Sunday, January 25, 2009

Lanskap politik negara sedang dilukis semula

Disaat saya menulis posting ini Buletin Utama TV3 mengumumkan yang ADUN Bota, Perak, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PKR. Ini selang beberapa hari selepas calon PAS Mohd Abd Wahid Endut menewaskan calon Umno Wan Farid sekaligus merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu dari tangan Umno.

Sebelum itu kita sama-sama mengikuti betapa Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Dato Zahar Hashim dan pimpinan Umno bahagian berkenaan menyertai PAS beramai-ramai diikuti dengan lebih 100 ahli Umno di bahagian Umno Kelana Jaya. Dan saya difahamkan seorang lagi Ketua Umno bahagian di Selangor akan turut jejak langkah Dato Zahar.

Apakah yang dapat kita baca dari perkembangan ini semua? Ya kita sedang menyaksikan lanskap politik negara seakan dilukis semula. Perkembangan meninggalkan Umno dari pelbagai peringkat pimpinan ini dijangka berterusan kerana bahtera Umno yang dibina sejak tahun 40an ini ternyata tidak lagi mampu bertahan, ia makin lapuk, makin usang, bocor dan boleh sahaja karam bila-bila masa.

Gambar MStar online
Memang Umno satu ketika dahulu tegap. Diawal zaman penubuhannya anak-anak bangsa yang ikhlas dari pelbagai disipilin khasnya guru-guru dan kakitangan kerajaan berebut-rebut menyertainya kerana mahu bersama memandu wadah perjuangan bangsa, membina negara dan nasib ummah. Umno mendapat dokongan penjajah Inggeris dan diberi pula teraju apabila negara Merdeka. Namun semakin negara dewasa, Umno pun semakin berubah. Dari kepimpinan yang diraih dari kalangan mereka yang ikhlas, Umno menjadi parti “businessman” apabila para peniaga mengambil-alih minat menyertainya.

Akhirnya orang menyertai Umno bukan lagi kerana perjuangan agama, bangsa dan negara tetapi lebih kepada duit, kuasa dan kedudukan.

Orang-orang Melayu kebanyakkan diabai, malah sekadar buah-buah catur untuk digunakan apabila perlu khasnya apabila ada pertandingan dalam parti. Apabila wang menjadi umpan maka segala-galanya adalah untuk nilai sogokan bukan lagi ikhlas dan sukarela. Wang diguna untuk mendapat kuasa, wang diguna untuk membeli pengaruh. Maka segala adab dan nilai bangsa dan agama luntur dan tiada lagi menjadi panduan dan keutamaan.

Kebencian rakyat di luar melihatkan gelagat buruk Umno ini memuncak dan terbakar menjadi dendam dan marah. Umno mesti diajar kerana mereka sudah tidak lagi menepati dasar dan asas perjuangan mereka dahulu. Umno sudah bukan lagi model yang sihat dan baik buat jenerasi mendatang. Umno menjadi kudis, liabiliti dan barah. Kesimpulannya Umno sudah tidak relevan tambahan apabila rakyat mula selesa dan boleh menerima parti-parti alternatif khasnya PAS dan PKR sebagai ganti.

8 Mac 2008 lalu adalah tarikh keramatnya, ini diikuti dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh dan terbaru Kuala Terengganu. Umno yang dijangka menghadapi pemilihan pucuk pimpinannya pada Mac ini dijangka semakin berpecah belah bahana politik wang. Tikam-menikam dan bunuh membunuh politik sesama mereka dijangka semakin ribut. Rakyat sudah benci dan bosan dan ini akan diikuti pula oleh kalangan ahli-ahli.

Tidak mustahil selepas Nasarudin, Zahar, ramai lagi akan angkat kaki meninggalkan bahtera usang bernama Umno ini. Marilah kita mencorak politik baru dalam negara. Tinggal dan buangkan yang keruh percaya dan terimalah yang jernih, sama-sama kita ungkapkan selamat tinggal kepada Umno.

2 comments:

Pak Brahim said...

Alhamdulillah....

Apa lagi yang perlu kita ucapkan, hanyalah berbanyak-banyak syukur diatas kurniaan dari Allah swt.

Kepada pemimpin-pemimpin PR, saya berpesan supaya teruslah istiqomah kepada perjuangan dan bersiap sedialah untuk memimpin negara yang kita sama-sama cintai ini sebagai amanah dari Allah dan rakyat jelata.

SELAMAT BERJUANG DAN SAYA DOAKAN SEMOGA ALLAH MENGURNIAKAN KEKUATAN DAN PERLINDUNGANYA.

Anonymous said...

semoga apa yang di lakukan adalah kerana Allah... KEinginan yang tidak dikuasai nafsu dunia...

ketika UMNO berkuasa Paslah satu-satunya yang paling menyayangi UMNO kerana menjadi orang yang banyak memerhatikan dan menegur kesilapan UMNO...Terima kasih...

Dan kini ketika PAS mula mempunyai pengaruh dan kekuatan pastinya UMNO akan mempunyai tindakan yang sama untuk menyayangi PAS memerhati ...menegur demi mempamerkan keharmonian untuk mereka yang lain...

Antara kita akan bersaing dengan sihat.... Segalanya DEmi kerana Allah ...
Disinilah para pemimpin mengajar orang-orang biasa untuk bersikap berbaik sangka ...

Berikan kami contoh yang terbaik untuk memimpin alam ini agar di kemudian hari ,jika Allah mentakdirkan dikalangan kami ada yang terpilih kami tidak akan ragu-ragu untuk menteladani..
ibarat sejarah kisah Nabi Sulaiman Alaihisalam dengan Puteri Balqis.