Satu kapal dua nakhoda, itulah nasib Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atau GPMS pada hari ini. Bermula sebagai badan NGO yang berfungsi membela dan mempertahankan nasib para pelajar Melayu, hari ini GPMS laksana satu kandang yang penuh dengan haiwan-haiwan politik yang masing-masing mahu berlumba melonjakkan dirinya ke atas persada politik yang lebih empuk dan mengenyangkan itu.
Malah GPMS yang saya kenal sewaktu di kampus dulu pun sudah tampak bagai satu kelab eksklusif pencinta dan penggemar Umno. Mereka yang menyertainya melakukannya semata-mata untuk mendapat tempat dan kedudukan tertentu.
Berbalik kepada hal konflik dalaman GPMS hari ini, maka muncullah Khir Toyo, Presiden Majlis Belia Malaysia ataupun MBM yang mahu bertindak sebagai orang tengah. Khir dilaporkan sebagai berkata melalui MBM beliau mahu mengemukakan 3 jalan penyelesaian bagi mengatasi kebuntuan di GPMS itu, iaitu:
Pertama: satu pihak mengalah (Suhaimi beri pada Naina atau Naina beri pada Suhaimi)
Kedua: kedua-dua pihak letak jawatan dan diadakan pemilihan semula
Ketiga: serahkan sahaja kepimpinan GPMS kepada para pelajar
Nampak terlalu simplistik formula Khir. Bagi yang pertama, saya fakir hampir mustahil ada mana-mana pihak mahu memberi laluan. Masing-masing dah berpatah arang berkerat rotan, takkanlah semudah itu mahu beri jalan. Bagi cadangan yang kedua pula, Khir kata pemilihan semula yang dijalankan secara adil. Bukankah masing-masing pihak menganggap pemilihan masing-masing telah pun dijalankan secara adil, nak adil macam mana lagi?
Dan yang paling menarik adalah penyelesaian yang ketiga iaitu kedua-dua Presiden letak jawatan dan serahkan kepimpinan GPMS kepada para pelajar. Sepatutnya begitu, malah sepatutnya semua kepimpinan belia diserahkan kepada belia (bukan bapa belia) tanpa memiliki kepentingan politik ataupun jawatan dalam kerajaan. Tatkala itulah saya yakin badan-badan belia ini akan bergerak lebih efektif kerana penggerak dan ahlinya belia-belia belaka.
Sebenarnya kalau Khir boleh cadangkan demikian, Khir juga sepatutnya serah sahaja pimpinan MBM kepada yang benar-benar belia. Dahlah pegang jawatan MB, Ketua Perhubungan Umno pula tu, berpadan-padanlah, biarlah sesama belia yang memikir dan menyelesaikan agenda mereka (kecuali Khir ada agenda tersendiri).
Begitu juga sepatutnya Syed Hamid di MAYC.
Saya kira selagi ahli-ahli politik mengambil kesempatan meletakkan badan-badan belia ini sebagai batu loncatan untuk kepentingan mereka maka selagi itulah masalah belia akan terumbang-ambing tanpa pembelaan dan penyelesaian yang benar-benar bermakna.
No comments:
Post a Comment