Friday, January 23, 2015

Apabila DAP khianat dengan PAS (23/1/15)

Bencana banjir di Pantai Timur khasnya di negeri Kelantan telah membangkitkan simpati khasnya dikalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan taraf hidup. Bantuan dan wang ringgit turun mencuruah-curah menandakan rakyat Malaysia akan tetap bersatu apabila berhadapan dengan bencana dan kesusahan.

Bencana ini merupakan satu ujian besar buat kerajaan Negeri dan juga kerajaan Persekutuan. Pelbagai usaha dan perancangan telah dan sedang serta akan dilaksanakan demi membangunkan semula kawasan-kawasan yang musnah dilanda banjir disamping meringankan kesengsaraan rakyat jelata yang terlibat.
Dalam pada itu saya tersentak apabila membaca satu laporan dari TMI mengenai salah satu dari usaha bantuan ini. Dan ianya pula melibatkan parti kawan yang sepatutnya berkawan dan berkerjasama dengan kerajaan Negeri yang diterajui PAS.

Laporan TMI itu menyebut:
"Kami hantar 15 kontena barangan yang bernilai kira-kira setengah juta ringgit dan RM270,000 wang  ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir.

"Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP pula menghantar RM1.1 juta ke Kelantan bagi membantu mangsa," kata Loke kepada The Malaysian Insider selepas berbincang dengan Wan Rahim pada Rabu malam di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur.
Jelas, DAP sudah memilih kawannya dalam PAS. Mereka dilihat tidak boleh bekerjasama secara erat dengan sesetengah pimpinan PAS dinamakan kumpulan Unity Government (UG) yang disokong kumpulan ulama namun dapat berbincang dengan baik dengan sekumpulan pemimpin lain pula iaitu kumpulan profesional atau Erdogan. Mereka tidak begitu rapat dengan pimpinan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yakub yang dikira kumpulan pro ulama namun pada masa sama mereka sangat senang bekerjasama dengan Wan Rahim dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Dalam situasi bencana seumpama ini pun ada pihak yang mahu bermain politik.

Rakyat Kelantan memilih dan telah memberi mandat kepada PAS untuk menerajui mereka. Dan atas mandat itu kerajaan negeri telah terbentuk dengan perkenaan Tuanku Sultan. Tidakkah aneh parti yang sepatutnya berkerjasama dengan PAS boleh membelakangkan pentadbiran yang diberi mandat oleh rakyat Kelantan, kononnya kerana tidak bersetuju atas perkara-perkara politik tertentu.
Yang memerintah Kelantan bukan Umno tetapi PAS, namun DAP memutuskan untuk tidak membantu kerajaan negeri.

Jika mahu hulur bantuan sendiri, siapa pun tidak peduli, inikan Negara bebas. Akan tetapi memilih-milih dan menyalurkan bantuan pula kepada pihak-pihak tertentu yang bermasalah dengan PAS sendiri, seakan suatu tanda pengkhianatan terhadap persahabatan yang telah terjalin.
Ternyata DAP tidak menghargai erti persahabatan sebenar. Malah ternyata DAP mahu terlibat dalam isu dalaman PAS, seakan menaja pihak tertentu untuk menggulingkan kepimpinan PAS yang sedia ada. Persahabatan apakah jenis ini?

Saya kesal ada tokoh-tokoh PAS tanpa segan silu sanggup membelakangkan jemaah dan menangguk di air keruh dengan menghulur tengkok menerima pula bantuan dari DAP itu. Kalau DAP tidak menghormati erti persahabatan, tokoh-tokoh PAS yang menadah tangan menerima sumbangan itu pula bagaimana?
Bukankah PAS satu jemaah satu gerakan Islam, dan anda duduk dalam jemaah dan gerakan ini. Atas apa alasankah anda boleh mengenepikan jemaah sebegini?

Ahli-ahli PAS perlu buka mata dan sedari bahawa ada pihak-pihak dalaman parti yang sedang berusaha meruntuhkan kredibilit dan nama baik parti demi samata-mata mahu merampas kuasa dalam parti.
Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapan penangguhannya dalam Mukatamar yang lalu ada menyebut:

“Ahli-ahli (PAS) wajib beristiqamah. Wajib beramal, berdakwah, berjihad dengan ilmu dengan fekah. Bukan ilmu sahaja, feqah, faham ilmu itu dan ikhlas. Menjaga adab berjemaah, bersatu dalam perkara dasar dan matlamat. Kita tidak berpecah walaupun berbeza pendapat”
Dalam hal ini kenyataan berikut yang dipetik dari TMI sangat dikesali:

Wan Rahim berkata, senario politik di Kelantan juga berubah dengan mendadak sejak banjir besar baru-baru ini.
"Secara umumnya, rakyat tidak puas hati dengan prestasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat tetapi sangat senang dengan NGO. "Nama Datuk Husam harum semerbak selepas banjir ini," kata Wan Rahim

Kepada kawan-kawan dalam DAP renungkanlah kata-kata pujangga berikut:
It is only the great hearted who can be true friends. The mean and cowardly, can never know what true friendship means - Charles Kingsley

The glory of friendship is not the outstretched hand, not the kindly smile, nor the joy of companionship; it is the spiritual inspiration that comes to one when you discover that someone else believes in you and is willing to trust you with a friendship -Ralph Waldo Emerson
Dan kepada tokoh-tokoh PAS yang mendapat tempat dan jawatan dari sokongan ahli-ahli dan pimpinan PAS, sedarlah bahawa perlakuan dan tindak-tanduk anda itu merugikan jemaaah dan melanggar adabnya. Marahkan pijat kelambu dibakar ……

Ahli-ahli PAS bertindaklah segera sebelum dua tiga kerat yang bermasalah ini terus membangkitkan onar dan memecah-belahkan kesatuan dan perpaduan kita yang dibina demi mengejar matlamat perjuangan yang suci.
Semoga Allah swt terus memberi kekuatan kepada pimpinan PAS khasnya kerajaan Negeri yang ikhlas membantu rakyat.

No comments: