Posting terakhir saya “Jangan izinkan bahtera ini dibocorkan”
ternyata mengundang minat beberapa kalangan. Saya tidak menulis fiksyen apa
lagi dongeng, saya bukan penulis upahan yang menulis ikut selera Tuannya
(banyak Tuannya bayar dia menjelir lidah sambil menggoyangkan deras ekornya,
tapi bila tak bayar akan digigit tuannya sampai lumat), saya sekadar menitipkan
realiti yang berlaku, sedang berlaku dan bakal berlaku jika kita tidak
berhati-hati. Di masjid ketika mahu solat Jumaat tadi seorang Ketua PAS
Cawangan mengucap tahniah atas posting saya itu dan bertegas menyatakan PAS
harus terus berjuang atas matalamat “Islam”.
Saya percaya ramai ahli, penyokong dan mereka yang simpati
pada PAS dan perjuangan Islam mahu PAS kekal berterajukan para ulamak dalam
mendepani perjuangan Islam di Malaysia. PAS dengan kepimpinan ulamak yang
menempatkan Majlis Syura Ulamak (yang terdiri dari cerdik pandai Islam yang
paling berkelayakan) sebagai badannya yang tertinggi sesungguhnya disegani dan
dihormati ramai, kerana ialah satu-satunya gerakan Islam yang masih kekal
istiqomah dalam mahu membawa perlaksanaan Islam secara syumul dalam Negara.
Namun PAS bukanlah gerakan teokrasi atau sesuatu yang mirip
Mullah Syiah di Iran.
PAS adalah parti politik yang berdaftar yang menerima siapa
sahaja yang mendukung dan menyokong dasar perjuangannya. Jangankan para ulamak
dan professional, yang tiada pendidikan tinggi, yang tiada pendidikan langsung,
yang kaya, yang miskin, yang buta yang celik, semuanya boleh menjadi ahli dan
penyokong PAS selagi mana ia berpegang kepada dasar dan matlamat perjuangannya.
Malah yang bukan Islam, menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS pun boleh
bersama kerana sayang dan cinta pada PAS.
PAS berbeza dari yang lan kerana ia meletakkan Islam sebagai
dasar perjuangannya, dan dalam waktu yang sama menobatkan para ulamak sebagai
teras kepimpinannya.
Jadi sebenarnya tidak ada ulamak dan professional dalam PAS,
yang ada adalah mereka yang ikhlas (ulamak atau professional atau yang tidak
ulamak dan tidak professional) mahu memperjuangkan Islam dan berpegang teguh
kepada al Quran dan as Sunnah yakni rujukan tertinggi PAS. Oleh kerana rujukan
tertinggi PAS adalah yang demikian, bukannya tulisan Smith, Marx atau Keynes
atau Rousseau atau Shaw maka yang berada di baris hadapan yang memimpin dan
memberi tafsir kepada PAS adalah para ulamak (dalam hal ini lebih tepat lagi
Majlis Syura Ulamak), sesuatu yang diterima dan diiktiraf apabila kita duduk di
bawah panji-panji PAS.
Kalau seseorang mendakwa diri menjadi ahli hatta pemimpin
PAS sekalipun tetapi tidak dapat menerima apa lagi thiqah kepada Majlis Syura
yakni kepimpinan ulamak, malah memandang pula mereka sebagai tidak mahir dan
lekeh, jelas orang atau pemimpin inilah yang bermasalah. Dia samada telah
terlalu besar kepala dan nafsunya atau lebih tepat lagi sudah tidak sesuai,
tidak kena tempat untuk duduk di bawah panji-panji PAS.
Oleh itu tak perlulah terbit dengan imaginasi atau dongeng
yang kononnya ada projek “Langgar Golongan Profesional” dalam PAS. Kemudian nak
dilebih sedapkan lagi dipercik dan digumpalkan rempah-rempah kononnya mahu
dekat dan duduk bersama Umno semata-mata untuk melahirkan kebimbangan,
kemarahan dan mungkin kebencian ahli-ahli PAS pada golongan Ulamak.
Benar sekarang ini ada gerakan untuk menyatakan taat setia
dan thiqah secara terang-terangan kepada Tuan Guru Presiden PAS dan Majlis
Syura Ulamak PAS, kerana apa, kerana ahli-ahli semua peringkat mahu PAS terus
kekal memperjuangkan Islam berteraskan kepimpinan ulamak. Mungkin ada individu,
pihak atau puak merasakan lantaran gelombang ini diri dan puak mereka
dilanggar, sedarlah, jika mereka merupakan dalang atau aral yang membocorkan
bahtera jemaah atau punya agenda menjatuhkan kepimpinan Ulamak untuk menjadikan
PAS lebih liberal, lebih moderat lebih pragmatis ikut suasana maka tidak kiralah
samada mereka professional, ulamak, atau siapa sahaja, mereka memang wajar
dilanggar dan ditunjukkan jalan keluar dari PAS.
Mengapa mahu dijolokkan fitnah kononnya institusi tertentu
dalam PAS (sebut sahaja ulamak) mahu bawa keluar PAS dari Pakatan. Apakah
matlamat menghamburkan fitnah demikian? Supaya ahli marah, supaya ahli berubah
selera menyokong puak-puak seumpama mereka begitu?
Majlis Syura Ulamak telah menegaskan bahawa PAS kekal dalam
Pakatan. Namun kerana PAS adalah rakan kongsi dalam Pakatan yang punya hak yang
sama atas konsep konsesus bersama, maka sudah pasti dan tidak salah apabila PAS
memberi tafsir akan satu-satu isu itu selari dengan dasar perjuangannya. Adakah
apabila kita berbeza, maka dikata ada pihak mahu bawa PAS keluar Pakatan,
begitu?
Takkanlah PAS hanya menjadi tukang angguk, mengiakan apa
sahaja sedangkan, dasar yang didukungnya begitu besar dan berharga. Bukan professional
malah bahlul kalau kita jadikan PAS begitu.
Ada yang punya keyakinan bahawa jika PAS kekal begini, maka
ia tidak dapat menang besar. Kalau kerana berpegang pada Islam maka PAS didakwa
akan kalah, biarlah, kerana Islam bagi kita yang ikhlas samada professional,
ulamak atau apa sahaja lebih mahal dan berharga dari dunia dan segala isinya.
Bagi mereka yang menambatkan diri pada perjuangan Islam PAS
ini, mereka insaf bahawa diri dan individu tidak penting dalam perjuangan ini.
Yang penting adalah dasar dan matlamat perjuangan. Menang kita bukan atas kehebatan
individu atau mana-mana kumpulan dan segmen, tetapi menang adalah atas dasar pertolongan
Allah swt. PAS pernah menang besar dan pernah kalah, tetapi semuanya diterima
dengan tenang malah jiwa yang besar kerana matlamat perjuangan adalah redha
Allah swt.Kalau dari ukuran moden dan logik akal atau kajian dan analisa bijak pandai mungkin kita yang berkata demikian akan dituduh akan dikira bodoh, tetapi renunglah kata-kata hikamh Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad ketika beliau Timbalan Presiden PAS hampir 50 tahun dahulu:
“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat
kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin
jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin
tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini
dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya
kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu.
Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan
yang tidak ada belah baginya lagi.
Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di
dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat
perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”.
Dan saya meminjam tulisan YB Ustaz Idris Ahmad Timbalan
Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat:
“Jamaah tidak boleh bergerak seandainya tidak ada semangat
ikhlas di kalangan anggota dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya
dilahirkan dalam tarbiah Pas sehingga mereka berjuang bukan kerana individu
tetapi kerana Islam dan jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Pas telah
berjaya menanamkan kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada
Allah SWT dalam perjuangan. Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh Pas.
Tidak hairanlah kepada kita beberapa orang pemimpin tertinggi Pas yang telah mengkhianat perjuangan namun
ahli Pas tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian
daripada tarbiah untuk melihat sejauhmanakah mereka yang telah tahan diuji
semasa dalam perjuangan.”
Kesimpulannya marilah kita bersama-sama memastikan
satu-satunya gerakan Islam di Malaysia ini iaitu PAS kekal relevan
bertunjangkan kepimpinan ulamak yang sama-sama kita hormati dan segani. Biarlah
kita ikhlas walau kelihatan tidak bijak pada mata mereka yang jahil, tetapi di
sisi Allah swt kita dilihat ikhlas dan terus diberkati.
Kita akan berdiri ikhlas mempertahankan Tuan Guru Presiden
PAS, Majlis Syura Ulamak PAS, dasar dan matlamat perjuangan PAS samada kita
menang atau syahid.
1 comment:
Kejayaan besar generasi 100, 200 dan 300 thn dar permulaan nabi adalah krn mereka tidak takut utk kalah dan mati...walaupun didepan nampak mustahil boleh menang...tp mereka ttp berpegang selagi mereka atas jln yg benar...kemenangam pasti dtg dari allah...tgk la kota konstatinopal...berapa generasi mencuba dan terus mencuba..dari satu kegagalan hingga satu kegagalan...hingga mencapai kejayaan juga akhirnya. Generasi kita mungkin gagal dlm berjuang...biarkan...itu urusan allah..tp generasi akan dtg tidak akan berjaya tanpa permulaan dr kita. Benih dan baja kita semaikan. Jika berjaya satu bonus dr allah...jika gagal kita telah meneroka jln2 utk mereka yg mendtg.
Mudah2an suatu hari di alam barzah para malaikat dtg mengkbrkan berita indah...ya polan bin polan...allah telah memberi kemenangan kpd jemaah kamu...dan kamu adalah bersama org2 yg mendpt kemenangan...
Usaha dan terus berusaha..buang daki2 yg melakut di tepian jemaah. Kita ada kuasa...jgn nnt kita diherdik generasi akan dtg membiar pas disabotaj..membiar pas dirampas. Ini jemaah kita...ini hayat kita...dan ini akhirat kita.
Post a Comment