Hapuskan bacaan doa demi perpaduan negara?
Saya melalui tingkatan empat dan lima di Sekolah yang dimiliki oleh mubaligh Kristian iaitu La Salle. Saya masih ingat Pengetua kami Brother Charles Michael O Leary, seorang berbangsa Scot, berpakaian jubah putih paderi Katolik sepanjang waktu persekolahan.
Semasa hari-hari perhimpunan Brtoher Charles akan memulakan perhimpunan dengan mengajak anak-anak murid berdoa, mengikut kepercayaannya. Lalu semua pelajar akan tunduk bertafakur menurut amalan Katolik kecuali pelajar-pelajar Islam. Dan saya yakin inilah amalan di sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh mubaligh-mubaligh ini seluruh negara.
Amalan ini diterima oleh kami para pelajar kerana sekolah tersebut walaupun mengguna pakai kurikulum kerajaan dan guru-gurunya dari Jabatan Pelajaran belaka namun ianya dimilki oleh mubaligh-mubaligh ini. Tidak timbul singgung-menyinggung.
Lantas saya terperanjat apabila membaca berita berikut dari laman mSTAR Online:
Guru sepatutnya memainkan peranan dengan menganjurkan amalan dan kegiatan-kegiatan yang menyatu-padukan murid dan menggalakkan mereka berinteraksi secara bebas, bukan memecah-belahkan mereka. Kita tidak mahu timbul isu kerana guru atau ustaz serta ustazah berpandangan sempit dalam soal agama sehingga boleh menjejaskan perpaduan sesama murid, katanya.
Beliau berkata, amalan itu telahpun diberhentikan di semua taman bimbingan kanak-kanak yang ditadbir oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
Di tabika-tabika perpaduan, arahan sudah dikeluarkan supaya bacaan doa tidak diamalkan. Ada guru-guru yang berasa seronok apabila kanak-kanak bukan Islam pun boleh mengikut membaca doa, tetapi saya ingatkan mereka bahawa itu sesuatu yang melanggar etika kerana mereka masih kanak-kanak.
Kita tidak mahu anak-anak kecil bukan Islam nanti membaca doa apabila pulang ke rumah masing-masing. Ini boleh menyinggung perasaan ibu bapa mereka, katanya.
Beliau yang membuat kenyataan itu adalah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan.
Inilah satu sikap dan perangai orang Melayu yang cetek dan berfikiran sempit yang akhirnya mengakibatkan ruginya agama dan anak bangsa. 50 tahun kita merdeka, kita sepatutnya berusaha memperteguhkan lagi jatidiri bangsa dan agama tetapi tidak, semakin negara dewasa semakin kelihatan hapus dan terhakis nilai-nilai kita. Dari tulisan jawi, ke sekolah-sekolah agama rakyat (yang ditarik balik peruntukkannnya), pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dan kini amalan berdoa untuk anak-anak kita pun mahu dihapuskan!
Saya menghormati semua kaum dan agama dalam negara kita ini, dan saya yakin mereka juga setelah 50 tahun bersama duduk di bumi bertuah ini turut sama menghormati adat, amalan dan kepercayaan kita.
Mengapa harus kita robah STATUS QUO ini tanpa mengambil-kira pandangan majoriti? Sekolah-sekolah yang diasaskan oleh mubaligh-mubaligh Kristian, sehingga ke hari ini masih mengekalkan salib dan lambang-lambang agama mereka di setiap pelusuk sekolah-sekolah ini. Di Kuala Lumpur sahaja pergilah ke SK St John, Convent Bukit Nanas, MBS, La Salle dan lain-lain. Kenapa demi perpaduan negara tidak kita arahkan agar salib ini diturunkan atau dipadam dari bangunan sekolah?
Kita tidak melakukannya kerana kita menghormati mereka, dan kita tidak pernah terganggu dengan amalan mereka itu, lalu kenapa dalam hal agama kita mudah sangat kita berkompromi demi kononnya menjaga kepentingan orang lain?
Sebelum ini menteri-menteri MCA dan Gerakan pernah menyuarakan bantahan mereka terhadap amalan doa ini dan termasuklah ayat-ayat doa umpama doa makan dan doa masuk tandas yang dituliskan di dinding-dinding kebanyakkan sekolah-sekolah di negara kita.
Nampaknya langkah yang bermula dari tabika-tabika perpaduan ini adalah permulaan yang saya yakin atas alasan yangsama akan dipanjangkan ke sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Saya sedih melihat betapa mudahnya hal-hal seumpama ini dikorbankan demi kerana tuntutan dan kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Saya tidak pernah mendengar amalan-amalan doa ini contohnya dipaksakan ke atas anak-anak yang bukan beragama Islam di tadika atau sekolah rendah dan menengah sebagaimana saya dan rakan-rakan yang bersekolah di missionary schools umpama yang saya sebutkan di atas tidak pernah pun dipaksa oleh paderi-paderi di sekolah-sekolah kami dahulu.
Kesimpulannya janganlah ghairah merobah sesuatu amalan yang baik dan berguna sehingga akhirnya nanti melahirkan anak-anak kita yang buta agama dan hilangan pegangannya. Bersederhanalah bila perlu, perpaduan negara telah dikecapi selama 50 tahun kebelakangan ini tanpa perlu kita menghapuskan bacaan doa di tadika atau sekolah-sekolah, mengapa sekarang tiba-tiba kita bersungguh?
No comments:
Post a Comment