Friday, January 27, 2006

Kemenangan HAMAS:
Hadiah tahun baru Hijrah buat umat islam

Allah swt berfirman dalam surah an Nur ayat ke 55 maksudnya:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu(wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhai Nya untuk mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)



Benarlah janji Allah, sungguhpun exit poll semalam menjangkakan HAMAS sekadar akan memperolehi kemampuan menghalang FATAH dari mengekalkan majoriti besarnya di dalam Majlis Perundangan Palestin yang mempunyai 132 kerusi itu, rupa-rupanya HAMAS dengan izin Allah swt bukan sekadar berjaya menghalang malah menyapu sebahagian besar kerusi dan kini berhak membentuk kerajaannya sendiri tanpa bantuan mana-mana parti.

Keputusan akhir menunjukkan HAMAS memenangi 76 kerusi, FATAH 43 dan baki 13 kerusi dimenangi oleh parti-parti kecil dan Bebas.

Perdana Menteri Ahmad Qorei sejak semalam lagi telah menjangkakan kekalahan besar dipihaknya malah beliau dan kabinetnya telah pun meletakkan jawatan sebelum pun keputusan rasmi diperolehi.

Ini bermakna Presiden Pentadbiran palestin, Mahmoud Abbas terpaksa memanggil pemimpin HAMAS untuk melantik perdana Menteri baru dan membentuk kerajaan pentadbiran Palestin yang baru setelah berjaya mematahkan kuasa FATAH yang bertapak di bumi Palestin sejak 40 tahun kebelakangan.



Saya melihat dalam suasana hidup yang sungguh tertekan dan berhadapan pula dengan regim zionis Israel yang zalim itu, rakyat Palestin akhirnya memilih untuk bersama-sama dengan mereka yang Allah redhai lantaran yakinnya mereka pada janji-janji Allah. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman dalam surah al Kahf ayat 28 maksudnya:

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuham mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu dari mereka kerana mahu kesenangan hidup di dunia, dan janganlah engkau mematuhi orang-orang yang Kami ketahui hatinya lali daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al Quran serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Pada jam 545 petang semalam waktu Malaysia saya sempat menonton siaran CNN yang ketika itu menemuramah secara langsung Pengerusi Palestinian Research Institute Dr Mehdi Abdul Hadi, kata beliau:

Saya kini sedang berdiri di hadapan makam Yaseer Arafat. Saksikanlah (Arafat) kejatuhan pimpinan korup FATAH sedang berlaku disaat ini.

Dr Mehdi menganggap kemenangan HAMAS sebagai suatu POLITICAL EARTHQUAKE atau GEGARAN BESAR POLTIK di bumi Palestin dan juga dunia. Beliau yakin HAMAS dengan kemenangan ini akan mampu menjalani proses perubahan besar dari perjuangan militant ke perjuangan politik berlandaskan demokrasi. Dengan kemenangan ini juga kata beliau HAMAS perlu memikul tanggungjawab memimpin keseluruhan rakyat Palestin dengan meraikan pelbagai perbezaan dan fahaman sebagai sebuah kerajaan.

Manakala seorang lagi penganalisa politik Robert Springborg yang juga Pengarah London Middle East Institute pula yakin dengan kemenangan ini HAMAS akan mula memgang kuasa dan mengawal segala bentuk keganasan kerana kini kemenangan ini memberikannya tanggungjawab baru sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa. Beliau juga yakin HAMAS akhirnya akan secara beransur-ansur terlibat dalam proses diplomatik ke arah mewujudkan kedamaian di Timur Tengah.

Kita lihat pihak Barat agak terperanjat dengan kemenangan diluar jangkaan ini. Tetapi beberapa pemimpin dunia termasuklah dari Timur Tengah dan Kesatuan Eropah telah mula mengirim ucap tahniah kepada pimpinan kanan HAMAS di atas kejayaan luar biasa mereka itu dan berharap agar keamanan akan tercapai di palestind an Timur Tengah.

Yang agak tergamam cumalah Amerika Syarikat, Britain dan Israel.

Dua tuntutan yang kedengaran disaat ini adalah agar, pertama. HAMAS menghentikan keganasan dan gerakan militannya dan kedua, agar HAMAS mengiktiraf kewujudan Negara Israel.

Bagi saya kemenangan politik HAMAS ini sudah merupakan petanda kesediaan HAMAS untuk meneroka jalan demokrasi dan pasti mereka akan merintisnya dengan penuh keyakinan setelah diberi pengiktirafan dan mandat besar oleh rakyat Palestin. Cuma dalam tuntutan kedua itu, tidak ada mana-mana kuasa yang berhak untuk memaksa mereka. Amerika Syarikat sendiri tidak mengiktiraf Korea Utara dan Cuba, dan itu hak mereka, mengapa dalam hal Palestin, HAMAS mahu dipaksa memberikan pengiktirafan kepada Israel.

Apa pun saya yakin HAMAS akan menjadi pemain utama dalam politik Timur Tengah dan dunia selepas ini. Insyallah perjuangan Islam yang didokongnya akan memandu mereka ke arah kejayaan. Ruang seluas dan sebebas-bebasnya perlulah diberikan kepada mereka jika dunia benar-benar menghargai proses demokrasi, jika tidak maka setandinglah mereka dengan Junta Tentera di Myanmar dan Negara-negara kuku besi lain yang menolak keputusan rakyat.

Kemenangan HAMAS merupakan hadiah besar tahun Hijrah 1427 bagi umat Islam seluruh dunia. Allahu Akbar!

No comments: