Wednesday, February 28, 2007

Saksikan kehebatan Malaysia

Saya tidak pasti adakah kita prihatin atau pun tidak, kerana dari 32 ahli kabinet termasuk PM dan TPM, sekarang ini 8 daripada mereka berada di luar negara.

PM dan 5 orang anggota kabinet termasuklah Rafidah, Samy Vellu, Mustapha, Abdullah Mat Zain dan Syed Hamid kini berada di Yemen. Najib berada di Saudi manakala Muhyiddin berada di Afrika.


Anggota Jemaah Kabinet Malaysia

Soalnya adakah amalan meninggalkan negara dalam jumlah yang ramai sebegini sesuatu yang perlu dan baik untuk negara?

Kita bukannya minta tetapi katakanlah negara tiba-tiba dilanda musibah atau diancam keselamatannya, maka siapakah yang akan membuat keputusan dan mengarahkan negara?

Siapakah Pemangku PM sekarang? Ong Ka Ting atau Lim Kheng Yaik?

Saya kira amalan sebegini perlulah dihentikan.

Mengapa contohnya perlu PM dan TPM berada dalam satu rantau yang sama serentak? Tidakkah ini aneh, seolah-olah kepimpinan negara bagaikan berpecah? Saya rasa tidak pernah melihat amalan seumpama ini diamalkan oleh mana-mana negara lain.

Mereka memang masing-masing berhak untuk membuat lawatan dan kunjungan luar demi manfaat negara (walaupun tahap kemanfaatan itu masih boleh dipertikaikan) tetapi kenapa perlu pergi serentak berbondong-bondomg begini?

Nampaknya semakin hari semakin aneh negara di bawah pimpinan Pak Lah. Kalau manusia berperangai aneh orang kata dah buang tabiat, kalau pemimpin negara?
The Star mensensasikan isu murtad

Isu masyarakat Islam yang memohon untuk meninggalkan agamanya atau murtad dalam negara ini adalah satu isu yang sangat sensitif dan kalau boleh tidak mahu disensasikan. Ini kerana ianya satu isu yang membawa malu dan aib kepada agama dan jika ditonjolkan secara keterlaluan ia bakal mengundang padah kerana isu agama adalah isu yang boleh mencetuskan ketegangan.

Saya kira masyarakat Islam di Malaysia adalah satu kelompok masyarakat yang paling toileran jika dibandigkan dengan masyarakt Islam dunia. Walaupun mereka menganut agama Islam namun mereka boleh hidup di bawah satu bumbung dengan masyarakat bukan Islam yang lain tanpa banyak karenah dan pertikaian. Perayaan dan upacara kepercayaan agama lain dihormati dan tidak diganggu atas sifat tolak-ansur dan muhibbah tadi.

Walaupun terhidu asap dari daging khinzir yang disalai dikhalayak ramai di Jalan Petaling atau bau colok dari kuil-kuil termasuklah yang dinyalakan di hadapan rumah (colok zaman moden ini sebesar pemeluk kadangkalanya) dan di pokok serta binaan tertentu atau jalanraya ditutup dan sesak kerana perarakan Thaipusam, mercun yang bingit dan mendesingkan telinga dan berbagai lagi, namun semuanya diterima kerana menghargai kehadiran dan sumbangan semua pihak ke arah pembinaan negara yang dikasihi.

Akan tetapi saya perhatikan sejak akhir-akhir ini ada beberapa pihak (saya tidak menuduh semua, tetapi segelintir pihak yang berkepentingan) sengaja mahu menjolok-jolok dan mencabar social equilibrium atau tahap ketenangan sosial ini kononnya atas nama hak asasi sedangkan ianya sebelum ini tidak pernah pun dijolok-jolok sedemikian rupa.

Pada hari Sabtu lalu 23 Febuari (keratan akhbar di bawah) akhbar The Star muka 10 dengan gambar warna membawa laporan dengan tajuk:

10 siblings want to be listed as Hindus in their MyKad
(10 adik beradik mahu disenaraikan sebagai beragama Hindu dalam MyKad mereka)




Konon-kononnya dengan bantuan ahli Parlimen DAP Bukit Mertajama, Chong Eng, seramai 10 adik-beradik yang disenaraikan sebagai beragama Islam dalam MyKad mereka mahu menukar status itu ke agama Hidnu kerana menurut mereka walaupun bapa mereka Ibrahim Noyah 67 beragama Islam namun mereka dibesarkan dalam mengamal gama Hindu.

Pada 16 Febuari mereka masing-masing telah mengemukakan pengakuan bersumpah di Mahkamah Majistret Seberang Perai Selatan mengaku bahawa mereka telah mengamalkan agama Hindu sejak lahir.

Mereka masing-masing telah berkahwin dengan penganut Hindu (tetapi tak seorang pun telah mendaftarkan perkahwinan mereka itu).

Dalam laporan akhbar itu dikatakan bahawa bapa mereka Ibrahim Noyah asalnya telah berkahwin dengan seorang wanita Islam , Sabariah, yang telah meninggal dunia pada tahun 1958. Selepas itu Ibrahim telah berkahwin dengan jirannya M.Nagamah (seorang Hindu) tanpa mendaftarkan perkhawinan itu. Ditulis dalam laporan akhbar itu:

He then married M.Nagamah but did not require her to convert
(Beliau kemuadian telah mengahwini M.Nagamah tetapi tidak mensyaratkannya menukar agama)

Laporan ini sungguh memilukan hati mana-mana penganut Islam kerana bagaimana seorang bapa yang beragam Islam boleh rela dan membenarkan kejadian ini. Dan dalam gambar yang disertakan dengan laporan The Star ini ditunjukkan dalam kumpulan adik-beradik itu hadir Ibrahim bersama (yang ketika itu tidak pula dilaporkan mengalami apa-apa kecacatan)

Tiba-tiba selang tiga hari iaitu pada 27 Febuari dimuka 14 akhbar yang sama dilaporkan:

Parents of Hindu sibblings want to stay as Muslims
(Ibu-bapa adik-beradik Hindu mahu kekal sebagai Muslim)


Menurut laporan ini pula kes murtad adik-beradik ini berubah apabila Ibrahim Noyah, bapa kepada adik-beradik tersebut yang buta penglihatan (pada laporan 24 Febuari tidak langsung dinyatakan yang Ibrahim ini buta) menyatakan bahawa:

He was still a Muslim and that his wife M.Nagamah had converted to Islam in 2005 and assumed the name Mariah Abdullah
(Beliau masih seorang Muslim dan isterinya M.Nagamah telah pun memeluk agama Islam pada tahun 2005 dan mengambil nama Mariah Abdullah)

Apa sudah jadi?

Akhbar yang sama yang mensensasikan isu murtad ini tiba-tiba mencanggahi laporan asalnya!

Dalam laporan awal dikatakan bahawa M.Nagamah tidak menukar agamanya, bermakna Ibrahim merelakan isterinya kekal sebagai seorang Hindu, tetapi rupanya M.Nagamah telah pun Islam 2 tahun lalu.

Perkembangan ini sungguh membimbangkan dan kita mengharapkan agar Jabatan Agama di Pulau Pinang segera mengambil tahu dan bertindak agar kes ini tidak dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.

Saya boleh percaya bahawa pada ketika laporan awal The Star itu terbit mungkin Ibrahim yang buta itu tidak pun sedar apa yang berlaku, cuma menurut sahaja. Jika tidak masakan kemudian dia mendakwa pula bahawa mahu kekal sebagai Islam dan isterinya juga telah Islam.

Kenapa semua pihak membisu dalam isu ini, siapakah yang bertanggungjawab memelihara dan mempertahankan maruah agama dalam hal ini. Kenapa The Star boleh diberi lesen mensensasikan isu murtad ini seolah-olah Malaysia kini begitu terbuka dan mengizinkan penganut Islamnya murtad tanpa apa-apa masalah.

Bangkitlah segera dari tidur anda sebelum Allah mencampakkan murka Nya kepada kita.
Rasi Yatim pertikai penemuan pakar

Sejak akhir-akhir ini Rais Yatim bagi saya lebih merupakan seorang penglipur lara lebih dari seorang intelek yang bertaraf menteri. Barangkali beliau benar-benar menjiwai porfolio kebudayaan, kesenian dan warisan yang dijawatnya.

Sedangkan beliau merupakan seorang intelek dengan Phd dalam bidang undang-undang, tetapi kenyataan dan reaksi beliau terhadap satu-satu isu kebelakangan ini sungguh lucu dan kadangkala dangkal tidak langsung mencerminkan ilmu dan statusnya.


Dr Kahidzir Ismail

Akhbar Utusan muka 7 hari ini membawa tajuk:

Rais persoal kaedah penyelidikan seks

Semalam kita semua dikejutkan dengan hasil kajian seorang Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja Dr Khaidzir Ismail dari UKM yang menyatakan bahawa dari 887 pelajar perempuan sekolah menengah yang bermasalah (20 dari setiap sekolah di Selangor) (bermakna lebih kurang 44 sekolah), 886 membuat pengakuan bahawa mereka pernah terlibat dalam kegiatan seks.

Hasil kajian ini sepatutnya memberikan amaran kepada semua pihak agar segera bertindak, suluh dan kenal-pasti kelemahan yang perlu diperbaiki kerana angka-angkanya sungguh parah dan membimbangkan lantas ia melibatkan murid di antara 13-18 tahun.

Tiba-tiba Rais berkata:

Agak pelik bagi saya apabila seramai itu yang disoal semuanya mengaku ya saya buat. Ini (menimbulkan) satu tanda tanya amat berat. Oleh itu bolehlah dikatakan saya mempersoal atau mempertikaikan kaedah penyelidikan itu.

Kita yang membaca laporan akhbar semalam dimaklumkan bahawa Dr Khaidzir hanya memilih pelajar-pelajar yang bermasalah dan jumlahnya 20 dari setiap sekolah. Dan mereka yang bermaslah ini dikategorikan sebagai pelajar yang kerap ponteng sekolah, melawan cakap dan sering melakukan salah laku lain serta berlatarbelakangkan keluarga bermasalah.

Mengapa Rais mempertikaikannya? Sudahkah Rais sendiri melihat hasil kajian ini? Malah saya kira permasalahn ini sebenarnya tidak pun berkaitand engan portfolio Rais sehingga mendesak beliau untuk membuat kenyataan, biarlah Hishamuddin, biarlah Sharizat atau Radzi yang membuat kenyataan, itu lebih relevan lagi berbanding beliau.

Beliau menambah:

Kalau orang yang membuat penyelidikan itu hanya mencari jawapan, anda sudah membuat hubungans eksual ke, kalau orang itu jawab belum, dia tak pakai orang itu, tapi akan mencari orang lain untuk menjawab ya. Ini satu hal yang kita kena tengok.

Saya kira Rais membuat satu pertuduhan yang amat tidak bertanggungjawab terhadap seorang pakar yang memang ahli dibidangnya.

Kalau beginilah rupa seorang menteri negara kita yang bakal menjadi sebuah negara maju dalam masa 13 tahun, maka wajarlah kita menimbang-nimbang untuksegera membuat perubahan.
Masih FEEL GOOD lagikah?

Apabila indek komposit Bursa Malaysia melonjak ke paras tertinggi atau ALL TIME HIGH sehari selepas cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, masing-masing pihak mendabik dada, menyatakan bahawa negara berada dalam suasana FEEL GOOD. Maknanya mewah dan sejahtera.

Tiada siapa yang mahu mengambil pusing bahawa hakikatnya kenaikan indek itu sebenarnya adalah merupakan lonajkkan REGIONAL atau serantau yang turut melibatkan negara-negara lain dirantau ini.

Masing-masing sudah mencongak-congak tarikh pilihnaraya umum dengan menyatakan bahwa inilah masa paling sesuaui untuk PM memanggil pilihnaraya kerana negara kononnya diselubungi mood FEEL GOOD tadi.



Dan tiba-tiba semalam, sebagaimana berada di dada akhbar kebanyakkan akhbar saluran perdana (kecuali Utusan) indek komposit Bursa Malaysia dilaporkan jatuh menjunam. Ianya jatuh 35.79 mata ataupun 2.81% dalam masa satu hari. Lalu akhbar THE STAR membawa tajuk:

Market Dip (Pasaran menjunam)
Regional sell-off on China fears

(Jualan serantau akbiat kebimbangan di Negara Cina)

Maknanya pasaran saham kita jatuh bukan kerana faktor tempatan tetapi kerana faktor luaran dan ianya sama sahaja dengan mana-mana negara serantau.

Bila naik, Malaysia sahaja yang hebat tetapi bila turun Malaysia turun kerana dunia turun, kagum sungguh kita.

Sementara itu kepada mereka yang terbayang-bayang mahu mengharapkan harga runcit petrol akan turun, bangkitlah dari mimpi anda,kerana semalam juga hara minyak mentah dunia mencecah ALL TIME HIGH 2007 iaitu USD61.51 setong!

Boleh ke panggil pilihanraya awal kalau begini keadaannya? (Dalam UTUSAN muka depan hari ini Ketua Penerangan Umno, Senator Muhhhamad Mohd Taib menyatakan: Sedia hadapi pilihanraya)

Tuesday, February 27, 2007

Rakyat Kelantan dah bertaubat kata Zam

Rhetoric adalah satu isitlah Inggeris yang boleh bermaksud PERSUASIVE SPEECH OR WRITING (kata-kata atau tulisan yang begitu mendesak) boleh juga bermaksud EMPTY TALK, INSINCERE OR EMPTY LANGUAGE (cakap kosong, tidak ikhlas atau tidak ada makna).

Saya tidak tahu tetapi mungkin ada boleh menilai kata-kata berikut yang diungkapkan oleh seorang Menteri di Kemaman semalam:

Rakyat Kelantan sudah serik berada di bawah pemerintahan PAS sejak 16 tahun lalu. Rakyat negeri itu mengaku mereka tidak mahu lagi mengundi PAS sebaliknya ingin kembali ke pangkuan jalan dengan menyokong BN pada pilihanraya umum akan datang.

Mereka kata taubat tak nak lagi PAS dan inilah pengakuan rakyat Kelantan sejak akhir-akhir ini.


Menteri berkenaan adalah Zainuddin Maidin. Beliau adalah ahli Parlimen Merbuk dan berasal dari Kuala Muda, Kedah, tiba-tiba beliau bersuara seolah-olah mewakili rakyat Kelantan. Siapakah rakyat Kelantan yang datang dalam mimpi Zainuddin itu?

Orang yang paling merbahaya dalam masyarakat adalah yang mengaku mewakili orang lain sedangkan beliau bukan dari kelompok atau golongan itu. Macam seorang kaki botol yang mahu bersyarah berkenaan agama atau seorang tahi judi yang mahu mendidik masyarakat bagaimana mahu menyimpan wang.

Mungkin keterlaluan bunyinya perumpamaan yang saya berikan kepada Zainuddin itu tetapi tak nampak apa lagi yang boleh saya cari.

Kata Zainuddin lagi:

Rakyat Kelantan tidak senang hati dengan perjuangan PAS yang tidak konsisten. Dulu segala bentuk hiburan dikatakan haram tetapi sekarang mengubahnya kepada halal.

Pernahkah kerajaan negeri mengharamkan SEGALA bentuk hiburan? Yang diharamkan itu adalah apa sahaja yang haram disisi Islam, yang bertentangan di sisi Islam. Yang sepatutnya hukum haram itu tidak hanya kena pada orang PAS dan rakyat Kelantan sahaja malah kalau Islam dah kata haram, maka haramlah juga sepatutnya buat Zainuddin juga!

Adakah hanya kerana itu maka taubat rakyat Kelantan tak mahu mengundi PAS lagi?

Saya rasa rakyat Kelantan yang dikurniakan Allah swt dengan ilmu yang lebih berbanding masyarakat lain tidak akan mudah terpedaya dengan cakap kosong Zainuddin ini malah saya yakin mereka tidak akan mudah mengorbankan Islam demi kepentingan individu seumpama Zainuddin.

Nasihat saya pada Zainuddin, jagalah Merbuk, jagalah negeri Kedah itu, takut-takut rakyat Kedah pula yang sebenarnya sudah bertaubat tidak mahu lagi berpayungkan kerajaan Umno/BN yang mungkar dan korap itu.
Anak-anak Selangor terus rebah dalam kemungkaran

Satu keputusan kajian yang dibuat oleh UKM diterima dengan begitu membimbangkan. Pakar Kanak-kanak dan Psikologi Remaja Dr Khaidzir Ismail telah membuat kajian terhadap anak-anak sekolah menengah yang bermasalah.

Seramai 887 murid perempuan sekolah menengah di sekitar Selangor telah diambil sebagai bahan kajian.


Dari 887 itu menurut Dr Khaidzir hanya 1 orang sahaja yang mengaku tidak pernah mengadakan hubungan seks! Ini bermakna 886 murid yang diambil secara rambang dari kalangan murid sekolah yang bermasalah iaitu yang berumur sekitar 13 ke 17 tahun telah ada pengalaman mengadakan hubungan seks secara haram.

Selian hubungan seks haram murid-murid ini turut mengakaui ada terlibat dalam kegiatan dadah, kongsi gelap, pornografi, vandalisma dan ponteng.

Mungkinkah sampling ini mencerminkan suasana remaja diseluruh negara?

Jika inilah keadaan remaja kita, saya kira masadepan negara begitu kelam dan gelap sekali. Jika pada umur belasan tahun anak-anak ini sudah terjerumus dalam aktiviti maksiat dan mungkar ini bayangkan apa akan berlaku sekiranya mereka meninggalkan bangku sekolah nanti.

Saya difahamkan kajian ini diminta dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor kerana kerajaan negeri berhasrat membentuk formula bagi menangani masalah ini, masalahnya apakah baru hari ini kerajaan negeri menyedari masalah ini?

Sesungguhnya masalah keruntuhan moral dan akhlak dikalangan remaja disekitar Lembah Kelang bukanlah sesuatu yang baru. MB Selangor sendiri di dalam bukunya Dasar Selangor Menuju Wawasan Syumul 2005 yang diterbitkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor (2001) ada menyebut di bawah tajuk Permasalah Sosial (muka 41):

Seramai 24% remaja 13-19 tahun pernah melakukan hubungan seks (1995)
Lebih 80% remaja 13-18 tahun telah mula bercumbu-cumbuan
Terdapat 202,233 kes remaja lari rumah 1990-1994

Nampaknya sejak tarikh buku di atas diterbitkan iaitu 2001 sehingga kini 2007, iaitu hampir 6 tahun kerajaan negeri kelihatan masih buntu dan gagal mengatasi masalah besar ini berdasarkan kajian terbaru Dr Khaidzir.

Jelas apabila kita membelakangkan kepentingan agama, apabila para pemimpin lebih asyik memberi kepentingan terhadap mengkayakan diri dan anak-beranak serta para kroni, ketika itu nasib dan kebajikan rakyat tidak diambil peduli, lalu jadilah rakyat rosak dan punah sedangkan para pembesar dan pemimpin kaya, senang dan mewah.

Di Selangor pada hari ini institusi Masjid dan Surau sudah bukan lagi beroperasi sebagai pusat dakwah dan gerakan Islam tetapi pusat yang dikuasai oleh pemimpin Umno untuk meneruskan agenda politik mereka. Sekolah-sekolah Agama Rakyat dipinggirkan, pusat-pusat masiat dan aktiviti mungkar bercambah-cambah dan ada diantaranya dilesen dan disokong pula oleh pihak kerajaan negeri. Lalu bagaimanakah kita mahu mengatasi masalah yang semakin meruncing dan bakal meruntuhkan peradaban bangsa dan agam kita?

Sama-samalah kita tunggu MB Negeri Maju ini mengemukakan formulanya untuk menyelesaikan maslah ini.
Ezam dedahkan kecurangan Ketua Pengarah BPR

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi atau GERAK Sdr Mohamad Ezam Mohd Nor, semalam menuntut agar pihak kerajaan segera bertindak menyiasat Ketua Pengarah BPR Dato Seri Zulkifly Mat Noor yang dikatakan telah dituduh melakukan beberapa kes berat termasuklah penyalah-gunaan kuasa dan rasuah.



Ini berdasarkan sepucuk surat yang ditulis oleh seorang bekas Pegawai Kanan BPR kepada Ketua Polsi Negara pada 4 Julai 2006 lalu dengan salinan diberikan kepada YAB PM.

Menurut Ezam kandungan surat ini begitu serius dan mencabar kewibawaan BPR sendiri yang merupakan agensi yang diharapkan menangani dan membenteras rasuah dalam negara.
Ikuti Sidang Akhbar Sdr Ezam di http://wtv8.tv



WTV8 Saluran Alternatif Anda

Monday, February 26, 2007

Sifar peruntukkan untuk pelancongan di Kelantan

Dewan Undangan Negeri Kelantan sedang bersidang di Kota Bharu bagi tempoh penggal ke empat Dewan Undangan Negeri ke 11.

Siang tadi saya tertarik ketika dalam sessi soal jawab apabila anggota EXCO Pelancongan Negeri, Datuk Annuar Tan menjelaskan bahawa kerajaan Pusat tidak memperuntukkan satu sen pun kepada kerajaan negeri Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 ini.



Sebaliknya kerajaan negeri terpaksa mengambil inisiatif sendiri memperuntukkan RM1.5 juta untuk kerja-kerja membaik-pulih pusat-pusat dan destinasi pelancongan seluruh negeri tersebut.

Inilah pengalaman di Kelantan sejak PAS diberikan mandat secara sah oleh rakyat untuk memerintah negeri tersebut sejak tahun 1990. Kelantan walaupun menganggotai Persekutuan Malaysia namun sistem Federalisma itu seolah menganak-tirikan rakyat Kelantan dan menghukum mereka semata-mata kerana memilih parti yang bukan merupakan komponan BN.
Bolehlah barangkali disamakan dengan pengalaman rakyat Kelantan ini dengan pengalaman rakyat Palestin apabila memilih HAMAS dan menolak Fatah lalu satu dunia termasuk AS dan Israel mengkambing-hitam mereka.

Dewan dimaklumakn bahawa kerajaan Pusat memang ada meluluskan sejumlah RM32 juta untuk membangunkan pelancongan di Kelantan akan tetapi ianya tidak disalurkan kepada kerajaan negeri sebaliknya ke Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan yang ditubuhkan oleh kerajaan Pusat. Menurut Annuar Tan peruntukkan itu kelak difahami akan disalurkan melalui pimpinan, ahli-ahli YB Umno Kelantan!

Cuma yang menghairankan menurut Annuar lagi bagaimana pimpinan Umno Kelenatan mahu memajukan pusat-pusat dan destinasi pelancongan ini sedangkan kesemua tempat ini terletak di atas tanah milik kerajaan negeri.

Kemanalah mereka mahu junjung dan heret wang sebanyak RM32 juta itu yang dimaksudkan untuk tujuan pelancongan melainkan kata Annuar lagi untuk mereka menganjurkan konsert hiburan di sekolah-sekolah yang di bawah pentadbiran kerajaan Pusat.

Tindakan kerajaan Pusat ini jelas mencerminkan ketidak-ikhlasan mereka dalam membela dan memajukan rakyat dan negeri Kelantan. Sampai bilakah Umno mahu mengamalkan dasar diskriminasi seumpamam ini sesama anak bangsa? Kita duka dan merintih melihat kesengsaraan anak bumi Palestin kerana disekat dan dikekang oleh pelbagai pihak, rupanya di negara kita pun perangai dan sikap Yahudi ini menular dari kalangan sesama anak bangsa!
Kayveas tuntut kerusi Samy dan Keng Yaik

PPP atau Peoples Progressive Party satu ketika dahulu merupakan parti pembangkang yang kuat yang bertapak di negeri Perak. Nama Seenivasagam Brothers iaitu DP dan SP Seenivasagam, kedua-duanya peguam sungguh sinonim pada parti ini.

Pada PRU 1 tahun 1959 parti ini memenangi 4 kerusi parlimen dan 8 kerusi DUN, dan menambah satu lagi kerusi Parlimen dalam PR Kecil tahun 1960. Ketika itu juga PPP menguasai Majlis Perbandaran Ipoh dengan berjaya menjadikan majlis tersebut suatu majlis contoh yang telah ditadbir dengan begitu telus dan baik.

Pada PRU 2 tahun 1964 parti ini memenangi 4 kerusi parlimen dan 6 DUN.

Seenivasagam Brothers itu sungguh aktif dan menyengat di Dewan Rakyat.


Dan pada tahun 1969 Presiden parti DR Seenivasagam telah meninggal dunia lalu kepimpinan parti diambil-alih oleh adiknya SP yang telah berjaya membawa parti itu untuk memenangi 4 kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN di Perak iaitu kurang 2 untuk membentuk kerajaan negeri.

Kemudiannya sebagaimana yang kita tahu negara berhadapan dengan konflik kaum sehingga tercetusnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969. Lalu atas inisiatif Allahyarham Tun Abd Razak, parti-parti pembangkang termasuklah PPP, Gerakan dan PAS telah didekati untuk membina sebuah kerajaan campuran yang mencerminkan perpaduan rakyat di negara ini.

PPP sebagaimana PAS dan Gerakan telah bersetuju menyertai apa yang dikenali sebagai Barisan Nasional. Pada tahun 1974 PPP bertanding atas simbol dacing dan hanya memenangi 1 kerusi parlimen dan 2 DUN.

Kemudiannya pada tahun 1975 Presidennya SP Seenivasagam meninggal dunia dan dari situ prestasi PPP terus merosot malah dilanda satu demi satu kisis dalaman sehinggalah akhirnya PPP kehilangan semua kerusinya.

Jelas setelah menyertai kerajaan BN, PPP hilang bisanya mungkin kerana sudah disogok dengan kemewahan dan kesenangan. Suara PPP digerhanai oleh suara lantang Umno, MIC, MCA dan Gerakan dalam BN. Akhirnya jadilah PPP sebuah parti nyamuk yang tidak significant sebenarnya untuk BN.

Pada PRU lalu Presidennya kini M Kayveas memenangi kerusi parlimen Taipin dan kini menjadi wakil tunggal PPP di Dewan Rakyat.

Dalam akhbar hari ini Kayveas kelihatan mahukan kembali status quoa partinya sebelum menyertai BN dahulu. Kayveas dilaporkan menuntut 4 kerusi parlimen dan 12 DUN sebagaimana yang dimiliki oleh partinya satu ketika dahulu.

4 kerusi parlimen itu sebagaimana dilaporkan oleh Utusan adalah Sg Siput, Beruas, Ipoh Barat dan Gopeng. Kayveas dilaporkan sebagai berkata:

BN sebuah parti yang adil. Jadi saya mahu agar keadilan itu diteruskan dengan mengembalikan kerusi tersebut kepada PPP.

Menurut Kayveas lagi partinya kini semakin kuat dan memiliki keahlians seramai setengah juta orang.

Saya tidak pasti apakah reaksi pemimpin-pemimpin BN terhadap tuntutan Kayveas ini, tambahan pula kerusi-kerusi Sg Siput dan Bruas merupakan kerusi milik Presiden dua buah parti komponan BN yang lebih dominan dari PPP iaitu milik Samy Vellu dan Dr Lim Kheng Yaik (Presiden Gerakan).

Nampaknya proses tawar-menawar dan tuntut-menuntut dalam BN sudah bermula. Kalau dilayan tuntutan Kayveas ini maka akan kuranglah kerusi parti-parti komponan yang lain. MIC dan Gerakan sudah pasti tidak akan melepaskan kerusi miliki Presiden mereka masing-masing.

Apa agaknya reaksi Pengerusi BN?

Sunday, February 25, 2007

Islam terus dihina oleh Wong Chun Wai
Apa tindakan anda?

Timbalan Ketua Pengarang akhbar THE STAR Wong Chun Wai nampaknya semakin ghairah dan bernafsu melancarkan serangannya terhadap Islam dan PAS.

Di dalam ruangan ON THE BEAT hari Ahadnya Wong menulis di bawah tajuk:

Still not so sporting

Satu ruangan digunakan oleh Wong untuk mengulas kejohonan sukan wanita atau Nisa Games 2007 yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. Tulisannya penuh dengan kerja-kerja yang layak bagi seorang SPIN DOCTOR iaitu memutar-belitkan fakta demi kepentingan agenda jahat beliau.

Wong menulis:

Male spectators were banned, including male members of the press. It made no difference if daddy wanted to cheer his daughter; he would have had to shout from outside the stadium.

The only exception was Mentri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, who was present at the opening ceremony.

Kata Wong kejohanan ini tidak membenarkan penonoton lelaki termasuklah pemberita lelaki. Setakat itu kenyataannya benar tetapi beliau menokok dengan jahat bahawa Tuan Guru MB Kelantan diberi pengecualian, kerana beliau hadir dalam majlis perasmian. Dan tidak cukup dengan itu Wong memasukkan jarumnya:

Being the states top politician does have its privileges. The gender-segregation rule applied to everyone else.

(Menjadi pimpinan politik tertinggi di peringkat negeri ada keistimewaannya kerana peraturan pemisahan antara lelaki dan wanita tidak terkena atas mereka)

Memang semasa peringkat kejohonan sukan ini hanya dikhaskan untuk golongan wanita, tetapi tidak semasa upacara perasmian, kerana ianya bukan sebahagian dari aturcara pertandingan. Untuk mengatakan THE ONLY EXCEPTION WAS MENTERI BESAR DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT adalah suatu pembohongan dan fitnah yang sangat tidak bertanggungjawab dari seorang Timbalan Ketua Pengarang sebuah akhbar saluran perdana negara.

Wong dengan berani bermain dengan api apabila cuba mengeksploitasi pula isu pemakaian tudung dengan menulis:

The thrust of the event was to showcase the need to wear the tudung (headscarf), as the leadership emphasised in the party newsletter Harakah

(Matlamat utama majlis tersebut adalah untuk menekankan kepentingan pemakaian tudung, sebagaimana ditekankan oleh pimpinan (mereka) dalam Harakah)
Gambar sebahagian dari kaum lelaki yang hadir di Majlis Perasmian
NISA GAMES 2007 yang Wong Chun Wai tuduh sebagai majlis yang
hanya dibenarkan untuk Tuan Guru MB Kelantan seorang sahaja

Menutup aurat bagi wanita Islam yang beriman, bukanlah perkara baru yang diperkenalkan oleh PAS, ianya merupakan satu hukum qatie yang telah jelas termaktub di dalam al Quran dan as Sunnah. Soal terdapatnya wanita Islam di Malaysia yang enggan melaksanakan hukum ini (termasuklah menteri-menteri Umno dan isteri-isteri pimpinan Umno) atas apa sebab sekalipun tidak sekali-kali mematikan kekuatan hukum ini yang akan terus kekal sehingga Kiamat.

Dan untuk menutup hujah biadapnya berkenaan tudung ini Wong mengeluarkan komen yang dikira sangat menghina Islam (yang saya kira lebih parah dari kenyataan Pope Benedict berkenaan Nabi Muhammad saw) apabila beliau menulis:

The strangest, if not the most hypocritical, reason given by PAS was to protect the dignity of women.

(Yang paling pelik dan hipokrit, adalah alasan yang diberikan PAS (bahawa pemakaian tudung ini) adalah untuk melindungi kehormatan kaum wanita)

Islam yang berhujah bahawa pemakian menutup aurat ini melindungi kehormatan kaum wanita, ianya bukan sesuatu yang baru yang dicipta oleh PAS. Wong boleh bertanya kepada Dr Mashitah atau Ketua Trafik Bukit Aman atau Ke Bawah DYMM SPB Raja Permaisuri Agong, apakah yang menggerakkan mereka untuk mengenakan tudung dikhalayak ramai! Adakah kerana fesyen atau suka-suka.

Kemudian Wong terus melancarkan serangannya dan kini menyerang langsung PAS tanpa ia sedari bahawa serangannya itu boleh digunakan juga terhadap kerajaan Islam Hadhari Terengganu Bestari yang dipimpin oleh Umno

The decision by PAS to field two women candidates in the 2004 general election appeared to be a reluctant one. Even when a woman candidate won a seat, she wasnt good enough to head the state committee for women development.

(Keputusan PAS untuk meletakkan dua orang calon wanita dalam PRU 2004 kelihatan dibuat dalam ekadaan tidak bersungguh. Malah apabila calon wanitanya menang satu kerusi, beliau tidak dikira layak untuk mengetuai (EXCO) Jawatankuasa Pembangunan Wanita)

Jelas Wong cuba melepaskan bisanya terhadap PAS setelah menyerang Islam dalam bab menutup aurat dan bertudung lalu beliau akhiri dengan hujah di atas. Wong buta atau memang seorang SPIN DOCTOR ynag pakar, kerana beliau menutup maklumat bahwa di negeri jiran iaitu Terengganu, yang diterajui Umno tidak ada langsung seorang pun wakil rakyat samada di peringkat Parlimen atau DUN dari kalangan golongan wanita.

Bolehkah kita berhujah bahawa Terengganu lebih anti wanita dari Kelantan?

Malah bagi si Wong yang buta dan cuba pula membutakan orang lain ini, sekurang-kurangnya Timbalan EXCO Wanita Kelantan adalah seorang wanita bertaraf wakil rakyat, di Terengganu?

Siapakah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita Negeri Terengganu? Haji Wan Mohd bin Wan Hassan ini perempuan ke?

Kesimpulannya sebagaimana dalam artikel saya sebelum ini terbukti Wong ini menggunakan keduduakannya dalam akhbar saluran perdana ini untuk menyerang dan memburuk-berukkan Islam. Serangannya kali ini saya anggap sudah sampai ketahap yang paling melampau dan perlu ditegur oleh semua pihak, bukan hanya PAS malah seluruh umat Islam yang sedar dan prihatin.
Satu minggu yang lepas kita meraikan sambutan Tahun Baru Cina, tetapi Wong tidak langsung menggunakan ruangannya untuk mengulas isu sambutan tersebut yang sepatutnya lebih dekat pada beliau tetapi memilih untuk menyerang dan menghina Islam, kerana apa? Kerana selama ini banyak pihak termasuklah yang terbaru, Perdana Menteri sendiri seolah menerima dan meraikan pandangan beliau.

Saturday, February 24, 2007

Raja yang tunduk kepada perintah Raja sekalian manusia

Benarlah firman Allah swt yang bermaksud:


Diangkat oleh Allah orang-orang yang berilmu daripada kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa tingkat. (al Mujadallah:11)

Ternyata Tengku Puan Pahang, anakanda kepada Tuanku Sultan Johor tergolong dikalangan mereka yang telah diberi ilmu dan mengamalkan ilmu itu.

Saya sendiri telah beberapa minggu mendengar perkhabarannya namun tidak berkesempatan untuk melihatnya sebagai bukti. Alhamdulillah semalam sebuah akhbar tempatan menyiarkannya, wajah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.




Berapa ramai yang diberikan kekayaan dan kekuasaan namun ingkar dan menolak perintah Allah swt. Berapa ramai lagi yang tahu dan sedar namun mengenepikan tuntutan agama dengan pelbagai alasan dan dalih. Tengku Puan Pahang sebagaimana Raja Permaisuri Agong (kini) telah memilih sebaliknya, walaupun dikurnia Allah kedudukan, kekayaan dan kekuasaan namun tidak sekali-kali sanggup berlagak sombong dan sebaliknya akur dan tunduk pada kemahuan Nya.

Inilah pemimpin yang seharusnya menjadi contoh kepada rakyat jelata!

Katakanlah ( wahai Muhammad ) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan ( terhadap perempuan ) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan ( an Nur: 31 )

Friday, February 23, 2007

Freedom of expression yang melampau

Sahabat saya Affandi Mohd Isa, pemilik Blog : Aku Betul di http://www.akubetul.blogspot.com/
meminta saya memanjangkan isu Blogger Mesir bernama Abdeel Kareem Nabil yang dipenjarakan baru-baru ini oleh kerajaan Mesir selama 4 tahun kerana menghina Islam dan Presiden Republik itu.

Tindakan memenjarakan Nabil ini dilihat oleh para aktivis hak asasi Barat sebagai suatu tindakan zalim dan mengekang kebebsan bersuara. Lalu Dood (Affandi) menulis dalam Blognya:

Dia kutuk umat Islam, Nabi Muhammad and University Al-Azhar, and people turn him into Freedom of Speech here, and nothing we can do about it.

Dia bodoh? Mereka bodoh? Or kita yang bodoh?

Dood telah memberikan petikan dari Blog Nabil yang antara lain berbunyi:

Muslims revealed their true ugly face and appeared to all the world that they are full of brutality, barbarism and inhumanity- His comments regarding riot all around the world resulting from comical picture of Prophet Muhammad.

In a later essay not cited by the court, Nabil clarified his comments, saying Muhammad was GREAT but that his teachings on warfare and other issues should be viewed as a product of their times. -
WashingtonPost

He called Al-Azhar the: other face of the coin of al-Qaida and called for the university to be dissolved or turned into a secular institution -
WashingtonPost

Saya bersetuju dengan Dood kebebasan bersuara itu tidak bermakna bebas mengkritik dan mepersenda agama dan anutan orang lain termasuklah agama sendiri. Sebagaimana Pope Benedict pernah satu ketika dahulu menghina Rasulullah, maka apa bezanya Nabil dalam hal ini.

Sudah pastilah puak Barat dan ultra liberal yang bangun membela Nabil ini sesungguhnya lebih layak hidup dalam dunia mereka sendiri sebagaimana yang pernah dibayangkan oleh Guru mereka, John Lennon (dalam lagunya: Imagine):

Imagine theres no countries,it isnt hard to do,nothing to kill or die for,and no religion too.

Bolehlah mereka yang dari Malaysia yang tidak kurang ramainya juga itu turut ke dunia baru itu dan bersultan kan Lennon yang menunggu mereka di sana.
Sensasi diharamkan, tahniah SKMM

Berita dari mStar Online:

SENSASI TV3 diharamkan akibat ucapan Rosnah
23-02-2007 05:42:45 PM
Oleh SALHAN K. AHMAD

PETALING JAYA: Siaran langsung rancangan hiburan SENSASI TV3 ditarik balik serta-merta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) susulan kontroversi ucapan artis Rosnah Mat Aris yang disifatkan mengguris perasaan umat Islam.

Dalam siasatannya, suruhanjaya itu mendapati slot itu pada 30 Jan lalu: tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk kelulusan siaran langsung dan tertunda seperti mana dalam Syarat 3.1 & 5.5 (i) dan stesen TV swasta itu didapati gagal mengambil langkah menyunting atau mengawal kandungan yang tidak sesuai.

Dengan ini pihak TV3 telah diminta untuk menghentikan siaran langsung rancangan tersebut dengan segera, kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua komunikasi korporatnya Adelina Iskandar berkata keseluruhan program SENSASI seharusnya menyumbang kepada aspirasi nasional dan tidak menyinggung sensitiviti serta nilai-nilai murni masyarakat.

Syabas diucapkan kepada SKMM yang menterinya adalah Dr Lim Kheng Yaik. Tetapi kenapa Kementerian Dalam Negeri atau JAKIM tidak turut bersuara?

Apa pun syabas kepada semua pihak yang telah membawa kehadapan isu ini sehingga akhirnya ia ditangani sebegini rupa. Rosnah yang walaupun diberitakan telah memohon maaf secara terbuka diharapkan akan insaf dan bertaubat.

Siapa pun yang tua akhirnya akan mampus (maaf, ini ayat beliau) termasuklah anda sendiri, bertaubatlah sebelum terlambat.
Ustaz Wong pakar rujuk Islam Hadhari

Saya memang menjangkakan yang Pak Lah akan akur pada desakkan Wong Chun Wai (Timbalan Ketua Pengarang The Star) tetapi saya tidaklah terfikir yang juara Islam Hadhari akan begitu mudah mengalah tanpa memikirkan sensitivity umat Islam.



Jelas Wong berjaya membuktikan pada dunia bahawa dengan memperalatkan pendekatan liberal Islam Hadhari ciptaan Pak Lah belia mampu mempengaruhi isu-isu berkenaan Islam bagi menyesuaikannya dengan selera dan kemahuan beliau.

Saya perhatikan akhbar beliau bersungguh-sungguh memaparkan di muka depan keputusan Pak Lah ini dengan tajuk:

Stop snooping
PM: Concentrate on tackling urgent issues facing Muslims

(Akhbar Utusan tak pula memparkannya sebagai tajuk?)

Kata Pak Lah kita boleh ambil tindakan keatas mereka yang melakukan maksiat di khalayak ramai tetapi tidak perlu mengintip kerana ianya menganggu hak individu (peoples right to privacy).

Isu dihadapan kita adalah masalah maksiat yang semakin berleluasa di negeri Terengganu yang megah dengan slogan: Islam Hadhari Terengganu Bestari, itu. Lalu apa yang mahu ditangani ini adalah insiden dan kes-kes maksiat ini.

Kalau satu pasangan yang bukan mahram berada dalam sebuah unit apartmen, tanpa orang ketiga, kita tahu, bermakna dengan pengumuman terbaru ini, kita diamkanlah sahaja walaupun unit apartmen itu disebelah unit apartmen kita. Tindakan mereka berdua itu haram, namun lantaran kenyataan Pak Lah mereka mempunyai RIGHT TO PRIVACY maka jangan ganggu dan jangan intip!

Mengapa Pak Lah tidak kemukakan cadangan baru bagi mengatasi masalah maksiat yang dihadapi negeri Terengganu itu? Menurut The Star (yang begitu pemurah memberikan ruang panjang lebar kepada ulasan Pak Lah ini , sedangkan Utusan di muka 2 bawah tajuk lain Cuma menyelitkan 3 perenggan kecil) Pak Lah berkata:

Instead of devoting too much time and effort trying to police the morals of Muslims, state religious departments were better off concentrating on programmers that could strengthen the Islamic values and morals of the community.


(Daripada menumpukan terlalu banyak masa mengawal dan menjaga moral masyarakat Islam, lebih baik jabatan agama negeri-negeri menumpukan masa pada program-program yang dapat mengukuhkan moral dan nilai Islam masyarakat).

Saya tak pasti adakah Islam Hadhari telah menggugurkan kerja-kerja nahi mungkar dan Cuma berpegang kepada amar makruf sahaja?

Benarlah program mengukuhkan moral dan pegangan Islam masyarakat Muslim itu penting, walaubagaimanapun pada waktu yang sama kita tidak boleh TUTUP SEBELAH MATA (satu istilah yang sangat FAMILIAR) pada mereka yang sudah menyasar keluar dan bergelumang dengan aktiviti dan kerja-kerja maksiat. Malahan berleluasanya aktiviti mungkar itu sendiri sebenarnya bukti kegagalan kerja-kerja Islam kita.

Semoga perkembangan ini membuka mata umat Islam tentang betapa kita sedang hanyut dan dihnayutkan oleh Islam versi baru yang disumbangkan oleh pemimpin yang lemah dan masyarakat umat Islam yang memiliki agenda jahat terhadap kita.

Thursday, February 22, 2007

Gembira dalam tangisan

Saya kagum apabila PM kita memaklumkan bahawa jumlah dagangan negara telah mencecah angka tertinggi dalam rekod iaitu RM1trillion. Ini walaupun ada pihak mengatakan kalau kita ambil jumlah nilai ekspot dan impot dan diselisihkan iaitu RM588.949billion (nilai ekspot) ditolakkan RM480.493billion (nilai impot), kita cuma memperolehi nilai tambah sebanyak RM108.456 billion.

Begitu juga saya kagum apabila PM kita menyatakan dengan megah bahawa bursa saham kita telah mencecah RECORD HIGH, yang membuktikan kestabilan ekonomi negara di bawah kepimpinan beliau. Semalam sahaja sehari selepas cuti Tahun Baru Cina Indek Komposit Bursa Malaysia mencecah 1,278 mata iaitu angka tertinggi dalam 13 tahun!



Ini walaupun para penganalisa menunjukkan bahawa lonjakkan ini bukan hanya eksklusif di Malaysia tetapi hakikatnya berlaku serentak di rantau ini. ST index Singapura juga cecah ALL TIME HIGH, Hong Kong , Jakarta, Bangkok dan malah New York juga ditutup tinggi manakala Manila STEADY dan Tokyo MIXED. Mungkin kestabilan ekonomi Malaysia di bawah Pak Lah melimpah sehingga ke pantai New York, Tokyo dan membanjiri Singapura!



Sesungguhnya kita berhak kagum dan bangga kerana itulah angka yang ditonjolkan oleh para pimpinan kita. Kita sebagai rakyat Malaysia menumpang gembira kerana tanahair ini milik kita bersama tidak kira bangsa, agama atau fahaman politik.

Cuma apabila menelaah akhbar THES SUN pagi ini saya mula skeptik, perasaan kagum dan bangga saya tadi mula menggelungsur dan luruh. Ianya berpunca dari kenyataan Persatuan Automotif Malaysia atau MAA. Menurut angka rasmi yang dikeluarkan oleh badan ini jumlah jualan kenderaan bagi bulan Januari 2007 telah jatuh 15% iaitu dari 41,207 unit kenderaan yang dijual pada bulan yang sama tahun lepas, Januari 2007 hanya mencatat 35,047 unit.

Menurut badan itu lagi bagi bulan Febuari juga angka ini dijangka terus merosot!

Yang teruk menyumbang ke arah kejatuhan angka ini adalah merosotnya jumlah kenderaan perdagangan yang dijual, iaitu merosot sebanyak 75.25% dari 12,368 ke hanya 3,060. Walaupun jumlah angka kenderaan persendirian menokok 10.91% namun kejatuhan besar angka kenderaan perdagangan ini telah mengakibatkan prestasi keseluruhan merudum jatuh.

Dari jumlah kenderaan persendirian pula, jumlah kenderaan nasional yang dibeli sebenarnya merosot 11.13% iaitu dari 21,5050 unit bulan yang sama tahun lepas ke 19,110 unit.

Dan dari kenyataan itu, yang sungguh membimbangkan adalah apbila MAA menyatakan rasional kejatuhan ini adalah kerana:

Lack of consumer confidence
Kurangnya keyakinan para pengguna

Banyak hujah, banyak ulasan boleh diberikan dari angka MAA yang saya pasti PM dan pimpinan negara agak kurang berminat untuk sentuh. Tetapi yang jelasnya para pengguna iaitu kita semua hakikatnya tidak merasakan secara langsung nikmat dagangan RM1 trillion dan lonjakkan Bursa Malaysia yang RECORD HIGH itu (kecuali segelintir yang memang kaki saham).

Kita berbangga, kita kagum tetapi rupanya ia tidak sedikit pun membantu kebuntuan rumah tangga kita yang tertekan menghadapi kenaikan kos hidup yang tidak kunjung reda itu. Apa kata anda?

Wednesday, February 21, 2007

Bukan Mat Rempit tapi Dajal Rempit

Ia bermula dengan cadangan dalam ruangan Forum akhbar UTUSAN MALAYSIA, apabila seorang pembaca mencadangkan agar istilah MAT yang digunakan terhadap pelaku jenayah dan antisosial sesungguhnya merupakan satu pencemaran bahasa dan perlu dihentikan.

Lalu hari ini akhbar yang sama menyiarkan pandangan seorang Menteri dan seorang tokoh budaya.

Menuru Menteri Kebudayaan Rais Yatim, gelaran yang lebih cocok untuk Mat Rempit adalah PENYANGAK REMPIT atau DAJAL REMPIT bagi mencerminkan sifat buruk mereka.


Manakala Prof Dr Siti Zainun Ismail pula berkata istilah Mat Rempit itu perlu ditukar ke DAJAL REMPIT atau JAHAL REMPIT. Kata beliau gelaran MAT bagi pelaku jenyaha dan antisosial tidak praktikal dengan singkatan asalnya yang bermaksud MUHAMMAD.

Demikian prihatin sekali tokoh politik dan pakar biudaya dan bahasa ini berkenaan si Mat Rempit yang pelesit itu.

Penyangkak, dajal atau jahal, apa pun Mat Rempit merupakan pelesit sosial yang mendatangkan bahaya kepada masyarakat. Mereka terlibat dalam lumba haram sehingga membahayakan pengguna jalanraya yang lain, mereka menyerang polis dan orang awam, ada diantara mereka yang terlibat dengan jenayah pembunuhan, merompak dan seumpamanya.

Hapuskan budaya buruk ini dikalangan anak-anak kita. Mereka perlu dididik bahawa aksi si Mat Rempit adalah bahaya dan buruk lantas perlu dijauhi.

Masalahnya ada yang mahu jadi juara kepada Mat Rempit, mahu memeluk mereka dan menjadikan mereka sebagai sebahagian dari anggotanya. Akibatnya anak-anak kita merasakan seolah mereka diiktiraf, diberi lesen besar lalu semakin parahlah budaya jahanam ini.

Menangani bahana ini perlukan tindakan serentak dan menyeluruh semua pihak. Jangan ada yang membenteras tetapi dalam waktu yangs sama adapula yang menjulang dan mengilap mereka, lalu jadilah kita masyarakat yang songsang dan tak tentu arah. Terimalah hakikat bahawa perkara ini serius dan perlu dibenteras jika tidak panggillah penyangak, dajal atau jahal, penyakitnya akan terus berlarutan tanpa berkesudahan.
Kelonggaran kita terus mengundang bencana

Dua kejadian di Terengganu telah menarik perhatian Timbalan Ketua Pengarang akhbar THE STAR Wong Chun Wai untuk ditonjolkan dalam ruangan COMMENT nya dalam akhbar berkenaan hari ini. Beliau mengulas kejadian tersebut di bawah tajuk:

The jokes now on Malaysia


Pertama adalah kenyataan Dato Abu Hassan Din dalam satu majlis forum berkenaan penggunaan cawat besi oleh kaum wanita bagi megelakkan mereka menjadi mangsa jenayah rogol ynag semakin berleluasa menurut beliau.

Untuk makluman majlis forum Maal Hijrah itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu di Markas Pengajian Islam (Marpa) di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu. Selain Dato Abu Hassan ahli-ahli panelnya yang lain adalah penceramah terkenal, Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail dan dipengerusikan oleh Kamaruddin Omar. Turut hadir adalah Exco Kerajaan Negeri, Rosol Wahid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Mohd. Zawawi Ismail dan ADUN Telemong, Rozi Mamat.

Kata Wong walaupun Dato Abu Hassan menjelaskan sehari kemudian yang kenyataannya itu sebagai satu bahan jenaka tetapi ianya telah mengakibatkan negara kita turut ditertawakan dan Wong menganggap Dato Abu Hassan sebagai memiliki penyakit:

foot in the mouth disease

Kemudian Wong turut mengulas isu Mat Skodeng yang akan dilatih dan dibentuk oleh Jabatan Agama Negeri Terengganu yang akan memantau pasangan-pasangan yang belum berkhawin yang melakukan maksiat dalam negeri tersebut.

Kenyataan penubuhan unit ini diumumkan oleh Rosol Wahid yang merupakan EXCO Kebajikan dan Islam Hadhari Terengganu.

Kata Wong:

Surely, politicians and government servants have more urgent matters to handle.

Apa yang saya perhatikan dalam ulasan Wong ini adalah pertama, beiau bebas dan berani menulis berkenaan isu yang membabitkan umat Islam. Cadangan cawat besi Dato Abu Hassan ini saya akui satu cadangan yang melampau dan dangkal (walaupun beliau mengatakan ia jenaka, saya kira ia satu yang sensitif dan tak septutnya dijadikan bahan lawak), namun saya kira pihak yang berhak menegur atau memperbetulkan beliau bukannya Wong atau masyarakat bukan Islam tetapi dikalangan pimpinan dan masyarakat Islam sendiri.

Menggunakan istilah FOOT IN MOUTH DISESASE kepada seorang ulamak Islam saya kira satu penghinaan yang biadap dan tidak wajar dikeluarkan oleh seorang non Muslim sebagaimana saya percaya jika ada kenyataan mana-mana paderi atau sami yang melampau, yang berhak menegur mereka adalah dari kalangan mereka juga.

Malaysia mengamalkan kebebsan bersuara, namun lantaran kepelbagaian agama dan kaum dalam negara ini sudah sewajarnyalah masing-masing kaum dan penganut memelihara sensitiviti yang ada dan tidak bertindak melampaui batas toleransi sehingga menyinggung dan menghina agama yang lain.

Dalam kes Mat Skodeng tadi Wong cuba melaga-lagakan antara pimpinan Islam yang berbeza anutan politik bagi memaksa mereka memilih jalan meliberal Islam untuk kepentingan beliau. Sedangkan isu pencegahan kemungkaran dalam Islam adalah isu hukum yang sama dan kena rata atas semua penganut Islam tidak kira PAS atau Umno.
Katanya:

There cant be that many sex offenders and the state is no longer run by PAS ulama, right? And surely this is not what the Prime Minister has in mind when he talks about Islam Hadhari. Terengganu Mentri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, a moderate leader, is also not in the mould of Datuk Seri Hadi Awang, the former firebrand PAS mentri besar.

Pimpinan BN Terengganu baru-baru ini mengakui kes maksiat semakin berleluasa di negeri tersebut. Dan pendekatan Mat Skodeng ini barangkali menurut kerajaan negeri adalah penyelesaian yang terbaik. Dan sekali lagi ini isu melibatkan maruah dan harga diri agama Islam dan penganutnya. Mengapa Wong begitu berminat untuk mencampuri urusan ini sedangkan sebarang penguatkuasaan agama dalam negara kita tidak kena dan menyangkut mana-mana masyarakat bukan Islam.

Wong turut menulis:

Its not the kind of news one would expect from Malaysia. Maybe Afghanistan, when the Talibans governed it.

Kenapa kerja-kerja nahi mungkar dalam negara ini dipandang seolah mahu melahirkan negara Taliban di Malaysia oleh penulis ini? Mengapa Islam mahu dimomok-momokkan sedemikian rupa?

Kesimpulannya bagi saya Islam sudah berani dipermainkan, dipulas-pulas dan disepak-sepak oleh mereka seumpama Wong ini lantaran pemimpin dan masyarakat Islam sendiri sudah mula longgar dan tidak ambil pusing terhadap Islam yang sebenar. Islam cuma alat untuk menang undi, alat untuk diguna bila perlu, namun apabila tidak, maka jadilah apa pun pada Islam, mereka tidak ambil peduli, asalkan mereka terus berkuasa.

Kerana terlalu liberal dan longgar pegangan Islam kita maka kerana itulah orang seperti Wong akan terus mengambil kesempatan dan mengasak agar kita terus longgar dan rongkaikan ikatan-ikatan Islam yang mereka anggap kuno dan ketinggalan zaman.

Bangkitlah, sedarlah, insaflah. Kembalilah pertahankan Islam yang sebenar sebelum kita nanti terlambat dan dicaci-maki oleh anak cucu kita.

Tuesday, February 20, 2007

Kaya harta miskin semangat

Saya terbaca dalam akhbar THE STAR baru-baru ini betapa seorang CEO sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, Tony Pua, 34 tahun telah membuat keputusan menyertai DAP.

Tony kini dilantik sebagai Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP Sdr Lim Guan Eng dan Pengarang Eksekutif akhbar DAP The Rocket.

Kata Tony beliau mengambil keputusan menyertai DAP setelah melihat PM Dollah Badawi gagal menunaikan janji-janji reformnya lalu untuk memperjuangkan nasib dan masadepan negara dan rakyat Malaysia beliau merasakan terpanggil untuk menyumbang dan wadah pilihannya adalah DAP.


Bayangkan betapa besarnya pengorbanan seorang anak muda yang telah mencapai tingkatan tertinggi dalam kejayaan hidup namun sanggup turun ke bawah kembali demi memperjuangkan nasib rakyat. Tony adalah lulusan Universiti Oxford dan saya yakin jika tidak melepaskan kepentingannya dalam syarikat IT itu, pasti beliau akan semakin berjaya dalam hidupnya.

Lalu terfikir juga saya tidak adakah lagi anak-anak muda Melayu atau tokoh-tokoh Melayu yang berjaya yang sanggup membuat keputusan berani sebagaimana yang dilakukan oleh Tony ini?

Saya kira tokoh Melayu yang terakhir yang membuat langkah seberani Tony ini adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas CEO Guthrie dan PNB yang telah membuat keputusan menyertai PKR dan kini dilantik sebagai Bendahari parti tersebut.

Perjuangan memerlukan pengorbanan, dan perjuangan yang benar perlu dipimpin oleh pemimpin yang ikhlas dan berkaliber. Ramai profesional dan tokoh-tokoh Melayu begitu lantang dan berani menegur dan mengkritik apabila melihatkan kecurangan dan kemungkaran politik, ekonomi dan sosial yang berkecemuk dipentas negara. Namun tidak ramai yang berani memilih platform politik, lebih-lebih lagi politik pembangkang kerana merasakan rezeki dan kedudukan mereka akan tergugat jika berbuat demikian.

Tunggulah apabila pencen, tunggulah apabila telah keluar kerajaan atau tidak lagi aktif disektor korporat, sedangkan mereka lupa ketika itu mereka telah mencecah usia yang maghrib dan darah muda satu ketika dahulu sudah sejuk diganti dengan sengal-sengal tulang dan otot, serta raut wajah yang semakin labuh.

Malulah kita kepada wira umapma Tony ini.

Dan kemudian kita bercakap berkenaan membela agama dan bangsa. Agama diperlakukan, diletakkan di kerusi belakang. Tidak diberi keutamaan malah kadangkala dikesampingkan. Panas meluap darah kita melihatkan agama diperkosa sedemikian rupa, namun kita lantaran hambatan dunia, masih belum bersedia untuk berpencak di gelanggang yang sepatutnya.

Sampai masanya untuk kita berfikir panjang dan melakukan sesuatu demi agama, bangsa dan negara.

Memang duduk di sebelah sini penuh dugaan dan kesusahan. Segala peluang dan lorong kekayaan dikatup dan dikunci rapat. Lihatlah Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato Dr Hassan Ali, Dr Hatta Ramli, Datuk Ismail Kamus, Dr Syed Azman, Ustaz Taib Azamuddin, Datuk Ishak Baharom, Ustaz Mujahid Yusoff Rawa, Ustaz Idris Ahmad, betapa berbezanya hidup mereka sekarang berbanding dengan ketika mereka berada di arus perdana dahulu.

Tetapi tidakkah kita yakin bahawa rezeki itu datangnya dari Allah swt? Atau kita sekadar angguk tetapi belum cukup yakin? Mereka yang saya sebutkan tadi itu mungkin serba-serbi susah dan kekurangan kini tetapi sumbangan mereka insyallah akan dikenang dan dikurnia setimpal-timpal pembalasan di hari kemudian kelak.

Fikir-fikirlah bersama, jika lantaran hambatan yang terlalu besar sehingga kita tidak berdaya juga untuk melangkah keluar, sekurang-kurangnya kita menyumbang dengan berbagai cara lain, paling tidak infaqkan harta kita untuk perjuangan. Paling tidak kita menymbang idea dibalik tabir, paling tidak kita buka laluan buat anak-isteri kita untuk melangkah ke hadapan.

Jangan sekadar kaya duit, kaya idea, kaya kritikkan, tetapi miskin semangat, miskin keperkasaan, miskin keberanian, sedangkan nasib agama dan bangsa entah bagaimana.

Tanhiah Tony atas keberanian anda dan tahniah juga kepada mereka yang bakal melangkah keluar umpama Tony nanti.

Monday, February 19, 2007

Ucap Gong Xi Fa Cai seorang aktivis

Saya menerima SMS ini dari seorang rakan berbangsa Tionghua, seorang aktivis masyarakat dan ingin berkongsi dengan anda semua:

Anjing pegi, babi mali.
SUEH pegi ONG mali.

Gaji naik tinggi,
tol luntuh sendiri.

Sulatkabal berani
kroni lugi.

Hantu tak pegi undi,
polis tak minum kopi.

EPF tak mudah tipu lagi
hujan mali pun tak banjil jadi.

Macam ini tak kena loteli pun,
hali-hali suka hati.

GongXi GongXi lu sama famili

Demikianlah pengharapan tinggi dari seorang rakan berbangsa Tionghua, walaupun kadangkala lucu bunyinya, tetapi sinis dan penuh bermakna. Gong Xi Fa Cai CH Wong dan rakan-rakan.
Kaca mata hijau Awang Adek

Dr Awang Adek Hussin adalah seorang anak Kelantan bekas Penolong Gabenor Bank Negara. Beliau memiliki kelulusan Doktor Falsafah dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Tetapi sejak menyertai Umno dan duduk di bawah selimut parti itu, kelihatan tuntutan politik kadangkala mengatasi ilmu dan daya intelek beliau. Beliau kini adalah Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kelantan dan ahli Parlimen Bachok.

Sebelum ini ketika Kelantan melancarkan Emas Dinar nya pada bulan September 2006, Awang Adeklah antara pemimpin Umno yang terawal memperlekeh dan memandang rendah usaha kerajaan negeri PAS itu. Kata beliau:

The launching of the gold dinar and silver dirham scheme is nothing more than a political gimmick and does not bring any value-added initiative to the states economy.

Kini kerajaan negeri Kelantan melancarkan pula skim Takaful untuk semua wargatua negeri tersebut. Dimana melalui usaha ini mana-mana warga tua anak Kelantan yang meninggal dunia maka skim ini akan membayar RM2,000 kepada warisnya termasuklah RM500 untuk urusan pengkebumian, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Usaha ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyatnya terutama warga tua. Dengan harapan warisnya akan beroleh kewangan untuk menyelenggara urusan pengkebumian disamping meringankan beban suami atau isteri atau mana-mana waris simati. Skim ini turut ditawarkan kepada semua warga Kelantan termasuk yang bukan Melayu/Islam.

Lalu apa kata Awang Adek, ianya gimik politik (senada sahaja nampaknya yang terbit dari lidah beliau) kerajaan PAS Kelantan semata-mata. BERNAMA melaporkan:

He regarded such a move as impractical and said PAS was using the senior citizens as a tool to maintain power in Kelantan.The scheme offers benefits only after death. If the state government is sincere, why not help these senior citizens when they are alive

Demikianlah kaca mata baru Awang Adek sekarang ini. Kaca mata berkanta hijau, apa sahaja yang dilakukan kerajaan negeri Kelantan akan nampak hijau sahaja, lantas ianya perlu dimatikan. Phd dan MA sudah tidak bererti bagi mereka yang seumpama ini.

Sekurang-kurangnya berilah galakan kepada mana-mana usaha yang menguntungkan rakyat. Dan ini bukan satu-satunya usaha kerajaan negeri tersebut untuk membela nasib warga tuanya, tetapi lantaran kaca mata tadi maka itu sahajalah yang beliau nampak.

Syabas kita ucapkan kepada kerajaan negeri termasuklah membuat skim ini meliputi semua agam dan bangsa. Mudah-mudahan ianya memanfaatkan rakyat. Dan jangan ambil peduli sangat MP Bachok yang berkata mata hijau itu.

Saturday, February 17, 2007

Dollah akan panggil Pilihanraya awal?
artikel saya ini terbit dalam kelauran terbaru SIASAH


Topik hangat perbincangan sejak akhir-akhir ini adalah kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen lebih awal dari tempoh tamatnya iaitu pada tahun 2009 nanti. Ianya menjadi perbualan bukan hanya dikalangan pimpinan dan anggota parti-parti pembangkang malah turut menjadi teka-teki antara sesama pimpinan dan anggota parti-parti komponan BN.

Sudah pastilah apabila membicarakan topik pilihanraya ini maka akan turut hangatlah diperkatakan berkenaan peluang parti-parti pembangkang bagi menghadapi BN kali ini, iaitu Pilihanraya Umum ke 12 setelah menghadapi prestasi buruk dalam pilihanraya umum ke 11 lalu. Dalam kemelut kenaikan kos hidup yang kebelakangan ini teruk menjejaskan cara dan gaya hidup rakyat kebanyakan, adalah dijangakakan parti-parti pembangkang akan mampu meraih keuntungan besar sekiranya pilihanraya MENGEJUT diadakan.

Menurut kajian terbaru yang dikeluarkan oleh badan bebas Merdeka Center yang terlibat dalam kajiselidik mengukur pandangan masyarakat awam terhadap satu-satu isu, masyarakat Malaysia rata-rata mula hilang keyakinan terhadap kerajaan dalam mengurus dan mentadbir ekonomi negara khasnya yang membabitkan kos hidup rakyat. Angka terbaru menunjukkan peratusan rakyat menurut kaum yang mula hilang keyakinan terhdap kerajaan pimpinan Pak Lah dalam isu ini adalah masyarakat India 63%, Cina 55% dan Melayu 39%.

Jika benarlah lantaran faktor ini dan faktor-faktor lain termasuklah krisis Pak Lah- Tun Dr Mahathir, isu rasuah dan penyelewengan kuasa yang berterusan, maka parti-parti pembangkang memiliki peluang yang baik, soalnya adakah mereka benar-benar memiliki kemampuan menjadi alternatif kepada BN?

Tidak dapat dinafikan suasana politik di Malaysia pada hari ini jauh berbeza dengan pada tahun 2004 dahlulu ketika Pak Lah buat pertama kali ditonjolkan sebagai PM yang baru, seorang tokoh yang ada latarbelakang agama, yang bersih dan tidak memiliki sebarang cacat-cela. Itu 2004 tetapi kini segala-galanya sudah berbeza. Kini segala-galanya telah terbongkar di depan mata kepala rakyat.

Di barisan pembangkang kelihatan Parti Keadilan Rakyat PKR kini seolah diterajui oleh Datuk Sei Anwar Ibrahim walaupun beliau bergerak sekadar atas nama penasihat parti namun hakikatnya beliaulah ketuanya. Kehadiran Anwar memimpin PKR dan sekaligus blok pembangkang dilihat sebagai satu ancaman besar bagi Pak Lah. Kalau pada pilihanraya yang lepas-lepas Anwar dirihatkan di Penjara kini beliau di luar mengetuai sendiri cita-cita pembangkang, maka sudah pastilah ancamannya jauh berbeza dengan diwaktu beliau di dalam.

Anwar dilihat aktif bukan sekadar menghangatkan jentera partinya yang kini hanya diwakilkan oleh rakyat dengan 1 suara di Parlimen dan 1 di DUN Sarawak, malah beliau difahamkan turut aktif dalam mewujudkan kepaduan dan kesatuan dikalamnan parti-parti pembangkang terbesar negara kahsanya antara PAS dan DAP. PKR dikatakan mengharapkan kemenangan besar parti mereka di Pulau Pinang, Selangor dan Sabah dan kemungkinan dengan kehadiran Anwar kali ini sebagai ketua dan peyusun strategi ianya tidak mustahil.

Sementara itu DAP juga begitu yakin mereka akan dapat menunggang gelombang ketidakpuasan hati rakyat ini khasnya dikalangan masyarakat Tionghua pada pilihanraya kali ini. Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinag dan Wilayah Persektuuan merupakan bumi subur bagi DAP jika sentimen kebencian rakyat terhadap BN ini berterusan. Namun soalnya adakah DAP akan terus mengheret pimpinan veteran mereka seperi Karpal Singh, 67 dan Lim Kit Siang, 66 untuk terus memimpin parti itu dalam pilihanraya ini.

Masyarakat Tionghua mungkin telah bersedia untuk meriba kembali DAP, walaubagaimanapun mereka juga sudah pasti mahu melihat barisan yang muda dan bertenaga untuk mewakili mereka. Sekiranya DAP kali ini diserahkan kepada Setiuasaha Agungnya Lim Guan Eng dengan dokongan golongan mudanya, tidak mustahil bintang DAP kali ini akan menjadi cerah. Malah DAP pernah buktikan ini dalam Pilihanraya Negeri Sarwak tahun lepas dimana hampir kesemua calon mereka yang menang terdiri dari muka-muka baru belaka.

Kiranya gelombangan kebencian rakyat pada BN ini berlarutan sudah pastilah sebuah lagi parti pembangkang yang akan mampu meraut keuntungan besar adalah PAS. Sebagai parti yang rata-rata didokong oleh masyarakat Melayu Islam PAS dilihat lebih sebagai alternatif kepada Umno, dan jika strategi yang bijak dan ampuh mereka gunakan, masyarakat Melayu khasnya yang sudah mengenali PAS lebih 50 tahun itu tidak mustahil akan bersedia untuk memberikan undi mereka kali ini kepada parti Islam itu.

Dan sebagaimana DAP sudah pastilah masyarakat pengundi juga mahu diyakinkan bahawa PAS akan bersedia menonjolkan pimpinan yang muda dan bertenaga sebagai calon-calon mereka dalam pilihanraya umum kali ini. Suka ataupun tidak masyarakat Malaysia kali ini telah bijak berkira-kira dan membuat tuntutan, mereka mungkin telah bersedia untuk memberikan undi kepada parti-parti bukan BN, namun apakah parti-parti ini bersedia pula untuk membariskan calon-calon yang hebat dan berupaya untuk menarik minta dan selera mereka bagi membuat perubahan.

PAS dijangka akan mengadakan Mukatmar Agungnya pada bulan Jun ini. Mungkinkah di sana nanti kabinet pilihanraya yang dimaksudkan akan dapat dibentuk oleh para perwakilan PAS demi memberikan pilihan terbaik buat rakyat?

PKR, DAP dan PAS perlu serius melihat perkara ini, jika tidak kesediaan rakyat untuk berubah itu akhirnya akan terbantut lalu tidak mustahil mereka kembali memberikan mandat kepada BN walaupun dengan hati yang berat.

Parti-parti pembangkang dijangka akan menerima sokongan kuat juga dari kalangan pimpinan dan mereka yang masih berada di dalam Umno/BN lantaran kebosanan mereka ini terhadap kepimpinan Pak Lah. Mereka ini dijangka akan membuat serangan dari dalam dan sekali lagi usaha mereka ini akan menjadi sia-sia kiranya parti-parti pembangkang tidak bersedia dengan pasukannya yang baru dan bertenaga.

Kesimpulannya berdasarkan faktor-faktor semasa gelanggang pertempuran politik di Malaysia kali ini diyakini akan teruk menghakis kekuasaan BN disemua peringkat. Samada BN menyedari ataupun tidak hakikat ini, tidaklah diketahui. Berkemungkinan kemenangan besar mereka di DUN Batu Talam baru-baru ini telah meletakkan mereka ditahap keyakinan yang melangit tingginya. Walaubagaimanpun peluang terbuka ini terpulanglah kepada parti-parti pembangkang sendiri. Sekiranya mereka terus mahu menaja calon-calon yang veteran atau yang telah pernah tewas beberapa kali, maka kemungkinan sentimen ini akhirnya berlalu begitu sahaja, tanpa sebarang lonjakan yang positif.

Friday, February 16, 2007

Gong Xi Fa Cai

Rakan-rakan Tionghua kita akan merayakan sambutan Tahun Baru Cina pada hari Ahad ini. 18 dan 19 adalah merupakan cuti umum dan ada di antara anak-anak kita yang akan bercuti sehingga seminggu bagi memberikan kesempatan kepada murid-murid Tionghua untuk merayakan hari penting ini bersama kaum keluarga masing-masing.



Kewujudan masyarakat Tionghua di tanahair kita sudah diterima sejak zaman berzaman dan sejak tanggal kemerdekaan negara masyarakat ini sudah diterima setanding dengan bangsa Melayu sebagai warganegara Malaysia yang layak dilayan dan menerima hak sebagaimana warganegara Malaysia yang lain.

Rakyat Malaysia hidup dalam keadaan rukun dan harmoni walaupun berbeza dari segi bahasa, budaya dan agama namun sama-sama bernaung di bawah panji-panji negara Malaysia yang merdeka.

Tidak dapat dinafikan bahawa sedikit sebanyak ketidakpuasan hati pasti wujud lantaran perbezaan tadi namun rata-rata sikap faham-memahami dan hormat-menghormati zahir dan lebih-lebih lagi terpancar dari sanubari mereka yang ikhlas dan sayangkan negara ini. Semoga berterusan begitu sampai bila-bila insyallah.

Kepada rakan-rakan berbangsa Tionghua samada yang bukan Islam mahupun Islam yang merayakan sambutan ini terutama ypengunjung Blog ini saya ucapkan:

GONG XI FA CAI

Kalau pulang ke kampung masing-masing, berhati-hati di jalanraya.

May this New Year bring prosperity and harmony to all of us, insyallah.

Thursday, February 15, 2007

SILLY and RUBBISH masuk round kedua

Semalam saya mengulas kenyataan Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang telah membatalkan peraduan galakkan orang ramai menukar kepada MyKad yang telah diperkenalkan oleh menteri sebelumnya iaitu Datuk Azmi Khalid. Saya menyebut kedua-duanya kebetulan anak Indera Kayangan.

Hari ini nampaknya polemik ini terus hangat apabila terpampang di muka depan akhbar THE SUN :

MB raps Radzi: Not right to say MyVi draw SILLY and RUBBISH

Seorang lagi anak Indera Kayangan masuk gelanggang dan kali ini Menteri Besarnya pula yang kebetulan adalah Pengerusi Perhubungan Umno negeri. Beliau mengatakan kenyataan Radzi bahawa pertandingan yang menawarkan hadiah kereta MyVi ini sebagai SILLY dan RUBBISH (TERJEMAHAN Utusan: bodoh dan mengarut) adalah keterlaluan dan mesti ditarik balik.



Kata Shahidan:

Beliau tidak boleh mengatakan keputusan yang dibuat dahulu sebagai bodoh. Kalau hendak mengubah apa yang Azmi Khalid lakukan ubahlah tapi janganlah sampai mengata bodoh atau mengarut. Saya cukup tidak bersetuju.

Benarlah pemerhatian saya bahawa memang tidak ada keharmonian dikalangan menteri-menteri termasuklah MB yang berada di bawah PM Dollah Badawi. Malahan dalam Umno yang dipimpinnya pun ini ternyata kalut. Satu negeri kecil boleh bergaduh antara Setiausaha Agung, Pengerusi Badan Perhubungan dan seorang menteri Pusat.

Saya tidak boleh membayangkan bagaimana agaknya Dollah mahu meredakan kekalutan antara anak-anak buahnya ini. Radzi memiliki hubungan yang sungguh intim dengan Dollah. Ketika mahu mengisi jawatan Setiausaha Agung Umno dahulu, banyak nama dilontarkan antaranya termasuklah Shahrir Samad, tetapi tiba-tiba Dollah memilih kawan akrabnya sejak Team B dahulu (dan masuk sekejap Semangat 46) Mat Dee sehingga memeranjatkan ramai pemerhati politik.

Lantaran kekuatan kedudukannyalah barangkali Radzi boleh menggunakan istilah SILLY dan RUBBISH terhadap seorangn rakan menteri, dan MB pun kalau silap-silap langkah akan di RUBBISH kannya sekali!
Najib sokong dinar emas

Kerajaan negeri Kelantan tahun lalu telah telah mengambili inisiatif berani dan menjadi kerajaan negeri yang pertama melancarkan dinar emas sebagai satu bentuk alternatif simpanan nilai selain matawang konvensional yang boleh digunakan bagi tujuan hadiah, zakat dan mas kahwin.

Semasa ianya dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan dahulu antara tokoh yang telah mengkritik dan memandang rendah usaha tersebut adalah Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek yang pernah mengatakan:

The launching of the gold dinar and silver dirham scheme is nothing more than a political gimmick and does not bring any value-added initiative to the states economy.

Kata Timbalan Menteri itu lagi menurut akhbar THE STAR ketika itu:

He cautioned that those who invested in the dinar and dirham might incur huge losses if they did not keep abreast of the latest value of the commodities and if sudden jolts occurred in the global trading, such as natural disasters that crippled mining operations.


Dengan takdir Allah swt akhbar UTUSAN MALAYSIA hari ini melaporkan Timbalan PM Najib Tun Razak sebagai berkata:

Platform urusniaga syariah yang membolehkan emas digunakan dalam urusniaga akan dapat mencegah susutnilai dan peyusustan nilai mata wang.

Penggunaan dinar emas dan dirham perak boleh menjadi pendekatan alternative untuk merancang pengurusan kewangan.

Tambah Najib lagi:

Tidak seperti mata wang konvensional yang berdepan dengan inflasi berterusanNILAI EMAS ADALAH STABIL dan ia merupakan kaedah berkesan untuk melindungi kekayaan daripada inflasi dan krisis kewangan atau mata wang.

Saya tak pasti apa pula reaksi Awang Adek terhadap kenyataan Najib itu, tidakkah ianya juga gimik politik juga sebagaimana Kelantan? Atau mungkin kerana kali ini yang berkata demikian adalah TPM dan Timbalan Presdien Umno, maka ianya harus dipuji dan disokong?

Apa pun saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan kerana mendahului usaha ini dan telah mampu mengesan manfaatnya kepada rakyat jauh lebih dahulu dari pihak lain. Semoga Emas Dinar Kelantan berjaya dan begitu juga usaha-usaha lain seumpamanya.

Awang Adek jika beliau seorang gentelman dan memiliki ciri-ciri pertanggungjawaban dalam dirinya sepatutunya menarik balik kenyataan beliau dan memperbetulkannya, serta memberi sokongan kepada usaha Kelantan walaupun datangnya dari parti yang beliau musuhi. Berani kerana benar demi Allah swt!

Wednesday, February 14, 2007

Projek Pusat Sukan di England terbantut

Pada 9 Febuari lalu saya mengadu di sini betapa dalam ketika rakyat sedang merintih dan merungut akan kenaikan kos hidup yang teruk menyiksa mereka tiba-tiba TPM Najib Tun Razak mengumumkan yang kerajaan akan berbelanja 10 juta pound atau RM70 juta untuk mengubahsuai dan membina Pusat Latihan Prestasi Tinggi di Brickedonbury , Hertforsdshire, England bagi tujuan mempertingkatkan prestasi sukan-sukan tertentu Malaysia.

Kata Najib kerja-kerja pengubahsuaian akan segera dilaksanakan dan pusat itu dijangka mula beroperasi bulan April tahun ini.

Hari ini akhbar THE SUN membuat pendedahan betapa East Herts Council atau majlis tempatan di kawasan berkenaan tidak pernah menerima apalagi memberi kelulusan bagi kerja-kerja pengubahsuaian ini. Menurut jurucakap majlis tempatan berkenaan kawasan Brickedonbury itu terletak kawasan bengkung hijau dan hutan-hutan kayunya adalah merupakan kawasan lindungan.


R. Nadeswaran, Timbalan Pengarang akhbar tersebut dalam isu ini mempertikaikan dalam artikelnya:

Has Najib been deceived?
(Adakah Najib telah diperdaya?)

Najib selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet berkeneen Sukan telah mengumumkan projek ini termasuk juga jumlah perbelanjaannya serta tarikh siap, sedangkan kerja-kerja tidak dapat dilaksanakan tanpa kelulusan majlis tempatan di sana. Apa kata kalau majlis tersebut enggan memberi kelulusan? Mengapa Najib tidak diberitahu sekurang-kurangnya boleh beliau dalam pengumumannya itu menyebut bahawa projek ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Segala kekalutan ini mengingatkan saya kepada kes Zakaria Md Deros di Kelang. Jangan-jangan Menteri Sukan dan Jawatankuasa Kabinet ini bergurukan Zakaria. Tak perlu kelulusan buat dulu, dah siap nanti baru bayar denda, lepas itu beres segala-galanya. Mungkin Zakaria boleh dilantik untuk membantu Najib dan Azalina dalam hal ini!
SILLY and RUBBISH all the way

Saya perhatikan sejak Dollah Badawi menjadi PM seakan tiada keharmonian dikalangan anggota pasukan yang beliau ketuai. Pasukan yang dimaksudkan adalah anggota kabinetnya. Kita pernah mendengar seorang anggota kabinet menyanggah anggota kabinet yang lain, kita pernah mendengar seorang anggota kabinet menceroboh ke dalam bidang anggota kabinet yang lain dan hari ini kita mendengar seorang anggota kabinet melupuskan projek yang dilancarkan oleh rakannya yang menyandang portfolio beliau sebelumnya.

Hari in Menteri Dalam Negeri Radzi Sheikh Ahmad dilaporkan oleh akhbar sebagai menyatakan bahawa peraduan menawarkan hadiah kepada orang ramai agar bagi menggalakkan mereka segera menukar kad pengenalan lama kepada MyKad dibatalkan. Tidak cukup dengan membatalkannya kata Radzi (menurut Utusan):

Lupakan fasal MyVi, adalah tidak wajar menawarkan kereta hanya semata-mata untuk menyuruh rakyat menukar MyKad, ini soal pengenalan diri. Saya kecewa dengan semua ini, buka soal kita tak ada bajet, kenapa mesti nak upah, nak kena buat cabutan bertuah baru orang nak datang tukar.


Manakala menurut The Star Radzi dilaporkan sebagai berkata:

Offering carrots to lure malaysians to change to the MyKad is SILLY and RUBBISH.

Anehnya hadiah-hadiah ini telah diperkenalkan oleh Azmi Khalid (yang kini Menteri Alam Sekitar) semasa beliau memegang portfolio Radzi ini pada tahun 2005 lalu. Soalnya apakah keputusan Azmi ketika itu tidak menerima kelulusan Kabinet?

Radzi dalam pengumumannya semalam ditanya oleh pemberita bahawa tidakkah peraduan ini diperkenalkan oleh menteri yang sebelumnya (Azmi), Radzi menyatakan:

That was the former minister. Now I am saying get rid of this mentality that Malaysians need to be offered something just to change to my MyKad. We dont live in a world where you must have lucky draws then people will come. That is rubbish.

Saya sebenarnya bersetuju dengan tindakan Radzi ini cumanya saya hairan mengapa sesama menteri tidak memiliki idealisme dan semangat yang sama. (Walaupun kita tahu antara Radzi dan Azmi masing-masing juga sengit bertarung di bumi Indera Kayangan). Mengapa kabinet sunyi dalam hal ini. Kalau ianya SILLY dan RUBBISH bermakna menteri dulu yang saya yakin telah memperolehi ENDORSEMENT kabinet adalah menteri yang SILLY dan RUBBISH malah kabinet pun kabinet yang SILLY dan RUBBISH (.atau HALF PAST SIX menurut Tun Dr M).

Mudah-mudahan bukan hanya langkah menyogok seumpama ini tidak dianggap SILLY dan RUBBISH dalam hal MyKad ini sahaja, tetapi dalam semua hal termasuklah mendapatkan undi semasa pilihanraya. Seorang bekas calon di Bau Talam yang juga seorang anak tempatan memberitahu saya baru-baru ini jentera Umno/BN telah berbelanja antara RM50 ke RM300 untuk menyogok pengundi di sana agar keluar mnegundi BN beramai-ramai baru-baru ini, SILLY dan RUBBISH betul!