Allah selamatkan PAS (8/9/14)

Monday, September 08, 2014


“Mutiny in PAS” tajuk muka depan akhbar The Star hari ini. “Mutiny” menurut Wikipedia bermaksud:
“Mutiny is a criminal conspiracy among a group of individuals (typically members of the military; or the crew of any ship, even if they are civilians) to openly oppose, change or overthrow a lawful authority to which they are subject.”

"…..konspirasi (jenayah) oleh sekumpulan individu (lazimnya anggota tentera; atau anak-anak kapal, walaupun mereka mungkin orang awam) untuk menentang secara terbuka, merobah atau menggulingkan pihak yang berkuasa yang berada di atas mereka."
Laporan akhbar berkenaan merujuk kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat semalam yang bermesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Mohammad Sabu. Tuan Guru Presiden PAS tidak hadir kerana menyertai persidangan Kesatuan Ulamak Sedunia di Indonesia atas kapasitinya sebagai Naib Presiden kesatuan antarabangsa tersebut.

Menurut The Star Md Sabu berkata bahawa PAS akan menolak jawatan MB Selangor sekiranya ditawarkan oleh Tuanku Sultan Selangor, ini berikutan senarai nama calon-calon dari Presiden PAS yang diserahkan kepada istana yang dilaporkan mengandungi nama pemimpin PAS Selangor.
Kononnya PAS akan kekal dengan senarai dua nama yang dicadangkannya sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Azmin Ali kedua-duanya dari PKR.

“Mutiny” yang dimaksudkan oleh The Star itu adalah apabila keputusan ini jelas bertentangan dengan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini yang telah menyatakan bahawa Wan Azizah tidak layak untuk jawatan berkenaan dan bahawa beliau telah mengemukakan tiga calon kepada istana.
“Mutiny” juga kerana keputusan PAS Pusat itu turut bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada hari yang sama yang telah memutuskan bahawa Jawatankuasa PAS Pusat perlu akur dengan keputusan Presiden oleh kerana keputusannya itu merupakan budibicara yang dibenarkan oleh Artikel 26 (9) Perlembagaan PAS. Majlis Syura turut menegaskan bahawa kuasa mentafsir perlembagaan parti sebagaimana disebut oleh Artikel 8 (1) (a) Perlembagaan PAS adalah merupakan kuasanya.

Malah “mutiny” juga oleh kerana Dewan Ulamak PAS Pusat yang bermesyuarat sehari sebelumnya telah memutuskan (dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada 7 September):
“…….bahawa tindakan dan arahan Presiden PAS dalam isu berkaitan dengan Menteri Besar Selangor merupakan kuasa prerogatif Presiden yang diperuntukkan oleh Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS, Pindaan (2011).

Majlis Syura Ulamak sebagai badan yang diberi kuasa untuk menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS sebagaimana termaktub dalam fasal 8 (1a), dalam persidangannya hari ini turut mengesahkan hak Presiden tersebut.
Oleh itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menasihati ahli-ahli PAS menghormati tindakan Presiden tersebut dan memberikan ketaatan serta thiqah (kepercayaan) atas tindakan beliau.”

Apa pun bagi ahli-ahli PAS, yang menerima dan mengiktiraf konsep Kepimpinan Ulamak, yang telah berjuang jatuh dan bangun atas doa, airmata dan darah para pejuangnya yang ikhlas zaman berzaman, tahu bahawa memandangkan PAS adalah sebuah parti siyasah Islam, maka sandarannya dalam apa sahaja kemelut dan krisis adalah pada kumpulan yang takutkan Allah swt sebagaimana firman Allah swt:
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.” (Fathir: 28)

Dan Rasulullah saw telah berpesan kepada kita:
“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Hadits ini diriwayatkan Al-Imam At-Tirmidzi di dalam Sunan beliau no. 2681, Ahmad di dalam Musnad-nya (5/169), Ad-Darimi di dalam Sunan-nya (1/98), Abu Dawud no. 3641, Ibnu Majah di dalam Muqaddimahnya dan dishahihkan oleh Al-Hakim dan Ibnu Hibban. Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah mengatakan: “Haditsnya shahih.”

Berbalik kepada isu “mutiny” tadi jelas dan nyata bahawa dalam krisis ini PAS hari ini terbahagi kepada dua, samada berpegang pada: pertama keputusan dan pendirian Tuan Guru Presidennya, yang disahkan oleh Majlis Syura Ulamak dan didukung oleh Dewan Ulamak PAS Pusat atau kedua ikut Timbalan Presiden dan rakan-rakannya sebahagian AJK Pusat yang telah menolak bulat-bulat yang pertama tadi.
Dalam hal ini “mutiny” adalah apabila kita memilih untuk mengikuti yang kedua. Kerana apa ianya “mutiny” kerana bermakna kita menolak keputusan Tuan Guru Presiden, nakhoda bahtera besar PAS ini. Keputusan itu bukan keputusan Tuan Guru Presiden tetapi disahkan oleh Majlis Syura dan didukung oleh Dewan Ulamak PAS Pusat lantas kita turut menolak keseluruhan hiraki kepimpinan ulamak PAS!

Kalau kita sudah tidak thiqah, tidak lagi mengiktiraf, tidak lagi hurmat pada Kepimpinan Ulamak, maka lebih baik kita bawa kepala-kepala “mutiny” kita itu terus keluar dan berpayunglah kepada apa sahaja konsep kepimpinan yang baru kerana bagi kita ulamak sudah tidak relevan, sudah lekeh, sudah ketinggalan zaman.
 Ahli-ahli PAS yang komited dan istiqomah dengan perjuangan Islam dan kepimpinan ulamak tidak perlu fikir panjang.

Lihatlah dan tenunglah pada wajah-wajah Tuan Guru Presiden, Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Timbalan Mursyidul Am, Tuan Guru Ketua Dewan Ulamak Pusat dan seluruh saf Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak PAS Pusat, orang-orang yang kasihkan Allah, ikhlas berjuang, memimpin ratusan ribu ahli-ahli dan pendukung PAS dengan ilmu dan amal dan bandinglah dengan puak-puak “mutiny” yang ternyata rimas dan muak dengan para alim ulamak ini.
Bahtera PAS ini adalah bahtera al Quran kata Tuan Guru Presiden. Insyallah ia akan terus belayar dengan ratusan ribu mungkin jutaan anak-anak kapal yang menjunjung dan mendaulatkan al Quran dan tidak redha sekali-kali bersekongkol dengan “mutineers” yang coba membawa onar pada bahtera ini.

Teruskan perjuangan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abd Aziz, Tuan Guru Dato Dr Haron Din, Ustaz Dato Hj Ahmad Yakob dan lain-lain para ulamak yang kami kasihi, kami akan mengaminkan doa Tuan-tuan kerana hujan atau panas, tenang atau gelombang susah atau senang, jiwa dan raga kami letakkan di hadapan demi bersama Bahtera al Quran dan Kepimpinan Ulamak!
Allah selamatkan PAS

 

 

0 comments: