Wednesday, October 17, 2007

PPP dalam dilema

Siksanya menjadi kerabat kecil dalam BN. Rakan-rakan besar seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan nampaknya selesa dengan kedudukan masing-masing, tetapi yang kecil-kecil dalam gabungan 14 parti-parti politik itu seakan warga kelas dua.

Dari satu negeri ke satu negeri Presiden PPP M. Kayveas kelihatan menggemis untuk mendapatkan kerusi bagi partinya untuk pilihanraya umum yang akan datang.

Pada pilihanraya umum lalu, Kayveas diberikan kerusi Parlimen Taiping (dan menang di sana). Kerusi milik Gerakan itu diserahkan kepada PPP setelah Umno menyerahkan kerusi Bukit Gantang ke Gerakan. Rupanya penyerahan tersebut macam nika kontrak, cuma untuk satu penggal sahaja. Selepas ini Kayveas terpaksa serah kembali kerusi itu ke Gerakan kerana Umno pun mahukan semula kerusi Bukit Gantang.

Silap-silap jangankan PPP dapat kerusi tambahan, kerusi untuk Presidennya pun mungkin lesap!

Dalam akhbar hari ini, Ketua Menteri Melaka dilaporkan sebagai berkata bahawa tidak ada kerusi untuk PPP di negerinya. Sebelum ini MB Perak juga berkata atas nada yang sama.

PPP asalnya merupakan sebuah parti pembangkang yang kuat dan berpusat di Perak. Dalam pilihnaraya umum 1969 mereka cuma kurang 2 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri di Perak. Pada tahun 1973 atas inisiatif Allahyarham Tun Abdul Razak PPP menyertai BN. Kini nampaknya PPP sudah tidak berguna lagi buat rakan-rakan kongsi terbesar BN.

Demikianlah nasib PPP walaupun secara peribadi saya melihat Kayveas sebagai seorang pemimpin dalam BN yang berani, tetapi apa kan daya, beliau duduk dalam gabungan yang tidak menghargai sumbangan kawan-kawan.

No comments: