Cukup-cukuplah perit dan penderitaan yang ditanggung rakyat
jelata, sekarang adalah masa untuk membina kembali negeri Serambi Mekah ini.
Kerajaan negeri sewajarnya diberikan dukungan, sokongan dan keyakinan untuk
melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawabnya.
Kita sudah melihat betapa MB, TMB, ADUN-ADUN serta ahli-ahli
Parlimen dan pimpinan berbagai peringkat khasnya di Kelantan bertungkus-lumus
bekerja siang dan malam bersama-sama memikul bebanan keperitan dan penderitaan
rakyat akibat musibah ini. Keikhlasan dan doa mereka kita yakini telah membantu
menghentikan malapetaka ini dengan izin Allah swt.
Saya hairan disaat serba mencabar ini mengapa masih ada
pemimpin yang seakan mahu membangkitkan keraguan rakyat terhadap kerajaan
negeri. Saya kesal membaca kenyataan berikut (dalam portal berita TMI hari ini):
“Parti pemerintah kerajaan negeri Kelantan, PAS perlu
menjuarai program pembangunan negeri itu yang dilanda banjir bagi memastikan 24
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu terlibat dalam musibah
berkenaan tidak turut sama 'hanyut' “
Kenyataan ini seakan mahu membangkitkan persepsi bahawa
kerajaan negeri PAS berlepas tangan, sekadar pandang dan lihat dan rela
pembangunan negeri diserahkan sahaja kepada BN. Seakan pemimpin PAS itu sahaja
yang meredah banjir membantu, yang mendapatkan dana luar, orang lain tidak
bekerja atau barangkali tidak secekap beliau!.
Menurut MB Ustaz Dato Ahmad Yakob sebagaimana dilaporkan
dalam akhbar Sinar Harian hari ini:
Kita sedar bahawa rakyat kita perlu dibantu. Polemik parti
kita letak ke tepi dahulu, hari ini kita terus berkhidmat untuk membantu
rakyat.
(Bagi saya polemik itu bukan sekadar ura-ura kerajaan
campuran PAS-BN Kelantan sebagaimana dicadangkan orang tertentu tetapi juga polemik
mahu jadi “juara bah”, dia sahaja yang cerdik, cekap dan handal, orang lain
bodoh dan tak pandai kerja…..)
Dalam laporan lain akhbar yang sama turut melaporkan (Di
bawah tajuk “Kelantan perlukan masa untuk pulih sepenuhnya” m/s 10):
Kawasan yang terjejas susulan banjir terburuk di Kelantan
dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.
MB Kelantan Dato Ahmad Yakob berkata jangkaan itu
berdasarkan beberapa langkah segera yang diputuskan Jawatankuasa Task Force
Pasca Banjir Kelantan yang akan dilselaraskan bersama jawatanlkuasa banjir
peringkat persekutuan.
Menurutnya dengan penuh tanggungjawab kerajaan bersimpati
dan menyedari masalah pasca banjir adalah perkara yang amat besar.
Diperingkat ini sepatutnya kekuatan PAS seluruh Negara bangkit
memberikan semangat, dorongan dan sokongan kepada MB dan kerajaan negeri.
Segala bantuan yang boleh digerakkan termasuklah dari NGO-NGO perlu disalurkan
kepada kerajaan negeri.
Jangan pula kita lantaran mahu jadi “Juara Bah”, cetuskan
jemaah dalam jemaah. Kita pula mengatasi dan mendahului kerajaan negeri.
Saluran dan bantuan semuanya konon atas inisiatif peribadi kita, maka kita mahu
kuasai.
Malapetaka di Kelantan jangan dijadikan platform untuk menang
dalam pemilihan parti.
Biarlah kita ketepikan kepentingan dan agenda peribadi. MB
Kelantan telah umumkan bahawa Tabung Bencana Banjir Kelantan akan dilancarkan
di Kuala Lumpur tidak berapa lama lagi bagi membiayai pembangunan semula negeri
berkenaan atas inisiatif negeri, ayuhlah kita mengembeling tenaga menjayakannya.
Kita gerakkan orang-ramai, kenalan, syarikat dan korporat untuk menyumbang dan
memabntu apabila dilancarkan nanti.
Dan yang paling penting jangan sekali-kali terpengarauh
dengan dakyah dan ancaman kosong yang cuba memecah-belahkan sesama kita disaat
kerajaan negeri perlukan sokongan dan dokongan semua.Ya Allah bantulah kami semua.
No comments:
Post a Comment