.. tis.... airmata kamu. Allah benar pada ketika itu. Allah pasti benar. Aku ini didatangkan demi peringatan terakhir yang aku tahu pasti semuanya kamu akan memerangi aku. Setiap dari kamu membawa kepercayaan nenek-moyang kamu sedikit-sedikit hinggakan semuanya terpikul dengan berat. Bongkok kamu. Manusia hari ini dalam keadaan bongkok dan hodoh tetap juga mahu juga sombong. Siapa Tuhan.... siapa Hamba?. Gila apa manusia.

manusia dalam keadaan jiwa bongkok dan hodoh...... sombong pulak!

Kamu wahai manusia hidup didunia ikut apa yang Allah Tuhanku suruh.... kamu tidak boleh buat sesuka hati mu... Faham ke tidak? Apa nama Pak Sedara kamu?.... OHHH ..... lupa. Jalanlah pelan-pelan wahai Pak tua yang Bonggkok. Perhatikan longkang dihadapan kamu. Sudah berjuta kali kamu tertumoih tidak pernah mahu ingat. Gila umat manusia akhir zaman ini. HIDUP DAN MATI DIPERTARUHKAN CUMA UNTUK SESUAP NASI.

BYE.
Semua pihak kena bangkit memperbetulkan kembali “damage” atau kerosakan yang telah dicetuskan oleh si mati. Diharapkan pihak akhbar dan media perdana juga tidak menyelitkan isu agama di dalamnya sehingga memberi kesan negatif.

Si mati dan pasangannya didakwa “psycho” atau tak siuman maka segeralah lakukan siasatan ke arah itu dan tamatkan spekulasi dan berbagai cerita hodoh yang berbangkit darinya. Insiden ini sesungguhnya tiada kaitan dengan agama mahupun politik, apalagi perkauman, ia sesuatu yang terpencil dan melibatkan mereka yang sakit…..
Kita tidak mahu lagi melihat insiden seumpama  ini berlaku dan semoga semua pihak memain peranan mencegahnya menurut kemampuan masing-masing.

Sunday, July 08, 2012

Malaysia "syurga" jenayah!? (8/7/12)


Masyarakat rantau Asia Tenggara ini sedia hidup berjiran zaman-berzaman. Negara kita sendiri punya 4 jiran utama di sempadan iaitu Thailand di Utara Semenanjung, Singapura di Selatan, Filipina yang bersempadan lautannya dengan Sabah dan Indonesia yang bersempadan dengan Semenanjung seberang Selat Melaka dan dengan Kalimantan di Sabah dan Sarawak (selain itu Brunei yang dikiri kanannya adalah Sabah dan Sarawak).
Sempadan geografi ini malah telah diterima sekian lama dan ia tidak pernah membatasi ikatan budaya dan agama laksana satu ikatan besar dalam rumpun keluarga yang besar.

Tidak dinafikan rakyat Malaysia di sempadan juga punya ikatan kekeluargaan dengan Negara jiran di sempadan dan suatu fenomena yang diterima sebagai lumrah hidup.
Malangnya ada juga dikalangan kita samada di sebelah sini mahupun sebelah sana yang tidak menghargai ikatan ini dan malah lebih selesa hidup berkepala besar, mudah mahu bersengketa dan mencari masalah.

Saya ambil contoh ikatan kita dengan Thailand. Walau kita tahu keadaan di sempadan Thai kini agak genting ekoran suasana politik di sempadan, namun rakyat Malaysia khasnya yang punya ikatan persaudaraan mahupun atas sebab perniagaan terus berurusan dengan Negara jiran itu. Malahan rakyat kita selaku pelancong terus masuk keluar sempadan di sana. Tiada pun kita mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat kita patut tidak lagi ke Thai tetapi pergilah ke Negara lain kerana keadaan Thai yang genting itu.
Begitulah juga dengan Indonesia dan Singapura walau segelintir kecil rakyat Indonesia mencetuskan ketegangan dengan kita namun rakyat kita terus berurusan dengan Negara jiran berkenaan.

Rupanya hakikat ini tidak dengan sebuah Negara jiran kita. Yang saya maksudkan adalah Singapura, walau Singapura mengalu-alukan rakyat kita berbelanja di sana (termasuklah menghanguskan wang di kasino mereka) tetapi rakyat mereka terus memburuk-burukkan keadaan di Negara kita. Seolah Malaysia ini sebagai sebuah sarang perompak dan penyamun.
Terbaru saya petik surat yang dikirm oleh seorang pembaca yang dikenali sebagai LEE YONG SE ke akhbar Berita Harian Singapura:

Bagi warga Singapura yang sering ke seberang Tambak melawat saudara mara, membeli-belah, mengisi minyak dan sebagainya, kita harus ingat bahawa tahap keselamatan di Singapura dengan negara lain memang tidak sama.
Di Singapura, orang ramai boleh berjalan-jalan tanpa rasa bimbang mengenai keselamatan mereka, walaupun pada waktu malam, kerana pasukan keselamatan kita bekerja keras memastikan Singapura selamat.

Namun, kita tidak boleh mengambil ringan terhadap keselamatan semasa berada di luar negara kerana bukan semua negara mempunyai pasukan keselamatan dan sistem pengadilan yang berkhidmat secara bersungguh-sungguh dan berkesan.
Sebaliknya, ada di kalangan anggota pasukan keselamatan di luar negara yang mengamalkan rasuah, seolah-olah ia satu kebiasaan selain mereka tidak menitikberatkan amanah yang dipikul. Sejak sekian lama, kita sering membaca mengenai kes jenayah melibatkan warga Singapura seperti kes gores-menang, rompakan, penculikan dan sebagainya yang sering terjadi.

Sebagai warga Singapura, kita harus bersyukur pasukan keselamatan kita sentiasa menjaga keselamatan di sini.
Namun, kadar jenayah yang rendah di sini tidak bermakna tiada jenayah dan kita tidak boleh sampai terlalu alpa sehingga membiarkan jenayah berlaku dengan mudahnya.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan pembaca yang sering ke luar negara: walaupun mereka ke sana untuk bersantai, mereka harus sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa jenayah.
Bermakna Singapura sahajalah yang baik, yang buruk Malaysia, yang rasuah Malaysia, yang ganas Malaysia!

Kebetulan pagi ini saya terbaca sebuah berita di akhbar The Sunday Star tentang pengakuan bekas seorang wartawan TV Singapura Rita Zahara http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/7/8/nation/11624444&sec=nation
Rita dan keluarga pada awal Julai lalu terlibat dalam satu insiden jenayah penculikan. Semalam di JB dalam satu sidang akhbar Polis Johor mengumumkan telah menangkap dan akan mendakwa penjenayah yang terlibat termasuklah berjaya merampas kembali barangan yang disamun dari Rita dan keluarga.

Rita semalam menyebut bahawa pengalaman buruk ini tidak akan menghalang beliau dari terus berkunjung ke Malaysia malah beliau menambah jenayah berlaku dimana-mana dan adalah tidak adil menghukum Johor dan Malaysia sebagai “syurga” jenayah.
Sementara itu dalam akhbar yang sama seorang pekerja di sebuah kilang di Serdang mendakwa bahawa pengurusnya telah mencederakannya dengan sebilah pisau apabila beliau mengadu darihal gajinya yang belum berbayar. Percaya tak percaya pengurus tersebut adalah seorang warga Singapura! Ya S-I-N-G-A-P-U-R-A!


Friday, July 06, 2012

Hamba Melayu tidak pernah derhaka.......(6/7/12)


Dastar itu masih terbaring di tanah dan Raja Muhammad tetap duduk di belakang kudanya. Kawan-kawan  Tun Besar, anak-anak buah dan hamba sahaya Bendehara Paduka Raja berdiri mengelilingi Tun Besar dan Raja Muhammad. Ada yang dating rapat ada yang takut dan berdiri jauh da nada yang memanjat pokok. Tapi tiada siapa yang berani berkata. Meeka menunggu Limat Pantas Lari balik dari istana.
Seorang anak muda sahabat karib Tun Besar melangkah dan menyembah Raja Muhammad, “Tuanku bukan sengaja Tun Besar menyepak bola raga itu maka terjatuh di dastar Tuanku”

“Kita mendengar Tun Besar ahli raga – boleh menendang hingga berlaksa-laksa kali, dan adakah perbuatan itu tidak sengaja? Bukankah dia tidak melihat siapa berkuda, ada sesiapa yang tidak melihat” jawab Raja Muhammad.
Sahabat Tun Besar tidak berkata lagi. Masing-masing  dalam ketakutan.

Limat Pantas Lari pun tiba. Dia membawa puan baginda dan di atas puan itu ada sebilah keris. Puan itu pun dihulurkan kepada Raja Muhammad dan Raja Muhammad mengambil kersi dari puan itu. “Jatuh dastar kita oleh Tun Besar,” kata Raja Muhammad dan seperti kilat keris itu dihunjamnya kena  pada rusuk Tun Besar. Tun Besar rebah dan mukanya betul menghadap dastar Raja Muhammad di pasir. Tun Besar menggeliat beberapa kali dan terus kejang.

Anak-anak buah Bendehara gempar melihat Tun Besar mati ditikam oleh Raja Muhammad. Raja Muhmmad pun memacu kudanya balik ke istana.
Demikianlah secebis dari Sejarah Melayu mengisahkan perilaku buruk dan zalim seorang anak Raja di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Raja Muhammad anakanda Sultan Mansur Shah yang jika mengikut urutan sejarah ketika itu adalah Raja Muda atau Tengku Mahkota yang bakal menggantikan Tuanku Sultan jika ditakdirkan Tuanku mangkat.

Namun angkara kebengisannya mungkin juga angkuh lantas bertindak membunuh tanpa periksa seorang awam yang kebetulan merupakan anak kepada Bendehara Paduka Raja Tun Perak, Perdana Menteri atau Menteri Besar ketika itu, Raja Muhammad dihukum dengan hukuman yang setimpal buatnya ketika itu.
Menurut kisahnya anak-anak Melayu Melaka sebilangan besar merupakan pengikut setia Bendehara Paduka Raja telah berkumpul dengan senjata masing-masing mahu menuntut bela atas kematian Tun Besar. Ternyata dalam persitiwa ini Raja Muhammad telah bertindak keterlaluan dan menghiris hati rakyat serta merampas hormat mereka terhadap beliau.

Walaubagaimanapun kemarahan anak-anak muda itu akhirnya dapat diredakan hasil dari kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin Melayu terulung ketika itu iaitu Tun Perak sendiri. Memang yang paling sedih dan terluka hatinya ketika itu sudah tentulah Tun Perak kerana anakanda kesayangannya mati dikeris istana, sedangkan beliau seorang yang paling taat dan setia pada istana.
Tetapi kebijaksanaan Tun Perak membuktikan betapa orang Melayu ketika itu dididik berpegang pada peraturan dan undang-undang. Adat merupakan sebahagian dari kanun orang Melayu ketika itu. Tun Perak yang kecewa, namun apabila melihatkan anak-anak Melayu berkumpul mahu menuntut bela membelakangkan adat telah berkata:

“Hai!Hai! Hendak derhakakah kamu sekalian? Hendak derhakakah? Ceh! Kamu sekalian! Ceh! Kerana tiada adat; hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini.”
Kata-kata hikmat Tun Perak dalam suasana genting itu telah sampai ketelinga Sultan. Dan oleh kerana Sultan juga menghormati rakyatnya dan menyanjung ketinggi kredibiliti Tun Perak telah menghukum anakandanya sebelum pun perkara itu diadukan kepada Baginda. Raja Muhammad telah dibuang negeri tiada lagi dibenar memijak bumi Melaka dan paling penting tidak lagi akan berpeluang menjadi Sultan Melaka. Dalam bahasa modennya dilucutkan jawatan Tengku Mahkotanya atau Raja Mudanya.

Yang terbaru kita mendengar seorang blogger ditahan polis dan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana menyiarkan artikel yang didakwa mengandungi unsur hasutan, provokasi dan mengaibkan kerabat di Raja Johor.
Saya harap pihak polis menyiasat seadil-adilnya dan blogger berkenaan diberi peluang membela diri di mahkamah jika diseret ke sana. Bagi saya kebebasan suara adalah hak rakyat tetapi apa pun ianya tidak mutlak dan perlu akur dan tunduk pada peraturan.

Apa pun alangkah baiknya dalam urusan dengan pihak istana ini kita mencontohi kebijaksaan Almarhum Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang bijaksana itu. Dan dalam hal ini juga saya pasti rakyat turut berdoa sebagaimana mereka mahu mencontohi kewarasan Tun Perak, penghuni istana juga didoakan agar bijaksana laksana Almarhum Tuanku Sultan Mansur Shah yang betindak pantas dan pintar itu.

Wallahualam.

Renungan pagi Jumaat (6/7/12)


Hari ini Jumaat 16 Syakban 1433, dan kita menuju laju kea rah Ramadhan yang dijangka menyapa kita dengan izin Allah dalam dua minggu lagi. Kelebihan Ramadhan sebagaimana Hadis Rasulullah saw daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."
 1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

 2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
 3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."

 4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.
 5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.  Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya."

 (Riwayat Imam Ahmad)
Dalam kesempatan ini fikiran saya terpaku kepada dua insan yang telah dengan izin Allah membawa saya berpijak di bumi ini iaitu sudah pasti kedua ayah dan ibu. Bayangkan bagaimana mereka membesarkan saya dahulu, mengharungi Ramadhan dan terus menerus mendoakan saya berpanjangan sehinggalah ke hari ini.

Semoga mereka berdua terus berada dalam lindungan Allah swt, sihat dan sejahtera dan diberi kekuatan menempuh bulan yang mulia ini. Semoga Allah jua menjauhkan saya dari tergelincir menjadi anak yang durhaka, menyakiti hati dan perasaan mereka, melukai mereka.
Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Mudah-mudahan saya tidak jemu-jemu berbakti buat mereka dan tidak jemu-jemu mendoakan mereka sebagaimana firman Allah swt:
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al Isra 24)

Memang realitinya kadangkala sukar kita mahu membahagiakan mereka, lantaran kehidupan kita sendiri. Kadangkala rasa kesempitan masa, wang dan seumpamanya, sehingga kita mudah terlupa bahawa redho mereka itu p[enting buat kehidupan kita.
Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abbas r.a. berkata: "Tiada seorang mukmin mempunyai kedua ibu bapa lalu pagi-pagi ia taat dan baik pada keduanya melainkan Allah s.w.t. membukakan untuknya daun pintu syurga, dan tidak mungkin Allah s.w.t. redha padanya jika salah satu ibu atau bapanya murka kepadanya sehingga mendapat redha dari keduanya. Ditanya: Meskipun orang tua itu zalim? Jawabnya: Meskipun zalim. Dan didalam hadis marfu' ada tambahan: Dan tiada pagi-pagi ia durhaka (menyakiti hati) orang tuanya melainkan Allah s.w.t. membukakan baginya dua pintu neraka dan jika hanya satu maka satu."

Berusahalah agar kita menjadi anak yang senang dan sentiasa mampu berbakti kepada mereka.
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Ali dari ayahnya dari neneknya berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: "Andaikan ada khalimah yang lebih ringan dari kata UF (cih) untuk dijadikan dasar serendah-rendahnya durhaka pada orang tua nescaya akan dilarang oleh Allah s.w.t. untuk mengatakannya, kerana itu seorang yang durhaka pada orang tuanya boleh berbuat apa yang diperbuat maka ia tidak akan masuk syurga, sebaliknya seorang yang bakti pada orang tuanya boleh berbuat apa saja maka tidak akan masuk neraka."