Thursday, February 07, 2008


Negara Berkebajikan PAS yang digeruni Umno/BN

Manifesto PAS sebenarnya belum pun dilancarkan secara rasmi. Ianya dibayang-bayangkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden PAS di dalam ucapan mereka semasa program jelajah mereka ke seluruh negara sejak bulan lalu, namun bayang-bayangan itu telah terus diterpa oleh media arus perdana dan telah langsung mendapat reaksi pimpinan Umno.

Satu demi satu menteri menyerang dan mengkritik cadangan PAS itu walaupun mereka sendiri sebenarnya hanya dengar-dengar dari laporan akhbar yang separuh masak dan separuh tiang. Anehnya apabila masing-masing menteri memperlekeh dan menghina, PM Dollah Badawi pula mendakwa yang Malaysia pun selama ini adalah sebuah Negara Kebajikan. Begitulah porak-perandanya Umno dan BN yang baru sekadar mendengar bayang-bayangan belum pun mengkaji sepenuhnya janji pilihanraya PAS itu.

Sudah pastilah kekalutan Umno dan BN ini menunjukkan betapa terancam dan terganggunya mereka terhadap gagasan “Negara Berkebajikan” yang mahu dibawa oleh PAS itu. Dalam keadaan rakyat dibebani dengan kos hidup yang semangat perit, sudah pastilah bayangan harapan dari PAS itu menikam Umno dan BN dari pelbagai penjuru.

Manifesto PAS yang bakal dilancarkan itu bukan menjanjikan "Negara Kebajikan" atau "Welfare State" tetapi sebaliknya “Negara Berkebajikan” atau “A Caring and Service Oriented Nation”.

Dalam ertikata lain Negara Berkebajikan itu nanti akan memberikan penekanan dan kepentingan terhadap pengurusan ekonomi dan kekayaan Negara supaya ianya diurus secara bijak dan mampu membawa pembangunan yang seimbang kepada rakyat dan negara, disamping itu sentiasa mesra-manusia dan mesra alam. Kemampuan mencerana sebuah negara sedemikian insyallah akan memelihara nasib dan kebajikan rakyat dan mengangkat hidup mereka ke arah yang lebih selesa,aman dan sejahtera dalam tanahair yang tercinta ini.

“Negara Berkebajikan” PAS ini adalah alternatif kepada apa yang telah selama ini diwujudkan oleh Umno dan BN. Pengurusan negara di bawah tangan mereka terbukti serba longgar dan berserabut, dengan amalan rasuah, kronisma dan nepotisma yang seolah menjadi amalan biasa. Kekayaan negara yang sepatutunya dinikmati oleh rakyat kini sebaliknya menjadi bahana yang menghimpit kehidupan rakyat. Jenayah, krisis perkauman dan keruntuhan moral berada pada tahap luar kawalan, sehingga Malaysia sudah tidak selamat dan aman lagi untuk rakyatnya sendiri.

Dalam suasana demikianlah PAS terbit dan menyerahkan kepada rakyat Manifesto “Negara Berkebajikan” ini untuk dipertimbangkan. Adakah PAS mampu? Ya, insyallah PAS mampu. PAS kini memiliki kekuatan kepimpinan yang berkelayakan, berakhlak dan lebih penting lagi bertaqwa. Rela dan sedia menawarkan diri untuk memimpin Malaysia dan negeri-negeri di bawahnya, dengan corak kepimpinan yang berbeza sama-sekali dari yang pernah dan sedang kita rasai selama ini di bawah Umno dan BN.

Rakyat Malaysia berhak untuk dipimpin oleh anak-anak bangsa yang beramanah, adil dan bersih. Berilah keyakinan dan sokongan anda, berilah peluang kepada PAS dan Barisan Alternatif. Selamatkanlah negara kita yang tercinta ini, undilah untuk perubahan.

“Negara Berkebajikan: Kerajaan beramanah, adil dan bersih”

Tuesday, February 05, 2008

Klip video "Mabuk Kuasa" dari WTV8

http://www.youtube.com/watch?v=3-CI6BaLPaU
MB Selangor: Wajah baru, tempe dan isteri baru??

Sahabat saya MSO turut menulis di blognya http://www.msomelayu.blogspot.com/ berkenaan kisah wajah Khir Toyo dan tempenya, di bawah tajuk: Evolusi tempe ke atas Khir Toyo!

Sesungguhnya isu ini bukan isu wajah hitam legam menjadi putih melepak, ala-ala gossip artis. Ini isu seorang ketua negeri yang menafikan tentang rawatan terhadap mukanya sebaliknya mengatakan ia menjadi putih kerana pemakanan yang diamalkan. Soal Khir nak jadi putih atau merah itu masalahnya, saya sendiri pun tidak berminat kerana pemimpin yang baik dan berjaya bukan pada rupa wajahnya tetapi pada hati dan keperibadiannya. Sehitam-hitam Bilal bin Rabbah r.a beliau duduk dikalangan para sahabat yang rapat dengan Rasulullah saw, sehingga ke akhir hayat.

Khir mendakwa yang pihak pembangkang telah memfitnah beliau kononnya beliau membuat rawatan ke atas mukanya. MSO menulis dengan detail maklumat yang diperolehinya berkenaan rawatan ke atas wajah Khir itu, dan memang saya yakin evolusi Khir bukan terletak pada menelan tempe dan sekaligus Khir terbukti seorang pembohong. (Saya tahu MSO ada kenalan yang rapat dengan Khir)

Jangan nanti kerana tempe MB Selangor ini tertiarap jatuh dari takhta kuasanya. Sejarah menunjukkan ramai MB-MB Selangor yang rata-rata Umno itu jatuh kerana pelbagai skandal. Ada kes rasuah, ada kes sumbang mahram, ada kes kahwin lari dengan anak Raja dan rasuah. Tiba-tiba Khir tergugat angkara tempe.

Tetapi dalam artikel MSO itu selain tempe beliau telah menyelitkan suatu maklumat dalam rimbunan penulisannya yang super kreatif itu, saya muatkan di sini:

Demikian apa yang disampaikan. Jadi tuduhan mengatakan pembangkang memfitnahnya tidak benar. Kalau ada pembangkang yang mempertikaikan mengenai evolusi wajahnya ialah kerana mereka melihat sendiri dan bukan sesutau yang sengaja direka.

Mungkin kerana pihak pembangkang tidak tahu dan pernah melihat isteri muda Khir maka cerita mengenai itu belum terdedah lagi. Tunggu...!

Isteri muda? Ini tak ada kena mengena dengan tempe dan wajah baru, betul kah ini Haji?

Sebentar tadi kami sempat berbual melalui telefon mengenainya. Bagi saya Alhamdulillah baguslah kalau MB sudah bersiteri baru. Betul-betul menuruti bos nya iaitu Dollah yang juga bersiteri baru, walaupun isteri baru Dollah menggantikan isteri lamanya yang meninggal dunia, tetapi Khir?

Kata MSO tunggu, dan saya tetap akan menunggu.
Mari kita tuntut "Kerajaan Sementara"

Ketua Pembangkang, ahli Parlimen Ipoh Timur yang juga Penasihat DAP Lim Kit Siang telah memfailkan saman pemula terhadap SPR dan kerajaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi bagi memohon agar satu "kerajaan sementara" atau "caretaker government" ditubuhkan serta-merta sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Dan dalam permohonan itu Kit Siang menuntut agar "kerajaan sementara" itu beroperasi sehinggalah kabinet baru dibentuk selepas pilihanraya.

"Kerajaan sementara" ini menurut Kit Siang lagi bertugas menjalankan urusan harian kerajaan tetapi tidak memiliki kuasa untuk memutuskan sebarang isu dasar, memperuntukkan kewangan atau menggunakan kemudahan kerajaan semasa kempen pilihanraya.

Menurut amalannya sebaik sahaja Parlimen dibubarkan semua ahli-ahli Parlimen tidak lagi menerima elaun dari kerajaan. Ini kerana tempoh perkhidmatan mereka telah tamat dan sepatutnya begitu juga kerajaan yang memerintah. Kerana itu dalam negara-negara demokrasi dalam keadaan demikian sebuah "kerajaan sementara" akan dilantik. Di Bangladesh umpamanya sebuah majlispenasihat yang diketuai oleh seorang bekas Ketua Hakim akan dibentuk untuk mengetuai "kerajaan sementara" ini.

Tujuan asas "kerajaan sementara" ini dibentuk selain menjalankan urusan tadbir negara adalah juga untuk memastikan yang jentera kerajaan tidak digunakan untuk berkempen pilihanraya bagi mana-mana parti. Dalam erti kata semua parti setaraf bertanding dalam pilihanraya bagi mendapatkan mandat dari rakyat.

Malangnya ini bukan amalan di Malaysia yang kononnya mendakwa ia juga sebuah demokrasi. Setiap kali pilihanraya maka kerajaan yang ada walaupun dari segi tekniknya "kerajaan sementara" terus bergerak seolah mereka masih kerajaan sebenar. PM dan anggota kabinetnya akan berkempen secara terbuka, menggunakan segala jentera dan peralatan kerajaan untuk kepentingan mereka tanpa memperdulikan yang ianya adalah bertentangan dengan amalan demokrasi.

Saya sedih membaca dalam Utusan Malaysia hari ini apabila Prof Khoo Khay Kim menyamakan tuntutan Kit Siang itu sebagai seolah mahu membawa masuk amalan Barat. Katanya:

Tidak perlulah mengikut sangat cara pentadbiran negara luar, rakyat menaruh sepenuh keyakinan kepada SPR dan kerajaan Malaysia dalam segala hal, bukan semasa pilihanraya sahaja.

Ini bukan soal mengikut amalan luar atau tidak, ini soal keadilan dan ketelusan! Kita tidak mahu kerajaan yang ada menganggap yang ia terus berkuasa selepas Parlimen dibubarkan dan menggunakan kuasanya itu untuk kepentingan politik semasa pilihanraya. Inilah yang telah diamalkan oleh Umno dan BN setiap kali pilihanraya, apakah Khoo tidak nampak?!

Siapa sahaja yang cintakan keadilan dan demokrasi sepatutnya menyokong usaha Kit Siang itu termasuklah Dollah jika beliau benar-benar telus dan adil. Bukankah prinsip kedua Islam Hadhari yang beliau cipta itu berbunyi:

Kerajaan adil dan beramanah
Media Arus Perdana "perkakas" BN

Salah satu tuntutan BERSIH adalah "Akses sama rata di media untuk semua parti-parti politik yang bertanding". Sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang ambil peduli apa lagi mempersoalkan darihal tuntutan itu. Ia seakan dilupakan dan dihumban entah kemana.
Sejak kebelakangan kita lihat media arus perdana semakin bernafsu digunakan oleh BN untuk kepentingan politik mereka. Semua akhbar utama, semua saluran TV dan radio, kini menjadi perkakas propoganda BN. Demikianlah demokrasi di Malaysia, dulu, kini dan nampak-nampaknya buat selama-lamanya selagi BN berkuasa.

Dahlah parti-parti pembangkang tidak mendapat sebarang liputan yang bermakna di media arus perdana, aktiviti dan program mereka pula dikekang dan disekat-sekat. Semalam contohnya di Desa Mentari, di bawah kawasan Parlimen Kelana Jaya, ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diserbu oleh pihak polis. Hampir seluruh ketumbukkan kekuatan polis daerah Petaling Jaya telah turun diketuai Ketua Polis Daerahnya untuk menahan Anwar dari berceramah sedangkan ribuan rakyat jelata mengerumuni kawasan rumah pangsa kos murah itu untuk mendengar pemimpin pembangkang berkenaan. Akhirnya Anwar dibenarkan 20 minit, itulah demokrasi di Malaysia!

Kalau kita selak akhbar-akhbar tempatan, kita akan melihat seolah-olah BN akan menang 100% disemua kerusi yang dipertandingkan. Di Kelantan, dalam akhbar hari ini Pengerusi BN Dollah Badawi membayangkan pembentukkan Kelantan baru, semalam saya terbaca sebuah akhbar sehingga meramalkan Parlimen Pengkalan Chepa (satu-satunya kerusi kubu terkuat PAS di Malaysia yang tidak pernah kalah sejak 1959) dan kesemua DUN nya termasuklah kerusi Tok Guru MB akan ditawan Umno/BN.

Dalam akhbar hari ini juga Umno dikatakan akan menggempur DUN Permatang Pasir, di Pulau Pinang yang dimiliki PAS. Baru-baru ini Pengerusi BN Wilayah dilaporkan mahu menawan kesemua kerusi-kerusi Parlimen Wilayah termasuklah empat milik DAP di Bukit Bintang, Kepong, Cheras dan Seputeh.

Dan saya percaya berita-berita kehebatan BN ini akan terus memuncak sehinggalah hari mengundi bagi mengasak minda rakyat bahawa hanya BN sahaja yang unggul dan patut menang.

Demokrasi bukan sekadar berpilihanraya. Demokrasi bukan sekadar membenarkan parti-parti pembangkang bertanding. Demokrasi termasuklah kebebasan penyaluran maklumat, yang disalurkan pula secara adil dan bersih. Maklumat dari semua parti yang bertanding perlulah seimbang turun sama-rata untuk ditelaah dan dibaca oleh rakyat. Kalau yang turun dan dibaca hanyalah dari satu parti, itu bukan demokrasi namanya tetapi otokrasi!

Semua parti-parti pembangkang, suka atau tidak akan terpaksa menghadapi segala kepincangan demokrasi ini, serta media arus perdana yang dilacurkan oleh BN untuk kepentingan mereka. Kita mengharapkan rakyat tidak akan mudah dan terus terpengaruh. Dalam serba keterbatasan parti-parti pembangkang akan terus melawan arus, suatu tugas yang sukar dan berat namun perlu dilakukan demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara ini dari kekotoran BN yang tidak sudah-sudah itu.

Ayuh selamatkan demokrasi, gunakan kesempatan pilihanraya ini untuk membawa perubahan total demi anak-cucu kita generasi yang akan datang!

Monday, February 04, 2008

Masyarakat India sudah bersedia melakukan perubahan

Semalam parti kaum India yang terbesar dalam Negara, dan rakan karib Umno iaitu MIC telah mengumpulkan seluruh Pengerusi-pengerusi cawangannya seluruh Malaysia, iaitu seramai 3,700 orang untuk berhimpun di PWTC bagi menghadiri satu persidangan khas. Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak dan disertai oleh pimpinan kanan parti berkenaan termasuklah Presidennya Samy Vellu.

Ada seorang blogger kononnya meramalkan selepas majlis tersebut Samy dijangka mengumumkan perletakkan jawatannya dari kabinet dan akan digantikan oleh pemimpin baru untuk mengetuai parti berkenaan dalam pilihan raya umum nanti. Ternyata ramalan hanya tinggal ramalan. Samy hingga hari ini terus kekal menerajui MIC dan satu-satunya Menteri keturunan India dan dijangka terus mengetuai jentera MIC.

Dalam majlis berkenaan 7 isu utama telah dikenalpasti yang kononnya telah mengakibatkan ketidakpuasan hati dikalangan masyarakat India sejak kebelakangan ini. Antaranya termasuklah penyertaan kaum berkenaan dalam sektor ekuiti, membuka peluang untuk kaum berkenaan berkhidmat di sektor awam, peluang pendidikan yang lebih banyak di IPTA, mempertingkatkan jumlah pemberian biasiswa, memperkenalkan mekanisma lebih efektif bagi membasmi kemiskinan kaum berkenaan di kawasan bandar dan lain-lain.

Kata Samy kerajaan perlu serta-merta menangani isu ini.

Tetapi soalnya bukankah MIC merupakan rakan komponan Umno dalam BN dan sebelum ini Perikatan sejak Merdeka lagi iaitu lebih 50 tahun! Apakah sepanjang 50 tahun itu MIC tidak nampak perkara-perkara ini? Saya percaya hanya setelah HINDRAF berarak di tengah jalanraya tempoh hari, mendedahkan masalah peminggiran masyarakat India, barulah MIC dikejutkan dari tidurnya. Sebelum ini mereka sebagaimana Umno berpuas-hati dengan kuasa yang ada ditangan dan tidak menyangka masyarakat yang selama ini membuta berdiri di belakang mereka akan nanti mengkhianati mereka.

Masyarakat India sudah melihat kelemahan dan ketidak jujuran pemimpin mereka setelah mendapat kepercayaan selama lebih 50 tahun. Kini mereka sudah bangun dan menyatakan mereka mahukan perubahan. BN dan MIC sudah menghidu perubahan sentimen masyrakat India ini, kerana itu Samy, Najib dan lain-lain semuanya mula gelabah.

Jika sentimen kebencian terhadap Samy dan MIC ini berterusan, pengundi India walaupun minoriti di semua tempat namun pasti dapat melarikan undi dari BN dan ini sudah pastilah mengundang bala kepada BN. Bayangkan BN kehilangan 10 ke 15% undi di satu-satu kawasan oleh kerana perubahan angina pengundi India! Itu belum ditambah dengan “swing” pengundi Cina dan undi tradisional orang-orang Melayu yang mengudni pembangkang.

Mungkinkah angin perubahan yang dinanti-nanti itu sudah mula bertiup?

(Semalam saya dijemput berceramah di Sementa di Kapar, kawasan pekan. Dalam gerimis hujan malam itu ratusan pengundi India hadir dan secara terbuka menyatakan kesediaan mereka membawa perubahan kali ini, anda bagaimana?)