Thursday, January 05, 2006

Kos MyKad yang terlalu tinggi

Semalam Kabinet memutuskan bahawa yuran RM10 akan dikenakan bagi mereka yang membuat permohonan kad pengenalan baru ataupun MyKad mulai tahun 2006 ini setelah tiada bayaran dikenakan sebelum berakhir tahun 2005 lalu.

Ada yang merasa lega dengan kadar tersebut manakala ada juga yang merasakan seolah tertipu. Setelah kerajaan memberi dateline 31 Disember 2005, kebanyakkan kita menyangkakan yang penalti ataupun yuran yang akan dikenakan oleh pihak kerajaan terhadap mereka yang ingkar mematuhi dateline itu agak besar kerana mencerminkan kecuaian dan kelalaian mereka.


Contoh MyKad

Rupanya setelah kita semua terhambat dan terkejar-kejar, penalty yang terkena cumalah RM10. Mungkin bagi setengah pihak RM10 itu besar, tetapi dalam negara yang serba naik hari ini (minyak naik, yuran sekolah naik, tambang naik, ayam naik, makanan naik) RM10 yang asalnya besar itu taklah seberapa besar lagi sebenarnya pada hari ini.

Walaubagaimanapun ada yang berpandangan kesungguhan kerajaan menghambat rakyat dengan menetapkan dateline itu sebenarnya hanyalah untuk melariskan bekalan syarikat pembekal yang memiliki kontrak membekalkan MyKad itu.

Menurut Menteri Dalam Negeri Azmi Khalid, kos membikin sekeping MyKad adalah RM28.60. Tidakkah kelihatan agak tingi kos tersebut?

Kontrak membikin MyKad telah diberikan oleh kerajaan kepada sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu IRIS Corporation Berhad melalui perjanjian pada 13 Ogos 2003 yang lalu. Menurut perjanjian tersebut IRIS melalui anak syarikatnya GMPC Corporation Sdn. Bhd. akan membekalkan sejumlah 9 juta keping MyKAD kepada Jabatan Pendaftaran Negara selama tempoh dua tahun dengan kontrak bernilai RM 216 juta.

Bermakna melalui perjanjian itu sekeping MyKad jatuh RM24.00. Kenapa menteri menyebut RM28.60? Kenapa ada tambahan RM2.60?

Kemudian adalah difahamkan pada 29 Ogos 2005 IRIS dan kerajaan menandatangani empat lagi perjanjian kali ini untuk membekalkan dalam tempoh 4 bulan MyKad, MyKid dan MyPR dengan kontrak bernilai RM92 juta!

Sementara kita memikirkan bagaimana boleh berlaku perbezaan harga sebegitu rupa, barangkalai JPN nak ambil untung, barangkali ada VO kerana harga barangan naik, atau apa sahaja alasan cuba kita perhatikan kembali persoalan yang cuba saya utarakan diawal tadi, tidakkah terlalu tinggi kons membikin sekeping MyKad itu?

Berdasarkan kontrak yang saya sebutkan di atas jelas, volume ataupun jumlah kad yang perlu dibekalkan menurut kontrak adalah 9 juta keping (melalui perjanjian pertama). Sudah tentu mengambil kira volume sebegini besar kos membikinnya pasti lebih rendah berbanding contohnya membikin 900 000 keping.

Kerana saya tidak memiliki maklumat kos pembikinan sebenar, cuba kita bandingkan dengan pembikinan kad ATM (yang mana itupun saya tidak memiliki kos pembikinan sebenar). Kecuali gambar pada kad, kad ATM juga kini memiliki cip sebagaimana MyKad cuma barangkali dengan perisian yang berbeza. Kepada pemegang kad MAYBANK ATM yang hilang kadnya, MAYBANK mengenakan caj RM12 untuk membikin kad baru. Bermakna dengan RM12 (yang pasti kosnya lebih rendah dari itu) MAYBANK boleh membekalkan kad ATM baru dengan mengambil kira penalti yang pasti melindungi kos bank termasuk untung.

Katakanlah kerana terlalu canggih maka kos MyKad perlu lebih mahal, berapakah kadar lebih mahal itu? RM10 lebih mahal sekeping?

Saya membangkitkan perkara ini kerana saya mengira membikin 9 juta kad (tidak termasuk perjanjian kedua) dengan kos RM28.60 (menurut pengumuman Azmi) atau RM26 (menurut kontrak pertama) adalah terlalu mahal, dan rakyat Malaysia menanggung satu beban yang besar kerananya.

Sementara itu menurut makluman pada mesyuarat agung tahunan IRIS pada Jun 2005 yang lalu, mesyuarat telah meluluskan elaun dan yuran pengarah berjumlah lebih RM1.5 juta kepada ahli-ahli lembaga pengarahnya, satu jumlah yang agak besar untuk sebuah syarikat awam. Juga menurut rekod keuntungan syarikat bagi tahun berakhir 31 Disember 2005 adalah sebanyak RM6.823 juta berbanding RM4.393 juta tahun sebelumnya.

No comments: