Wednesday, September 03, 2014

Jangan izinkan bahtera ini dibocorkan (3/9/14)


Igauan dan kebimbangan ramai hari ini jelas menjadi nyata.

 Gerakan Islam PAS yang sekian lama stabil mengharungi kancah politik Malaysia berpanji-panjikan al Quran dan As Sunnah hari ini sedang menghadapi kocakkan dari dalam. Bukan ia tidak pernah menghadapi krisis dalaman, sesungguhnya pelbagai krisis telah ia lalui dari zaman awalnya, namun kali ini dalam keadaan gagah dan selesa krisis kali ini kelihatan benar-benar mencabar keutuhan dan kelangsungannya. Berpunca dari pendekatan politik dan pentafsiran strategi, ia kini meledak kepada adu domba dan jatuh-menjatuh.

Dalam PAS ahli-ahlinya melalui pelbagai proses tarbiyah dan kefahaman. Salah satu dari banyak hadis yang sering menjadi panduan dan iktibarnya dalam  perjuangan adalah:

 Daripada Nu’man bin Basyir r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

 Perumpamaan mereka yang berada dalam batasan sempadan (agama) Allah dan mereka yang terjerumus ke dalamnya adalah seperti kaum yang mengundi untuk mendapatkan tempat masing-masing dalam sebuah kapal, antara mereka ada yang dapat di tingkat atas kapal dan sebahagian lain beroleh di tingkat bawah. Mereka yang berada di bawah akan melalui yang berada di bahagian atas untuk mengambil air, mereka berkata sekiranya kita tebuk saja tempat kita ini kita tidak perlu  mengganggu mereka (yang di atas) lagi. Sekiranya dibiarkan mereka laksanakan cadangan tersebut, maka akan binasalah sekalian penumpang, dan kalau dicegah rancangan itu akan selamatlah mereka dan penumpang semuanya.” (Riwayat Bukhari)

 Berasaskan tunjuk-ajar terus dari Rasulullah s.a.w inilah maka Tuan Guru Presiden PAS sering mengingatkan ahli-ahli dan pendukung parti:

 Yang menyelamatkan manusia hari ini bukan lagi bahtera Nabi Nuh,,

Tapi bahtera Al-Quran,

 Kita mengajak manusia bersama dengan bahtera Al-Quran ini,

Saya minta supaya ahli-ahli kita terus bersama bahtera ini,

Bahtera perjuangan kita,

Jangan bocorkan bahtera ini,

Jangan tebuk bahtera ini,

Walaupun tidak puas dengan makanannya,

Tak puas hati dengan masanya,

Pelayaran lama sangat, nak terjun cepat....Ada yang terjun,

Pelayaran lama sangat...Lari kepada bahtera lain,

 Mereka yang lari ke bahtera lain...TAK SELAMAT,

 Berdasarkan tunjuk-ajar dan kupasan Tuan Guru Presiden inilah saya percaya mendorong Dr Azman Ibrahim, untuk mengulas dalam sebuah artikelnya

“………saya juga diajar bahawa menyertai perjuangan Islam bagaikan kita menaiki sebuah bahtera menempuh perjalanan yang sangat jauh merendah ombak, angin serta gelombang di lautan yang sangat luas. Dikepalai oleh seorang nakhoda, bahtera yang diberi nama PAS ini telah 59 tahun berjaya mengharungi badai walaupun hujung perjalanannya masih jauh. Kita bersabar di sini kerana inilah sunnah perjalanan sebuah perjuangan.

Memang bukan semua keputusan yang diputuskan oleh nakhoda dalam pelayaran ini kita persetujui, tetapi jangan pula kita tebuk kapal kerana tak bersetuju dengan nakhoda.

 Saya inginkan seorang pemimpin yang dipilih nanti adalah mereka yang boleh bersabar menempuh pelayaran ini dan sanggup memberikan wala’ dan kepercayaan kepada nakhoda yang sedia ada untuk terus memegang kemudi pelayaran. Dengan izin Allah, bahtera kita akan selamat.”

Melihat perkembangan mutakhir dalam PAS saya percaya hari ini sudah ada usaha pihak tertentu yang bangkit tidak berpuas-hati atas satu-satu isu, lalu mahu muncul menjadi “juara”, mahu konon-kononnya merobah laluan dan layar bahtera besar PAS ini. Kalau perlu dibocor akan dibocorkan demi membawa agenda dan kepentingan peribadi mereka yang dilihat tidak boleh diterima oleh nakhoda.

PAS yang kita sayangi sedang menghadapi tribulasi ini.

 Dalam isu MB Selangor sahaja kita sudah lihat, ada ADUN PAS Selangor (dalam kes ini 2 dari Selangor) yang telah berbuat demikian. Melangkah dan melangkau kepala kepimpinan, demi kononnya mahu menyelematkan bahtera. Syukurlah ada 13 lagi yang istiqomah dan tidak tergamak mahu membocorkan bahtera yang telah dibina dengan doa, darah dan air mata para pejuang Islam zaman berzaman. Itupun ada pimpinan Pusat yang meraikan, menimang dan mengaung-agungkan langkah 2 pengkhianat itu.

 Hari ini dengan sedihnya kita dimaklumkan pula darihal penubuhan sebuah gerombolan yang diberi nama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau PASMA (sila lihat http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/pas-group-campaigns-to-keep-islamist-party-in-pakatan )

 Kononnya ia ditubuhkan oleh lebih 100 orang ahli PAS dan dilancarkan di Kota Bharu Ahad lalu. Matlamat utamanya adalah untuk menangani sebarang usaha untuk mencetuskan perkongsian kuasa antara PAS dan Umno. Kononnya mahu memastikan PAS terus di atas landasan perjuangannya.

 Laporan yang sama menyebut bahawa Naib Presiden PAS Husam Musa baru-baru ini menyatakan  bahawa terdapat usaha mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor antara PAS, Umno dan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipelopori kumpulan Tan Sri Muhyuddin Yassin. Kumpulan Muhyuddin itu dikatakan mahu mempengaruhi satu institusi tertentu dalam PAS.

 Benarkah ada usaha demikian atau adakah ini semata-mata pelancaran satu serangan politik adu-domba jahat mahu menjatuhkan pimpinan tertentu dan menyerang institusi tertentu dalam PAS sebagaimana disentuh Husam itu?

 Yang kita tahu berperanan memastikan PAS terus utuh di atas landasan perjuangannya yang dipelopori lebih 50 tahun lalu oleh para ulamak, adalah sebuah institusi yang sangat disegani dan dihormati dalam PAS iaitu Majlis Syura Ulamak. Adakah kita bakal melihat satu serangan besar-besaran terhadap Majlis Syura dan kepimpinan ulamak oleh golongan penebuk bahtera yang mahu membikin bahtera baru menggantikan yang ada?

Atau adakah serangan halus dan biadap ini telah pun bermula?

 Malaysian Insider melaporkan:

 A source told The Malaysian Insider that PasMa will conduct briefings across the country to explain why PAS must remain with PR and reject Umno. The first briefing will be held at a hotel in Shah Alam on September 8, and will be conducted by three panellists: PAS vice-president Datuk Husam Musa, central committee member Datuk Mujahid Yusof Rawa and former Shura council member Ahmad Awang.

 PASMA mengikut laporan MI di atas bakal mengundang Husam, Mujahid dan Ahmad Awang, apakah agenda mereka ini?

 Saya melihat hanya kerana ada usaha mahu menyemak dan menilai semula tahaluf siyasi dalam PR (bukan keluar PR pun) maka ada puak-puak tertentu termasuklah bertaraf pimpinan menjadi “panas punggung” lantas terus mencetuskan angkara sehingga bersedia bukan hanya merobah haluan bahtera malah sanggup merobohkan yang ada dan membina bahtera baru!

 Presiden PAS perlu dilekeh dan dicalar-balarkan imejnya, institusi ulamak yang kuat mendukungnya juga perlu diperlakukan sama, biar bahtera PAS baru yang lebih liberal, moderat dapat dibina. Kalau perlu dihantu-hantukan ahli-ahli PAS dengan kisah kerjasama Umno semata-mata untuk membangkitkan kebencian dan kemarahan ahli-ahli PAS terhadap Presiden dan institusi ulamak, mereka akan lakukan malah telah pun dimulakan.

 Apa akan jadi pada PAS nanti?

 Benarlah sebagaimana ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden ketika merasmikan Nadwah Pemerkasaan Duat (NEKAD) anjuran Lajnah Dakwah PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) Taman Melewar baru-baru ini, bahawa PAS tidak sama dengan PKR dan DAP (apalagi Umno). PAS berjuang atas dasar kebenaran (Islam), PAS berjuang mahu menegakkan Islam yang sempurna.

Kerana itu kita yakin PAS akan berjaya menempuh tribulasi ini, yang ikhlas dan isitqomah teguh mahu mendokong Islam dengan izin Allah akan kekal bertaut pada bahtera ini walaupun ia dilambong ombak dan angin kencang, manakala yang selebihnya, terutama yang punya agenda peribadi, samada akan terlontar keluar, turun dengan sendiri atau angkat kaki membina bahtera baru, biarkanlah.

Kerana itu teruslah bersama dan mempertahankan kepimpinan ulamak, dengan izin Allah kita dan bahtera al Quran ini akan terus kekal selamat! Bangkit dan bekerjalah jangan izinkan bahtera ini dibocorkan!

 

1 comment:

Anonymous said...

Aslkm.

Ini luahan hati saya.

Mudah2an ALLAH selamatkan PAS drpd para pencinta dunia dan pembenci ulamak. Apabila ulamak berkata-kata walaupun berlandaskan syarie, cepat sahaja dibantahnya, dengan hujah tidak boleh khianati kawan. Saya ingat zaman sekolah asrama penuh perkara ini berlaku, tetapi orang2 tua berpangkat pun berperangai begitu. jijik!

Mereka menuduh TGHH inginkan UG, tetapi bila diteliti, rupa2nya Anwar ibrahim juga mahukan UG. Ini dibuktikan melalui ucapan wong chen di majlis hari raya masjid al-falah usj pada tahun lepas. tetapi golongan2 khianat dalam PAS sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga akan perkara ini.

mereka ini cinta dunia dek kerana takut pangkat hilang.

Cadangan saya, PAS perlu bergerak sendiri. Barulah kita boleh komen atas isu, bukan atas parti. kita boleh tegur siapa yg salah tanpa sentimen "khianat kawan" dan boleh sokong polisi yg baik dari mana2 pihak sekalipun.

Dalam dunia yg ideal, kita boleh duduk dlm pr dan boleh menegur salah dan silap sesiapa sahaja dalam pr ataupun diluar, tetapi keadaan sekarang telah membuktikan dunia ini tidak seperti itu.

Kita tak perlu takut omong2an kerusi kita akan berkurang. Banyak atau sikit kerusi itu tidak penting, yg penting adalah akidah kita terjaga, niat kita berpolitik ini betul dan metod kita pun betul.

yang sedihnya, baru tambah 10-20 kerusi, dah golongan khianat ini gundah-gulana untuk menegur kepimpinan pr yang berlaku khianat atas sentimen "jangan khianati rakyat" tetapi hakikatnya mereka telah khianati amanah ALLAH!