Tuesday, January 31, 2006

Keistimewaan Tok Guru Nik Aziz yang sukar ditandingi

Lazimnya masyarakat bukan Islam memiliki persepsi negatif terhadap kelompok, badan atau mana-mana Gerakan Islam. Persepsi ini muncul sebahagiannya kerana gambaran buruk yang diberikan oleh musuh-musuh Islam khasnya dari Barat terhadap Islam itu sendiri.

Islam militan, Islam ektrimis, Islam radikal adalah sebahagian dari istilah yang dicipta oleh pihak-pihak ini

Manakala kalangan sesama masyarakat Islam juga tidak kurang turut menyumbang ke arah pandangan negatif ini. Dari merekalah lahirnya Islam sekular, Islam moderat dan kini Islam Hadhari, yang cuma menambah bingungkan lagi pemahaman masyarakat bukan Islam terhadap Islam yang sebenarnya.

Salah seorang tokoh di Malaysia bagi saya yang bersungguh berusaha ke arah memperbetulkan keadaan ini adalah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, MB Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS. Sejak sebelum menjadi MB lagi (sepanjang beliau sebagai ahli Parlimen Kelantan Hilir dan kemudiannya Pengkalan Chepa) beliau dilihat begitu komited dalam hal ini.



Cuma apabila diberikan amanah sebagai MB, maka usaha ini telah dipertingkatkan lagi oleh beliau sehingga berjaya menempa beberapa pembaharuan yang selama ini gagal dicetuskan oleh pihak lain.

Semasa Majlis Makan Malam dan Dailog anjuran PAS Shah Alam di sebuah hotel di Kelang baru-baru ini Tok Guru memberitahu para hadirin darihal projek pembangunan dan pembesaran yang sedang dijalankan di sekolah beliau di Pulau Melaka. Para hadirin kagum apabila beliau memaklumkan secara terbuka bahawa salah seorang penyumbang yang menyumbang dana bagi pembagunan sekolah tersebut adalah seorang pemimpin masyarakat Tionghua yang bukan Islam di Kelantan yang telah menyalurkan bantuan hampir RM1 juta ringgit.

Kalau membina rumah anak yatim atau memberikan biasiswa atau bantuan kepada masyarakat miskin, barangkali tidaklah menghairankan kalau masyarakat bukan Islam turut menyumbang membantu masyarakat Islam yang tidak bernasib baik, akan tetapi jarang malah bagi saya sendiri langsung tidak pernah mendengar masyarakat bukan Islam dengan senang hati menyumbang kearah pembinaan sebuah pusat yang bakal mentarbiyah dan mengeluarkan tenaga-tenaga ulamak Islam.

Bagi saya inilah keistimewaan Tok Guru Nik Aziz. Beliau dilihat termasuklah oleh masyarakat bukan Islam sebagai seorang tokoh ulamak dan pemimpin negeri yang bersih, yang mudah dan senang bercampur dengan masyrakat, yang serba sederhana, tidak rasuah dan tidak berjoli-joli.

Oleh itu apabila beliau memohon sumbangan untuk meneruskan kerja-kerja beliau, masyarakat Islam dan bukan Islam dengan senang hati menyumbang. Kerana mereka tahu beliau akan menggunakannya sepenuhnya sumbanga itu nanti untuk apa sahaja tujuan yang beliau isytiharkan itu.

Kalau dengan sumbangan mereka itu mereka mengharapkan pula sesuatu pembalasan sebagaimana situasi yang normal di Malaysia, maka pasti mereka tidak akan mencari Nik Aziz. Kalau orang lain atau negeri lain mungkin, tetapi dari Nik Aziz apa yang dapat diharapkan balik cumalah sepotong senyum gembira dan ucapan terima kasih yang terbit dari hati kecilnya.

Bagi saya peristiwa ini membuktikan masyarakat bukan Islam sendiri begitu hormat dan memandang tinggi kepada MB mereka ini. Bagi saya peristiwa ini membuktikan yang Tok Guru telah berjaya membentuk rakyatnya agar berkejar-kejar mengerjakan kebaikan dan kebajikan samada mereka dari yang bukan Islam, lebih-lebih lagi dari kalangan yang sudah Islam.

Dinamisma Tok Guru ini sebenarnya telah melahirkan masyarakat Islam dan bukan islam yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain di Kelantan. Tok Guru biasa hadir menyampaikan watikah kepada ketua sami Buddha di Wat Siam di Kelantan, setiap tahun beliau hadir menyambut Tahun Baru Cina di rumah pimpinan masyarakat Cina, beliau menyalurkan bantuan kepada masyarakat bukan Melayu dan ke sekolah-sekolah Cina, belia melantik Penghulu dan ahli-ahli majlis dikalangan masyarakat bukan Melayu dan sebagaimana yang kita ketahui beliau juga melantik seorang ahli EXCO berbangsa Cina iaitu yang pertama di Kelantan: Dato Hj Anuar Tan.

Segala-gala beliau lakukan untuk memberikan gambaran yang sebenarnya berkenaan Islam.Alangkah betuahnya kita jika lahir lebih ramai yang seumpama beliau dalam Negara ini.

Monday, January 30, 2006

Amerika dan Israel ancam kerajaan HAMAS dengan sekatan kewangan

Amerika Syarikat dan regim Zionis Israel adalah laksana kuku dan kulit, apa sahaja yang mengancam Israel maka AS juga turut merasakan ancamannya dan apa sahaja yang dibenci dan dimusuhi Israel maka AS juga akan turut menyerang dan menghukum musuh Israel itu.

Kemenangan besar Gerakan Islam HAMAS dalam pilihanraya Majlis Perwakilan Palestin tempoh hari akan menyaksikan AS bangkit membela Israel memandangkan HAMAS bukanlah merupakan sekutu yang Isreal boleh patah dan telan bulat-bulat.

Salah seorang calon HAMAS yang menang

Suka tak suka Israel dan AS terpaksa menerima keputusan pilihanraya ini kerana menolaknya bermakna menolak sistem yang dianuti dan diperjuangkan oleh mereka sendiri.

Maka pilihan yang ada ditangan mereka dalam hal ini adalah mengunakan senajata besar kewangan dalam bentuk peruntukkan, grant dan bantuan pembangunan. Israel adalah antara Negara pertama yang mengisytiharkan tidaa akan memberikan sebarang bantuan kewangan kepada Pentadbitran Palestin yang diterajui HAMAS. Malah menurut laporan Pemangku Perdana Menterinya Ehud Olmert telah pun mengarahkan agar bantuan berjumlah USD35 juta yang sepatutnya diberikan pada hari Rabu ini dibekukan. Menurut al Jazeera kewangan yang dibekukan itu termasuklah hasil cukai jualan dan duti kastam yang dikenakan terhadap barangan impot yang masuk ke Palestin yang memang merupakan hak rakyat Palestin pun.


Olmert Pemangku PM Israel

Taktik kotor dan tidak berperikemanusiaan Israel ini segera dituruti oleh abang sulongnya, AS. Malah AS bukan sekadar akan turut mengunakan senajata ini malah menyeru pula Negara-negara lain agar turut berbuat yang sama. Setiausaha Negaranya Rice yang kini berada di London dilaporkan menuntut agar Negara-negara sekutunya turut menghalang sumber kewangan dari sampai ke tangan kerajaan HAMAS.

Kata Rice AS tidak bersedia membantu mana-mana pertubuhan yang menuntut agar Israel dihapuskan serta menggunakan kaedah keganasan.

Adalah menjadi harapan Israel dan AS dengan tindakan ini akan mengakibatkan Pentadbiran Palestin menjadi muflis dan mungkin akan mengakibatkan pemberontakkan besar-besaran dikalangan rakyat yang akhirnya akan menjatuhkan kerajaan HAMAS yang baru menang melalui proses demokrasi itu.

Saya sekali lagi berpandangan bahawa tuntutan menghentikan keganasan itu merupakan sesuatu yang HAMAS perlu pertimbangkan (dengan syarat-syarat tertentu) namun memaksa HAMAS mengiktiraf Israel bagi saya adalah keterlaluan kerana itu merupakan hak bagi masing-masing Negara untuk memutuskan.

Cuma sambil kita menyaksikan keganasan dan kezaliman Israel dan sekutu-sekutunya, rasanya kita di sini pun biasa mendengar taktik yang sama diguna-pakai dalam Negara. Rasanya macam hampir sama sahaja membekukan cukai dan duti yang merupakan hak rakyat Palestin dengan menghapuskan royalty seperti yang berlaku di Terengganu ketika PAS menang pada pilihanraya 1999 lalu!

Marahkan Zionis Israel tetapi kadang-kadang kita sendiri pun perangai dua kali lima.

Makan malam bersama Tok Guru MB Kelantan
Satu pengalaman indah lagi bermakna

Semalam saya berkesempatan hadir di Majlis Makan Malam dan Dialog bersama Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat anjuran PAS Kawasan Shah Alam di sebuah hotel di Kelang.

Terubat juga rindu setelah sekian lama tidak bersua dan duduk dalam satu majlis dengan tokoh ulamak besar ini.


(gambar HARAKAHDAILY)


Semasa sessi dialog saya lihat Tok Guru seperti biasa begitu tenang dan bersemangat memberikan penjelasan dan hujah-hujah yang padat lagi berilmu dalam menjawab satu-satu persoalan yang dilimparkan kepada beliau.

Soalan pertama yang dikemukan oleh moderator yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam Ir Hj Khalid Samad (adik kandung Datuk Shahril Samad) adalah berkenaan tema makan malam tersebut iaitu:

Kelantan tercabar?

Tanya Khalid benarkah keputusan Pilihanraya Kecil DUN Pengakalan Pasir baru-baru ini dimana PAS tewas merupakan petanda yang PAS ditolak oleh rakyat Kelantan dan bahawa era pemerintahan PAS sedang berkahir?

Dengan pantas Tok Guru sebagai seorang ulamak dan ahli politik yang diperakui pengalamannya menjawab, tidak! Kata beliau sebenar-benarnya keputusan Pengakalan Pasir itu menunjukkan bahawa bukan PAS yang tercabar dan terguggat di Kelantan tetapi yang sebenarnya dalam kedudukan sedemikian adalah Umno sendiri.

Mengapa kata beliau, sebab semasa kempen pilihanraya kecil tersebut seluruh kekuatan Umno diperingkat nasional termasuk dari rakan-rakannya dalam BN telah dikerahkan ke kawasan DUN yang kecil itu sehingga SENGET Kelantan dibuatnya lantaran ramainya orang-orang Umno dan BN yang turun.

Namun walaupun dengan dengan kekuatan yang sedemikian rupa, Umno sekadar mampu menang dengan majoriti 129 undi. Itu pun kata Tok Guru termasuklah bantuan undi pos, undi hantu dan mereka yang mengundi lebih dari sekali.

Jadi kesimpulannya walaupun pada hakikatnya PAS tewas dalama pilihanraya kecil itu namun yang tercabar adalah Umno kerana Umno kini sedar untuk menang satu kerusi DUN di Kelantan ia terpaksa berbelanja begitu besar, bagaimana semasa pilihanraya umum nanti?

Dan satu lagi soalan menarik pada malam itu adalah berkenaan penyertaan PAS di dalam proses pilihanraya. Ada yang bertanya berdasarkan penipuan yang wujud dalam system tersebut tidakkah PAS sepatutnya memulaukan sahaja pilihanraya?

Lalu Tok Guru telah memberikan respon yang sangat menarik. Sekiranya kita membuat keputusan memulaukan pilihanraya, apakah alternatif yang ada ditangan kita, soal beliay? Silap-silap kita terperangkap dengan perangkap CIA yang memang tidak senang melihat gerakan Islam mengambil bahagian di dalam proses pilihanraya.

Menurut Tok Guru PAS sebenarnya telah jauh ke hadapan berbanding gerakan-gerakan Islam lain dalam menyertai pilihanraya dan proses demokrasi ini. Contohnya disaat Negara-negara Islam lain belum pun menimbangkan darihal penyertaan dalam pilihanraya PAS pada tahun 1959 telah pun bukan sekadar bertanding malah meletakkkan pula calon Muslimat iaitu Allahyarham Khadijah Sidek (yang telah menang dan PAS sendiri menang di dua buah negeri ketika itu iaitu Kelantan dan Terengganu).

Bermakna dalam situasi yang ada pada hari ini kita tidak boleh menolak pilihanraya kecuali menuntut agar sistemnya diperkemas dan diperbetulkan.

Yang penting dalam memperkemas dan memperbetulkan sistem ini adalah mendidik semua pihak yang terlibat (termasuk calon dan para pegundi) agar beriman kepada Allah dan hari akhirat serta gerun kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah swt.

Mereka yang terlibat dengan kerja-kerja dosa semasa pilihanraya contohnya membeli undi dan merasuah para pengundi (termasuklah para pengundi yang rela hati menerimanya) hendaklah insaf dan sedar bahawa kerja-kerja seumpama ini haram hukumnya dan di akhirat kelak mereka akan dibakar dalam api neraka lantaran perbuatan mereka itu.

Walaupun kini hampir mencecah usia 75 tahun, Tok Guru kelihatan masih bertenaga dan sentiasa kehadapan khasnya dalam isu-isu semasa yang melibatkan politik tanahair mahupun diperingkat antarabangsa. Mudah-mudahan Allah swt melahirkan lebih ramai lagi seumpama beliau dalam Negara ini yang dapat mengimbangi antara dunia dan akhirat dan memimpin kita kearah jalan yang direhai Nya, insyallah.

Turut kelihatan malam itu adalah Dato Dr Hassan Ali, Sdr Ezam Md Nor, Ustaz Abd Ghani Samsuddin, Dr Dzulkifli Ahmad, Raja Komando, pimpinan ABIM dan JIM serta pimpinan Parti Keadilan Rakyat Selangor.

Syabas PAS Shah Alam dan Hj Khalid Samad.

Saturday, January 28, 2006


Tinggalkan Black Metal masuk Putera Umno

Hairan sehingga ke hari ini pihak polis masih belum mendakwa mana-mana pihak termasuk Datuk yang dikatakan terlibat dalam insiden malam Jumaat Disember 29 di sebuah pusat maksiat di Subang Jaya . Menurut laporan seramai 30 wanita asing berusia antara 18 dan 30 tahun (terutama warga Cina) yang dipercayai telah terlibat dengan aktiviti pelacuran telah ditahan. Turut ditahan adalah dua orang wanita yang dipercayai bertindak sebagai ibu ayam.

Menurut laporan Pengerusi Putera Umno Azeez abd. Rahim juga berada di sana kononnya untuk mebantu kawannya yang turut diberkas. Timbalan Menteri Dalam Negeri Noh Omar membuat pengakuan tidak berada di sana, beliau dikatakan septutnya berada di Kluang, akan tetapi Setiausaha Sulit beliau seperti Azeez juga berada di sana!

Tak mengapalah barangkali kerana terlalu ramai VIP termasuk yang dalam kerajaan terlibat, kerana itulah pihak polis termasuk mengambil masa sebelum mendakwa sesiapa, entahlah.

Di Baling semalam Pengerusi Putera Umno yang sama dikhabarkan mempelawa remaja yang terlibat dalam kumpulan Black Metal (yang difatwakan HARAM oleh Majlis Fatwa Kebangsaan) dan kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT) agar menyeratai Putera Umno.

Azeez berkata beliau akan menggunakan pendekatan berkomunikasi, mendengar penjelasan mereka, berbincang serta mencari penyelesaian yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Eloklah kalau Azeez bersedia menerima remaja dari kumpulan ini. Cuma yang kita musykilkan apakah Azeez yang memiliki rekod yang tidak kurang hebat itu mampu memimpin kumpulan remaja yang terlanjur ini?

Cukupkah dengan menyanyikan lagu Alleycat SAMPAIKANLAH SALAM (yang Azeez nyanyikan semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Pemuda Umno lalu) maka remaja ini nanti akan mampu dipulihkan?

Sesungguhnya anak-anak bangsa ini memerlukan kaunseling dan bimbingan dari pihak yang mampu seperti pihak berkuasa agama dan para pendakwah. Pihak JAKIM dikatakan sedang mengusahakan inisiatif ini, biarlah JAKIM yang lakukan, Azeez tengoklah dari jauh dahulu. Atau saya syorkan Azeez juga bolehlah ikut sekali program JAKIM itu nanti, mungkin ada juga baik untuknya dari berada di pusat maksiat membantu kawannya yang dalam kesusahan di sana!

Friday, January 27, 2006

Kemenangan HAMAS:
Hadiah tahun baru Hijrah buat umat islam

Allah swt berfirman dalam surah an Nur ayat ke 55 maksudnya:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu(wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhai Nya untuk mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)



Benarlah janji Allah, sungguhpun exit poll semalam menjangkakan HAMAS sekadar akan memperolehi kemampuan menghalang FATAH dari mengekalkan majoriti besarnya di dalam Majlis Perundangan Palestin yang mempunyai 132 kerusi itu, rupa-rupanya HAMAS dengan izin Allah swt bukan sekadar berjaya menghalang malah menyapu sebahagian besar kerusi dan kini berhak membentuk kerajaannya sendiri tanpa bantuan mana-mana parti.

Keputusan akhir menunjukkan HAMAS memenangi 76 kerusi, FATAH 43 dan baki 13 kerusi dimenangi oleh parti-parti kecil dan Bebas.

Perdana Menteri Ahmad Qorei sejak semalam lagi telah menjangkakan kekalahan besar dipihaknya malah beliau dan kabinetnya telah pun meletakkan jawatan sebelum pun keputusan rasmi diperolehi.

Ini bermakna Presiden Pentadbiran palestin, Mahmoud Abbas terpaksa memanggil pemimpin HAMAS untuk melantik perdana Menteri baru dan membentuk kerajaan pentadbiran Palestin yang baru setelah berjaya mematahkan kuasa FATAH yang bertapak di bumi Palestin sejak 40 tahun kebelakangan.



Saya melihat dalam suasana hidup yang sungguh tertekan dan berhadapan pula dengan regim zionis Israel yang zalim itu, rakyat Palestin akhirnya memilih untuk bersama-sama dengan mereka yang Allah redhai lantaran yakinnya mereka pada janji-janji Allah. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman dalam surah al Kahf ayat 28 maksudnya:

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuham mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu dari mereka kerana mahu kesenangan hidup di dunia, dan janganlah engkau mematuhi orang-orang yang Kami ketahui hatinya lali daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al Quran serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Pada jam 545 petang semalam waktu Malaysia saya sempat menonton siaran CNN yang ketika itu menemuramah secara langsung Pengerusi Palestinian Research Institute Dr Mehdi Abdul Hadi, kata beliau:

Saya kini sedang berdiri di hadapan makam Yaseer Arafat. Saksikanlah (Arafat) kejatuhan pimpinan korup FATAH sedang berlaku disaat ini.

Dr Mehdi menganggap kemenangan HAMAS sebagai suatu POLITICAL EARTHQUAKE atau GEGARAN BESAR POLTIK di bumi Palestin dan juga dunia. Beliau yakin HAMAS dengan kemenangan ini akan mampu menjalani proses perubahan besar dari perjuangan militant ke perjuangan politik berlandaskan demokrasi. Dengan kemenangan ini juga kata beliau HAMAS perlu memikul tanggungjawab memimpin keseluruhan rakyat Palestin dengan meraikan pelbagai perbezaan dan fahaman sebagai sebuah kerajaan.

Manakala seorang lagi penganalisa politik Robert Springborg yang juga Pengarah London Middle East Institute pula yakin dengan kemenangan ini HAMAS akan mula memgang kuasa dan mengawal segala bentuk keganasan kerana kini kemenangan ini memberikannya tanggungjawab baru sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa. Beliau juga yakin HAMAS akhirnya akan secara beransur-ansur terlibat dalam proses diplomatik ke arah mewujudkan kedamaian di Timur Tengah.

Kita lihat pihak Barat agak terperanjat dengan kemenangan diluar jangkaan ini. Tetapi beberapa pemimpin dunia termasuklah dari Timur Tengah dan Kesatuan Eropah telah mula mengirim ucap tahniah kepada pimpinan kanan HAMAS di atas kejayaan luar biasa mereka itu dan berharap agar keamanan akan tercapai di palestind an Timur Tengah.

Yang agak tergamam cumalah Amerika Syarikat, Britain dan Israel.

Dua tuntutan yang kedengaran disaat ini adalah agar, pertama. HAMAS menghentikan keganasan dan gerakan militannya dan kedua, agar HAMAS mengiktiraf kewujudan Negara Israel.

Bagi saya kemenangan politik HAMAS ini sudah merupakan petanda kesediaan HAMAS untuk meneroka jalan demokrasi dan pasti mereka akan merintisnya dengan penuh keyakinan setelah diberi pengiktirafan dan mandat besar oleh rakyat Palestin. Cuma dalam tuntutan kedua itu, tidak ada mana-mana kuasa yang berhak untuk memaksa mereka. Amerika Syarikat sendiri tidak mengiktiraf Korea Utara dan Cuba, dan itu hak mereka, mengapa dalam hal Palestin, HAMAS mahu dipaksa memberikan pengiktirafan kepada Israel.

Apa pun saya yakin HAMAS akan menjadi pemain utama dalam politik Timur Tengah dan dunia selepas ini. Insyallah perjuangan Islam yang didokongnya akan memandu mereka ke arah kejayaan. Ruang seluas dan sebebas-bebasnya perlulah diberikan kepada mereka jika dunia benar-benar menghargai proses demokrasi, jika tidak maka setandinglah mereka dengan Junta Tentera di Myanmar dan Negara-negara kuku besi lain yang menolak keputusan rakyat.

Kemenangan HAMAS merupakan hadiah besar tahun Hijrah 1427 bagi umat Islam seluruh dunia. Allahu Akbar!

Thursday, January 26, 2006

Pilihanraya Parlimen Palestin
Wakeup call bagi Gerakan Islam

Di saat ini proses pengiraan undi sedang berjalan di bumi Anbiya Palestin sebelum diisytiharkan pemenang bagi 132 kerusi Majlis Perwakilan Palestin yang akan membentuk kerajaan baru Palestin.

Dalam keadaan berhadapan dengan kezaliman dan tekanan dari rejim Zionis Israel, rakyat Palestin dengan penuh harapan keluar mengundi bagi menentukan nasib dan masa depan mereka yang sentiasa bergelora itu. Menurut BBC 73 peratus ataupun kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin telah pun keluar mengundi.

Menurut CNN kajian yang dibuat oleh Universiti Bir Zeit menunjukkan parti Islam HAMAS dijangka memperolehi 39.8 peratus undi manakala parti pemerintah Fatah dijangka menerima 46.4 peratus. Besar kemungkinan Fatah terpaksak membentuk kerajaan campuran, dan kerajaan campuran yang kukuh hanya dapat dibentuk dengan penyertaan HAMAS.

HAMAS yang lebih dikenali sebagai Gerakan Islam Militan, telah menyertai pilihanraya kali ini setelah memboikot pilihanraya yang lalu. HAMAS mengemukakan agenda pembaharuan, membariskan pimpinan yang bersih dan bertaqwa serta berjanji untuk membela kebajikan rakyat Palestin disamping membentuk negara berpandukan al Quran dan Sunnah.



Rata-rata penyertaan HAMAS di dalam proses demokrasi di Palestin kali ini telah diberi sambutan yang begitu baik oleh rakyatnya. Rakyat Palestin muak dan bosan dengan telatah kepimpinan Fatah yang memimpin Pentadbiran Palestin selama ini dengan rekod kepimpinan yang tercemar dengan rasuah, nepotisma dan kronisma.

Sambutan baik rakyat Palestin ini sangat dibimbangi oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, akan tetapi mereka tidak dapat mengenakan tindakan sebagaimana di Afghanistan, Chechnya dan Iraq contohnya oleh kerana HAMAS menyertai proses demokrasi dan mengaut sokongan melalui sistem pilihanraya.

Kejayaan HAMAS di Palestin ini membuktikan yang Islam boleh ditegakkan melalui proses demokrasi. AKP di Turki, PKS di Indonesia dan Ikhwan (walaupun bertanding atas tiket Bebas) di Mesir telah membuktikannya (begitu juga FIS di Algeria walaupun kemudiannya diambil tindakan), PAS juga pernah membuktikannya dengan menang di Kelantan dan Terengganu.

Oleh itu sudah tiba masanya Gerakan Islam membuat repackaging dari segi kaedah pendekatan. Jangan lagi membenarkan imej militan dan ekstrimis itu menghantui orang dari mendekati dan menerima perjuangan ini. Kaedah bersenjata hanya mengundang permusuhan dunia dan memperkecilkan peluang dan harapan oleh kerana kemampuan kita yang sangat dhaif berbanding dengan yang ada ditangan mereka.



Gilaplah kembali kaedah ini, perkemaskan kembali jentera, jika HAMAS di Palestin yang berhadapan dengan musuh Allah pada setiap saat dan ketika itu pun mampu meraih kemenangan, inikan pula kita yang jauh di seberang sini.

Syabas HAMAS, syabas rakyat Palestin!

Larangan pembakaran mercun:
Penyeludup kaya kerajaan rugi

Pada hari Ahad ini kawan-kawan kita dari keturunan Tionghua akan meraikan perayaan Tahun Baru Cina.

Dan sebagaimana biasa perayaan ini tidak akan meriah tanpa kehadiran limau mandarin, tarian singa, angpow dan tidak ketinggalan pembakaran mercun. Kecuali pembakaran mercun, simbol perayaan Tahun Baru Cina yang lainnya tidak dilarang oleh kerajaan Malaysia.



Seingat saya pengimpotan mercun dan bungapi ini mula diharamkan oleh kerajaan sejak letupan besar berlaku di kilang Bright Sparklers (Daim Zainuddin salah seorang pengarahnya) di Sungai Buloh, Selangor pada tahun 1991 lalu yang mengorbankan 22 nyawa dan 103 yang lain tercedera. Sejak dari itu pengimportan bungapi dan mercun telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

Walaubagaimanapun kita saksikan meskipun dengan larangan itu pada setiap kali perayaan terutama semasa Tahun Baru Cina (Hari Raya dan Deepavali pun sama, cuma taklah sehebat Tahun Baru Cina) ledakkan mercun dan bungapi tetap kedengaran dan kelihatan. Buatlah apa pengumuman dari pihak mana sekalipun namun setiap kali perayaan suka tak suka yang meletup akan meletup juga.

Solanya kalau dah dilarang, bagaimana boleh meletup lagi? Bukan sikit-sikit kuantitinya, rasanya mercun terutamanya dilepaskan dihampir setiap ceruk rantau negara. Dari mana datangnya bahan larangan ini?

Yang pastinya apabila pihak Kementerian Perdagangan tidak lagi mengeluarkan AP untuk pengimportan mercun ini, bermakna semua yang kita dengar dan lihat semasa hari-hari perayaan itu dibawa masuk ke dalam negara secara haram, ataupun diseledup masuk.

Biasanya mercun ini dimpot masuk melalui negara Cina melalui laut ataupun dari Negara Thai melalui darat. Bermakna kawalan pihak kastam dan UPP (Pencegah Penyeludupan) selama ini bolos atau sengaja diboloskan, wallahualam.

Bagi saya kerajaan perlu memandang serius perkara ini. Kalau bolos seperti yang ada pada hari ini bermakna pertamanya larangan kerajaan itu dimain-mainkkan sahaja dan keduanya yang lebih penting lagi kerajaan kehilangan berjuta-juta ringgit, kerana bahan ini diseledup masuk tanpa cukai.

Saya difahamkan duti yang dikenakan terhadap mercun semasa ianya dibenarkan dimpot dahulu mencecah 50 peratus dari nilainya. Bayangkan berapa banyak yang kerajaan rugi apabila barangan ini berjaya diseledup masuk secara besar-besaran!

Kesimpulannya samada kerajaan meneruskan pengharaman impot ini dengan mengetatkan lagi penguatkuasaan (yang ada ini berbau rasuah kerana bagaimana boleh lolos kuantiti yang begitu besar pada satu-satu musim perayaan, kemudian jarang pula dengan sesiapa yang didakwa) mungkin dengan melibatkan tentera dan unit-unit lain. Ataupun suasah-suasah dibenarkan sahaja pengimportan seperti dahulu, sekurang-kurangnya dapatlah berjuta-juta ringgit masuk sebagai hasil tambahan dizaman gawat ini.

Kalau masalah ini tidak dipandang serius kerajaan akan dilihat bagaikan badot besar, apa tidaknya, mercun dan bungapi yang packing nya besar-besar pun boleh bolos, macam-mana nak pantau penyeludupan dadah yang lebih kecil packing nya! Kalau tak percaya tunggulah menjelang jam 12 malam hari Sabtu ini, kecuali kalau anda tingal di kawasan 100 peratus Melayu, mustahil telinga anda tidak dapat menangkap bunyi bingit dari ledakan mercun yang dilepaskan oleh kawan-kawan kita.

Gong Xi Fa Cai.

Wednesday, January 25, 2006

Nasihat PM tidak dipedulikan Kaliammal

Ramai menyangkakan apabila PM Dollah Badawi menegaskan bahawa Perkara 121 (1)(A) tidak akan dipinda maka berakhirlah segala tuntutan yang berbangkit ekoran dari keputusan kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy.



Semua pihak disangka akan menerima baik kesudahan kontroversi ini, mengelakkan ketegangan dan kembali ke arah membina negara yang aman dan damai yang saling hormat menghromati antara satu dengan yang lain.

Mudah-mudahan roh Allahyarham akan tenteram dan tiada lagi pertikaian yang akan timbul mengenainya.



Rupa-rupanya segala sangkaan yang dimaksudkan meleset. Hari ini akhbar tempatan melaporkan S.Kaliammal, isteri Allahyarham Mohammad yang masih beragama Hindu itu telah pun memfailkan rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan semalam.

Beliau mengemukakan 50 alasan bagi Mahkamah Rayuan untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu dan membenarkan tuntutannya iaitu Allahyarham sebenarnya seorang Hindu dan bukan Islam.

Saya yakin terdapat banyak tangan-tangan hitam di belakang tabir yang mendesak dan memaksa Kaliammal agar terus dengan rayuan ini. Benarlah sebagai seorang manusia, tambahan isteri pula pada si mati pasti Kaliammal mahu membela hak beliau sebagai isteri dan hak keluarganya. Tetapi perkembangan terbaru telah melihatkan campurtangan pimpinan tertinggi negara, disamping keputusan mahkamah tinggi yang sedia ada.

Dengan meneruskan tuntutannya ini bermakna Kaliammal tidak pedulikan rayuan dan saranan PM dan enggan berlapang dada. Memang dari perspektif undang-undang merayu adalah haknya, lalu merayulah beliau. Pasti juak-juak di belakangnya melompat-lompat dan bersungguh-sungguh bekerja bagi memastikan rayuan ini berjaya.

Cuma katakanlah jika rayuan ini berjaya (minta dijauhkan oleh Allah swt), bermakna mahkamah akan membenarkan tuntutan Kaliammal, saya tidak boleh membayangkan apa yang akan berlaku! Mungkinkah pusara Allahyarham dibongkar dan jenazahnya kemudian dibakar menurut adat Hindu?

Nampaknya kes yang sensitif ini belum sampai kepenghujungnya, ia akan terus menduga kesabaran umat Islam entah sampai bila. Marilah kita berdoa mudah-mudahan Allah swt mengerakkan hati para hakim di Mahkamah Rayuan itu kelak agar menolak kesemua tuntutan Kaliammal itu, Amin.

5,000 gadis Melayu tukang urut

Bukan lima bukan lima puluh bukan juga lima ratus tetapi angkanya menurut Senator Rizuan Abd Hamid mencecah lima ribu, iaitu bilangan gadis Melayu yang bekerja sebagai tukang urut di rumah-rumah urut di sekitar Lembah Kelang.



Beliau membangkitkan perkara ini oleh kerana menurutnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun memfatwakan bahawa HARAM hukumnya bagi wanita Islam untuk berkerja di tempat-tempat seumpama ini.

Rumah urut di Lembah Kelang bukannya mengurut sebagaimana bidan mengurut wanita dalam pantang, tetapi di rumah-rumah urut ini wanita yang menjadi tukang urut dan yang diurut adalah jantan-jantan yang memang pantang diurut. Ringkasnya rumah-rumah urut di Lembah Kelang samada yang berlesen maupun yang tidak rata-rata adalah pusat-pusat maksiat belaka.

Dan ditempat-tempat puaka inilah anak-anak gadis Melayu dibayar dengan harga yang lumayan oleh taukeh-taukeh tuan punya rumah urut bagi memberikan khidmat mengurut para pelangan mereka Cina, Melayu, India dan orang asing. Ianya biasa berakhir dengan tubuh anak-anak gadis Melayu tadi digomol dan diperlakukan oleh jantan yang telah membara nafsu serakahnya lantaran mendapat khidmat urut tadi.

Lalu terceburlah anak-anak bangsa ke kancah pelacuran yang HARAM dan hina itu.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Kata Rizuan kerajaan tidak serius menanganinya samada kerana kurangnya penguatkuasaan maupun kurangnya kerjasama antara PBT dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Beliau menuntut agar satu Jawatankuasa Kabinet dibentuk segera untuk memantau dan menangani perkara serius ini.

TPM Najib Tun Razak ketika membuat ulasan berkenaan isu yang dibangkitkan oleh Rizuan ini telah dipetik sebagai berkata dalam akhbar THE STAR:

The problem of thousands of Malay girls working in massage parlours in Klang Valley cannot be solved just by setting up a Cabinet committee. This is a complex problem which requires a holistic approach that should encompass enforcement, religious education and strengthening of family institutions.

Masalah ini tidak boleh selesai dengan hanya membentuk satu Jawatankuasa Kabinet. Ianya satu masalah yang rumit yang memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan badan penguatkuasa, pendidikan agama dan memperkukuhkan institusi keluarga.

Saya melihat respon Najib ini tidak serius dan hanya sekadar memberi ulasan, ia tidak berbentuk arahan yang bersungguh. Dalam erti kata lain, TPM merasakan tidak perlu sebuah JK Kabinet dibentuk walaupun mengakui angka lima ribu yang didedahkan oleh Rizuan itu.

Kerana itulah kita lihat bila pihak JAWI mahu menubuhkan badan sukarelawan yang menjalankan kerja-kerja memantau bagi pihak Penguatkuasa JAWI, kabinet telah mengarahkan ianya dibubarkan. Dan kini apabila sudah sampai keperingkat anak-anak bangsa terjebat dengan begitu ramai dalam kancah maksiat sebagai satu aktiviti mencari rezeki, pemimpin bertaraf TPM masih tidak pandangan serius perkara ini.

Bagi saya angka mereka yang terlibat dalam industri maksiat ini sebenarnya lebih besar. Kalau lima ribu itu melibatkan mereka yang menjadi tukang urut, bagaimana pula mereka yan menjadi GRO, yang bekerja menghidang dan mempromosi arak di kelab-kelab malam dan pusat hiburan. Berkemungkinan angkanya lebih besar lagi.

Yang sedihnya, hakikat ini dipandang sepi oleh pihak pimpinan negara. Dan sehingga pendekatan HOLISTIK Najib itu diambil (entah bila agaknya) maka teruslah anak-anak bangsa kita akan menagih wang dengan melacurkan tubuh, mempergadaikan maruah, mempersetankan agama, kerana siapa pun tidak peduli, kerana yang pentingnya adalah wang dan cari makan.

Mana pergi pengkritik mahkamah syariah?

Ketika sengketa isu Moorthy dan peruntukkan kontroversi Perkara 121 (1)(A) sedang hangat diperkatakan, pimpinan dan pemuka parti-parti politik dan NGO tertentu khasnya mereka yang rimas dan gelisah dengan keputusan kes Moorthy telah menghambur dan melemparkan berbagai kritikan dan kata-nista terhadap institusi mahkamah syariah di Malaysia.

Antara tohmahan yang paling popular adalah bahawa institusi mahkamah syariah tidak dapat menjamin keadilan untuk masyarakat bukan Islam.


(Gambar NST)

Institusi mahkamah syariah dilihat bagaikan seekor jembalang yang bengis dan ganas yang pasti akan menelan apa sahaja tuntutan masyarakat bukan Islam, walaupun ianya berasas sekalipun. Da pihak yang mengumpamakan mahkamah syariah bagaikan mahkamah Taliban yang kononnya ekstrim dan tidak berperikemanusiaan.

Demikianlah persepsi masyarakat bukan Islam yang dibantu pula dengan sokongan dan simpati kononnya dari pimpinan dan tokoh-tokoh politik dan NGO tertentu yang beragama Islam.

Lalu semalam apabila Mahkamah Syariah Seremban memutuskan bahawa Nyonya Tahir (yang meninggal Khamis lalu pada usia 89 tahun) seorang wanita Melayu sebagai seorang bukan Islam dan mayatnya dibenarkan dikebumikan mengikut kepercayaan Buddha sebagaimana yang dituntut oleh waris dan ahli keluarganya, mana pergi para pengkritik tadi?

Mahkamah yang sama buat pertama kali telah mendengar afidavit orang bukan Islam iaitu anak-anak simati Chiang Ah Fatt, 40, dan kakaknya Kwang Ying, 43. Serta membenarkan dua orang peuam bukan Islam iaitu Koo Chin Nam yang dibantu oleh Kevin Koo S. K. hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga simati.

Kes ini jelas menafikan segala tohmahan dan gambaran buruk yang cuba diketengahkan oleh mereka yang sememangnya tidak bersedia menerima kewujudan dua sistem pengadilan dalam negara iaitu sivil dan syariah.

Menurut Tuan Hj Muhamad Burok, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak persatuan itu dalam kes ini:

Kes ini merupakan suatu tauladan dan boleh digunakan sebagai formula penyelesai untuk sebarang konflik yang seumpamanya dimasa akan datang. Ini membuktikan bahawa kedua-dua sistem kehakiman yakni Sivil dan Syariah, sesungguhnya boleh wujud dala, suasana yang harmonis tanpa perlu meminda perlembaaan persekutuan.

Keputusan pada hari ini membuktikan semua pihak boleh mendapat perlindungan dari mahkamah (syariah).

Harus diperhatikan bahawa sebagaimana kes Moorthy di Mahkamah Tinggi Wilayah dahulu kes ini juga didengar EX PARTE iaitu permohonan sebelah pihak oleh MAINS (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan) dan JAINS (Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan).

Saya bangkitkan perkara ini oleh kerana dalam kes Moorthy dahulu para pengkritik berhujah bahawa mereka tidak diberi hak kerana kes Moorthy itu kononnya sengaja didengar EX PARTE. Jadi kes Nyonya ini bagaimana?

Memang tidak dinafikan dalam kes Moorthy keputusannya memihak kepada Islam oleh kerana mahkamah berpuas hati yang beliau memang telah memeluk Islam dengan kerelaan hatinya manakala dalam kes Nyonya simati sendiri semasa hayatnya telah mengambil inisiatif untuk meningalkan Islam. Kerana itu kita lihat keputusan yang berbeza namun yang pentingnya di sini institusi mahkamah syariah telah membuktikan ianya sebagai berkemampuan memberikan keadilan khasnya dalam konflik yang melibatkan pengislaman seseorang.


(maaf artikel ini sepatutnya dimuatkan semalam tetapi kerana masalah teknikal ia cuma dapat dimuatkan hari ini)

Monday, January 23, 2006

Kit Siang yang sebenarnya

Benarkah Kit Siang anti Melayu? Benarkah Kit Siang anti Islam? Benarkah Kit Siang cavunis bukan Melayu?

Kit Siang atas sifatnya sebagai Ketua Pembangkang adalah ahli politik bukan Islam yang pertama mengambil inisiatif bagi mendesak kerajaan agar meminda atau memansuhkan Perkara 121 (1)(A) Perlembagaan Persektuan yang memberikan kekebalan kepada Mahkamah Syariah dari diganggu oleh Mahkamah Sivil.

Pada 5 Januari lalu beliau telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat di Parlimen yang telah dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri dari wakil-wakil NGO bukan Islam termasuklah beberapa tokoh Melayu antaranya:

Tan Sri Abu Talib Othman (Pengerusi SUAHAKAM)
Zaid Ibrahim (ahli Parlimen Umno Kota Bharu)
Malik Imtiaz (HAKAM)
Salbiah Ahmad (peguam)

Tujuan persidangan tersebut menurut Ki Siang adalah:

to rectify the injustices emanating from Article 121(1A), where non-Muslims have no remedy in any court where their rights have been adversely affected by syariah court decisions.

(untuk memperbetulkan KETIADADILAN yang lahir dari Perkara 121 (1)(A), dimana masyarakat bukan islam tidak mempunyai remedi dimana-mana mahkamah kiranya haknya telah terjejas akibat dari keputusan mahkamah syariah)

Benarkah terbit KETIDAKADILAN dari Perkara 121 (1)(A) khasnya dalam kes Moorthy?

Ekoran dari Persidangan Meja Bulat ini satu memorandum telah diserahkan kepada pihak kerajaan agar segera meminda Perkara ini atau mengembalikannya sebagaimana pada asalnya sebelum dipinda pada tahun 1988 dahulu.

Bermakna Kit Siang dan rakan-rakannyalah (yang membabitkan sekali Abu Talib dan Zaid Ibrahim) antara yang pertama menyerahkan memo kepada kerajaan, bukannya Geng 10! Kalau Geng 10 dengan memo puakanya dipanggil kurang ajar oleh setengah-setengah pihak dalam Umno setelah Dollah Badawi bersuara, bagaimana pula dengan Kit Siang? Bagaimana pula dengan Abu Talib? Bagaimana pula dengan Zaid Ibrahim?

Berikut adalah kenyataan Kit Siang setelah mendapat tahu yang Dollah Badawi murka dengan tindakan Geng 10 itu:

I am seeking a meeting with the Prime Minister, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi as I am very concerned at the disturbing turn of developments in the controversy over Article 121(1A) following the M. Moorthy case.

A rampage has started against the unprecedented memorandum by nine of the ten non Muslim ministers to the Prime Minister, with the
Minister in the Prime Ministers Department, Datuk Seri Nazri Aziz demanding that the non-Muslim ministers should withdraw the memorandum as it was a THREAT and challenge to Abdullah as Prime Minister.

He added that:


their action seems to suggest a rift between non-Muslim and Muslim ministers.

I want to make a call to all concerned, particularly Barisan Nasional leaders and parties, not to create a synthetic political crisis. There is no conflict and tension between Muslims and non-Muslims or Malays and non-Malays, as the issue at stake is about the question of justice – the restoration of the pre-1988 position of the constitutional rights of the non-Muslim Malaysians.

Hairan setelah beberapa dekad menjadi ahli Parlimen Malaysia dan beberapa penggal sebagai Ketua Pembangkang, Kit Siang masih tidak peduli atau sengaja tidak mahu peduli akan sensitiviti umat Islam dalam negara. Kalau beginilah sikap beliau apakah agaknya jawapan saudara terhadap persoalan-persolana saya di atas.

Saya tidak tergamak menyiarkan komen masyarakat bukan Melayu terhadap sikap Kit Siang ini dalam Blog beliau di http://blog.limkitsiang.com

Mana tidak menyala api perkauman dan kebencian apabila para pembakarnya silih berganti mencucuh-cucuchkannya dari Kit Siang ke Kah Ting ke Keng Yaik dan ke Samy kemudian balik ke Kit Siang (macam main badiminton pulak).

NST salahkan PAS dan NGO kerana gagalkan Memo Geng 10

Pada hari Jumaat lepas PM Dollah Badawi telah menegaskan bahawa kerajaan beliau tidak akan meminda Perkara 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan dan telah menolak memorandum Geng 10 (ada yang kata Geng 9 kerana Leo Toyad tak sign).

Kesimpulannya isu ini dikira selesai.


YB Salahuddin, Hj Mahfuz dan Us Idris mengetuai perarakan Jumaat lepas
(gambar PERAKAN)

Walaubagaimanapun berdasarkan kenyataan Samy Vellu (MIC), Lim Keng Yaik (Gerakan) dan Ong Ka Ting (MCA) kelihatan seolah-olah perkara itu sebenarnya belum selesai. Benar mereka menarik balik memo yang dimaksudkan atas nasihat PM namun semangat dan kandungan memo itu dikira akan dibangkitkan oleh mereka semasa mesyuarat kabinet. Dan bukankah maksud utama memo itu adalah bagi mendesak agar dipinda Perkara 121 (1)(A) kerana kononnya dikatakan menggugat hak asasi masyarakat bukan Islam.

Apa pun semua pihak sepatutnya akur pada kenyataan Dollah Badawi itu kerana bukankah beliau PM.

Anehnya arahan PM ini bagaikan dipandang sepi oleh NST. Semalam Pengarang Kumpulan NST, BERENDAN PEREIRA di dalam ruangan mingguannya PLAIN TALK telah mengulas isu ini atas tajuk:

SPOILERS GET A BREAK FROM MEMO MISSTEP

Pihak kacau daun berjaya atas silap langkah memo

Sesungguhnya BERENDAN memang antara pengarang akhbar yang telah mengekploitasi isu ini sehingga keperingkat tidak memperdulikan langsung sensitviti masyarakat Islam. Semasa isu ini bertiup kencang NST akan mengambil kenyataan mana-mana pemimpin Melayu yang kelihatan menyokong usaha meinda Perkara ini dan kemudiannya disusuli dengan berjurai-jurai komen dari pemimpin politik dan NGO bukan Islam yang lain.

Bukankah NST yang terbit di muka depannya gambar-gambar Geng 10 yang telah mengirim memo berpuaka kepada PM itu.

Kata BERENDAN isu ini kononnya berjalan dengan baik pada awalnya. Kononnya perbincangan secara terbuka berjalan dengan sihat diikuti dengan penyerahan memo berpuaka itu sehinggalah perhimpunan di Masjid Negara Jumaat lalu.

Beliau menulis:

The only hint of trouble came on Friday when a few hundred supporters of PAS and several NGO hit the streets. Their demonstration outside the National Mosque was very much in the character of fringe groups which can only play one role: that of a spoiler.

They stand at the sidelines when moderation and reason reign and only jump in when a misstep is made.

(Bayang-bayang kekacauan muncul pada hari Jumaat lalu apabila beberapa ratus penyokong PAS dan NGO berarak ke tengah jalanraya. Perhimpunan mereka di luar Masjid Negara sebenarnya mencermin kumpulan pelampau yang hanya tahu memainkan satu peranan sahaja iaitu: pengacau daun.

Mereka menyepi apabila keadaan tenang penuh rasional dan cuma melompat masuk apabila berlaku kesilapan.)

Yang saya perhatikan semasa isu ini dikemuncak dahulu NST lah yang sebenarnya membakar dan begitu ghairah melaga-lagakannya. Artikel-artikel yang terbit, semuanya dipilih dikalangan mereka yang restu dan cenderung dengan pandangan-pandangan pimpinan dan pemuka bukan Islam termasuklah dari Chandra Muzaffar, Harris Ibrahim, Zaid Ibrahim dan lain-lain.

Ruangan surat dari pembaca akhbar NST menerbitkan pandangan dan kritikan terbuka dari individu bukan Islam yang mahukan Perkara ini dipinda.

Tiba-tiba BRENDAN berani mengatakan when moderation and reason reign, yang terserlah ketika itu sebenarnya kritikan dan serangan terbuka terhadap keputusan kes Moorthy, Perkara 121 (1)(A) dan Islam sendiri.

BRENDAN dan suku-sakatnya barangkali berpuas-hati apabila mahu menyalahkan PAS dan pimpinan NGO-NGO Islam yang telah berjaya menggagalkan usaha jahat mereka itu.
Ketahuilah FRINGE GROUPS yang BRENDAN katakan itu sebenarnya tidak berpatah hati malah berbangga, setelah umat Islam diuji kesabaran mereka oleh tulisan berbentuk hasutan dari beliau dan rakan-rakannya serta tuntutan keterlaluan NGO-NGO bukan Islam termasuklah group NGO Hindu yang menuntut Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan Khas yang memutuskan kes Moorthy itu agar dipecat, akhirnya apabila FRINGE GROUPS ini bangkit, kerajaan terus menutup rapat tuntutan kumpulan bukan Islam yang sudah sampai keperingkat mencetuskan kekacauan.

Memang usaha PAS dan NGO-NGO Islam bermula dengan demonstrasi hari Jumaat lalu dan penyerahan memorandum ke SUHAKAM adalah untuk menggagalkan tuntutan radikal Geng 10 dan masyarakat bukan Islam. Mereka bertindak mengikut saluran undang-undang, mengamalkan hak berkumpul dan bersuara sebagaiamana di peruntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Mereka tidak merusuh, mereka tidak mengganas, jika BRENDAN marah dan tidak berpuas hati, bagi saya persetankan BRENDAN!

Saturday, January 21, 2006

Demonstrasi yang menggemparkan Putrajaya




Sejurus selesai SOLAT JUMAAT semalam lebih 1,000 para jemaah di Masjid Negara Kuala Lumpur telah berkumpul mendengar penerangan dari Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat YB Salahuddin Ayub dan AJK PAS Pusat Peguam Hanipa Maidin diperkarangan masjid.

Yang disuarakan adalah bantahan umat Islam darihal tuntutan pihak-pihak tertentu khasnya masyarakat bukan Islam yang menuntut agar Perkara 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan dipinda kerana kononnya menafikan hak masyarakat bukan Islam.

Sedangkan Perkara itulah satu-satunya perkara yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan yang mempertahankan maruah dan kewibawaan institusi mahkamah syariah di Malaysia. Sudahlah kewujudan mahkamah syariah itu pun dengan seribu-satu kekurangan dan kedhaifan, tiba-tiba yang sekelumit ada itupun mahu dirampas di depan mata kita.

Maka jemaah yang berkumpul diajak beramai-ramai berarak secara aman ke Pejabat SUHAKAM untuk menyerahkan memorandum kepada pihak SUHAKAM atas alasan perkembangan ini menganggu-guggat hak umat Islam dalam negara kita.

Dan beraraklah sekitar 500 orang dari Masjid Negara melalui Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut terus ke Pejabat SUHAKAM di Menara Tun Razak

YB Salahuddin telah menyerahkan memorandum kepada Prof Dr Hamdan Adnan, Pesuruhjaya SUHAKAM yang telah menerima rombongan dengan begitu mesra sekali.

Turut memberikan pandangan sebelum memo diserahkan adalah Tuan Hj Muhammad Sabu, Tuan Hj Mahfuz Omar, Tuan Hj Abd Rahman Othman, Dr Dzulkifli Ahmad, Ustaz Idris Ahamd dan Sdr Hanipa Maidin.

Turut berada mengiringi rombongan adalah Dr Hatta Ramli, YB Ir Amiruddin Hamzah, Wakil Angkatan Muda PKR dan wakil-wakil NGO Melayu.

Di waktu dan ketika yang sama, EXCO Pemuda Umno dan EXCO Wanita Umno bermesyuarat dengan selesa di Putrajaya. Dan ketika itulah PM Dollah Badawi mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak berhasrat meminda Perkara 121 (1)(A) sebagaimana dituntut pihak-pihak tertentu termasuklah Geng 10 iaitu anggota kabinet bukan Islam.

Terima kasih Dollah Badawi dan syabas Pemuda dan pimpinan PAS serta NGO-NGO Melayu/ Islam yang lain yang begitu prihatin dan dengan berani membawa perkara ini ketengahh.

Individu dan kumpulan tidak penting dalam hal ini, yang pentingnya adalah harga diri dan maruah umat Islam berjaya dipertahankan.

Allahuakbar!



Friday, January 20, 2006

Selangor berbangga tiada unit anti maksiat

Ketika Pasukan Sukarelawan JAWI teruk dibelasah terutama oleh Kabinet dan pemimpin serta masyarakat bukan Islam, kerajaan Selangor terkial-kial menyatakan bahawa JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) tidak pernah mewujudkan unit tindakan pencegahan maksiat yang menjalankan kegiatan intipan atau menghendap.

Menurut EXCO yang bertanggungjawab, Rahman Palil kononnya JAIS tidak pernah mewujudkan unit tersebut dan segala aktiviti pencegahan maksiat yang dijalankan adalah mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Beliau dipetik oleh UTUSAN sebagai berkata:

Kita tidak mengambil pendekatan menghendap atau mengintip kerana amalan ini tidak melambangkan pendekatan kerajaan negeri yang mahukan satu sistem yang berteraskan hikmah dan toleransi seperti yang terkandung dalam enakmen berkenaan.

Tak perlulah EXCO berkenaan menangguk di air keruh. Kalau maksiat di negeri Selangor ini, memang tak perlukan kaedah mengendap atau mengintip kerana umum tahu ianya dilakukan secara terang-terangan.

Saya berani menamakan beberapa pusat awam, contohnya Sunway Piramid, Summit, Damansara Uptown, taman-taman tasik di Kelana Jaya, Shah Alam, PJ, muara Pelabuhan Kelang tidak termasuk tempt-tempat eksklusif seperti Holiday Villa dimana baru-baru ini nama-nama besar seperti Noh Omar dan Azzez si Ketua Putera terbabit dalam operasi maksiat.

EXCO berkenaan sepatutnya mengeluarkan angka-angka bagi membuktikan sejauh manakah kejayaan pendekatan berteraskan hikmah dan toleransi itu di Selangor dalam usaha membenteras maksiat?!

Sesungguhnya maksiat di Selangor sudah berada ditahap luar kawalan. Lihat sahaja premis-premis judi yang bersepah di negeri ini, JAIS sebenarnya sudah tak mampu membendung umat Islam termasuk warga Indonesia dan Bangladesh yang beragama Islam dari berjudi di tempat-tempat ini, walaupun kononnya terdapat larangan.

Demikian juga premis yang menjual dan menghidang arak, serta premis yang menjaja khidmat GRO anak-anak Melayu, termasuk rumah-rumah urut maksiat yang turut menjaja anak-anak Melayu, apakah pencapaian JAIS setakat ini?

Memang JAIS tidak ada unit anti maksiat dalam bentuk sukarelawan, kerana kerajaan Selangor bacul dalam menghadapi tekanan dan bantahan dari golongan Melayu moderat dan masyarakat bukan Islam. Memang penguatkuasaan nahi mungkar di Selangor sungguh longgar, sedangkan kemungkaran dan kemaksiatan semakin bermaharajalela dari hari ke hari.

Yang JAIS dan kerajaan Selangor berani adalah apabila bertindak terhadap AJK Masjid dan Surau-surau, para pendakwah dan para imam, termasuklah terhadap PASTI dan yang seumpamanya. Dan jangan lupa tindakan bersejarah kerajaan Umno Selangor memecat Muftinya sendiri iaitu Dato Ishak Baharom. Tetapi apabila berhadapan dengan kemungkaran dan kemaksiatan, mereka bacul, longlai dan melarikan diri!

Yang pastinya Khir Toyo termasuklah Rahman Palil akan dipertanggungjawabkan jika tidak di dunia insyallah di akhirat kelak di hadapan Kadhi Rabbul Jalil, ketika itu alasan-alasan seumpama ini akan hanya membakar mereka sepanas-panas bakaran, nauzubillah.

Ini bukan masanya untuk berzapin



Dalam sibuk kita bersiap-siap untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi mempertahankan Perkara 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan di Masjid Negara tengahari ini, tiba-tiba terselak akhbar UTUSAN MALAYSIA hari ini.

Sedang umat Islam bimbang gelombang tuntutan masyarakat bukan Islam dari parti-parti politik kerajaan dan pembangkang sehinggalah pertubuhan agama dan NGO bukan Islam yang begitu ghairah mahu meletakkan mahkamah syariah di bawah telunjuk mahkamah sivil, rupa-rupanya sahabat kita Khairy Jamaluddin Naib Ketua Pemuda Umno sedang sibuk dengan pendaftaran keahliannya.

Kita sedang sibuk bekerja meminta masyarakat Islam bangun dan bersatu dalam menghadapi tentangan langsung terhadap maruah dan kewibawaan umat Islam, Khairy pula sibuk Kempen Daftar Ahli dan Festival Zapin!

Saya percaya saudara-saudara kita dikalangan ahli-ahli biasa Umno, tua dan muda turut prihatin akan isu besar yang berada di hadapan mata kepala kita ini, serta ancamannya terhadap Islam. Ayuh kita bersatu atas nama Islam, kita ketepikan perbezaan politik dan ideologi, ini isu nasib dan masa depan ummah, ayuh kita bersatu di bawah kalimah tauhid Laillahaillallah. Kita perdengarkan suara kita, bantahan kita, ketidakpuasan hati kita, semoga masyarakat bukan Islam segera menghormati dan mengiktiraf kekuatan dan perpaduan kita itu.

Tinggalkanlah Khairy seorang dengan zapin-zapinnya.

Disaat ini wajar sangatlah kita merenung dan mengambil iktibar dari sajak keramat Allahyarham Usman Awang:

KURANG AJAR

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.

Thursday, January 19, 2006

Nanyang Siang Pau julang usaha 10 menteri bukan Islam

Menurut laman Malaysiakini dan Screenshot akhbar berbahasa Cina NANYANG SIANG PAU hari ini melaporkan bahawa 10 menteri bukan Islam dalam kabinet Dollah Badawi telah menyerahkan satu memorandum berhubung tuntutan meminda Perkara 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan yang memelihara kewibawaan dan kekebalan Mahkamah Syariah.

NANYANG meletakkan perkembangan ini di mukadepan akhbarnya manakala sebuah lagi akhbar Cina SIN CHEW DAILY meletakkannya di muka tiga.


(tanpa gambar Leo Michael Toyad yang berada di luar negara)

Antara kandungan memorandum tersebut menurut Malaysiakini adalah:

meminta supaya diperjelaskan kekeliruan dalam undang-udang masakini, terutama dalam soal mahkamah sivil tidak boleh mencampuri keputusan mahkamah Syariah dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap hak dan kepentingan bukan Islam.

Menyentuh tentang keadaan apabila ada pasangan yang salah seorang daripadanya telah memeluk Islam tetapi tidak memaklumkan kepada pasangannya dan menimbul persoalan sama ada generasi keluarga itu seterusnya secara automatik telah bertukar agama kepada Islam.

Tiada laporan dalam akhbar tempatan yang lain hari ini mahupun berita TV3 dan NTV7 semalam darihal penyerahan tuntutan ini ataupun sikap PM dan kabinet. Bagi saya perkembangan ini sungguh tidak sihat dalam memupuk semangat perpaduan dan persefahaman antara kaum.

Urusan dan hal-ehwal sesuatu agama tidak sepatutnya dicampuri oleh penganut agama lain tak kiralah dia seorang individu biasa apalagi yang bertaraf menteri. Membikin memorandum agar Perkara 121 (1)(A) ini dipinda atas apa alasan sekalipun sebenarnya mencampuri hal-ehwal umat Islam.

Ini semua berbangkit dari kes Allahyarham Sarjan Mohammad a.k.a Moorthy, yang tidak memuaskan hati pihak-pihak tertentu yang bukan Islam. Saya pernah highlightkan yang affidavit dalam kes Moorthy ini sendiri penuh dengan kekeliruan dan tipu-daya, mengapa tak seorang pun menteri bukan Islam dalam Geng 10 itu menyiasat perkara ini? Mensahihkan kebimbangan isteri Moorthy, benar atau pun tidak dakwaan beliau itu?

Tiba-tiba yang mahu dituntut adalah agar Mahkamah Syariah diletakkan di bawah telapak kuasa Mahkamah Sivil! Apakah makna semua ini?

NANYANG begitu berbangga sehingga meletakkan pencapaian GENG 10 itu di muka depannya, apakah muslihat mereka?

Kepada PM Dollah Badawi dan rakan-rakan kabinet yang beragama Islam, segala-galanya terletak ditangan anda semua, sekiranya tersilap langkah dan rela menggadaikan maruah Islam atas apa alasan politik sekalipun maka bersedialah menerima hukuman Allah dan keputusan rakyat dalam pilihnaraya umum kelak.

Kerja nahi mungkar mengancam hak asasi individu: Kabinet

Beberapa hari lalu Pengarah JAWI Che Mat Che Ali mengumumkan penubuhan pasukan sukarelawan JAWI. Menurut Che Mat objektif utama pasukan ini adalah:

mengadakan kempen dan kegiatan bagi mengelakkan remaja terbabit dengan gejala sosial seperti dadah serta membantu mangsa bencana alam.

Lalu berseleraklah di dada-dada akhbar (khasnya yang bukan berbahasa Melayu) kononnya JAWI mahu menubuhkan Skuad Pengintip yang akan menyerbu dan menahan pasangan yang sedang berasmara dan mereka yang berpakaian tidak senonoh.

Pertuduhan ini menjadi semakin hangat apabila ada kalangan menteri Melayu yang turut mengeluarkan pandangan bagi mencuri publisiti murahan. Akhbar NST semalam memetik Menteri di JPM Nazri Aziz dengan bongkak berkata:

Before doing anything consult the government first. Dont act smart.

JAWI does not have trained people. They cant simply pick any Tom, Dick or Harry, give them a jacket and tell them to do this and that. What system is that?

Sebelum melakukan sesuatu (JAWI) perlu berunding dengan kerajaan. Jangan memandai-mandai.

JAWI tidak memiliki kakitangan yang terlatih. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melantik sesiapa yang mereka suka, beri sehelai jaket dan mengarahkan orang tersebut melakukan ini dan itu. Apa jenis perauran ni?

Apabila menteri memberi lesen besar, maka pihak-pihak lain pun turut tidak mahu ketinggalan, menokok-tambah demi memberi sahama dalam mempersenda dan memperlekehkan hukum dan peraturan Islam.

Presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh berkata:

You want to ask people to snoop around? What kind of culture is this?
(Anda mahu beri kuasa kepada mereka untuk mengintip? Budaya jenis apakah ini?)

Presiden NGO Wanita Woman Aid Organaisation Ivy Josiah pula berkata:

The act of spying and snooping can themselves be considered indecent. This is encouraging voyeurism and is violation of ones human rights. How you dress and how you behave is your personal right.
(Kerja-kerja mengintip itu sendiri boleh dikira tidak senonoh. Ianya menggalakkan perlakuan tidak senonoh dan menggugat hak asasi individu. Cara berpakaian dan perlakuan seseorang adalah hak masing-masing)

Yang hairannya JAWI adalah sebuah jabatan di bawah JPM dan menteri bertanggungjawabnya adalah Dr Abdullah Md Zain (yang kini berada di Mekah). Mengapa Nazri boleh secara celupar dan terbuka mengulas dan mengkritik perjalanan sebuah jabatan kerajaan yang bukan pun duduk di bawah portfolio beliau.

Dan jika pun JAWI berhasrat menggunakan skuad ini untuk membantu kerja-kerja nahi mungkar yang sudah pasti ianya akan hanya melibatkan rakyat Malaysia yang beragama Islam, apa hak Yeoh dan Josiah mahu mengulas dan mengkritik? Ini hal-ehwal umat Islam, kita tidak memerlukan pandangan dan input dari masyarakat bukan Islam!

Dan sebagaimana yang diduga Kabinet yang bersidang semalam telah menolak penubuhan skuad ini atas alasan:

Undang-undang sedia ada dan pemantauan pasukan penguat kuasa jabatan agama serta agensi lain sudah mencukupi menangani masalah moral rakyat dan isu keselamatan lain.(BERITA HARIAN)

Menurut laporan THE STAR isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet oleh Menteri Penerangan Kadir Sheikh Fadzir. THE STAR turut memetik Menteri di JPM Radzi Sheikh Ahmad sebagai berkata:

Cabinet ministers were incredulous that such a squad was being formed right under their noses in Putrajaya.
(Para Menteri Kabinet tidak percaya bagaimana skuad ini boleh ditubuhkan di bawah batang hidung mereka di Putrajaya)

This involves invading peoples privacy. Although JAWI said the group can assist in disaster or provide other assistance, its a lame excuse. Its unnecessary because eventually there will be people snooping around.

Ini melibatkan gangguan terhadap hak asasi manusia. Walaupun JAWI mengatakan yang skuad tersebut akan membantu dalam mangsa bencana alam dan menyampaikan bantuan, ianya satu alasan yang lemah. Ianya tidak wajar kerana akhirnya nanti mereka ini akan digunakan juga untuk kerja-kerja mengintip.)

Turut memberikan ulasan selepas mesyuarat kabinet adalah Menteri dari MCA Fong Chan Onn (yang tidak disiarkan oleh BERITA HARIAN) yang berkata sebagaimana dipetik oleh NST:

Cabinet members strongly feel that existing laws are more than sufficient to deal with members of the public committing indecent acts in public

(Para menteri kabinet secara tegas berpandangan bahawa undag-undan yang sedia ada sudah mencukupi bagi menangani kes-kes yang melibatkan perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai)

Demikianlah nasib Islam dalam negara kita pada hari ini. Fong Chan Onn pun boleh bersuara dalam bab mencegah maksiat sesama Islam.

Berdasarkan perkembangan ini, nyatalah pada kita semua bahawa tuntutan nahi mungkar atau mencegah kemungkaran yang sepatutnya berjalan seiringan dengan kerja-kerja menyeru kepada yang makruf atau kebaikan sudah tidak lagi menjadi keutamaan malah dilihat sebagai mengancam hak asasi pula oleh pihak kerajaan.

Memelihara agar masyarakat Islam tidak tenggelam dalam maksiat dan kemungkaran adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita sesama Islam. Apabila hal ini kita abai atau pingirkan bermakna kita bersubahat dalam menghancurkan ummah.

Biarlah kelab-kelab malam, disko dan pusat-pusat hiburan bertambah, biarlah rumah-rumah urut membiak, biarlah konsert maksiat dan majlis tari-menari dianjurkan,biarkan arak melimpah-ruah dalam majlis-majlis ini, biarkan anak-anak kita berdua-duaan, bersondol-sondol, berkucup dan bercengkerama di tempat-tempat ini, di taman-taman, di tepi-tepi jalan, di pusat rekreasi, di pantai dan seumpamanya kerana kata Pak Menteri undang-undang yang sedia ada dah cukup, kerana kata Pak Menteri takut nanti hak asasi anak-anak Muslim (termasuk yang tua bangka) ini nanti terancam.

Seingat saya sejak zaman Tunku, Tun Razak dan Tun Hussien tidak pernah kita dengar mana-mana pihak mempertikai kuasa pihak pencegah maksiat, samada dari kalangan anak-anak kariah AJK Masjid dan surau atau pihak jabatan agama. Malah anak-anak yang longgar moralnya pun tidak berapa berani melakukan yang tidak senonoh kerana bimbang diintip dan diberkas oleh pihak tersebut. Namun semuanya sudah berlalu, sejak zaman Tun Dr M ianya telah berubah dan kini semakin berani lagi di zaman anak ulamak iaitu Dollah Badawi sebagai PM.

Jangan sehingga kita lupa firman Allah dan pesan Rasul Nya saw seperti yang di bawah ini.

Surah Ali-Imran ayat 110:

Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.

Dari Abu Said Al-Khudri r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya, jika sekiranya ia tiada juga berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya dan yang demikian itu (mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.
(Riwayat Al-Imam Muslim).

Ayuh kita ke Masjid Negara



Kita semua mendaulatkan undang-undang. Kerana merasakan terdapat ancaman terhadap Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kewibawaan dan status mahkamah syariah, oleh pihak-pihak tertentu, maka kita semua perlu bangun mempertahankan Islam dengan cara menyuarakan protes secara aman yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Malaysia.

Saya difahamkan Dewan Pemuda PAS, akan menganjurkan satu demonstrasi aman di perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat esok 20 Januari 2006. Pakatan Mahasiswa Islam juga akan berkumpul dengan maksud yang sama.

Saudara-saudara semua ayuh kita keluar beramai-ramai menunjukkan sikap dan pendirian kita pula. Sebelum ini laporan-laporan akhbar (terutama yang bukan berbahasa Melayu) menyebut banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan terhadap kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy lantas menuntut agar Perkara 121 (1)(A) itu dipinda. Insyallah hari Jumaat ini kita tunjukkan bahawa yang tidak berpuas hati itu sebenarnya adalah kecil berbanding dengan suara kita umat Islam yang prihatin!

Ayuh badan-badan NGO Islam/Melayu yang lain, ayuh ahli-ahli parti-parti politik Melayu Islam khasnya PAS dan Umno, ayuh umat Islam yang masih mempunyai maruah, ayuh kita keluar tanpa memikirkan kepentingan dan fahaman politik, kita keluar kerana mempertahankan Allah dan Rasul Nya.

Saya yakin anggota-anggota polis akan dikerahkan mengawal keadaan, maka saya juga merayu kepada mereka yang pada logo PDRM itu tersemat kalimah Allah dan Muhammad, benarkanlah perhimpunan aman ini berjalan tanpa gangguan, kerana sesungguhnya tidak ada sebab lain perhimpunan ini melainkan memartabatkan Allah dan Rasul itu jua.

Dalam keadaan Islam diserang dari setiap penjuru, mahkamah syariah dianggap tidak mampu membawa keadilan, maka wajarlah kita menyatakan bantahan kita secara terbuka mudah-mudahan masyarakat bukan Islam akan mengerti risiko yang mereka bakal tanggung kiranya Islam it uterus dipermain-mainkan.

Saya harap perhimpunan ini kelak tidak sekadar menghimpunkan orang-orang PAS. Saya harap kalau Pemuda PAS boleh hadir maka Pemuda dan Putera Umno juga perlu hadir. Jika ABIM, JIM, Persatuan Ulamak dan lain-lain wakil NGO Islam/Melayu boleh hadir maka tidak ada sebab GPMS, Persatuan Masjid, Surau, Dewan Perniagaan Melayu, PEKIDA, Persatuan India Muslim, Persatuan-persatuan Kebajikan dan lain-lain tidak boleh hadir.

Insyallah dengan kehadiran kita ini mudah-mudahan semua pihak akan menghormati kedudukan Islam dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia yan lain dapat menghormati dan memahami sensitiviti umat Islam sebagaimana umat Islam selama ini menghormati dan memberi ruang kepada mereka.

Cinta Islam ayuh ke Masjid Negara!

(Pengunjung BLOG ini wajarlah semua sekali berada di sana kecuali sahabat-sahabat kita yang di luar negara)


Wednesday, January 18, 2006

Menteri-menteri kabinet bukan Islam mula tunjuk taring

Dari 32 orang Menteri Kabinet Malaysia yang diketuai oleh PM, seramai 10 orang adalah bukan Islam iaitu seorang Hindu (Samy Vellu) lima Buddha/Tao (Ong Ka Ting, Fong Chan Onn, Lim Keng Yaik, Chan Kong Choy, Chua Soi Lek) dan empat Kristian (Maximus Ongkili, Bernard Dompok, Peter Chin, Leo Michael Toyad).

Sebelum ini kita tidak pernah mendengar blok menteri-meneteri bukan Islam ini berkumpul atau bermesyuarat atas sifat mereka sebagai penganut agama yang bukan Islam. Akan tetapi semalam Buletin Utama TV3 melaporkan bahawa hari ini blok menteri-menteri bukan Islam ini atas inisiatif Presiden MIC, Samy Vellu akan bermesyuarat bagi membincangkan isu hasil keputusan kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy dan Perkara 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan.

UTUSAN hari ini memetik Samy sebagai berkata:

Saya juga akan membincangkan isu yang sama dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting serta beberapa menteri bukan Islam sebelum mesyuarat jemaah menteri esok.

Menteri-menteri ini turut menjaga kepentingan orang bukan Islam dan saya mahu mendapat pandangan dari mereka.




Samy dikatakan mengambil insiatif ini setelah berjumpa selama dua jam semalam dengan perwakilan dari Majlis Perundingan Penganut Agama-agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia.

Samy turut dilaporkan oleh akhbar THE STAR sebagai berkata bahawa pihak MIC sedang menyediakan suatu kertas cadangan untuk diserahkan kepada PM Dollah Badawi pada minggu hadapan berhubung perkara ini.

Kata Samy lagi sebagaimana dilaporkan oleh UTUSAN:

Pada akhir pertemuan kita telah sepakat bahawa satu tindakan yang lebih proaktif iaitu satu pindaan (Perlembagaan Persekutuan) perlu dilakukan dan jika kerajaan bersetuju ia boleh mengatasi masalah pada masa depan.

Sesungguhnya inisiatif kumpulan bukan Islam ini telah bermula sejak dari majlis Perundingan Meja Bulat Parlimen yang dianjurkan oleh DAP beberapa hari lalu. Majlis yang turut dihadiri oleh wakil-wakil NGO bukan Islam seluruh Malaysia (termasuklah dua tiga penganut Islam yang kononnya menganuti fahaman Islam moderat) itu telah pun mengeluarkan memorandum bersama yang telah pun diserahkan kepada pihak kerajaan.

Berkemungkinan apa yang diusahakan oleh Samy ini adalah gelombang kedua yang turut disokong oleh NGO-NGO berkenaan.

Demikianlah bersungguhnya masyarakat bukan Islam dalam memperjuangkan tuntutan mereka. Ianya bermula dari kes Moorthy, seorang anggota tentera yang dikatakan telah memeluk Islam tetapi kononnya merahsiakan pengislamannya dari pengetahuan isteri beliau yang masih beragama Hindu. Lalu apabila meninggal dunia, berlaku pergelutan antara isteri dan keluarganya serta pihak berkuasa agama.

Akhirnya sebagaimana kita semua ketahui Allahyarham telah berjaya dikebumikan secara Islam dan kini kesimpulannya isteri, keluarga beliau serta seluruh pimpinan masyarakat bukan Islam sedang bangun untuk menuntut bela. Jika pun tidak dapat merampas kembali mayat Allahyarham untuk dikebumikan mengikut kepercayaan Hindu, mereka sedang giat berusaha sekurang-kurangnya peruntukkan perlembagaan yang sedia ada dipinda agar mahkamah sivil akan diberi kuasa memutuskan samada seseorang itu Islam ataupun sebaliknya apabila berulang kes yang sama.

Peruntukkan yang dimaksudkan adalah Perkara 121(1)(A) Perlembagaan Persekutuan yang melarang mahkamah sivil campurtangan dalam urusan dan keputusan mahkamah syariah.

Sekiranya berjaya tuntutan mereka dan kerajaan BN bersetuju meminda atau membatalkan peruntukkan yang dimaksudkan bermakna selepas ini jika berulang kes yang sama maka bersedialah kita untuk melihat jenazah saudara se Islam kita dikebumikan mengikut kepercayaan bukan Islam. Bersedialah kita untuk melihat Pejabat Agama menjadi bahan tontonan dan pertikaian. Akan dikemukakanlah ulamak-ulamak bermazhab Islam moderat untuk melawan hujah ulamak-ulamak Islam dalam mahkamah, bagi memenangkan tuntutan pihak bukan Islam. Ringkasnya bersedialah untuk melihat Islam diperkotak-katikkan di depan mata kepala kita masing-masing!

Lihat, apabila kes seumpama ini berlaku, masyarakat bukan Islam dengan mudah dapat digerakkan. Pemimpin-pemimpin bukan Islam dari parti-parti kerajaan dan pembangkang serta keseluruhan NGO bukan Islam boleh bersatu dan membuat tuntutan secara berani dan terbuka. Bagaimana dengan pemimpin dan NGO Islam?

Selain dari lapan NGO Islam (Persatuan Ulamak, PUM (Kedah), ABIM, JIM, ISRA, SHURA, Persatuan Peguam Syarie dan TERAS) yang benar-benar berani, yang lainnya bacul diam membisu. Mana pergi ahli-ahli Parlimen Islam? Mana pergi ADUN-ADUN Islam? Mana pergi parti-parti orang Islam? Mana pergi NGO-NGO Islam yang lain? Persatuan-persatuan Masjid dan Surau dimana?

Kita bukan mahu mendesak agar diadakan rusuhan atau kekacauan. Tetapi yang kita tuntut adalah keprihatinan. Bukankah kita mewakili golongan majoriti? Seharusnya dalam negara demokrasi ini kita juga mengeluarkan memorandum dan tuntutan demi memelihara kewibawaan dan nama baik Islam.

Percayalah golongan bukan Islam ini semakin vokal dan berani kerana mereka melihat umat Islam seolah tidak memperdulikan langsung perkara ini. Tambahan pula terdapat satu dua kerat individu Islam seperti ahli Parlimen Kota Bharu, SIS dan beberapa peguam bingung yang bersetuju pula dengan tuntutan mereka, maka bertambah semangatlah golongan ini.

Marilah atas nama Islam kita menyuarakan dengan jelas dan nyata bahawa Perkara 121 (1) (A) ini mesti dikekalkan demi memelihara dan mengiktiraf kuasa institusi mahkamah syariah. Jika masyarakat bukan Islam tidak berpuas-hati dengan keputusan kes Moorthy, maka jalan sebaiknya adalah kita duduk berunding (libatkan pihak berkuasa agama, NGO dan ulamak Islam disamping NGO bukan Islam tadi) dan bersama mencari kaedah terbaik untuk mengatasinya, tidaklah dengan meminda atau menyentuh Perkara 121 (1) (A) itu!

Malah susur-galur kes Moorthy itu sendiri yang penuh dengan kontroversi perlu dirongkai. Selama ini akhbar-akhbar yang memberi liputan besar terhadap tuntutan masyarakat bukan Islam sekadar melaporkan versi isteri Allahyarham dan keluarganya yang masih Hindu sahaja. Pandangan dan kenyataan pihak lain tidak pula diberi ruang.

BLOG ini pernah (sila rujuk artikel 29 Disember 2005) menyiarkan pengakuan seorang wartawan RTM (melalui Harian Metro) yang mengenali Allahyarham dan mengakui bahawa Allahyarham yang beliau kenal sebenarnya tahu dan mengerti akan ajaran-ajaran Islam, hafal beberapa ayat lazim dan hadis malah mengakui bersolat secara baring (sedangkan dalam affidavit isterinya Allahyarham dikatakan tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam malah makan babi, minum arak dan mengangkut kavadi semasa Thaipusam)

BLOG ini juga pernah menyiarkan kenyataan pihak JAWI (sila rujuk artikel 9 Januari 2006) yang menyatakan bahawa mereka sering malah hampir setiap hari menziarahi rumah Moorthy dan hospital (semasa belia dimasukkan ke sana) malah dikatakan isteri Moorthy juga tahu akan kunjungan itu (sedangkan dalam afidavitnya si isteri menyatakan beliau tidak tahu menahu bahawa Allahyarham telah memeluk Islam).

Mengapa kita tidak highlight dan membesarkan kenyataan-kenyataan ini yang jelas menyanggah affidavit isterinya itu?

Saya rasa kalau affidavit itu pun sudah diragui maka segala exercise yang merupakan tuntutan untuk meminda Perlembagaan dan kekecohan-kekecohan lain yang ditimbulkan oleh DAP, NGO-NGO bukan Islam serta blok Menteri-menteri bukan Islam ini sebenarnya tidak berasas dan tidak sepatutnya ditimbulkan pun.

Bersatulah wahai saudara-saudara ku, kita ketepikan fahaman politik dan kecenderungan masing-masing, dalam hal ini kebenaran perlu diserlahkan dan Islam wajib dipertahankan. Mudah-mudahan kita tidak terlambat.

Tuesday, January 17, 2006

Benarkah ada kekeliruan dalam Perkara 121 (1) (A)

Isu ini masih tergantung diawang-awangan, masing-masing pihak berwajib memilih untuk menyelamatkan diri. Kata Dollah Badawi:

Banyak yang perlu diperjelaskan untuk mengelakkan kekeliruan

Manakala Najib Tun Razak pula berkata:

Sebarang perubahan terhadap cara mahkamah mengendalikan kes yang melibatkan masyarakat Islam dan bukan Islam akan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak . Ia walaubagaimanapun tidak akan menjejaskan status ataupun pentadbiran undang-undang dalam negara.

Perkara 121(1) (A) Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memelihara kewibawaan dan status mahkamah syariah sebagai satu-satunya institusi kehakiman yang berhak dan layak membicarakan dan mendengar perkara-perkara dan pertikaian yang timbul berkaitan perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang syariah dalam negara.

Perkara tersebut berbunyi:

The courts referred to in Clause (1) shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah courts

Mahkamah-mahkamah yang dimaksudkan dalam Perenggan (1) tidak memiliki bidangkuasa dalam sebarang perkara yang termasuk di bawah bidangkuasa mahkamah-mahkamah syariah.

Meniadakan atau memansuhkan Perkara ini sebagaimana didesak oleh DAP dan NGO-NGO bukan Islam bermakna membuka ruang untuk mahkamah sivil menyemak dan campurtangan di dalam urusan mahkamah syariah. Apabila ini berlaku bermkna hilanglah kebebasan dan kewibawaan mahkamah syariah dan sekaligus meletakannya di bawah kawalan mahkamah sivil.


Hj Muhammad Burok

Dan sekiranya ini berlaku sudah pastilah kedudukan Islam akan menjadi longgar dan boleh sahaja dicabar pada bila-bila masa oleh mereka yang memiliki kepentingan tanpa menghiraukan impaknya kepada agama Islam itu sendiri maupun penganutnya.

Salah seorang pengamal undang-undang yang dilihat bersungguh mempertahankan Perkara 121 (1) (A) ini adalah Tuan Hj. Muhamad Burok, Presiden Persatuan Peguam-peguam Syariah Malaysia. Saya berkesempatan berjumpa dengan beliau ketika kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy dibawa ke Mahkamah Tinggi Rayuan Khas, ketika itu Hj. Muhammad duduk sebagai mewakili persatuannya.

Sebelum mahkamah bersidang, Hj Muhammad memberitahu saya bahawa beliau menganggap kehadirannya sebagai mewakili umat Islam yang prihatin dalam isu ini. Perjuangan mempertahankan Islam dalam gelanggang perundangan seumpama ini perlu dilakukan dan beliau memohon sokongan dan dokongan dari semua pihak demi mempertahankan maruah dan keunggulan Islam itu sendiri.

Isu ini sungguh sensitif dan akan rugilah Islam apabila umatnya hilang kepekaan dan memandang remeh isu genting ini.

Dalam akhbar THE SUN 15 Januari lalu, terdapat temuramah eksklusif dengan Hj Muhammad yang sungguh menarik dan perlu dibaca oleh semua masyarakat Islam bagi mendapat gambaran sebenar akan isu ini.

Wakil akhbar tersebut Husna Yusop bertanya pada Hj Muhammad:

Kata PM perkara-perkara berhubung penukaran agama perlulah diperjelaskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dikalangan rakyat Malaysia. Apa komen anda?

Jawab Hj Muhammad:

Firstly is there really a confusion? (Pertama sekali benarkah terdapat kekeliruan itu?)

If there is why is there so? (Jika ada mengapa demikian?)
Which part is confusing? (Bahagian yang manakah yang mengelirukan itu?)

We have the Federal Constitution which clearly provides for our rights with respect to the right to follow the religion of our choice. Why do we say there is still confusion or some vague matters here? (Kita memiliki Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan hak kita berhubung agama pilihan masing-masing. Mengapa kita katakan terdapat kekeliruan atau perkara-perkara yang tidak jelas dalam hal ini?)

Tell me where is the confusion so that we can tackle the matter specifically. All this while we have written laws and there has been no confusion all along. (Nyatakan pada saya dimanakah kekeliruan itu supaya kita boleh mengatasinya secara spesifik. Selama ini kita memiliki undang-undang bertulis dan ianya tidak pernah sekali-kali mewujudkan kekeliruan sedemikian)

But suddenly Moorthys case came up and because of this one single case, because some people are playing up the issue, now everyone is saying there is confusion. This is really disappointing. (Tetapi tiba-tiba apabila kes Moorthy muncul, hanya kerana satu kes ini, lantaran tekanan beberapa pihak yang memainkan isunya, kini kita katakana terdapat kekeliruan. Ini sungguh menyedihkan).

Dalam temuramah panjang-lebar tersebut saya kira Haji Muhammad telah berjaya mengemukakan hujah-hujah dan alasan yang padat mempertahankan akan perlunya Perkara 121 (1) (A) itu untuk terus kekal berada dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya akan cuba memuatkan lai beberapa petikan temuramah itu untuk manfaat kita semua.

Menurut Hj Muhammad Perkara tersebut perlu dikekalkan dan tidak patut dipinda oleh kerana:

Article 121 (1)(A) is the demarcation of jurisdiction from syariah court and civil court. The article is actually the umbrella section or principle. (Perkara 121 (1)(A) ini adalah sempadan yang memisahkan antara bidangkuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Ia sebenarnya adalah peruntukkan yang memayungi maksud Perkara tersebut ataupun perkara pokoknya).

It says since the power regarding conversion to Islam lies within the syariah court, the civil court has no jurisdiction over it. That is what it is. The power regarding conversion to Islam lies within the syariah court not the civil court. (Oleh kerana dengan jelas termaklum bahawa kuasa berkenaan proses memeluk Islam itu adalah kuasa mahkamah syariah, maka mahkamah sivil tidak memiliki hak. Itu yang sebenarnya. Kuasa berhubung proses memeluk Islam terletakj pada mahkamah syariah dan bukannya mahkamah sivil)

Syukur kerana masih ada individu dan kumpulan yang berani berdiri mempertahankan dan memperkatakan yang hak, dalam keadaan pihak lain membisukan diri. Saya yakin dan percaya akan semakin ramai yang sanggup dan berani berdiri di belakang Hj Muhammad dan rakan-rakan dalam hal ini sebaik sahaja mereka faham akan isunya insyallah. Dan saya ulangi ini bukan isu politik tetapi isu maruah dan martabat agama yang sepatutnya dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan fahaman politik ataupun kepentingan.

Syabas Haji Muhammad!

Barat gelabah dengan program nuklear Iran

Saya berkesempatan menonton sidang akhbar Presiden Republik Islam Iran Mahmood Ahmedi Najad melaui CNN baru-baru ini berhubung program nuklear Iran yang kini menjadi topik hangat politik dunia.

Pihak Amerika Syarikat dan sekutunya sedang berusaha membawa perkara ini ke Majlis Keselamatan PBB agar tindakan yang lebih drastik boleh diambil terhadap Tehran termasuklah mengenakan sekatan ekonomi dan mungkin juga tindakan ketenteraan. AS menuduh kononnya Iran akan akhirnya menggunakan teknologi nuklear itu untuk membentuk senjata nuklear yang nanti akan menjadi ancaman kepada keselamatan dunia.

Sedangkan dalam sidang akhbar tersebut Presiden Iran itu menegaskan bahawa program nuklear negaranya adalah bagi tujuan keamanan dan bukannya sebagaimana yang didakwa oleh pihak AS dan sekutu-sekutunya.



Lanjutan dari isu ini saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh Menteri Luar Arab Saudi Putera Saud al Faisal (Saudi terkenal sebagai sekutu kuat AS di rantau Timur Tengah), kata beliau:

I think the West allowing Israel to establish its nuclear capability has done the damage that we are all suffering from now. There are other countries that now are perhaps pursuing the same role. But we hope that Iran will resist this temptation.

Apabila Barat membenarkan Israel membentuk kuasa nuklearnya, inilah sebenarnya punca permasalahan kita pada hari ini. Akibatnya negara-negara lain juga kini mahu melakukan perkara yang sama. Namun saya berharap Iran tidak akan mengikut jejak langkah ini.

Bermakna menurut Putera Saud, Baratlah yang sepatutnya dipersalahkan. Mengapa kemampuan nuklear Israel tidak dipertikai atau dipersoalkan. Malah Presiden Ahmedi Najad dalam kenyataannya sebelum itu turut membangkitkan darihal kemampuan nuklear India dan Korea Utara yang tidak pula dipedulikan oleh Barat.

Kata Putera Raja itu lagi:

There could be no purpose in Iran developing nuclear weapons since if it fired them at Israel, it would kill Palestinians.

Tidak ada sebabnya Iran mahu menghasilkan senjata nuklear kerana jika (kalau pun Iran ada senjata tersebut) ianya dilepaskan terhadap Israel, yang akan mati terkorban adalah rakyat Palestin.

Demikianlah betapa lucunya gambaran kegelabahan AS dan sekutu-sekutu Baratnya yang cuba dibuktikan oleh Putera Raja Saudi itu.

Monday, January 16, 2006

Isu pembalakan di Hulu Langat:
Mungkinkah Khir terperangkap lagi?

Buletin Utama TV3 dan MNN Nasional NTV7 semalam menyiarkan bantahan penduduk kampong di Kampung Lembah Gahal, Batu 14 Hulu Langat, Selangor.

Rungutan para penduduk kampung adalah lantaran aktiviti pembalakan sebuah syarikat di kawasan berhampiran dengan kampung mereka. Syarikat pemegang konsesi balak itu dikatakan menggunakan laluan kampong untuk mengeluarkan kayu-kayu balak mereka, sekaligus mengancam keselamatan para penduduk terutama dikalangan anak-anak sekolah.

Penduduk kampung turut kesal bagaimana syarikat tersebut boleh diberikan lessen sedangkan kawasan yang dimaksudkan sepatutnya telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan hutan tadahan hujan.

Menteri Besar Selangor Khir Toyo sendiri telah turun ke tapak berkenaan baru-baru ini dan dilaporkan oleh NST sebagai berkata:

I was dissatisfied with the way the logging was carried out and I am waiting for the reports to come out next week. I cannot revoke their licence unless they have broken regulations. I can revoke it only on technical grounds.

Saya tidak berpuas hati dengan cara pembalakan itu dijalankan dan sedang menunggu laporan terperinci minggu hadapan. Saya tidak boleh membatalkan lessen mereka kecualilah mereka tidak mematuhi peraturan. Saya Cuma boleh membatalkan satu-satu lessen atas sebab-sebab teknikal.

Satu demi satu nampaknya masalah timpa-menimpa membabitkan negeri Selangor dan Khir. Mungkin semakin ramai dalam Umno yang mahu melihat beliau jatuh, selalunya begitulah.


(Dari NST)

Walaubagaimanapun satu maklumat yang menarik adalah berkenaan syarikat yang diberikan lesen konsesi berkenaan. Menurut UTUSAN:

Tempoh konsesi di kawasan seluas 334 hektar yang diluluskan bagi aktiviti pembalakan itu ialah dari Ogos tahun lepas sehingga 31 Julai tahun ini.

Apakah nama syarikat tersebut? Apakah hebat dan istimewa sangat syarikat itu sehingga memungkinkan ia boleh menggasak sehingga ke sempadan atau mungkin juga telah masuk pun kawasan hutan simpan kekal?

Berdasarkan laporan syarikat yang dimaksudkan adalah FUNGSI MEWAH SDN. BHD.

Siapakah di belakang syarikat ini?

Kalau kita mengunjungi http://www.mail-archive.com/hizb@hizbi.net/msg37581.html
kita akan memperolehi maklumat berikut:

Pada 18 April 2001, (kerajaan negeri Selangor) meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn Bhd, seluas lebih 1200 ekar.

Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnyabersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesanmendapat tanah 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen pilihan raya 1999 dahulu.

Maklumat yang sama pernah didedahkan secara berani oleh Saudara Lutfi Othman satu ketika dahulu (yang telah mendedahkan secara lebih terperinci akan hubungan Khir dan keluarga Pua ini yang beliau kenali sejak sebelum jadi MB lagi)

Bermakna pemilik syarikat bekenaan adalah kenalan rapat Khir dan kerana itulah barangkali Khir kelihatan bagaikan tak senang duduk dibuatnya. Barangkali juga pihak dalam Umno yang mahu lihat Khir jatuh juga tahu akan hubungan Khir dan Fungsi Mewah ini, lantas akan memudahkan lagi rebahnya Khir dan cita-cita politik beliau.

Apa pun jika ada penyelewengan yang terlibat maka ianya perlu didedahkan tanpa memilih bulu. Kalau atas nama kebenaran maka MB perlu jatuh, maka jatuhlah beliau, asalkan kebenaran terserlah dan rakyat tidak tertipu.