Kalau semasa kita kecil-kecil dahulu apabila sahaja orang
dewasa khasnya orang-orang tua kita menyebut perkataan “hantu” atau “momok”
maka pantas kita akan cemas dan takut. Nak takutkan budak-budak kata orang
tua-tua di hantu-hantukan.
Demikian juga sebaik tamat Penjajahan Jepun di Malaya, orang
akan takut apabila dikaitkan dengan perkataan “tali barut” Jepun. Siapa sahaja
yang pernah bekerja dengan penjajah Jepun khasnya dalam pasukan keselamatannya,
akan dipandang hina oleh masyarakat malah ada laporan mengatakan mereka yang
bertugas sebagai pengintip Jepun diambil tindakan sehingga ada yang dibunuh. Ringkasnya
masyarakat ketika itu takut apabila dikaitkan dengan perkataan berkenaan.
Begitulah dalam politik satu ketika dahulu demi mahu
menakutkan-nakutkan masyarakat Melayu pada perjuangan DAP contohnya, maka
mereka yakni DAP dikaitkan dengan kominis. Orang Melayu rata-rata memang
bencikan kominis. Maka takutkan orang Melayu pada DAP, gambarkanlah parti
berkenaan sebagai penyambung perjuangan kominis.
Takut-takut ini modal orang yang bangkrap. Kerana sering
apabila orang menakut-nakutkan ia biasanya suatu pembohongan, tiadalah asas
pun, direka-reka atau dipungut-pungut cebisan-cebisan atau perca-perca demi
membangkitkan kebencian atau apa sahaja keuntungan yang boleh diperolehi bagi si
yang membangkitkannya.
PAS kebelakangan ini jangan sahaja dikaitkan dengan Umno. Ahli
dan penyokong PAS sangat phobia atau takut (benci) pada Umno memandangkan parti
berkenaan sekian lama merupakan musuh politik tradisinya. Kerana itu bagi
mereka yang punya agenda, muslihat apa sahaja, kalau mahu membangkit atau
mengukir kebencian khasnya orang-orang PAS sendiri terhadap mana-mana pimpinan,
maka kaitkanlah pimpinan tadi dengan Umno. Si polan si polan ada pakatan dengan
Umno, mahu bikin kerajaan perpaduan, mahu jatuhkan orang itu orang ini, maka
siaplah akan bergoncang jantung orang-orang PAS.
Dalam erti kata lain, bagi mereka yang ketandusan modal,
ciptalah satu dongeng kononnya ada pakatan sulit dengan Umno oleh pimpinan
tertentu, tambah pula dijaja dan dilariskan modal tadi oleh media alternatif tertentu
yang mereka punya pengaruh, maka siaplah…..
Pemimpin yang tidak berdosa akan dipandang serong dan penuh
syak wasangka.
Dalam lipatan sejarah PAS, apabila Almarhum Dr Burhanuddin
al Helmi dahulu mahu dirihatkan, petualang sebeginilah juga yang telah menjaja
kononnya Almarhum masih menyimpan ideologi Sosialisma/ Komunisma, masih
bersimpati dengan perjuangan arus kiri ditambah pula dengan tindakan mahkamah
yang dikenakan oleh Kerajaan Perikatan ke atas Almarhum selain ditahan di bawah
ISA bertahun-tahun. Akhirnya Almarhum tidak layak bertanding dalam PRU dan
kerana lama dalam tahanan beliau dipinggirkan sehingga berjayalah naik kelompok
yang baru dalam ketiadaan beliau itu.
Hari ini ada pemimpin kanan PAS yang berkata bahawa TPM
sedang berusaha mewujudkan kerajaan campuran dengan PAS dan Tan Sri Khalid bagi
membentuk kerajaan baru seterusnya meraih 2/3 majoriti bagi BN di Dewan Rakyat
guna untuk meminda sempadan baru pilihanraya.
Portal berita tertentu memainkan cerita ini.
Ahli-ahli PAS mula tertanya-tanya benarkah begitu? Siapakah
pemimpin PAS yang terlibat?
Malah tak berapa hari lalu portal yang sama menabur fitnah
kononnya dalam satu pertemuan antara Presiden PAS dan Timbalan Presiden PKR,
Tuan Guru Presiden telah menwarkan Azmin jawatan MB dengan membentuk kerajaan
campuran bersama Umno.
Setiausaha Politik Tuan Guru Presiden telah mengeluarkan
penafian dan menuntut portal berkenaan meminta maaf, kerana memfitnah.
Semoga orang PAS hari ini lebih masak dan bijak, tidak mudah
terpengaruh dan dipengaruhi dengan hantu-hantu dan momok-momok yang cuba
dicipta untuk membangkitkan kebencian terhadap individu dan kelompok pimpinan
tertentu. Fitnah hari ini semakin halus dan mencabar.
Apabila kita tewas dengan kisah karut dan dongeng ini, maka
kita mula bersyak wasangka dan berfikiran buruk terhadap orang-orang tertentu.
Kepada orang-orang seperti ini, semoga mereka tidak terus menangguk di air
keruh. Kiranya benar apa yang mereka dakwa, pasti Allah bersama mereka, tetapi
kiranya fitnah dan reka-rekaan, maka bersedialah menanggung azab yang
dijanjikan Allah terhadap pembawa fitnah walau apa sekalipun jawatan anda.
3 comments:
Maka dalam isu ini, sudah hilang langsung baik sangka saya terhadap Husam Musa.....
Ya Allah kau lindungilah Jamaah ini drpd fitnah jahat dan adu domba
Moga jamaah kekal dipimpin para alim Ulama' yg ikhlas
Post a Comment