Friday, August 23, 2013

Meminta-minta jadi pemimpin (23/8/13)


عَنْ عَبْدُ الْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةِ رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : يَا عَبْدَالْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ ! لاَ تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ , فَإِنَّكَ إِنْ أُوْتِيْتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلَتْ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوْتِيْتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ إِلَيْهَا ( رواه البخاري ومسلم(.
Terjemahan Hadis

Daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya :”Wahai Abdul Rahman bin Samurah Jangan engkau meminta jawatan pemimpin . Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat –bulat kepadamu .Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu . (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

 Keterangan mengenai perawai Hadis.
Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a seorang sahabat Rasulullah SAW.

 Nilai Hadis .
Hadis ini menerangkan tentang larangan meminta – minta jawatan pemimpin kerana tidak diberkati oleh Allah SWT .

Kupasan Hadis secara terperinci .
1.Larangan meminta – minta jawatan pemimpin , kerana ia dianggap cara yang tidak bermoral, sabda Rasulullah SAW :

أنَا وَاللهِ لاَ نُوَلَّي أَحَدًا طَلَبَهُ اَوْ حَرْصِيْ عَلَيْهِ
Sesungguhnya demi Allah kami tidak memberi jawatan menjadi pemimpin, seorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya.

 2.Imaplikasi dari memegang jawatan pemimpin secara meminta –minta .

Pemimpin adalah orang yang memikul beban dan amanah bukannya kemegahan dan kemuliaan . Maka jawatan pemimpin itu adalah terbuka kepada mereka yang benar-benar layak menyandangnya , kalaulah seseorang meminta-minta jawatan pemimpin itu kurang layak , maka ia akan menutup peluang kepada mereka yang lebik layak memegangnya . Dia tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana tidak ada mempunyai kelayakan .Bertanggungjawab sepenuhnya di dalam menjalankan tugas jawatan itu ,tanpa mendapat pertolongan dari pihak lain .
 3. Imaplikasi dari memegang jawatan pemimpin tidak secara meminta –minta iatu dipilih/dilantik

 a. Orang ramai akan rasa puas hati kerana dilantik/ dipilih atas pilihan mereka, maka senanglah ia menjalankan tugas kerana mendapat sokongan dan kerjasama dari mereka.
 b. Dapat menjalankan tugas dengan baik kerana ia memgang jawatan itu di atas dasar benar –benar layak memegang jawatan itu .

 c.Mendapat kerjasama dan pertolongan dari semua pihak ,baik dari pihak berkuasa atau pihak orang ramai di dalam menjalankan tugasnya.
 Pengajaran Hadis .

 1.Rasulullah SAW melarang seseorang itu meminta – minta untuk memegang jawatan pemimpin.
2.Tugas dan tanggungjawab akan dipikul sepenuhnya oleh orang memegang jawatan itu tanpa pertolongan dan kerjasama dari pihak lain .

3.Seseorang yang memegang jawatan pemimpin yang dipilih / dilantik akan mendapat pertolongan dan kerjasama dari semua pihak .

Hadis ini jelas isi dan keterangannya.
Pilihanraya Umum sudah lebih 3 bulan berlalu, kini masing-masing yang telah terpilih sedang sibuk menyusun perancangan dan melaksanakan tugas masing-masing. Bagi yang baru dipilih sudah pastilah ia pengalaman baru, maka amanah yang telah diberikan perlu digalas dan dilaksanakan dengan sempurna. Begitu juga yang dipilih lebih sepenggal, pastikan amanah yang diberikan dipelihara dan dipikul sebaik mungkin.

Saya masih ingat betapa hangatnya suasana sebelum PRU lalu. Lebih hangat lagi apabila masing-masing parti memerah otak menyenarai pendek dan memilih calon-calon untuk dikemukakan kepada rakyat. Ada yang diterima ada yang terpaksa digugur dan diganti “last minute”, tetapi yang paling malang sebagaimana iktibar dari Hadis di atas adalah bagi yang melobi dan meminta-minta untuk dijadikan calon!
Jangankan dalam BN dan Umno saya tahu dalam PAS juga ada yang sedemikian. Alhamdulillah dalam PAS ada mekanisma yang menepati syarak yang digunakan dalam proses memilih dan mengenal pasti calon, namun lantaran ahli-ahli PAS bukan malaikat, maka ada juga berlaku insiden ini.

Setahu saya seorang pemimpin telah melobi diri menjadi calon dari satu kawasan ke satu kawasan akhirnya lobi beliau gagal walaupun disaat akhir dikhabarkan telah pun siap mengambil gambar untuk dijadikan poster calon. Ini jika berlaku dalam PAS perlu sangat dimuhasabahkan kerana ia menurut Rasulullah adalah satu amalan yang tidak bermoral dalam Islam.
Semalam pula saya terbaca satu laporan seorang lagi pemimpin PAS, yang walaupun kelihatan menolak perlantikkan beliau untuk beberapa jawatan dalam kerajaan, tetapi dalam waktu yang sama menonjolkan pula dirinya untuk jawatan lain. Dalam laporan itu beliau menyatakan beliau layak untuk jawatan berkenaan.

Ini pun saya kira termasuk dalam skop Hadis di atas dan wajarlah pemimpi  itu bermuhasabah.
Memang sukar apabila kita merasakan diri kita layak tetapi pihak yang bertanggungjawab seolah terlepas pandang akan kita. Maka naluri manusia dalam jiwa kita akan memberontak, mengapa lantik si anu sedangkan aku lebih layak. Akibatnya kita akan terbit dengan pelabagi tuduhan, ada konspirasi ada niat jahat, orang yang bertanggungjawab mengamalkan kronisma.

Dunia ini ibarat roda yang berputa kadangkala kita di atas dan kadangkala di bawah. Allahyarham Ustaz Fadzil Nor pernah berkata, bila kita di atas kita lihat orang di bawah kecil-kecil belaka, kita lupa bahawa orang di bawah juga lihat kita di atas itu pun kecil.
Menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t., itulah redha, satu sifat yang perlu ada dalam pemimpin dan pejuang Islam. Sifat redha dikatakan adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

Jangan kerana tidak dipilih kita menyerang mereka yang tidak memilih kita. Mereka itu buta, mereka itu bongkak, sombong, tetapi kita?
Sesungguhnya tiada seorang yang terlebih istimewa dalam perjuangan ini sehingga perjuangan tidak dapat diteruskan tanpanya. Semoga PAS terus kekal sepanjang zaman.

 

Wednesday, August 21, 2013

Kekal ilmu dan hikmah merajai dunia dakwah (21/8/13)


Saya sentiasa kagum dengan style, keperibadian dan pendekatan pemimpin/ulamak muda ini. Saya mendoakan semoga PAS terus subur dengan pemimpin-pemimpin seumpama beliau agar parti Islam ini terus relevan dan kekal istiqomah atas prnsip dan dasar perjuangannnya, biar datang ribut dan taufan sebesar mana sekalipun.
Beliau yang saya maksudkan adalah ahli Parlimen Pasir Mas YB Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz. Berikut adalah coretan terbarunya yang saya baca:

Metallica..
Adakah kita terpaksa akur, demi sokongan dan undi, untuk memenuhi kemahuan sejumlah anak muda yang minat gila dengan Metallica dengan mencari-cari atau mereka cipta satu fatwa ugama yang mengharuskan seni hiburan barat tanpa ugama itu untuk membentuk benak fikir dan budaya mereka?

Atau kita akur saja, kita bantah terus konsert hiburan yang melalaikan itu, kita kehilangan sokongan dan PAS menjadi tidak popular di kalangan segelintir anak muda?
Atau, kita usahakan cantuman antara keduanya, dengan memperelokkan bantahan, dengan mendidik mereka agar mengenali diri sebagai anak muda muslim yang mempunyai pelbagai kelebihan anugerahNya yang tidak melayakkan mereka untuk mudah kalah dan melayani gaya hidup barat yang syaitani itu yang akan meruntuhkan segala kelebihan yang telah mereka miliki?

Umno telah memilih yang pertama, walaupun tanpa lapik fatwa pun. Mereka telah mendapat apa yang mereka mahu.
Sebahagian pendakwah memilih yang kedua. Mereka berkata, Allah mahu tahu untuk memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya.

Pemuda PAS cuba memperhalusi dan menekuni agar ilmu dan hikmah itu merajai dunia dakwah. Jalan ketiga adalah pilihan dalam setiap hati yang budiman yang mencintai anak-anak muda muslim yang mencari-cari..
Dakwah itu kadang-kadang kelihatan mudah. Tetapi apabila kita 'terjun' sungguh di medannya, ia adalah satu seni halus menuju Allah yang memerlukan ilmu yang luas dan hikmat yang tinggi.

Mari menekuni..

Nik Mohamad Abduh

20 Ogos 2013

Memang sebagai sebuah gerakan Islam PAS akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Bagaimana mendekati dan menangani sesuatu suasana dan isu itu dalam waktu yang sama tidak menggadaikan sedikit pun prinsip dan matlamat perjuangan akan terus menjadi ujian buat PAS.
Ambil jalan mudah, matlamat menghalakan cara. Asal sahaja menang kita terjah apa sahaja, esok lusa baru cerita isu prinsip…..itu setahu saya bukan PAS. PAS terus kekal dari 1951 sehingga hari ini lantaran kuatnya komitemen dan pegangannya terhadap Islam yang diperjuangkan. Itulah yang di didik dan diindoktrinasikan kepada ahli-ahlinya.

Orang menyertai PAS kerana itu dan orang berkawan dengan PAS kerana PAS bercirikan itu yakni Islam.

PAS pernah naik pernah jatuh dan naik kembali, dalam semua suasana ini ia tidak sekali-kali kompromikan dasarnya, kerana itu barakah turun sehingga ke saat ini. Jika PAS cuai, jika PAS kendur, jika PAS longgar, percayalah segalanya akan dilucutkan dari kita dan jadilah kita sebagaimana parti-parti Islam lain yang timbul tenggelam di bumi lain.
Kekallah insyallah ILMU dan HIKMAH merajai dunia dakwah!

Jenayah: Berilah keyakinan pada pihak Polis (21/8/13)


Apabila jenayah terutama pembunuhan menggunakan senjatapi berlaku secara berleluasa kebelakangan ini, banyak pihak termasuklah kita semua resah dan gelisah. Kita bimbangkan keselamatan kita dan kaum keluarga. Masing-masing mengeluh bagaimana pembunuh-pembunuh ini dapat memperolehi senjatapi dengan begitu mudah. Dan sudah psati sasaran utama kritikan adalah pihak polis iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga kemanan rakyat dan Negara.
Banyak pihak dari individu ke pimpinan masyarakat dan politik mengeluarkan kenyataan mengutuk jenayah berkenaan. Dan pihak polis terus menerus menjadi bahan sasaran.

Tokoh korporat dibunuh, begitu juga peniaga, pegawai dan kakitangan awam termasuklah mereka yang memiliki latarbelakang yang mencurigakan. Tembak, tembak, tembak, hari-hari kita mendengar dan membaca laporannya.
Tiba-tiba apabila pihak polis bertindak. Terbaru menembak mati 5 orang suspek di Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan jenayah ini, lain pula ceritanya.

Polis kejam, polis tidak beri peluang sedangkan mereka ketika itu tidur, mengapa polis tidak tahan mereka hidup-hidup, polis salah guna kuasa………

Sekejapan mereka yang sebelum ini mengkritik pihak polis kerana gagal menjalankan tugas, hari ini tiba-tiba pusing kebelakang menyerang pula pihak polis yang menjalankan tugas dan sekaligus seakan membela pula penjenayah.
Orang politik yang paling kehadapan dari Timbalan Menteri, pimpinan BN (tertentu), pimpinan Pakatan (tertentu), tiba-tiba bangkit menyerang polis membela pula penjenayah???!!!

Kalau beginilah sikap kita sampai bila Negara akan aman? Ada isu yang boleh dipolitkkan, ada yang sepatutnya tidak dan memerlukan sokongan semua pihak.
Saya bukannya mahu membela membuta tuli pihak polis. Tetapi bagi saya pada merekalah kita perlu tambatkan harapan, saya yakin mereka juga berusaha sedaya upaya mahu menjenrnihkan suasana. Berilah dalam hal ini keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

Namun dalam waktu yang sama tidak salah jika kita menuntut agar pihak polis berhati-hati dan tidak pula nanti bertindak terhadap mereka yang tidak bersalah.
Dalam kes kejadian di Pulau Pinang, pihak polis menyatakan bahawa mereka telah bertindak ke atas ke lima-lima suspek yang ketika itu berada dalam satu unit apartmen. Apabila dikepung mereka melepaskan tembakan terhadap pihak polis dan akibatnya kelima-lima ditembak mati. Menurut laporan pihak polis menemui 3 pucuk pistol di tempat kejadian.

Apa pun saya kira pihak lain, termasuklah pimpinan politik perlu menunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis. Malah hari ini sahaja dalam akhbar The Star dilaporkan bahawa upacara pengkebumian kelima-lima yang terbunuh telah melihatkan suasana istiadat yang biasanya diberikan kepada gang-gang mafia dan samseng.
Dilaporkan kenderaan yang membawa mayat simati dihiasi dengan “swastika” dan sebuah kenderaan menurut The Star mempamirkan bunga bunga dengan tulisan :

“Gobi Butterworth” “King of the ring”.
Masing-masing penuh dengan angka 04 iaitu lambang kumpulan samseng yang dikaitkan dengan simati.

Anehnya kita turut mendengar bahawa mereka yang mati kononnya orang baik-baik. Tidak ada rekod dan lain-lain.
Biarlah pihak polis menyiasat dan keluarkan kenyataan. Isunya di sini adalah bermaharajalela kumpulan samseng-samseng ini dan keselamatan rakyat terancam akibatnya. Biarlah pihak polis bertindak dan sebagai orang awam kita berikan keyakinan dan sokongan semoga aman kembali Negara kita.

(Mungkin kalau ada pimpinan politik yang bersungguh-sungguh mempertikaikan tindakan pihak polis dan rasional mereka menembak mati penjenayah ini, lain kali bila ada operasi seumpama ini angkut sekali pimpinan politik ini, biar mereka hadir sekali dan menyaksikan. Letak mereka di barisan hadapan…..)

 

Wednesday, July 31, 2013

MPSJ mahu lulus lesen rumah urut jika ada permintaan? (31/7/13)


Saya sungguh terperanjat pagi ini apabila membaca laporan akhbar bahawa pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersedia mengeluarkan lesen-lesen rumah urut atau pusat kesihatan sekiranya terdapat permintaan. Kesediaan ini kononnya kerana kawasan perbandaran berkenaan semakin berkembang dan berkemungkinan memerlukan lebih banyak pusat-pusat seumpama ini atas dasar permintaan.
Sekarang pun MPSJ telah memberi lesen kepada 211 pusat-pusat urut (itu di Subang Jaya sahaja bukan seluruh Selangor), tidak termasuk yang tidak berlesen dan beroperasi sesuka hati.

Sebelum ini kalau kita perhatikan banyak pihak telah mengkritik kerajaan negeri Selangor kerana melalui PBT-PBT nya banyak meluluskan rumah-rumah urut seumpama ini.
Apa masalahnya rumah-rumah urut ini?

Rata-rata kecuali segelintir, pusat-pusat ini samada berlesen lebih-lebih lagi yang tidak berlesen sesungguh dan sebenarnya merupakan sarang-sarang makasiat. Refleksologi dan terapi muka kononnya menjadi hiasan luar tetapi hakikatnya pusat-pusat ini menjalankan aktiviti maksiat iaitu urut badan sehinggalah ke aktiviti seksual.
Malah perkara ini diakui sendiri oleh EXCO Kerajaan Tempatan Selangor yang baru Teng Chang Khim sehingga beliau pernah menyebut akan mengkaji samada boleh diasingkan rumah-rumah urut ini agar yang untuk lelaki memberi khidmat kepada pelanggan lelaki dan wanita untuk wanita. Tujuannya:

 …..to overcome the problem of these outlets doubling as prostitution dens.

(….bagi mengatasi masalah pusat-pusat ini menjadi sarang pelacuran)
Dalam satu kenyataan lain Teng dilaporkan :

Teng menegaskan sejak 2008 kerajaan negeri telah menetapkan dasar untuk tidak mengeluarkan lesen baru rumah urut dan dasar itu masih terpakai sehingga kini.
“Tentang bab urut saya telah nyatakan bahawa dasar kita sejak 2008 kita tak keluarkan lesen yang baru. Itu dasar yang masih terpakai,” katanya.

Oleh itu apa rasionalnya tiba-tiba pihak MPSJ mahu pusing kebelakang dan menimbang-nimbang untuk meluluskan lebih banyak lesen aktiviti ini? (apa jadi dengan dasar kerajaan yang disebut Teng itu?) Barangkali MPSJ berpuas-hati bahawa kesemua 211 pusat urut yang dilesenkannya itu semuanya “putih” menjalankan aktiviti “bersih”, apa kata sebuah badan bebas dibentuk untuk mengintip dan memberi laporan?
Sepatutnya diperingkat ini suatu perubahan besar perlu diperkenalkan dalam semangat cadangan Teng Chang Khim itu agar pusat-pusat ini jika benar masih diperlukan, maka dipastikan benar-benar mejalankan aktiviti yang sihat dan bersih tanpa ada peluang untuk menyelinap menjadi sarang maksiat. Bukannya kita terus lulus tanpa had dan kajian.

Saya musykil apa sumbangan ahli-ahli majlis dari PAS yang duduk di MPSJ dalam perkara ini? Jika dulu semasa zaman BN kita antara yang vokal menyerang isu ini sekarang kita duduk sebagai kerajaan adakah kita masih vocal atau duduk senyap mengizinkan perkara ini berlaku?
Semoga sekuarng-kurangnya pimpinan PAS bangkit menjelaskan kenyataan terbaru pihak MPSJ ini. Jangan hampakan harapan tinggi para penyokong dan mereka yang bersimpati dengan kita.

Tuesday, July 30, 2013

Bahana bungapi dan mercun (30/7/13)


Sepeti biasa menjelang Syawal berita anak-anak termasuk orang dewasa yang tercedera bermain bungapi dan mercun terus didengari. Disaat kita bergembira menyambut kedatangan Syawal, ada yang terpkasa berada di hospital menanggung derita da nada yang membawa parut dan kecacatan sehingga ke akhir hayat.
Yang anehnya semua jenis bungapi dan mercun kecuali dua jenis sahaja (happy Boom dan Pop-pop) adalah di HARAM kan pengimpotan nya.

Isunya jangan kita berbahas mengenai penyeludupan senjatapi ke dalam Negara terutama dari Negara seberang sedangkan bungapi dan mercun pun kita gagal tangani penyeludupannya.

Bungapi dan mercun ini sudah pastilah lebih besar muatannya jika mahu diseludup masuk. Jadi bagaimana ia boleh tembus masuk ke Negara?
Walaupun HARAM tetapi ia tetap laris di pasaran dan boleh didapati dimana-mana jangankan perayaan Hari Raya, apa sahaja perayaan di Malaysia, Tahun Baru Cina atau Deepavali, dentuman mercun dan pancaran bungapi tetap kedengaran dan kelihatan.

Siapakah yang mahu dipersalahkan?
Di sempadan kita ada pihak Kastam dan Unit Pencegah Penyeludupan atau UPP yang sepatutnya memantau dan mengawasi keluar-masuk barangan ke dalam Negara selain agensi penguatkuasaan yang lain, bagaimana boleh bolos?

Bolos pula bukan dengan kuantiti yang kecil, segenap ceruk Negara dari kampong ke bandar ke tanah-tanah rancangan, pulau dan tanah tinggi semuanya selamba bermain dan melepaskan mercun dan bungapi diwaktu-waktu perayaan. Bermakna berkotak-kotak, bertan-tan barangan HARAM ini dapat masuk…..!!!
Perkara ini perlu dilihat dengan serius dan satu tindakan bersungguh perlu diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Ini bukannya mahu menuding jari, tetapi kita mahukan komitmen semua pihak. Jika ada elemen rasuah yang terlibat, maka siasat dan ambil tindakan.

Kalau penyeludupan bungapi dan mercun pun diluar kawalan bagaimana lah kita mahu menangani yang lain termasuk penyeledupan senjatapi.

 

 

Saturday, July 27, 2013

Kekal lah PAS sebagai parti yang berakhlak (27/7/13)


Kalaulah disuruh pilih sebuah parti yang dikatakan stabil, ahli-ahlinya berdisiplin dan berakhlak, sudah pasti pilihan tadi adalah PAS. Parti yang memperjuangkan Islam sejak sebe,um Merdeka ini lagi dikenali samada oleh kawan atau lawan sebagai sebuah parti orang baik-baik, keranan bukankah sepatutnya begitu lantaran yang diperjuangkan parti ini adalah Islam.
Parti ini bermula dari sekecil-kecil gerakan, yang dipandang rendah dan lekeh, dijangka tidak panjang usianya kerana kurang diyakini dapat menambat minat dan sokongan rakyat berbandin Umno yang seakan usianya.

Tetapi lantaran istiqomah ahli-ahli dan pimpinannya yang didokong kuat oleh para ulamak PAS kekal dipersada politik tanahair sehinggalah ke hari ini. Malah kalau dikira usianya menjangkau Umno, kerana Umno dikira mati dan hidup semula akibat diharamkan Mahkamah satu ketika dahulu.

PAS jatuh dan bangun dalam politik Malaysia tetapi tetap tegap berdiri malah hari ini merupakan salah sebuah parti politik yang terbesar keahliannya dan paling tersusun organisasinya.
Walaubagaimanapun seperti parti-parti lain PAS tidak sunyi dari berbagai cabaran, dugaan dan krisis. Presidennya pernah meninggalkan parti, ada wakil rakyatnya yang pernah melompat meninggalkan parti, Presidennya ditahan ISA dikenakan tindakan sehingga tidak layak bertanding, namu PAS terus relevan bukan kerana kehebatan individu, bukan kerana kekuatan kewangan, tetapi PAS kekal bernafas saya yakin kerana ia tetap berpegang kepada Islam sebagai prinsip dan dasar perjuangan.

Jika ada usaha untuk membawa PAS keluar atau melonggarkan prinsip dan dasarnya itu, jangankan pimpinan, ahli-ahli PAS yang berkorban bermati-matian dan sentiasa istiqomah itu pasti akan bangkit dan memperbetulkan kembali keadaan.
Saya membangkitkan hal ini kerana melihat seakan ada atu arus atau gerakan untuk menggugat kestabilan dalam PAS sedang membara kebelakangan ini lebih-lebih lagi memandangkan parti itu akan menghadapi proses pemilihan dalam parti tidak berapa lama lagi.

Pemimpin naik dan pemimpin turun melalui proses pemilihan adalah satu perkara biasa termasuklah dalam PAS. Tetapi yamg menjadi luar biasa adalah apabila parti Islam ini turut melalui proses kempen memburuk-buruk dan menjatuhkan individu dan kumpulan tertentu melalui fitnah, tohmahan dan adu-domba. Proses seumpama ini tidak boleh ada di dalam PAS kerana ianya jelas bertentangan dengan prinsip dan dasar perjuangannya.
Satu artikel dalam sebuah portal berita hari ini bagi saya adalah permulaan proses kotor ini dan perlu di bendung dan diberi perhatian oleh ahli-ahli. Di bawah tajuk:

Another son in law rises this time in PAS
Atau dalam Bahasa Melayu nya:

Kebangkitan pengaruh menantu kali ini dalam PAS
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kebangkitan-pengaruh-menantu-kali-ini-dalam-pas

cuba memberikan gambaran buruk secara spesifik kepada pemimpin nombor satu PAS iaitu Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Kononnya PAS kini diganggu oleh pengaruh menantu Tuan Guru dan cuba menyamakannya dengan Khairy Jamaluddin ketika Dollah Badawi Presden Umno satu ketika dahulu.
Dan dalam ruangan komen artikel berbahasa Inggeris itu dimuatkan komen berikut:

Hadi and this son-in-law are selfish people, always thinking about themselves and always thinking that they are right. Of course they are wrong! These kind are not what Malaysia needs. The Rakyat must always be careful of them - they do not have a Malaysian agenda but rather they own inward, selfish agenda.
(Hadi dan menantunya mementingkan diri sendiri, sentiasa memikirkan tentang diri mereka sahaja yang betul. Tetapi mereka sebenarnya salah! Orang seumpamam ini tidak diperlukan oleh Negara (Malaysia). Rakyat mesti berhati-hati dengan mereka, mereka tiada agenda Malaysia sebaliknya hanya mementingkan agenda peribadi mereka.)

Bukannya saya taksub atau fanatik pada Tuan Guru tetapi apabila dihamburkan fitnah dan tuduhan melulu ke atas seorang tokoh yang telah banyak menyumbang ke arah kebangkitkan semula PAS sejak awal 80an lagi (sedang ketika itu ada diantara pimpinan PAS hari ini tak kenal pun PAS lagi), saya merasakan ahli-ahli PAS yang istiqomah dan cintakan dasar dan perjuangan parti perlu bangkit mempertahankan yang hak.
Cegah unsur-unsur sekular yang mengizinkan politik adu-domba dan fitnah dari meresap ke dalam parti dan merosakkannya.

Rakyat mahu kepada PAS lantaran ia konsisten dalam memperjuangkan Islam, jangan sampai rakyat lihat tiada beza antara kita dengan yang lain.
Semoga Allah swt terus mempertahankan PAS dan pemimpinnya yang ikhlas.

 

Friday, July 26, 2013

Memelihara maruah wanita (26/7/13)


Pernah ketika saya menjadi ahli majlis bagi sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, semasa satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan nya, isu iklan yang memaparkan wanita dalam aksi yang tidak sopan dibangkitkan. Ia dibangkitkan ekoran bantahan penduduk Islam di kawasan itu.
Saya telah mengeluarkan hujah mencadangkan agar iklan itu diturunkan dan tiada lagi iklan seumpama itu diluluskan. Sesungguhnya garis panduan bagi iklan-iklan awam pun jelas melarang iklan yang sedemikian.

Semasa mesyuarat itu ada dikalangan ahli mesyuarat khasnya yang bukan Islam tidak bersetuju dengan mendakwa seolah PBT mahu mengekang dan mengawal industry pengiklanan yang didakwa sihat. Seorang ahli mesyuarat wanita Islam turut bersetuju dengan cadangan saya.
Melihatkan seakan tiada keputusan lalu pengerusi mesyuarat iaitu Yang Dipertua Majlis (YDP) telah meminta pandangan jabatan dan agensi penguatkuasaan yang turut dijemput. Ketika itu YDP meminta pandangan wakil dari Polis Di Raja Malaysia, seorang pegawai berpangkat Inspektor, wanita bukan Islam. Dengan takdir Allah, pegawai berkenaan (walaupun bukan Islam) turut bersetuju dengan pandangan saya dengan menyatakan apa pun janganlah sampai tubuh wanita diperalatkan bagi tujuan komersil.

Akhirnya keputusan diambil untuk menurunkan iklan berkenaan.
Saya membawa kisah ini kerana dalam akhbar tempatan hari ini dilaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP membantah iklan pada sebuah papan tanda elektronik di Gerogetown, Pulau Pinang yang memaparkan gambar wanita yang berpakaian tidak sopan.

iklan yang dibantah CAP di Georgetown
Menurut Presiden CAP Hj SM Mohd Idris, iklan berkenaan di Jalan Burma merendahkan maruah wanita dan perlu diturunkan.
Menurut beliau lagi peraturan atau garis panduan pengiklanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri jelas melarang iklan seumapam itu. Malah ia turut bertentangan dengan garispanduan yang dikelaurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Di sinilah majlis tempatan atau PBT perlu memain peranan. Sebarang iklan yang berlesen perlu diluluskan oleh PBT sebelum boleh diiklankan. Diharapkan ahli-ahli majlis peka akan perkara ini dantidak bertindak membelakangankan peraturan yang sedia ada.

Sekurang-kurangnya di Kelantan, kita boleh menarik nafas lega apabila semua papan tanda iklan di sana sekiranya melibatkan wanita, adalah dalam keadaan berpakaian sopan.

Syabas CAP.