Mat Sabu dari Khomeini ke Jokowi (13/9/14)

Saturday, September 13, 2014


PAS adalah sebuah parti Islam. Tanyalah siapa sahaja di Malaysia, samada professional, orang kebanyakkan, berpendidikan tinggi atau tidak, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban semua akan mengatakan bahawa PAS berjuang untuk Islam.
Dasar perjuangannya disebut dengan jelas dalam Perlembagaannya yakni Fasal 5(1) memperjuangkan Islam, bermakna PAS memilih menyertai politik untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan hukum dan pemerintahan Islam. Lebih nyata lagi peruntukkan Fasal 6 (1) dan (2) iaitu demi memperolehi apa yang dinyatakan dalam 5(1) PAS akan berusaha:

6(1) Menyeru umat manusia kepada Syari‟at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
6(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari‟at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Kalau orang-orang PAS berkempen untuk melaksanakan Islam, ianya biasa bukanlah sesuatu yang janggal atau ganjil kerana itulah PAS. Sejak 1951 iaitu hampir 63 tahun usianya itulah PAS.
Akan tetapi apabila pemimpin PAS, dalam kes ini orang nombor dua tertinggi dalam parti, Timbalan Presidennya menyatakan bahawa PAS kini perlu berhati-hati dalam menggunakan Islam untuk mendapat undi atau sokongan, ianya pasti sesuatu yang janggal dan ganjil.

Untuk tidak mahu menokok tambah saya petik wawancara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dalam Malaysiakini:
“The PAS Islamists should be wary of using Islam alone to get the votes of the people, for there will come a time when a "Jokowi" will be voted in by Malaysians and PAS hardline Islamists would have to mellow (down) and give their support to the one who will be getting the popular vote.That popular vote - when that time comes - might go to a 'Jokowi-like' (person).”

Terjemahan (saya):
“ (PAS Islamist = ulamak) Golongan ulamak perlu berhati-hati dalam hanya menggunakan Islam untuk memenangi undi rakyat, kerana akan datang masanya apabila “Jokowi” yang akan diundi oleh rakyat Malaysia dan ketika itu (PAS hardline Islamist = ulamak) puak ulamak perlu bersederhana dan memberi sokongan kepada sesiapa yang boleh mendapatkan undi popular. Undi popular itu nanti apabila tiba masanya  akan pergi kepada seseorang umpama “Jokowi”.

Mohamad Sabu bukan Timbalan Presiden Umno atau PKR atau Gerakan atau DAP tetapi beliau adalah Timbalan Presiden PAS, sebuah parti yang ditubuhkan oleh para ulamak dan pejuang Islam yang berdekad-dekad berjuang mahu menjunjung dan memartabatkan Islam.
Dahulu beliau bersama mendukung konsep “Kepimpinan Ulamak” dalam PAS. Beliau kemudian menjadi pengkagum Khomeini dan Republik Islam Iran, beliau menafikan yang beliau Syiah tetapi sekadar pengkagum Khomeini dan Iran. Mahu Malaysia mencontohi Republik Islam itu. Kemudian beliau turut bersimpati dengan perjuangan golongan kiri, memberi tafsiran sendiri terhadap perjuangan Regimen ke 10 PKM. Dan hari ini melalui wawancara Malaysiakini ini beliau menjadi pengkagum Jokowi pula.

Demikianlah evolusi Mohamad Sabu, yang selangkah lagi boleh menjadi Presiden PAS!!!
Saya membangkitkan perkara ini kerana ternyata Timbalan Presiden PAS ini berdasarkan wawancaranya itu sedang mahu membawa perjuangan PAS kearah yang berlainan. Satu arah yang tidak pernah diteroka atau didukungi oleh mana-mana pimpinan PAS, dahulu mahupun sekarang. Beliau turut dipetik sebagai berkata:

"PAS tops should not be too proud of using Islam to defend themselves for all their actions,"
Terjemahan (saya):

“Pimpinan PAS jangan terlalu ghairah menggunakan Islam untuk mempertahankan diri mereka terhadap sebarang tindakan mereka”
Kalau diteliti keseluruhan wawancara beliau itu ternyata beliau menyerang, menyindir dan memperlekeh para ulamak dalam PAS. Ulamak PAS seolah tidak mengikuti arus perdana. Ulamak PAS seolah jumud tidak mementingkan kebajikan rakyat dan urustadbir baik. Dan seperti juga Umno Mohamad menuduh ulamak PAS sebagai menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.

Sebagaimana katanya:
"We may have a Jokowi soon and (when that time comes) those who use religion for their personal gain but ignore the people will be pushed aside,"

“Kita berkemungkinan akan nada seorang Jokowi (apabila tiba masanya) mereka yang memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan mengabaikan rakyat akan ditolak ketepi”
Saya meminta maaf kepada Mohamad dan pengikut-pengikutnya, tetapi saya secara peribadi tidak boleh terima langsung hujahnya itu yang ternyata langsung tiada rasional dan asasnya. Apapun sebagai seorang pemimpin nombor dua tertinggi dalam PAS kenyataan beliau ini hanya akan melarikan sokongan terhadap PAS, mengecewakan para pejuang yang ikhlas dan memberi ruang kepada musuh-musuh PAS mengambil kesempatan dan terus menjatuhkan PAS.

Sesunggunya kekuatan PAS bertunjang dan bersandar pada Islam. PAS menarik minat dan perhatian rakyat khasnya pengundi-pengundi Melayu/Islam kerana PAS istiqomah memperjuangkan Islam di bawah teraju para ulamak yang berilmu, berwibawa dan disegani. Malah sejak kebelakangan ini para pengundi bukan Islam turut cenderung pada PAS lantaran kejujuran dan keikhlasan kepimpinannya yang menterjemahkan kepimpinan Islam itu sendiri.
Menyeru PAS untuk mengendurkan nafas Islamnya, samalah bagai mahu membunuh PAS!

Saya menunggu Mohamad Sabu menarik balik kenyataan beliau itu atau barangkali menyatakan yang beliau telah disalah petik. Jika tidak maaf beliau tidak sesuai langsung untuk duduk di jawatan yang beliau sandang kini.

 

 

 

 

0 comments: