Diketika ini ramailah yang risau dengan keadaan Tok Guru dan
tidak kurang juga ramai yang mencuri peluang mahu menziarahi tokoh besar ini
walaupun jumlah pelawatnya dikawal ketat oleh pihak hospital dan keluarganya.
Semoga yang berkenaan semuanya ikhlas mahu Tok Guru sihat.
Saya tidaklah bermaksud ada yang mahu ambil kesempatan dari keuzuran Tok Guru,
tetapi kalau benar itu berlaku ia sangatlah dikesali.
Sesungguhnya diperingkat ini kalau benar kita hormati dan
sanjungi perjuangan Tok Guru maka
sewajarnyalah kita ikut dan akur ajaran dan nasihatnya. Jangan kita curi
publisiti kononnya orang paling rapat dengan Tok Guru tetapi tunjuk ajar dan
nasihatnya tidak pula kita pedulikan.
Diketika ini yang saya ingat antara sikap Tok Guru yang
sangat berani dan tegas sebelum beliau berihat lantaran uzur adalah ketika
meletusnya krisis MB di Selangor. Ramai di dalam PAS yang kononnya tidak
berpuas hati dengan pendirian yang diambil oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam
isu berkenaan ketika itu.
Apa kata Tok Guru Nik Aziz ketika itu?
"Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah
pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung
lantai," katanya.
Nik Aziz berkata Hadi adalah nakhoda PAS dan perlu diberi
sokongan bulat meskipun ada ruang beliau melakukan kesilapan.
"PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya
penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan."Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden.
"Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak
kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan
belayar dengan baik," katanya.
Dalam kita sayang dan simpati pada Tok Guru Nik Abd Aziz,
renung dan fahamilah nasihatnya, jangan sayang sekadar sayang tetapi buah
fikirannya tidak pula kita hargai.
Saya sayang Tok Guru Nik Abd Aziz dan saya doakan agar
beliau segera sembuh, dalam waktu yang sama saya akur dan taat nasihatnya, ya
PAS cuma perlu pada seorang Nakhoda dan Nakhoda yang ada tiada cacat dan
celanya dari sudut memimpin gerakan Islam ini. Bahtera perjuangan PAS akan
belayar dengan tenang menuju destinasi bawah teraju Nakhoda ini dan ia
sekali-kali tidak memerlukan mana-mana anak kapal lain untuk melangkah kepala
naik mahu menjadi Nakhoda pula.
Kalau Tok Guru Nik Aziz yang kita sayangi pun yakin, inikan
pula saya.
No comments:
Post a Comment