Sunday, September 14, 2014

Mungkinkah senajata makan tuannya (14/9/14)


Joceline Tan di dalam ruangannya di akhbar The Sunday Star hari ini memilih untuk mengulas berkenaan Muktamar PAS kali ke 60 yang dijadual diadakan di Johor hujung minggu ini. Beliau  menulis:
Hadi, 67, is said to be facing a rebellion of sorts within his own party, hence the storm clouds gathering over the PAS muktamar in Johor this week.These are unsettling times for PAS and Pakatan and many are expecting an emotion-charged muktamar, heated debates and even some unruly behaviour at the annual meeting.

(Hadi, 67 dikatakan akan menghadapi seakan penentangan dari dalaman partinya sendiri, lantas Muktamar PAS di Johor minggu ini dijangka “panas”. PAS dan Pakatan sedang melalui tempoh pancaroba dan ramai menjangkakan muktamar kali ini bergelora, dengan perbahasan yang panas dan mungkin juga luahan ketidakpuasan hati secara terbuka dalam mesyuarat agung berkenaan.)
Benarkah jangkaan Joceline itu?

Memang perkembangan di dalam PAS kebelakangan ini kelihatan tegang. Presiden kelihatan ditentang secara terbuka oleh rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Agung Pusat termasuklah oleh Timbalan Presidennya (saya pernah mendengar dari seorang perwakilan Terengganu bahawa ketika Mat Sabu mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden beliau ditanya mengapa mahu bertanding jawatan itu, katanya mahu bantu Presiden) sendiri.
Tetapi Presiden bukan keseorangan. Walaupun kelihatan ditentang oleh golongan “cerdik pandai” dalam JK Agung, blok Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak berdiri teguh di belakang Presiden.

Di sinilah lahirnya kekuatan Presiden kerana PAS sebagai sebuah parti Islam, beraut  dan bergantung kuat pada kepimpinan ulamak.
Lalu suka tak suka terbentuklah dua blok dalam PAS hari ini, satu yang bersama Presiden, Majlis Syura dan Dewan Ulamak dan satu lagi yang sudah tidak yakin dengan kepimpinan Presiden, termasuklah mempertikaikan peranan Majlis Syura Ulamak.

Blok yang kedua ini menyerang parti dan Presiden secara terbuka. Tidak cukup dengan itu digerakkan pula satu NGO (atas ikhsan Naib Presiden PAS)untuk memanjangkan agenda mereka kononnya untuk memperteguhkan Pakatan, tetapi realitinya beragenda mahu menyahkan Presiden dan kepimpinan ulamak.
Tidak cukup dengan NGO yang menganjurkan forum menyerang Presiden, mereka dapat pula bantuan media alternatif tertentu yang tiada lain kerjanya selain menyerang dan merendah-rendahkan blok pertama tadi. Penulis upahan digunakan sehingga ada yang menghina para ulamak termasuklah Timbalan Mursyidul Am yang dikatakan bukannya bermimpi berjumpa Rasullah s.a.w tetapi berjumpa iblis!!

Terlalu kuat tampaknya blok ini sehingga ada desas desus kononnya akan dibawa usul tergempar undi tidak percaya terhadap Presiden selain mahu menolak Ucapan Dasar Presiden.
Jika semua ini meletus dalam Mukatamr kali ini, PAS benar-benar menghadapi uiannya yang paling besar dalam sejarahnya.

Bagi saya, tin-tin kosong yang berbunyi ini, buaya-buaya yang timbul dari kolam ini, pengkhianat-pengkhianat yang tidak tahu malu, semuanya sebenarnya seolah mahu menunjukkan yang mereka itu punya pengaruh dalam PAS. Buat bising, buat kecoh, buat sensasi, biar dalam muktamar nanti para perwakilan akan buta-buta ikut mereka. Bukankah orang-orang PAS ini mudah dipengaruhi, buktinya walau tiada kelayakan tinggi tetapi sebab petah dan pedas bercakap boleh naik jadi pemimpin tertinggi, bukti orang PAS mudah dipengaruhi!
Mereka lupa bahawa yang mahu mereka rebahkan, yang mahu mereka runtuhkan adalah institusi teras dalam PAS iaitu Kepimpinan Ulamak. Mereka boleh memperlekeh dan mengatakan apa sahaja terhadap Presiden PAS, lantaran gatal mulut dan mudah dapat liputan media, tetapi mereka lupa bahawa orang-orang PAS, bertungkus lumus berjuang mengalir keringat, airmata dan darah untuk menaikkan kepimpinan yang diterajui oleh para ulamak yang takutkan Allah swt.

Segala langkah Presiden yang mereka serang sebenarnya didukung oleh Majlis Syura Ulamak, yang terdiri dari sekelompok ulamak yang diiktiraf oleh ahli-ahli PAS sebagai yang paling pakar dan berilmu. Dalam senarainya Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz, Dato Dr Ustaz Hj Harun Din, Ustaz Dato Nik Muhamad Zawawi, Dato Ustaz Tuan Ibrahim, Dato Ustaz Hj Abd Halim Abd Rahman, Dato Ustaz Hj Ahmad Yakob, Dato Dr Hj Mahfodz, Dato Ustaz Hj Muhammad Daud Iraqi, Ustaz Hashim Jasin dan lain-lain
Bayangkan pengalaman, ilmu dan amalan mereka ini semua dihimpunkan dan dibandingkan dengan pemuka-pemuka blok penentang tadi.

Benar PAS berhadapan dengan zaman paling mencabar. Di sinilah kebjiksanaan penyelesaian Islam dituntut dan siapakah yang lebih alim dan berilmu dalam hal ini jika tidak kepimpinan yang orang-orang PAS sendiri perjuangankan zaman berzaman untuk diletakkan di atas.

Saya percaya, oleh kerana PAS ini adalah bahtera besar perjuangan Islam, yang kekal terus belayar sehingga hari ini, datang Muktamar nanti bolehlah sekerat dua pengacau bangkit melepaskan geram dan amarah masing-masing samada dari atas pentas atau di bawah (setelah beria-ia merancang dan membikin onar), tetapi akhirnya, para perwakilan yang beriman dan bertaqwa, yang merupakan wakil kepada akar umbi PAS seluruh pelusok negara, yang telah melalui proses tarbiyah dalam jemaah, yang bergadai nyawa membina dan melancarkan bahtera keramat ini sejak sekian lama, bernakhodakan pemimpin yang mereka akui mendapat bantuan dan bimbangan “dari atas”, insyallah bahtera ini akan kekal kukuh belayar mengejar destinasinya. Yang “mabuk” yang rimas, yang terlalu bernafsu, merekalah yang akhirnya akan cedera dan terluka.  
“Storm clouds” yang Joceline bayangkan itu, insyallah tidak akan merosak atau menenggelamkan bahtera ini, kerana ia penuh dengan doa mereka yang ikhlas dan menuntut janji Allah swt. Sebaliknya “storm clouds” itu akan membadai dan memukul keluar mereka yang lain.

Belayarlah terus bahtera ini menuju keredhaan Allah swt., yang angkuh dan bongkak menghunus senjata, biarlah senjata itu nanti mengajar mereka.
Teringat kata-kata Presiden pada saya dahulu, mereka ini tidak nampak dinding besar di hadapan, setelah terhantuk kepala, baru sedar.

No comments: