Wednesday, January 25, 2006

Nasihat PM tidak dipedulikan Kaliammal

Ramai menyangkakan apabila PM Dollah Badawi menegaskan bahawa Perkara 121 (1)(A) tidak akan dipinda maka berakhirlah segala tuntutan yang berbangkit ekoran dari keputusan kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy.



Semua pihak disangka akan menerima baik kesudahan kontroversi ini, mengelakkan ketegangan dan kembali ke arah membina negara yang aman dan damai yang saling hormat menghromati antara satu dengan yang lain.

Mudah-mudahan roh Allahyarham akan tenteram dan tiada lagi pertikaian yang akan timbul mengenainya.



Rupa-rupanya segala sangkaan yang dimaksudkan meleset. Hari ini akhbar tempatan melaporkan S.Kaliammal, isteri Allahyarham Mohammad yang masih beragama Hindu itu telah pun memfailkan rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan semalam.

Beliau mengemukakan 50 alasan bagi Mahkamah Rayuan untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu dan membenarkan tuntutannya iaitu Allahyarham sebenarnya seorang Hindu dan bukan Islam.

Saya yakin terdapat banyak tangan-tangan hitam di belakang tabir yang mendesak dan memaksa Kaliammal agar terus dengan rayuan ini. Benarlah sebagai seorang manusia, tambahan isteri pula pada si mati pasti Kaliammal mahu membela hak beliau sebagai isteri dan hak keluarganya. Tetapi perkembangan terbaru telah melihatkan campurtangan pimpinan tertinggi negara, disamping keputusan mahkamah tinggi yang sedia ada.

Dengan meneruskan tuntutannya ini bermakna Kaliammal tidak pedulikan rayuan dan saranan PM dan enggan berlapang dada. Memang dari perspektif undang-undang merayu adalah haknya, lalu merayulah beliau. Pasti juak-juak di belakangnya melompat-lompat dan bersungguh-sungguh bekerja bagi memastikan rayuan ini berjaya.

Cuma katakanlah jika rayuan ini berjaya (minta dijauhkan oleh Allah swt), bermakna mahkamah akan membenarkan tuntutan Kaliammal, saya tidak boleh membayangkan apa yang akan berlaku! Mungkinkah pusara Allahyarham dibongkar dan jenazahnya kemudian dibakar menurut adat Hindu?

Nampaknya kes yang sensitif ini belum sampai kepenghujungnya, ia akan terus menduga kesabaran umat Islam entah sampai bila. Marilah kita berdoa mudah-mudahan Allah swt mengerakkan hati para hakim di Mahkamah Rayuan itu kelak agar menolak kesemua tuntutan Kaliammal itu, Amin.

No comments: