Monday, February 26, 2007

Kayveas tuntut kerusi Samy dan Keng Yaik

PPP atau Peoples Progressive Party satu ketika dahulu merupakan parti pembangkang yang kuat yang bertapak di negeri Perak. Nama Seenivasagam Brothers iaitu DP dan SP Seenivasagam, kedua-duanya peguam sungguh sinonim pada parti ini.

Pada PRU 1 tahun 1959 parti ini memenangi 4 kerusi parlimen dan 8 kerusi DUN, dan menambah satu lagi kerusi Parlimen dalam PR Kecil tahun 1960. Ketika itu juga PPP menguasai Majlis Perbandaran Ipoh dengan berjaya menjadikan majlis tersebut suatu majlis contoh yang telah ditadbir dengan begitu telus dan baik.

Pada PRU 2 tahun 1964 parti ini memenangi 4 kerusi parlimen dan 6 DUN.

Seenivasagam Brothers itu sungguh aktif dan menyengat di Dewan Rakyat.


Dan pada tahun 1969 Presiden parti DR Seenivasagam telah meninggal dunia lalu kepimpinan parti diambil-alih oleh adiknya SP yang telah berjaya membawa parti itu untuk memenangi 4 kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN di Perak iaitu kurang 2 untuk membentuk kerajaan negeri.

Kemudiannya sebagaimana yang kita tahu negara berhadapan dengan konflik kaum sehingga tercetusnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969. Lalu atas inisiatif Allahyarham Tun Abd Razak, parti-parti pembangkang termasuklah PPP, Gerakan dan PAS telah didekati untuk membina sebuah kerajaan campuran yang mencerminkan perpaduan rakyat di negara ini.

PPP sebagaimana PAS dan Gerakan telah bersetuju menyertai apa yang dikenali sebagai Barisan Nasional. Pada tahun 1974 PPP bertanding atas simbol dacing dan hanya memenangi 1 kerusi parlimen dan 2 DUN.

Kemudiannya pada tahun 1975 Presidennya SP Seenivasagam meninggal dunia dan dari situ prestasi PPP terus merosot malah dilanda satu demi satu kisis dalaman sehinggalah akhirnya PPP kehilangan semua kerusinya.

Jelas setelah menyertai kerajaan BN, PPP hilang bisanya mungkin kerana sudah disogok dengan kemewahan dan kesenangan. Suara PPP digerhanai oleh suara lantang Umno, MIC, MCA dan Gerakan dalam BN. Akhirnya jadilah PPP sebuah parti nyamuk yang tidak significant sebenarnya untuk BN.

Pada PRU lalu Presidennya kini M Kayveas memenangi kerusi parlimen Taipin dan kini menjadi wakil tunggal PPP di Dewan Rakyat.

Dalam akhbar hari ini Kayveas kelihatan mahukan kembali status quoa partinya sebelum menyertai BN dahulu. Kayveas dilaporkan menuntut 4 kerusi parlimen dan 12 DUN sebagaimana yang dimiliki oleh partinya satu ketika dahulu.

4 kerusi parlimen itu sebagaimana dilaporkan oleh Utusan adalah Sg Siput, Beruas, Ipoh Barat dan Gopeng. Kayveas dilaporkan sebagai berkata:

BN sebuah parti yang adil. Jadi saya mahu agar keadilan itu diteruskan dengan mengembalikan kerusi tersebut kepada PPP.

Menurut Kayveas lagi partinya kini semakin kuat dan memiliki keahlians seramai setengah juta orang.

Saya tidak pasti apakah reaksi pemimpin-pemimpin BN terhadap tuntutan Kayveas ini, tambahan pula kerusi-kerusi Sg Siput dan Bruas merupakan kerusi milik Presiden dua buah parti komponan BN yang lebih dominan dari PPP iaitu milik Samy Vellu dan Dr Lim Kheng Yaik (Presiden Gerakan).

Nampaknya proses tawar-menawar dan tuntut-menuntut dalam BN sudah bermula. Kalau dilayan tuntutan Kayveas ini maka akan kuranglah kerusi parti-parti komponan yang lain. MIC dan Gerakan sudah pasti tidak akan melepaskan kerusi miliki Presiden mereka masing-masing.

Apa agaknya reaksi Pengerusi BN?

No comments: