Tuesday, September 23, 2014

DAP masih mahu berkawan atau tidak? (23/9/14)


Semalam badan tertinggi DAP iaitu CEC nya telah bermesyuarat dan memutuskan menyokong YB Azmin Ali sebagai Dato Menteri Besar Selangor yang baru (sebagaimana dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya , Lim Guan Eng) memetik laporan dalam The Star Online, Lim menyatakan:
DAP expresses regret at the four PAS exco members for their betrayal of the principles of solidarity and democracy as well as failing to stand loyally together with the six DAP and PKR excos who were unjustly sacked by the previous Mentri Besar who had lost majority support of the state assembly…

DAP melahirkan rasa kesal di atas tindakan empat orang EXCO PAS yang telah mengkhianati prinsip kesatuan dan demokrasi dan kerana gagal berdiri teguh bersama keenam-enam EXCO DAP dan PKR yang telah dipecat sewenang-wenangnya oleh bekas MB yang lalu yang telah hilang sokongan majority Dewan Negeri….
Dalam semangat meraikan perlantikan MB yang baru, ternyata kenyataan DAP ini sungguh memeranjatkan dan sangat dikesali. Adakah DAP masih menganggap PAS sebagai rakannya dalam PR atau kini sudah melonggokkan PAS sebagai musuh politiknya, yang tidak lagi merupakan rakan kongsinya dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor?

PAS telah pun menyatakan secara jelas sebelum ini bahawa tindakan mengekalkan keempat-empat EXCO nya di dalam kerajaan negeri adalah demi mengekalkan kesinambungan kerajaan PR dan memastikan Umno/BN tidak mengambil kesempatan di atas kegawatan politik ketika itu.
Malah sesungguhnya tindakan keempat-empat EXCO PAS berkenaan telah mendapt pujian banyak pihak khasnya rakyat Selangor dan terbaru Tuanku Sultan pun ketika mengambil mengadap keempat-empat EXCO PAS di Istana hari ini telah memuji tindakan EXCO PAS itu kerana membantu menjalankan pentadbiran negeri sehingga pelantikan menteri besar baharu dilantik.

Bermakna jika keempat-empat EXCO PAS itu bertindak melepaskan jawatan masing-masing sebagaimana EXCO-EXCO DAP dan PKR, tidak mustahil pihak Umno/BN akan mengambil kesempatan dan ini akan lebih merumitkan suasana dan mencampakkan Selangor ke dalam krisis yang lebih besar dan gawat.
Adakah ini pengkhianatan?

Guan Eng sebenarnya telah menyembunyikan satu hakikat dan fakta yang besar, bahawa lantaran adanya keempat-empat EXCO PAS itu yang terus mengekalkan kesinambungan kerajaan negerilah maka pentadbiran kerajaan negeri terus berfungsi sehingga hari ini. Kalau DAP mahu memutuskan hubungan terus dengan kerajaan ini semata-mata kerana Tan Sri Khalid MB nya, mengapa jawatan-jawatan lantikkan politik yang lain, yang dijawat oleh pimpinan DAP pelbagai peringkat tidak diputuskan juga.
Sepanjang tempoh ini ahli-ahli majlis DAP di PBT-PBT seluruh Selangor terus memegang jawatan termasuklah ahli-ahli lembaga Pengarah GLC dan ketua-ketua kampung baru dan JKKK mereka.

Tidakkah itu juga pengkhianatan? Yang keluar hanya kepala tetapi badan dan ekor terus berperanan, makan elaun dan menjalankan kuasa. Mengapa ada “double standard” dalam hal ini?
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga salah seorang EXCO PAS itu, Ustaz Sallehen Mukhyi ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng itu menyebut:

“Jangan label Exco PAS sebagai pengkhianat. Saya fikir Lim Guan Eng tidak memahami Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri. Sejak awal saya sebut empat orang exco PAS menjadi benteng terakhir Pakatan Rakyat.
Lim Guan Eng semak balik ucapan dia. Ucapan politik dia sendiri ada kepentingan”

Sememangnya sebagai rakan kenyataan Guan Eng itu pasti menyinggung perasaan ahli-ahli PAS seluruh Negara. Rakan sewajarnya bertegur-menegur demi kebaikan, tetapi apabila rakan menuduh rakan yang lain sebagai pengkhianat, jelas ia tidak mahu berkawan lagi dan sudah bersedia meletakkan kawan itu sebagai musuh.
Kesimpulannya saya mahu memetik kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak Ustaz Noarazli Musa berhubung isu ini:

Kami mengulangi untuk menegaskan kepada CEC DAP bahawa tundingan ke atas 4 EXCO kami dari Selangor hendaklah ditarik balik atau DAP akan menghadapi risiko dipandang masyarakat Melayu Islam sebagai sebuah parti yang tiada prinsip dan hanya menjaga kepentingan sendiri demi kelangsungan berkuasa dalam lanskap politik tempatan di Pulau Pinang.
Kami tiada masalah berkorban nama dan masa untuk rakan-rakan di semua PRK yang ada termasuk PRK Kajang. Namun jika ini yang dibalas, DAP perlu ingat bahawa DAP bukan sahaja nampak sebagai Pak Turut kepada PKR bahkan menjadi batu loncatan kepada Umno dan BN untuk merancang balik merobek kerusi-kerusi mereka di masa akan datang.

PAS tidak punya kerugian yang  besar kerana kami berjuang bukan setakat laba di dunia tetapi kami percaya segala usaha kami akan diganjarkan dengan ganjaran yang besar oleh Allah.

Semoga DAP bertindak rasional dan terus mahu kekal berkawan dengan PAS.

No comments: