Friday, April 06, 2007

FAZ di WPI dibatalkan
Bukti kritikan Tun kritikan membina

Baru beberapa hari lepas bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad semasa di Kulai dan di Universiti Malaya melahirkan kebimbangannya berkenaan beberapa program dan rancangan yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Salah satunya adalah pengwujudan Zon Akses Bebas yang kelak akan membenarkan warga asing keluar dan masuk secara bebas ke wilayah tersebut tanpa perlu melalui pemeriksaan biasa. Kata Tun membuka wilayah ini dengan cara Zon Akses Bebas (FAZ) ini kelak bermakna mengizinkan satu wilayah di Johor dijajah secara percuma oleh orang-orang asing.

Secara kebetulan dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini MB Johor Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan bahawa cadangan FAZ ini telah dibatalkan. Sebagai gantinya kerajaan melalui Jabatan Imigresen akan memperkenalkan kad pintar yang akan memudahkan proses imigresen bagi warga-warga asing ini.

Bunyinya lebih-kurang sama, tetapi sekurang-kurangnya teguran dan kritikan Tun nampaknya diberikan reaksi juga.


Namun Tun turut mengkritik insentif khas yang diperkenalkan oleh PM Dollah Badawi untuk WPI ini iaitu pengecualian penyertaaan 30 peratus ekuiti Bumiputera. Ini bermakna pelabur-pelabur asing sudah boleh mendirikan industri sendiri tanpa penyertaan rakyat tempatan. Mereka bebas memiliki harta dan membeli syarikat daalam kawasan WPI ini iaitu yang membabitkan kawasan seluas 800 hektar di Danga Bay dan 960 hektar di Nusajaya.

Bab ini tidak disemak semula oleh kerajaan malah dipertahankan oleh Ghani dengan menyatakan bahawa ianya terpaksa diperkenalkan bagi memastikan WPI berdaya saing. Kata Ghani tidak berbangkit soal rakyat tempatan akan ditelan oleh warga asing atau menjadi orang asing di negara sendiri (sebagaimana didakwa Tun).

Sama-samalah kita nantikan apa yang akan berlaku nanti. Sekadar perbandingan hartanah di Pulau Pinang, terutama di Georgetown pernah satu ketika dahulu dibangkitkan oleh Umno negeri itu didominasi oleh rakyat Malaysia keturunan Cina dan masyarakat Melayu dipinggirkan. Itu sesama rakyat Malaysia, bayangkan bila yang asing pula masuk secara percuma nanti!

Kesimpulannya kita harapkan tokoh seperti Tun, Tengku Razaleigh dan lain-lain yang sayang dan pentingkan nasib dan masa depan bangsa dan negara agar terus bersuara lantang disamping rakan-rakan dari pembangkang. Kerana apa pun sudah 50 tahun kita Merdeka, biarlah kemerdekaan itu mencerminkan merdeka dalam erti kata yang sebenar, bukan negara merdeka tetapi harta dan kekayaan dimiliki orang asing.

No comments: