Wednesday, September 13, 2006

Aduhai Putra Umno

Apabila Penghulu Putera Umno, Azeez Abdul Rahim beria-ia mengisytiharkan kononnya mahu mendekati dan merobah cara dan gaya hidup serta gelagat Mat Rempit, ramai yang dah menduga bahawa kerja-kerja beliau itu akan menemui kegagalan.

Bukannya kita tidak menghargai usaha itu akan tetapi ianya diyakini adalah sia-sia kerana pada dasarnya Mat Rempit ini adalah golongan remaja yang bermotosikal yang sengaja mempamirkan keberanian dan aksi maut mereka untuk suka-suka tanpa memperdulikan keselamatan orang lain. Mereka ini, lelaki dan perempuan merupakan buruan anggota polsi saban malam terutama malam minggu.



Mereka ini melakukan kerja bodoh mereka itu kerana ianya bagi mereka sesuatu yang menyeronokkan dan memberikan kepuasan. Kerana itu apabila bercampur golongan ini yang terdiri dari lelaki dan perempuan, ketika itu tiada yang tidak dan mustahil bagi mereka.

Lalu datang Azeez yang turut memiliki rekod peribadi yang berwarna-warni, kononnya mahu menyelamatkan golongan yang merupakan public nuisance ini.

Hari in HARIAN METRO menyiarkan beberapa insiden yang mengaibkan yang telah dilakukan oleh golongan Mat Rempit yang dijadikan anak angkat oleh Azeez itu. Menurut akhbar tersebut Azeez telah mengumpulkan kira-kira 8,000 Mat dan Minah Rempit dalam satu program yang dikenali sebagai Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur- Teluk Batek 2006 iaitu pada 9 dan 10 September lepas.



Akhbar tersebut melaporkan remaja yang terlalu ramai ini seolah diluar kawalan penganjur sehinggakan ada yang berendam dan mandi-manda dalam kolah masjid di Teluk Muroh malah Pejabat Agama Islam Daerah turut menahan beberapa para peserta di hotel sekitar kawasan tersebut dalam keadaan berkumpulan lelaki dan perempuan. Ada yang mabuk dan sebagainya.

Adakah ini berkat kejayaan usaha Azeez itu?

Minta maaf saya bukan mahu mengkritik tanpa asas, tetapi bagi saya sebarang usaha pemulihan bagi remaja yang longgar dan runtuh akhlaknya umpama Mat dan Minah Rempit ini perlukan pendekatan holistik yang menekankan pemantapan akhlak dan agama. Kalau sekadar kumpulkan mereka dengan motor masing-masing kemudian diarak dari KL ke Teluk Batek dan kemudian berkampung di sana, apalah yang diharapkan agaknya?

Azeez perlu bertanggungjawab dalam hal ini, jangan cuba berlakon tak tahu dan mahu menafikannya pula sebagaimana beliau berjaya lakukan semasa di serbu di sebuah kelab urut dan jakuzi di Subang Jaya tak berapa lama dahulu.

Bagi ibu-bapa anak-anak ini, selamatkanlah anak-anak anda. Kalau bersungguh mahu mereka kembali ke jalan yang benar, maka carilah guru yang berwibawa dan ikhlas, Azeez minta maaf bukanlah calonnya.

No comments: