Saturday, February 17, 2007

Dollah akan panggil Pilihanraya awal?
artikel saya ini terbit dalam kelauran terbaru SIASAH


Topik hangat perbincangan sejak akhir-akhir ini adalah kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen lebih awal dari tempoh tamatnya iaitu pada tahun 2009 nanti. Ianya menjadi perbualan bukan hanya dikalangan pimpinan dan anggota parti-parti pembangkang malah turut menjadi teka-teki antara sesama pimpinan dan anggota parti-parti komponan BN.

Sudah pastilah apabila membicarakan topik pilihanraya ini maka akan turut hangatlah diperkatakan berkenaan peluang parti-parti pembangkang bagi menghadapi BN kali ini, iaitu Pilihanraya Umum ke 12 setelah menghadapi prestasi buruk dalam pilihanraya umum ke 11 lalu. Dalam kemelut kenaikan kos hidup yang kebelakangan ini teruk menjejaskan cara dan gaya hidup rakyat kebanyakan, adalah dijangakakan parti-parti pembangkang akan mampu meraih keuntungan besar sekiranya pilihanraya MENGEJUT diadakan.

Menurut kajian terbaru yang dikeluarkan oleh badan bebas Merdeka Center yang terlibat dalam kajiselidik mengukur pandangan masyarakat awam terhadap satu-satu isu, masyarakat Malaysia rata-rata mula hilang keyakinan terhadap kerajaan dalam mengurus dan mentadbir ekonomi negara khasnya yang membabitkan kos hidup rakyat. Angka terbaru menunjukkan peratusan rakyat menurut kaum yang mula hilang keyakinan terhdap kerajaan pimpinan Pak Lah dalam isu ini adalah masyarakat India 63%, Cina 55% dan Melayu 39%.

Jika benarlah lantaran faktor ini dan faktor-faktor lain termasuklah krisis Pak Lah- Tun Dr Mahathir, isu rasuah dan penyelewengan kuasa yang berterusan, maka parti-parti pembangkang memiliki peluang yang baik, soalnya adakah mereka benar-benar memiliki kemampuan menjadi alternatif kepada BN?

Tidak dapat dinafikan suasana politik di Malaysia pada hari ini jauh berbeza dengan pada tahun 2004 dahlulu ketika Pak Lah buat pertama kali ditonjolkan sebagai PM yang baru, seorang tokoh yang ada latarbelakang agama, yang bersih dan tidak memiliki sebarang cacat-cela. Itu 2004 tetapi kini segala-galanya sudah berbeza. Kini segala-galanya telah terbongkar di depan mata kepala rakyat.

Di barisan pembangkang kelihatan Parti Keadilan Rakyat PKR kini seolah diterajui oleh Datuk Sei Anwar Ibrahim walaupun beliau bergerak sekadar atas nama penasihat parti namun hakikatnya beliaulah ketuanya. Kehadiran Anwar memimpin PKR dan sekaligus blok pembangkang dilihat sebagai satu ancaman besar bagi Pak Lah. Kalau pada pilihanraya yang lepas-lepas Anwar dirihatkan di Penjara kini beliau di luar mengetuai sendiri cita-cita pembangkang, maka sudah pastilah ancamannya jauh berbeza dengan diwaktu beliau di dalam.

Anwar dilihat aktif bukan sekadar menghangatkan jentera partinya yang kini hanya diwakilkan oleh rakyat dengan 1 suara di Parlimen dan 1 di DUN Sarawak, malah beliau difahamkan turut aktif dalam mewujudkan kepaduan dan kesatuan dikalamnan parti-parti pembangkang terbesar negara kahsanya antara PAS dan DAP. PKR dikatakan mengharapkan kemenangan besar parti mereka di Pulau Pinang, Selangor dan Sabah dan kemungkinan dengan kehadiran Anwar kali ini sebagai ketua dan peyusun strategi ianya tidak mustahil.

Sementara itu DAP juga begitu yakin mereka akan dapat menunggang gelombang ketidakpuasan hati rakyat ini khasnya dikalangan masyarakat Tionghua pada pilihanraya kali ini. Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinag dan Wilayah Persektuuan merupakan bumi subur bagi DAP jika sentimen kebencian rakyat terhadap BN ini berterusan. Namun soalnya adakah DAP akan terus mengheret pimpinan veteran mereka seperi Karpal Singh, 67 dan Lim Kit Siang, 66 untuk terus memimpin parti itu dalam pilihanraya ini.

Masyarakat Tionghua mungkin telah bersedia untuk meriba kembali DAP, walaubagaimanapun mereka juga sudah pasti mahu melihat barisan yang muda dan bertenaga untuk mewakili mereka. Sekiranya DAP kali ini diserahkan kepada Setiuasaha Agungnya Lim Guan Eng dengan dokongan golongan mudanya, tidak mustahil bintang DAP kali ini akan menjadi cerah. Malah DAP pernah buktikan ini dalam Pilihanraya Negeri Sarwak tahun lepas dimana hampir kesemua calon mereka yang menang terdiri dari muka-muka baru belaka.

Kiranya gelombangan kebencian rakyat pada BN ini berlarutan sudah pastilah sebuah lagi parti pembangkang yang akan mampu meraut keuntungan besar adalah PAS. Sebagai parti yang rata-rata didokong oleh masyarakat Melayu Islam PAS dilihat lebih sebagai alternatif kepada Umno, dan jika strategi yang bijak dan ampuh mereka gunakan, masyarakat Melayu khasnya yang sudah mengenali PAS lebih 50 tahun itu tidak mustahil akan bersedia untuk memberikan undi mereka kali ini kepada parti Islam itu.

Dan sebagaimana DAP sudah pastilah masyarakat pengundi juga mahu diyakinkan bahawa PAS akan bersedia menonjolkan pimpinan yang muda dan bertenaga sebagai calon-calon mereka dalam pilihanraya umum kali ini. Suka ataupun tidak masyarakat Malaysia kali ini telah bijak berkira-kira dan membuat tuntutan, mereka mungkin telah bersedia untuk memberikan undi kepada parti-parti bukan BN, namun apakah parti-parti ini bersedia pula untuk membariskan calon-calon yang hebat dan berupaya untuk menarik minta dan selera mereka bagi membuat perubahan.

PAS dijangka akan mengadakan Mukatmar Agungnya pada bulan Jun ini. Mungkinkah di sana nanti kabinet pilihanraya yang dimaksudkan akan dapat dibentuk oleh para perwakilan PAS demi memberikan pilihan terbaik buat rakyat?

PKR, DAP dan PAS perlu serius melihat perkara ini, jika tidak kesediaan rakyat untuk berubah itu akhirnya akan terbantut lalu tidak mustahil mereka kembali memberikan mandat kepada BN walaupun dengan hati yang berat.

Parti-parti pembangkang dijangka akan menerima sokongan kuat juga dari kalangan pimpinan dan mereka yang masih berada di dalam Umno/BN lantaran kebosanan mereka ini terhadap kepimpinan Pak Lah. Mereka ini dijangka akan membuat serangan dari dalam dan sekali lagi usaha mereka ini akan menjadi sia-sia kiranya parti-parti pembangkang tidak bersedia dengan pasukannya yang baru dan bertenaga.

Kesimpulannya berdasarkan faktor-faktor semasa gelanggang pertempuran politik di Malaysia kali ini diyakini akan teruk menghakis kekuasaan BN disemua peringkat. Samada BN menyedari ataupun tidak hakikat ini, tidaklah diketahui. Berkemungkinan kemenangan besar mereka di DUN Batu Talam baru-baru ini telah meletakkan mereka ditahap keyakinan yang melangit tingginya. Walaubagaimanpun peluang terbuka ini terpulanglah kepada parti-parti pembangkang sendiri. Sekiranya mereka terus mahu menaja calon-calon yang veteran atau yang telah pernah tewas beberapa kali, maka kemungkinan sentimen ini akhirnya berlalu begitu sahaja, tanpa sebarang lonjakan yang positif.

No comments: