Selamatlah PAS di bawah Kepimpinan Ulamak (18/9/14)

Thursday, September 18, 2014


Muktamar Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat masing-masing telah pun melabuhkan tirainya. Rata-rata gesaan untuk terus bersama kepimpinan Presiden dan menghormati serta mendukung sikap dan tunjuk-ajar Majlis Syura Ulama bergema menandakan syarat jelas bahawa PAS tetap mahu kekal bertunjangkan Kepimpinan Ulamak.
Banyak laporan dan berita mengulas dan membikin analisa terhadap persidang Dewan-dewan berkenaan. Bagi saya antara yang menarik dan memberikan kesan yang mendalam adalah gesaan yang diberikan oleh perwakilan Dewan Ulamak Kedah Ustaz Ahmad Yahya ketika membahaskan Ucaputama Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Ustaz Ahmad menggesa agar ahli PAS di semua peringkat memberikan hak kepada pimpinan tertinggi parti khususnya Presiden, Majlis Syura dan PAS Pusat, untuk memimpin parti.
Kata beliau:

"Kita beri hak kepada Presiden, tapi jangan ada dua, tiga presiden. Sukar nanti untuk dia mempimpin. Kita beri hak kepada pesuruhjaya negeri, tapi jangan ada dua atau tuga pesuruhjaya negeri. Saya yakin jika diberi hak kepada pemimpin mereka dapat memimpin dengan baik,"
Mesejnya jelas dan inilah yang perlu difahami, dipatuhi dan perakui oleh seluruh ahli PAS. Kiranya lancar, PAS akan memiliki nasib dan masa depan yang baik bergerak atas landasan Islam.

Inilah juga yang pernah diluahkan oleh Mursyidul Am PAS satu ketika dahulu bahawa:
"PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik,"

Orang PAS sebelum ini faham akan perkara ini, malahan memelihara adab berjemaah dengan baik sehinggalah muncul beberapa kalangan yang cuba menerobos diri keluar dari disiplin dan amalan jemaah sehingga nampak pincang dan sumbang.
Contoh, Presiden PAS terbit dengan pengarahan, ada pula yang di bawahnya memintas dan mematahkan pengarahan itu dengan pandangan kontra dan malah kritikkan pula terhadapnya secara terbuka.

Contoh, Pesuruhjaya PAS Selangor mengumumkan keputusan dan pendirian PAS negeri, bangkit pula mereka yang tidak duduk dalam haraki kepimpinan, malah di bawah PJ dengan pandangan dan penidirian yang berbeza.

Akibatnya keberkesanan kepimpinan terganggu, akibatnya kelancaran perjalanan jemaah kelihatan tidak kemas. Lalu PAS dipandang  lekeh, parti yang sepatutnya ke hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam ini dilihat goyang dan kacau.
Satu suara Presiden disanggah diperkecil dan diperendahkan oleh dua tiga individu dan kumpulan walaupun suara itu diketahui dibimbing dengan perakuan Dewan Ulamak dan Majlis Syura Ulamak. Maka jadilah PAS kelihatan diasak dari dalam oleh satu kumpulan yang terang-terangan menentang dan mencabar kepimpinan Presiden dan Majlis Syura Ulamak serta Dewan Ulamak.

Bahana dari dalam ini perlu ditangani dari dalam juga kerana jika dibiarkan menular, ianya menjejaskan politik PAS, menjejaskan hubungan PAS dengan rakan-rakannya dalam Pakatan dan malah membangkitkan fitnah dan syak wasangka yang sudah pasti tidak sihat dan baik buat PAS keseluruhannya.
Mukatamar adalah forum yang terbaik untuk menegaskan bahawa PAS cuma ada satu Presiden dan bahawa pimpinan Pusatnya teguh di belakang nakhodanya. Mukatamar perlu memperakui bahawa kelangsungan survival politik PAS mestilah dengan dukungan berterusan terhadap Kepimpinan Ulamak yang memberi jiwa dan nafas Islam pada PAS.

Muktamar Dewan-dewan telah bangkit menjunjung aspirasi ini dan hari ini bermulalah pula Muktamar PAS Pusat. Semoga para perwakilan yang mewakili akar umbi PAS seluruh pelusuk Negara akan bersama-sama menjiwai ketegasan dewan-dewan ini dan kembali menunjukkan pada dunia bahawa bahtera PAS berknakhodakan Tuan Guru Presiden di bawah bimbangan Majlis Syura Ulamak akan terus bertahan dan konsisten dalam mencorak dan menerajui PAS ini mendepani cabaran semasa sampai bila-bila.
Selamat bermuktamar.

0 comments: