Monday, July 24, 2006

Pak Lah kata tak jadi Aza kata jadi!

Dalam salah sebuah akhbar tempatan semalam saya ada terbaca artikel yang menyatakan kesyukuran terhadap tindakan PM Dollah Badawi membatalkan pembinaan pusat sukan di London yang dikatakan akan menelan belanja RM490 juta itu.

Memanglah dalam keadaan kos hidup rakyat yang semakin menghimpit dan menekan ini, tak layaklah jika kerajaan mahu berbelanja wang yang sebegitu banyak di luar negara. Dan keduanya tujuan projek itu sendiri iaitu untuk membantu para atlet Malaysia menyesuaikan diri dengan cuaca dingin dan bertanding dengan atlet kelas dunia dirasakan tidak sesuai lebih-lebih lagi dizaman susah ini. (saya difahamkan kalau sekadar mahukan cuaca dingin kerajaan Kelantan telah pun menawarkan agar ianya dibina di tanah tinggi Lojing di Kelantan).



Ada seorang ahli politik tempatan berhujah di Parlimen bahawa jika RM490 juta digunakan untuk membina pusat-pusat sukan kecil di peringkat daerah yang mungkin menelan belanja sekitar RM1 juta barangkali boleh dibina 490 pusat seumpama itu diseluruh negara!

Tiba-tiba kita mendapat tahu dalam akhbar-akhbar tempatan hari in Menteri Sukan Azalina Othman menegaskan bahawa projek tersebut yang PM umumkan batal minggu lepas akan diteruskan juga.

THE STAR melaporkan Aza sebagai berkata:

The Youth and Sports Ministry will pursue with the proposed sports centre in England despite strong objections from various quarters including the opposition parties (and the PM?)

Menurut laporan Azalina berkata bahawa cadangan itu nanti akan diubahsuai dan komplek itu kemungkinan akan berada dalam Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) itu sendiri. Dan satu rundingan akan diadakan antara kementerian beliau dan Lembaga Getah Malaysia yang memiliki bangunan berkenaan.

Apakah Aza tidak membaca atau memperdulikan reaksi rakyat terhadap projek beliau itu? Rakyat menentang kerana merasakan ini bukan waktunya untuk kita berbelanja dalam projek sukan sedangkan kedudukan ekonomi negara dalam keadaan tidak begitu sihat. Aza perlu sedar juga bahawa prestasi sukan negara berada ditahap paling buruk sejak beliau memegang jawatan Menteri Sukan. Apakah dengan pembinaan projek itu nanti beliau menyangkakan prestasi sukan negara tiba-tiba akan melonjak naik?

Dan yang lebih besar lagi kenyataan Aza hari ini jelas bertentangan dengan kenyataan PM minggu lepas. Dahlah berbagai pihak mengatakan yang Dollah adalah PM Malaysia yang paling lemah. Saya kira kenyataan Azalina ini lebih membantu untuk mensahihkan tanggapan setengah-setengah pihak itu terhadap Dollah.

No comments: