Ayuh kita ke Masjid Negara
Kita semua mendaulatkan undang-undang. Kerana merasakan terdapat ancaman terhadap Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kewibawaan dan status mahkamah syariah, oleh pihak-pihak tertentu, maka kita semua perlu bangun mempertahankan Islam dengan cara menyuarakan protes secara aman yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Malaysia.
Saya difahamkan Dewan Pemuda PAS, akan menganjurkan satu demonstrasi aman di perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat esok 20 Januari 2006. Pakatan Mahasiswa Islam juga akan berkumpul dengan maksud yang sama.
Saudara-saudara semua ayuh kita keluar beramai-ramai menunjukkan sikap dan pendirian kita pula. Sebelum ini laporan-laporan akhbar (terutama yang bukan berbahasa Melayu) menyebut banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan terhadap kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy lantas menuntut agar Perkara 121 (1)(A) itu dipinda. Insyallah hari Jumaat ini kita tunjukkan bahawa yang tidak berpuas hati itu sebenarnya adalah kecil berbanding dengan suara kita umat Islam yang prihatin!
Ayuh badan-badan NGO Islam/Melayu yang lain, ayuh ahli-ahli parti-parti politik Melayu Islam khasnya PAS dan Umno, ayuh umat Islam yang masih mempunyai maruah, ayuh kita keluar tanpa memikirkan kepentingan dan fahaman politik, kita keluar kerana mempertahankan Allah dan Rasul Nya.
Saya yakin anggota-anggota polis akan dikerahkan mengawal keadaan, maka saya juga merayu kepada mereka yang pada logo PDRM itu tersemat kalimah Allah dan Muhammad, benarkanlah perhimpunan aman ini berjalan tanpa gangguan, kerana sesungguhnya tidak ada sebab lain perhimpunan ini melainkan memartabatkan Allah dan Rasul itu jua.
Dalam keadaan Islam diserang dari setiap penjuru, mahkamah syariah dianggap tidak mampu membawa keadilan, maka wajarlah kita menyatakan bantahan kita secara terbuka mudah-mudahan masyarakat bukan Islam akan mengerti risiko yang mereka bakal tanggung kiranya Islam it uterus dipermain-mainkan.
Saya harap perhimpunan ini kelak tidak sekadar menghimpunkan orang-orang PAS. Saya harap kalau Pemuda PAS boleh hadir maka Pemuda dan Putera Umno juga perlu hadir. Jika ABIM, JIM, Persatuan Ulamak dan lain-lain wakil NGO Islam/Melayu boleh hadir maka tidak ada sebab GPMS, Persatuan Masjid, Surau, Dewan Perniagaan Melayu, PEKIDA, Persatuan India Muslim, Persatuan-persatuan Kebajikan dan lain-lain tidak boleh hadir.
Insyallah dengan kehadiran kita ini mudah-mudahan semua pihak akan menghormati kedudukan Islam dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia yan lain dapat menghormati dan memahami sensitiviti umat Islam sebagaimana umat Islam selama ini menghormati dan memberi ruang kepada mereka.
Cinta Islam ayuh ke Masjid Negara!
(Pengunjung BLOG ini wajarlah semua sekali berada di sana kecuali sahabat-sahabat kita yang di luar negara)
No comments:
Post a Comment