Sunday, January 11, 2015

Apabila kebebasan bersuara lebih rugi dari untung (11/1/15)

Berkali-kali saya tegaskan dalam blog saya ini bahawa tiada kebebasan mutlak dalam dunia hari ini. Kebebasan mutlak hanya akan mencetus porak-peranda dan huru-hara kerana ianya seakan melupus dan menghapuskan apa sahaja peraturan yang dibina demi membina seuah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Kita iktiraf bahawa kebebasan bersuara contohnya adalah suatu elemen penting dalam demokrasi. Namun Negara-negara Negara dunia juga menghadkan kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang cuba mengatur kehidupan manusia agar tiada yang menyalahgunakan kebebasan itu sehingga mendiskriminasi, mencemuh, mencetuskan ketegangan ke atas individu atau pihak lain.
Insiden di Paris contohnya adalah suatu yang sangat malang dan tidak memberi kemenangan kepada mana-mana pihak. Kita mengutuk serangan berkenaan yang kononnya dibuat atas nama agama. Namun dalam waktu yang sama kita juga kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mencemuh dan menghina agama dan kepercayaan pihak lain kononnya atas nama kebebasan.

Kiranya manusia sudah tidak dapat menghormati hakmilik, anutan, kepercayaan, amalan sesama manusia, maka tatkala itu ketegangan, mudah sahaja tercetus dan akibatnya merugikan semua pihak.
Lebih-lebih lagi kita di Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini. Zaman-berzaman kaum-kaum terbesar dalam Negara kita Melayu, Cina dan India dapat tinggal dan hidup aman, walaupun memiliki kepercayaan dan adat yang berbeza. Kita iktiraf dan hormati perbezaan kita, kita sentiasa memelihara had dan batas hubungan dalam erti-kata ada yang tidak boleh kita sentuh dan masuk-campur demi memelihara keutuhan hubungan kita dan perpaduan dalam Negara.

Apabila sahaja sensitiviti “dipersetankan”, darah mudah terbakar, dan rasional hilang tempat, ketika itu ketegangan akan membara dan akibatnya yang rugi adalah Negara dan kita sesama kita. Beberapa peristiwa hitam yang besar adalah iktibar yang perlu kita jadikan pedoman, Peristiwa Natrah 1950, Peristiwa 13 Mei 1969, sehingga mengirbankan nyawa dan mencetuskan ketegangan kaum sesame warganegara.
Apa pun kita tidak mahu perkara dan persitiwa seumpama ini berulang kerana kita sayang pada Negara ini.

Biarlah orang Islam dan Melayu (serta kaum Muslim yang lain) dengan agama dan amalan mereka, begitu juga bangsa yang menganuti agama Kristian, Buddha, Sikh, Hindu dan lain-lain. Benar kita punya kebebasan bersuara, walaubagaimanapun dalam bab agama, amalan dan kepercayaan masing-masing tidak perlulah kita memberi pandangan, mengkritik atau menghina.
Jika kita akur dan terima serta tahu batasan kita masing-masing. Tiada pihak yang boleh memecahbelah atau mencetuskan ketegangan sesama kita, tetapi apabila kita terlalu taksub dan fanatik dengan kepercayaan kepada kebebasan bersuara yang mutlak, maka ketika itu kita juga mesti bersedia menerima risikonya.

Orang politik terutamanya, yang sering bercakap dan mengeluarkan pendapat, yang sering mendapat liputan, mereka inilah yang perlu berhubaya dan berhati-hati dalam bab ini begitu juga dengan meluasnya akses pada teknologi maklumat hari ini setiap kita masing-masing.
Satu contoh terbaru adalah komen berikut yang saya baca dalam sebuah portal berita:


Ianya ekoran laporan dari portal berita berkenaan berhubung pandangan seorang ahli politik dari PAS. Kenyataannya “defensive” terhadap kenyataan awal yang dibuat oleh seorang peguam bukan Islam berhubung kandungan khutbah Jumaat sebuah jabatan agama negeri.  
Jika kita menghargai kepelbagaian agama dan bangsa dalam Negara kita dan akur dengan sensitiviti masing-masing kita tidak akan terbit dengan komen di atas.

Tetapi lantaran taksub kita kepada kebebasan bersuara, pemberi komen di atas dengan melampau memetik Allah swt , Tuhan orang Islam, dan menghina undang-undang jenayah orang Islam iaitu Hudud.
Bayangkan perasaan orang Islam seperti saya apabila membaca komen ini. Saudara saya seorang bukan Islam dengan senang dan berani mempermain-mainkan Tuhan saya, kepercayaan saya. Tetapi kerana masih rasional saya sekadar kesal dan bangkitkan perkara ini di sini, bagaimana jika ada yang terbakar darahnya membaca komen di atas? Tidakkah ini bakal mengundang masalah?

Saya harap portal berita berkenaan juga menyaring komen-komen pembacanya, bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi memastikan tiada ketegangan akan tercetus hasil dari kepercayaan terlalu taksub kepada kebebasan tadi.
 

 

No comments: