Sunday, January 01, 2006

Projek menyelubung piramid terbengkalai

Ianya dipandang sebagai suatu usaha yang besar dan mulia. Apa tidaknya seramai 35 warga Malaysia akan terbang ke Mesir dan menyelubung binaan Piramid di Giza dengan Jalur Gemilang gergasi dan bendera 57 negara ahli OIC. Mereka pula nanti akan disertai oleh 2 orang Menteri kabinet Pusat.

Ianya dijadualkan pada 15 hingga 27 Mei nanti dan majlis simbolik pelancaran ekspedisi gilang gemilang ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri baru-baru ini.



Projek ini akan menelan belanja RM200 ribu dan akan dibiaya oleh kerajaan Selangor, Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Bekas Perajurit PERHEBAT. Menurut penganjur usaha itu kelak akan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records dan akan disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3 (kalau campur kos siaran langsung rasanya RM200 ribu itu tidak tepat).

Menurut TPM Najib Tun Razak usaha luar biasa ini kelak sejajar dengan seruan PM Dollah Badawi bagi melahirkan Towering Malaysians.

Tiba-tiba menurut laporan akhbar THE STAR Jumaat lalu, ekspedisi Mat Jenin ini terpaksa dibatalkan. Kenapa?

Pengerusi Majlis Bahan-bahan Purba Mesir (Egypts Supreme Council of Antiquities) badan yang bertanggungjawab terhadap pyramid di Giza, Zawi Hawass mengatakan ia mustahil dibenarkan. Usaha itu nanti akan melibatkan binaan berusia lebih 4,600 tahun itu dipanjat sedangkan ianya adalah warisan purba, satu-satunya keajaiban dunia. Kata Hawass:

Why should I allow them to drape it?

Bagaimana kerajaan boleh terlibat dalam kerja yang sia-sia dan tak masuk akal ini (disamping membazir wang rakyat)? Bagaimana Timbalan Perdana Menteri boleh memberikan endorsement ataupun pengiktirafan atas nama Perdana Menteri Malaysia dalam hal ini?
Bagaimana dengan begitu mudah kerajaan Selangor dan kerajaan Pusat disamping PERHEBAT selaku badan yang sepatutnya menjaga kebajikan bekas perajurit boleh commit tanpa usul periksa menaja kerja yang gila ini?

Kini kita dah melangkah ke tahun baru 2006, jangan lah kita berlagak sebegini lagi. Membazir wang rakyat dalam keadaan kehidupan rakyat tertekan dengan kenaikan harga barangan yang menjejaskan ekonomi dan penghidupan mereka. Apa gunanya mengejar nama, membikin bendera yang menyelimut binaan sedemikian besar sedangkan rakyat jelata masih ada yang tidur kesejukan dimalam hari.

Mujurlah pihak Mesir tidak memberikan keizinan, jika tidak sudah pasti ekspedisi ini menjadi bahan gelak ketawa seluruh dunia.

No comments: