Sunday, February 11, 2007

PRINSIP ISLAM HADHARI TAK TERPAKAI DALAM PILIHANRAYA
artikel saya ini terbit dalam keluaran terbaru akhbar SIASAH



Prinsip kedua dari sepuluh prinsip Islam Hadhari yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berbunyi: Kerajaan yang adil dan beramanah. Manakala prisip ketiganya pula berbunyi: Rakyat berjiwa merdeka.

Rangkuman dari kedua-dua prinsip ini menunjukkan betapa gagasan Islam Hadhari ciptaan beliau itu dari segi prinsipnya begitu mengambil-berat dan prihatin terhadap pembentukan sebuah kerajaan dari rakyat untuk rakyat dan oleh rakyat. Yang membentuk masyarakat yang berjiwa merdeka yang berupaya menyahkan segala peradaban dizaman penjajah yang telah menafikan hak dan kebebasan mereka.

Dalam erti kata lain siapa sahaja yang meneliti prinsip-prinsip ini akan kagum betapa Islam Hadhari bukan sekadar memberi ruang malah menyediakan pasarana ke arah kelangsungan sebuah negara demokrasi yang tulin dan benar-benar adil sebagaimana yang diperjuangkan oleh dunia pada hari ini.

Sekurang-kurangnya itulah gambaran yang dapat diceduk dari segi prinsipnya. Dan barangkali gambaran itulah juga yang dibawa oleh Perdana Menteri ke dunia luar termasuklah di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini. Dan sudah pasti jika gambaran inilah yang dipapar dan dilemparkan kepada dunia luar, maka Islam Hadhari Malaysia ini tidak syak lagi akan dikagumi dan diberi penghormatan yang tinggi dimana-mana.

Masalahnya adakah prinsip-prinsip yang perkasa dan sebegini hebat ini sesungguhnya menjadi amalan dan praktik sebenar di Malaysia sendiri yang mencipta dan mempromosinya disegenap pelusuk dunia?

Adakah kerajaan yang dibentuk di Malaysia benar-benar menepati ciri-ciri sebuah kerajaan yang dibentuk secara adil, menepati prinsip dan amalan demokrasi? Adakah rakyat di Malaysia benar-benar merdeka dalam eri kata bebas memilih dan membuat keputusan terutama dalam proses demokrasi tanpa disekat, diugut atau apalagi ditipu dan diperdayakan?

Benar Malaysia sejak Merdeka 50 tahun dahulu telah sehinggalah kehari ini menerima dan menganut amalan demokrasi dalam pembentukan kerajaannya. Bermula dari Pilihanraya Persekutuan tahun 1955, proses pilihanraya umum dilaksanakan selewat-lewatnya 5 tahun sekali bagi memberi ruang kepada rakyat untuk memilih mana-mana pihak yang difikirkan wajar bagi mewakilinya dan membentuk kerajaan untuk memerintah negara.

Namun isu samada amalan demokrasi di Malaysia ini benar-benar menepati prinsip demokrasi sehingga menepati pula prinsip-prinsip Islam Hadhari sebagaimana yang digariskan di atas terus menjadi tanda-tanya. Dan isu ini mula dilihat dan dikaji secara serius apabila parti-parti pembangkang diketuai oleh PAS membuat keputusan memulaukan Pilihanraya Kecil DUN Batu Talam baru-baru ini kerana memprotes kepincangan dan kelemahan pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia SPR dalam mengurus dan mengendalikan proses pilihanraya.

Menurut Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia yang diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948, demokrasi merujuk kepada kuasa rakyat yang merupakan hak mutlak yang memutuskan pembentukan sesebuah kerajaan. Dan hak ini mestilah dijamin kepada semua rakyat kerana melaluinya mereka dapat mengambil-bahagian secara efektif dalam berpolitik.

Adakah amalan ini dapat atau mampu dijamin oleh pengendali sistem berpilihanraya di Malaysia iaitu SPR?

Dari bantahan-bantahan yang dikemukakan oleh parti-parti pembangkang, antaranya PAS yang telah mengambil-bahagian dalam semua pilihanraya umum negara sejak tahun 1955 lagi, kelihatan seolah-olah SPR tidak bertenaga untuk memberikan jaminan sebagaimana dikehendaki oleh Deklarasi ini lalu sekaligus membuktikan bahawa Islam Hadhari yang dijuarai oleh Negara hanyalah retorik politik yang digunakan untuk menambat dan menawan hati para pendengarnya semata-mata dan tidak lebih dari itu. Kerana dari sudut realitinya Malaysia sendiri gagal melahirkan sebuah negara yang benar-benar adil dan merdeka.

Apabila peralatan yang memastikan kelicinan demokrasi itu sendiri, dalam kes ini SPR, mula diragui dan dipertikaikan maka bagaimanakah kita mahu berbangga menyatakan bahawa kita berjaya membentuk sebuah negara sedemikian?

Sesungguhnya kerajaan perlu melihat secara serius bantahan-bantahan yang dikemukakan ini dan jika ada asasnya, langkah-langkah segera perlu diambil bagi memastikan mana-mana kelompongan yang ada segera ditampal dan dipulihkan. Malahan jika ada usaha positif yang diambil untuk memastikan yang pihak SPR benar-benar bebas dan berupaya mempamirkan ketelusan dalam menjalankan tugas-tugasnya kita percaya imej kerajaan akan semakin menyerlah terutama diketika Thailand, Filipina dan Indonesia secara terbuka mula membuktikan kemampuan mereka untuk berbuat demikian di negara mereka masing-masing.

Masalahnya apabila parti pemerintah sudah terlalu selesa dengan status quo dan kaedah yang telah diterima pakai sehingga merasakan jika ada sebarang perubahan atau reformasi dilakukan terhadap kerja-kerja SPR, walaupun ke arah kebaikan dan menyuburkan demokrasi, ianya nanti akan lebih merugikan mereka dari sudut politik.

Ambil contoh amalan pengundian pos yang merupakan sebahagian dari asas bantahan parti-parti pembangkang tadi. Dari segi amalan parti-parti pembangkang tidak diberi akses untuk berkempen kepada para pengundi jenis ini, apalagi menyaksikan proses pengundian mereka, sedangkan bilangan pengudi pos yang melibatkan anggota polis dan tentera termasuk kaum-keluarga mereka menjangkau bilangan puluhan ribu di Malaysia. Mengapakah kini dalam keadaan aman, pengundian jenis ini terus diamalkan? Adakah pengekalan amalan ini kerana parti pemerintah merasakan bahawa undi-undi ini adalah bonus mereka yang tidak sanggup mereka kongsi atas nama keadilan dan demokrasi?

Sekiranya pihak SPR adalah sebuah badan yang benar-benar berwibawa, maka sudah pasti mana-mana amalan yang lapuk dan memihak kepada satu-satu pihak semata-mata akan segera dihapuskan demi menjamin keutuhan amalan demokrasi dalam negara. SPR perlu diberi ruang tanpa sebarang gangguan untuk bertindak secara proaktif tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan.

Malaysia memerlukan sebuah SPR yang perkasa dan dapat menjamin ketelusan sisitem berpilihanraya sehingga sebarang amalan atau keputusan yang diambil tidak akan mencetuskan keraguan dan syak wasangka dikalangan rakyat dan dunia luar. SPR Malaysia sepatutnya jauh mengatasi SPR India atau Election Commission of India, namun dari sudut rekod SPR India menerima pengiktirafan tinggi dunia kerana berjaya mengendalikan urusan demokrasi secara telus dan adil dalam sebuah negara demokrasi terbesar dunia itu.

Diperingkat ini demi menghormati suara dan pandangan rakyat pihak kerajaan sewajarnya memberikan hak dan kebebasan kepada SPR bagi menguruskan tanggugjawabnya. SPR perlu duduk bersama parti-parti pembangkang dan bertindak atas bantahan-bantahan mereka sekiranya ia berasas.

Dan reformasi yang perlu dilakukan ke atas SPR itu adalah suatu proses yang besar termasuklah dalam prosedur pendaftaran pengundi dan ketelusan daftarnya, undian pos, persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya, pemguatkuasaan kod etika calon, penyalah-gunaan harta dan milik kerajaan dalam berkempen, rasuah dan banyak lagi. Ianya akan terus menjadi besar dan serius kiranya tiada langkah positif dan proaktif diambil untuk memulihkannya.

Dalam hal ini sehingga parti pemerintah bersedia melepaskan SPR dari gengamannya atas nama pemulihan demokrasi, maka segala slogan dan cogankata atau apa sahaja prinsip dan amalan yang mahu diperkenalkan atau dijuarai akan terus menjadi sia-sia dan retorik kosong. Malaysia perlu mengangkat dirinya dari terus berada ditangga yang lebih corot dari negara-negara dunia ketiga umpama Nepal, Bagladesh dan Monggolia dari sudut amalan demokrasi dan keterbukaan.
Ianya merupakan suatu yang malang dan mengecewakan namun tidak dapat diubati selagi mana SPR yang merupakan tunjang demokrasi dalam negara tidak dibebaskan sebebas-bebasnya. Benarlah kata pejuang India Mohandas K Gandi bahawa semangat demokrasi itu adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa dan dibuat-buat secara luaran tetapi ia perlu muncul dari dalaman.

No comments: