Thursday, January 26, 2006

Pilihanraya Parlimen Palestin
Wakeup call bagi Gerakan Islam

Di saat ini proses pengiraan undi sedang berjalan di bumi Anbiya Palestin sebelum diisytiharkan pemenang bagi 132 kerusi Majlis Perwakilan Palestin yang akan membentuk kerajaan baru Palestin.

Dalam keadaan berhadapan dengan kezaliman dan tekanan dari rejim Zionis Israel, rakyat Palestin dengan penuh harapan keluar mengundi bagi menentukan nasib dan masa depan mereka yang sentiasa bergelora itu. Menurut BBC 73 peratus ataupun kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin telah pun keluar mengundi.

Menurut CNN kajian yang dibuat oleh Universiti Bir Zeit menunjukkan parti Islam HAMAS dijangka memperolehi 39.8 peratus undi manakala parti pemerintah Fatah dijangka menerima 46.4 peratus. Besar kemungkinan Fatah terpaksak membentuk kerajaan campuran, dan kerajaan campuran yang kukuh hanya dapat dibentuk dengan penyertaan HAMAS.

HAMAS yang lebih dikenali sebagai Gerakan Islam Militan, telah menyertai pilihanraya kali ini setelah memboikot pilihanraya yang lalu. HAMAS mengemukakan agenda pembaharuan, membariskan pimpinan yang bersih dan bertaqwa serta berjanji untuk membela kebajikan rakyat Palestin disamping membentuk negara berpandukan al Quran dan Sunnah.



Rata-rata penyertaan HAMAS di dalam proses demokrasi di Palestin kali ini telah diberi sambutan yang begitu baik oleh rakyatnya. Rakyat Palestin muak dan bosan dengan telatah kepimpinan Fatah yang memimpin Pentadbiran Palestin selama ini dengan rekod kepimpinan yang tercemar dengan rasuah, nepotisma dan kronisma.

Sambutan baik rakyat Palestin ini sangat dibimbangi oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, akan tetapi mereka tidak dapat mengenakan tindakan sebagaimana di Afghanistan, Chechnya dan Iraq contohnya oleh kerana HAMAS menyertai proses demokrasi dan mengaut sokongan melalui sistem pilihanraya.

Kejayaan HAMAS di Palestin ini membuktikan yang Islam boleh ditegakkan melalui proses demokrasi. AKP di Turki, PKS di Indonesia dan Ikhwan (walaupun bertanding atas tiket Bebas) di Mesir telah membuktikannya (begitu juga FIS di Algeria walaupun kemudiannya diambil tindakan), PAS juga pernah membuktikannya dengan menang di Kelantan dan Terengganu.

Oleh itu sudah tiba masanya Gerakan Islam membuat repackaging dari segi kaedah pendekatan. Jangan lagi membenarkan imej militan dan ekstrimis itu menghantui orang dari mendekati dan menerima perjuangan ini. Kaedah bersenjata hanya mengundang permusuhan dunia dan memperkecilkan peluang dan harapan oleh kerana kemampuan kita yang sangat dhaif berbanding dengan yang ada ditangan mereka.



Gilaplah kembali kaedah ini, perkemaskan kembali jentera, jika HAMAS di Palestin yang berhadapan dengan musuh Allah pada setiap saat dan ketika itu pun mampu meraih kemenangan, inikan pula kita yang jauh di seberang sini.

Syabas HAMAS, syabas rakyat Palestin!

No comments: