Monday, September 29, 2014

Ayuh ubah wajah PAS (29/9/14)


Asalnya ia angin sepoi-sepoi bahasa tetapi kini semakin memukul kencang dan tidak mustahil akan memuncak membentuk menjadi ribut taufan yang bakal menggegar dan memukul hebat PAS. Cita-citanya biar jatuh terlentang, hapus dan pupus semua yang menghalang agenda dan nafsu mereka. Sasaran mereka Presiden PAS, Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS dan semua siapa sahaja yang mendukung dan simpatis dengan individu dan institusi ini.
PAS mahu mereka bawa mengikut haluan yang baru, yang tampak lebih kononnya relevan, sesuai dengan peredaran masa pada perkiraan dan hitungan mereka. Kalau perlu liberal, biarlah liberal sikit, kalau perlu pragmatis biarlah pragmatis sikit, pinda-pinda dan tebuk sini-sana, asalkan boleh disenangi semua pihak, asalkan boleh menang, PAS perlu ditransformasikan ikut acuan mereka dari parti Tok Lebai, yang lekeh dan kuno pada mata kepala mereka kepada parti yang lebih kontemporari, “updated” kalaupun perlu kendur dan tunduk dari segi prinsip dan dasar, asalkan menang dan berjaya.

Si polan ini dan si polan itu perlu dinaikkan jadi Presiden, Timbalan, Naib-naib. Biar AJK Pusat yang sudah sebahagian mereka kuasai nanti sepenuhnya membelakangi mereka, ketika itu MSU boleh ditunjal-tunjal dan disepak terajang ikut kemahuan.
Asalnya gagasan jahat ini dicetuskan oleh sekelompok kecil. Rupa-rupanya ada yang setuju dan mahu ikut serta. Maka dicetuskan dari dalam. Dalam muktamar pemilihan sebelum ini, gerakan merobah kepimpinan PAS dinyalakan, tetapi ia sekadar membakar kecil, Dewan Pemuda contohnya masih kukuh kental berdiri dibelakang Presiden PAS dan MSU. Walaupun mereka sudah mula mencengkam di peringkat Pusat tetapi cengkaman itu masih belum berupaya memenuhi nafsu mereka.

Buktinya Mukatamr PAS baru-baru ini. Hasrat untuk mencemuh dan mengaibkan Presiden dan MSU, ternyata tidak berjaya, malah sebaliknya Presiden PAS telah muncul dengan tenaga baru mempertahankan dasar dan perjuangan PAS sehingga memukau para perwakilan mengejutkan mereka dari tidur lena sebelum ini. Habis pimpinan yang nakal dan seumpamanya ditegur dan menerima padah.
Dalam pada itu mereka sedar cita-cita rakus ini tidak akan kesampaian kiranya tiada bantuan luar. Lalu rakan-rakan dari PKR dan DAP turut dirangkul sekali untuk berkongsi agenda mereka itu.  Pakatan akan menang besar kiranya PAS tiada Hj Hadi, tiada MSU tiada lebai-lebai yang di belakang mereka.

Sebagaimana dunia Barat tertipu oleh Amerika Syarikat dengan WMD yang kononnya dimiliki Iraq dulu, maka rakan-rakan ini turut termakan bahawa demi apa sahaja, penghalang besar yang dimaksudkan perlu sama-sama dirobohkan dari luar dan dalam.
Berlaku pula krisis di Selangor. Ini peluang, jalan pintas untuk mengejar agenda dajal mereka. Tan Sri Khalid perlu dijatuhkan dan biar jatuh sekali Hj Hadi dan lain-lain tadi. Kita cetuskan biar PKR pun main peranan, DAP juga biar begitu.

Selebihnya telah diketahui. Hasil bantuan dua barua, bukannya membantu Wan Azizah menjadi MB Selangor, tetapi sebenarnya membantu mengecilkan kuasa dan pengaruh PAS di Selangor. Hari ini hasil dari bantuan dua “wira” ini PAS yang asalnya dominan bersama DAP iaitu 15-15 kini telah menjadi rakan kongsi terkecil iaitu 13 kerusi DAP 15 dan PKR walaupun 13 tetapi disokong oleh dua “wira” “barua” tadi menjadi 15. Lalu kecillah juga pegangan kuasa PAS dari 4 EXCO kini tinggal 3.
Kemudian personaliti EXCO pun menjadi mangsa asakkan DAP yang mengambil kesempatan. Asalnya DAP mahu kesemua EXCO PAS yang telah enggan meninggalkan kabinet Tan Sri Khalid agar digugurkan dalam kabinet baru kerana merupakan pengkhianat. Tak dapat semua, 2 orang pun jadilah. Dr Halimah perlu digugur kerana lambat dalam isu mengagihkan geran sekolah Cina manakala Ustaz Sallehen Mukhyi kerana tidak menangani isu Bible megikut kehendak DAP. Demikianlah DAP mencuri peluang.

Asakkan mereka berjaya, luka dari muktamar diubati dengan “power shift” di Selangor.
Dalam pada itu beranak lah pula “anak luar nikah” PASma. Kononnya tugas utamanya mahu pastikan PAS kekal dalam PR.

Anehnya walaupun diselar oleh Presiden dan ulamak PAS, ia terus didukungi oleh beberapa pimpinan PAS. Mereka sama menggerakkan biawak ini. Gunalah tenaga PAS yang di bawah genggaman mereka, kerah mereka agar keluar dan bantu, biawak ini punya tugas murni iaitu pastikan PAS kekal dalam PR. Momokkannya,kononnya  ada pihak yang lebih jinak lebih cenderung pada Umno, iaitu ulamak PAS. Walaupun telah dinafikan oleh Presiden dalam muktamar, tetapi asalkan momokkan ini boleh dibeli dan dipercayai oleh mereka yang jahil, lantaklah. Janji jatuh terguling Presiden dan MSU.
Sambil orang PAS geleng kepala lihat kedudukan mereka di Selangor tiba-tiba DAP pula main peranan, menjaja baruah-baruah Pas tadi untuk dinobatkan sebagai “wira” dalam majlis terbuka mereka. Mereka inilah yang telah menyelamatkan kerajaan Selangor dari tumbang! Bila pula kerajaan Selangor mahu tumbang? Yang dipecat MB, kerajaan masih kekal, tapi sebagaimana biawak PASma tadi asalkan boleh dibeli dan dipercayai, walaupun bohong, lantaklah.

Serangan bersepadu terus dilancarkan. Tiba-tiba muncul pula  berita dari Pulau Pinang ahli majlis dari PAS diambil tindakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana mengkritik kerajaan Pulau Pinang dalam Muktamar PAS. Guan Eng ini bukan baru, sebelum ini beliau mencabar malah telah pun memulakan tindakan saman ke atas AJK PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan ahli Parlimen Temerloh yang mempertikaikan projek “Penang Tunnel” , jangan dikritik jangan dipersoal, melenting dan membengis, kalah Tun Dr M dulu.
PASma terus dilancar dari negeri ke negeri seolah-olah luar biasa sambutan terhadap mereka. PKR terus membelasah, DAP pun sama, disaat ini barangkali tersengeh dan mengurut-ngurut janggut mereka yang terlibat mencetuskan semua ini. Tidak mustahil PAS boleh dibebaskan dari pengaruh Hj Hadi dan MSU.

Di peringkat media khasnya media alternatif dan baru, portal berita dan laman sosial dipergunakan semaksima mungkin. Ada portal berita yang memang telah disemai tanam orang-orang mereka, ada penulis blog yang memang burung-burung tekukur mereka, menyanyi-nyanyi dan mengangguk-angguk apabila Tuannya memetik jari. Puas hati tuannya dapatlah secubit dedak.
Mampukah semua ini memuncak menjadi ribut taufan mematikan politik Hj Hadi dan MSU dalam PAS, memunggah keluar semua yang bersama kepimpinan ulamak sehingga yang tinggal dalam PAS hanyalah golongan sehaluan mereka?

Tetapi apakah PAS tanpa kepimpinan ulamak, tanpa pencinta Islam, tanpa mereka yang sanggup menggadai nyawa demi mendirikan Daulah Islam?
Ribut melanda, PAS mungkin goyang, tetapi sebagaimana tegasan Presiden PAS, yang pening yang mabuk mungkin akan gugur dan angkat kaki, tetapi majority yang istiqomah, yang konsisten mahu Islam bertapak atas bumi tercinta ini insyallah akan kekal mempertahankan PAS walau gelombang apa sekalipun melanda, samada ada Hj Hadi atau tiada tetapi Islam yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan akan terus kekal, kepimpinan ulamak akan terus relevan, dan janji Allah terus akan dikejar.

 

 

 

 

Tuesday, September 23, 2014

DAP masih mahu berkawan atau tidak? (23/9/14)


Semalam badan tertinggi DAP iaitu CEC nya telah bermesyuarat dan memutuskan menyokong YB Azmin Ali sebagai Dato Menteri Besar Selangor yang baru (sebagaimana dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya , Lim Guan Eng) memetik laporan dalam The Star Online, Lim menyatakan:
DAP expresses regret at the four PAS exco members for their betrayal of the principles of solidarity and democracy as well as failing to stand loyally together with the six DAP and PKR excos who were unjustly sacked by the previous Mentri Besar who had lost majority support of the state assembly…

DAP melahirkan rasa kesal di atas tindakan empat orang EXCO PAS yang telah mengkhianati prinsip kesatuan dan demokrasi dan kerana gagal berdiri teguh bersama keenam-enam EXCO DAP dan PKR yang telah dipecat sewenang-wenangnya oleh bekas MB yang lalu yang telah hilang sokongan majority Dewan Negeri….
Dalam semangat meraikan perlantikan MB yang baru, ternyata kenyataan DAP ini sungguh memeranjatkan dan sangat dikesali. Adakah DAP masih menganggap PAS sebagai rakannya dalam PR atau kini sudah melonggokkan PAS sebagai musuh politiknya, yang tidak lagi merupakan rakan kongsinya dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor?

PAS telah pun menyatakan secara jelas sebelum ini bahawa tindakan mengekalkan keempat-empat EXCO nya di dalam kerajaan negeri adalah demi mengekalkan kesinambungan kerajaan PR dan memastikan Umno/BN tidak mengambil kesempatan di atas kegawatan politik ketika itu.
Malah sesungguhnya tindakan keempat-empat EXCO PAS berkenaan telah mendapt pujian banyak pihak khasnya rakyat Selangor dan terbaru Tuanku Sultan pun ketika mengambil mengadap keempat-empat EXCO PAS di Istana hari ini telah memuji tindakan EXCO PAS itu kerana membantu menjalankan pentadbiran negeri sehingga pelantikan menteri besar baharu dilantik.

Bermakna jika keempat-empat EXCO PAS itu bertindak melepaskan jawatan masing-masing sebagaimana EXCO-EXCO DAP dan PKR, tidak mustahil pihak Umno/BN akan mengambil kesempatan dan ini akan lebih merumitkan suasana dan mencampakkan Selangor ke dalam krisis yang lebih besar dan gawat.
Adakah ini pengkhianatan?

Guan Eng sebenarnya telah menyembunyikan satu hakikat dan fakta yang besar, bahawa lantaran adanya keempat-empat EXCO PAS itu yang terus mengekalkan kesinambungan kerajaan negerilah maka pentadbiran kerajaan negeri terus berfungsi sehingga hari ini. Kalau DAP mahu memutuskan hubungan terus dengan kerajaan ini semata-mata kerana Tan Sri Khalid MB nya, mengapa jawatan-jawatan lantikkan politik yang lain, yang dijawat oleh pimpinan DAP pelbagai peringkat tidak diputuskan juga.
Sepanjang tempoh ini ahli-ahli majlis DAP di PBT-PBT seluruh Selangor terus memegang jawatan termasuklah ahli-ahli lembaga Pengarah GLC dan ketua-ketua kampung baru dan JKKK mereka.

Tidakkah itu juga pengkhianatan? Yang keluar hanya kepala tetapi badan dan ekor terus berperanan, makan elaun dan menjalankan kuasa. Mengapa ada “double standard” dalam hal ini?
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga salah seorang EXCO PAS itu, Ustaz Sallehen Mukhyi ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng itu menyebut:

“Jangan label Exco PAS sebagai pengkhianat. Saya fikir Lim Guan Eng tidak memahami Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri. Sejak awal saya sebut empat orang exco PAS menjadi benteng terakhir Pakatan Rakyat.
Lim Guan Eng semak balik ucapan dia. Ucapan politik dia sendiri ada kepentingan”

Sememangnya sebagai rakan kenyataan Guan Eng itu pasti menyinggung perasaan ahli-ahli PAS seluruh Negara. Rakan sewajarnya bertegur-menegur demi kebaikan, tetapi apabila rakan menuduh rakan yang lain sebagai pengkhianat, jelas ia tidak mahu berkawan lagi dan sudah bersedia meletakkan kawan itu sebagai musuh.
Kesimpulannya saya mahu memetik kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak Ustaz Noarazli Musa berhubung isu ini:

Kami mengulangi untuk menegaskan kepada CEC DAP bahawa tundingan ke atas 4 EXCO kami dari Selangor hendaklah ditarik balik atau DAP akan menghadapi risiko dipandang masyarakat Melayu Islam sebagai sebuah parti yang tiada prinsip dan hanya menjaga kepentingan sendiri demi kelangsungan berkuasa dalam lanskap politik tempatan di Pulau Pinang.
Kami tiada masalah berkorban nama dan masa untuk rakan-rakan di semua PRK yang ada termasuk PRK Kajang. Namun jika ini yang dibalas, DAP perlu ingat bahawa DAP bukan sahaja nampak sebagai Pak Turut kepada PKR bahkan menjadi batu loncatan kepada Umno dan BN untuk merancang balik merobek kerusi-kerusi mereka di masa akan datang.

PAS tidak punya kerugian yang  besar kerana kami berjuang bukan setakat laba di dunia tetapi kami percaya segala usaha kami akan diganjarkan dengan ganjaran yang besar oleh Allah.

Semoga DAP bertindak rasional dan terus mahu kekal berkawan dengan PAS.

Monday, September 22, 2014

Bahana menerima nasihat dari penasihat yang tidak sihat (22/9/14)


Jika semuanya berjalan lancar esok Selangor akan mendapat Menteri Besar yang baru. Menurut laporan Tuanku Sultan Selangor telah berkenan melantik ADUN Bukit Antarabangsa YB Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR sebagai MB menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah dipecat oleh PKR.
Alhmadulillah, krisis MB Selangor berakhirlah sudah tambah-tambah dengan pengumuman oleh Presiden PKR sebentar tadi bahawa PKR mengiktiraf perlantikkan tersebut.

Selangor yang asalnya tenang dan selesa dengan kemenangan besar Pakatan  Rakyat dalam PRU ke 13 lalu tiba-tiba berkocak apabila pihak-pihak dalam PKR mahu menggantikan Tan Sri Khalid sebagai MB atas alasan-alasan mereka sendiri. Umum mengetahui bahawa meskipun PKR rakan terkecil di Selangor dari sudut bilangan kerusi yang dimenangi pada PRU berkenaan, namun PAS dan DAP telah memberi persetujuan bahawa Selangor akan diterajui oleh MB dari PKR.
Lalu terciptalah projek “Langkah Kajang” kononnya untuk membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam DUN Selangor bagi memulakan proses penukaran MB berkenaan, walaupun pelbagai hujah diberikan ketika itu kononnya langkah itu bukan bermakna mahu menukar MB, tetapi akhirnya terbongkar juga bahawa alasan utama langkah berkenaan adalah untuk mematikan karier Tan Sri Khalid sebagai MB.

Untuk “Langkah” itu kerusi PKR terpaksa dikosongkan. Akhirnya perancangan untuk menaikkan Anwar tidak berjaya apabila beliau dari segi teknikalnya tidak boleh bertanding. Diisilah pula kekosongan itu dengan Dr Wan Azizah. Terkorbanlah seorang ADUN PKR semata-mata untuk memberi laluan ini.
Asalanya langkah berkenaan konon-kononnya bukan untuk menukar MB, sekejap mahu tukar, sekejap tidak, sekurang-kurangnya begitulah rakyat diberitahu.

Sejurus itu dalam pada ia dan tidak, Tan Sri Khalid dipaksa mengosongkan kerusi MB nya. Apabila beliau enggan, PKR memecatnya dengan mempercayai bahawa tindakan sebegitu akan memaksa kerusi MB kosong, rupanya tidak.
Dari sana bermulalah perbalahan terbuka antara Tan Sri dan PKR dan seterusnya terbabit pula sesama PR khasnya antara PKR dan DAP dengan PAS.

Berlarut-larutan ketegangan yang asalnya sesama PKR sahaja tetapi kemudiannya menular sehingga menjangkiti PAS.
Pening dan terganggu fikiran rakyat Selangor termasuklah pihak istana lantaran kekalutan ini semua khasnya apabila PKR cuma mahu seorang calon sahaja untuk naik sebagai MB Selangor. Tolak dan tarik terus tercetus, memuncak sehingga 2 orang ADUN PAS berpaling tadah setelah di beli dan dibaruahkan.

Presiden PAS kehadapan mahu meredakan ketegangan dengan menasihatkan agar nama Azmin turut dikemukakan sebagai calon alternatif. Cadangan berkenaan ditempelak dengan Tidak, Tidak dan Tidak. DAP yang sebelum-sebelum ini fanatik dengan dasar meritokrasi dan hak untuk didengar, juga tergelincir dalam kancah ini apabila menari dengan rentak Tidak, Tidak dan Tidak juga.
Malah lebih parah lagi Presiden PAS dtuduh mahu bikin kerajaan campuran dengan Umno dan Azmin turut dipelawa bersama, sungguh jahat dan parah pihak-pihak tertentu.
Akhirnya, setakat malam ini kita dimaklumkan. Pertama istana perkenankan pencalonan Azmin dan kedua PKR terima perlantikkan Azmin.

Bayangkan betapa banyak kecelaruan dan ketegangan dapat dielakkan, kiranya pada awal-awal lagi, tanpa perlu Kajang Move, tanpa perlu PRK Kajang, tanpa perlu bertelagah sesama PR, Tan Sri Khalid diumum digantikan, dan penggantinya adalah Pengerusi PKR Selangor dan Timbalan Presdien PKR (bukan orang lain) iaitu Azmin Ali.
Demikianlah berakhirnya satu krisis yang sepatutnya mudah diselesaikan tetapi menjadi rumit lantaran menerima nasihat dari penasihat yang tidak sihat.

Tahniah YB Azmin Ali.

 

MB Selangor: Yang kera sumbang tetap sumbang..... (22/9/14)


Berita yang sedang hangat di “viral” kan di saat ini adalah darihal kemungkinan besar Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR dan ADUN Bukit Antarabangsa akan diangkat sebagai MB Selangor yang baru. Gambar beliau yang dikatakan sedang menjalani raptai di Balairong Istana turut di “viral” kan.
Jika benar bermakna esok Tuanku Sultan Selangor akan menerima mengadap Azmin dan dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jika benar saya ingin merakamkan tahnaih kepada Azmin yang sememangnya layak untuk jawatan berkenaan setelah sekian lama bertarung jatuh dan bangun dalam politik.
Saya percaya PAS juga akan menerima perlantikkan ini dengan hati yang terbuka kerana Tuan Guru Presiden PAS telah menyatakan bahawa siapa sahaja pilihan Tuanku Sultan akan diterima dan disokong oleh PAS dan malah Azminlah nama yang telah PAS cadangkan sejak awal-awal lagi.

Cuma yang akan menjadi bagaikan kera sumbang dalam hal ini adalah dua orang ADUN PAS yang terlebih pandai, yang menurut Presiden PAS:
“…….dua wakil rakyat yang sanggup menyeberang, yang jadi broker, yang jadi barua, semua ada.”

Jika Azmin yang dilantik menjadi MB, tidakkah menjadi “terlalu hebat” tindakan mereka itu??!!!
Kononnya untuk menyelematakan kerajaan PR, kononnya bagi mengelakkan Tan Sri Khalid dari merosakkan kerajaan dan negeri Selangor, kononnya untuk menyelamatkan Selangor dari dirampas Umno….. Kini Azmin bakal selamat menjadi MB lalu bijak dan terpujikah langkah mereka berdua itu?

Tahniah YB Azmin , dan yang kera sumbang tetap sumbang…..

Sunday, September 21, 2014

Jangan terus jadi duri dalam daging perjuangan kami (21/9/14)


Muktamar PAS kali ke 60 di Batu Pahat Johor sesungguhnya telah menempa sejarah. Ia tampak panas dan kadangkala tegang. Namun secara keseluruhannya Presiden PAS dengan bantuan Majlis Syura Ulamak dan didukung oleh para perwakilan telah berjaya menjadikan muktamar kali ini sebagai medan muhasabah besar dengan mendedahkan kepincangan yang wajar dicungkil keluar dari PAS dan melakarkan hala tuju yang perlu diterokai bersama demi memastikan bahtera besar PAS ini terus belayar menuju destinasinya yang sebenar.
Rata-rata muktamar kali ini lebih memfokuskan isu-isu dalaman, menandakan bahawa PAS mahu membersihkan dirinya dari daki dan kekotoran yang boleh menghalang kemurniaan dan kesucian perjuangan besar yang menjadi mata rantai kepada perjuangan yang diasaskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Banyak yang mahu saya ulas berhubung Muktamar yang bersejarah ini namun diketika ini saya terpanggil untuk memberi tumpuan pada isu 2 ADUN PAS di Selangor yang telah berpaling-tadah keluar dari saf jemaah berhubung isu MB Selangor.
Isu MB Selangor ini mendominasi Muktamar kali ini dan disentuh dalam kesemua Muktamar Dewan-dewan dan Muktamar PAS Pusat sendiri.

Presiden PAS dalam ucapan penggulungannya dengan tegas menyatakan:
“Curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat. Adakah ini etika bertahaluf. Kita tidak memandang ringan dua wakil rakyat yang sanggup menyeberang, yang jadi broker, yang jadi barua, semua ada. Tidakkah setiap wakil rakyat kita berbaiahmacam jadi calon (sebut) wallahi wabillahi watallahi, berbaiah, mana besar dengan baiah dengan aku janji…..”

Dalam erti kata PAS memandang berat tindakan dua ADUN Hulu Kelang dan Morib itu, sewajarnya dengan reaksi para perwakilan dan penegasan Presiden itu mereka samada menarik diri dari keputusan yang telah dibuat atau secara jujur membebaskan diri dari ikatan jemaah.
Tetapi apa yang berlaku hari ini mereka, sekurang-kurangnya ADUN Hulu Kelang masih terus mahu menegak benang yang basah. Beliau dipetik sebagai “mencabar” pula Presiden PAS agar membuktikan dimanakah beliau itu dibeli!

Dan beliau berkata:
"Ramai sarjana Islam dalam parti, namun mereka membenarkan usul untuk mengutuk tindakan saya, perenggan mana dalam Perlembagaan parti membenarkan hukuman dijatuhkan sebelum perbicaraan dijalankan? Adakah ini sebuah parti Islam?

Dalam hal “membeli” ini saya tertarik dengan ulasan Naib Presiden PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan:
“Bila sebut beli tak semestinya bayar dengan duit. Beli maruah diri, beli sokongan tanpa merujuk kepada parti terlebih dulu. Semua ini kiasan kepada beli. “

Ternyata YB Hulu Kelang tidak senang dengan kenyataan Presiden PAS, dan apa yang telah dibangkitkan oleh para perwakilan dalam Muktamar malah bertindak mempertikaikan pula ke Islaman PAS
Kedua-dua ADUN tersebut mungkin berasa panas dan tidak selesa dengan kenyataan Presiden PAS dan akar umbi PAS dalam Muktamar, sedangkan mereka tidak memikirkan betapa terhiris, hancur dan pedihnya hati ahli-ahli PAS apabila mereka dengan senang mengambil keputusan melangkah kepala pimpinan dalam membuat keputusan menandatangani SD tempuh hari.

Alangkah baik jika begitu, terus-terang putuskan sahaja ikatan dengan PAS. PAS sudah tidak Islam pada mata dan fikiran anda, maka keluarlah dan cari bahtera lain dari anda terus-terusan menjadi duri dalam daging perjuangan kami.

 

Thursday, September 18, 2014

Selamatlah PAS di bawah Kepimpinan Ulamak (18/9/14)


Muktamar Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat masing-masing telah pun melabuhkan tirainya. Rata-rata gesaan untuk terus bersama kepimpinan Presiden dan menghormati serta mendukung sikap dan tunjuk-ajar Majlis Syura Ulama bergema menandakan syarat jelas bahawa PAS tetap mahu kekal bertunjangkan Kepimpinan Ulamak.
Banyak laporan dan berita mengulas dan membikin analisa terhadap persidang Dewan-dewan berkenaan. Bagi saya antara yang menarik dan memberikan kesan yang mendalam adalah gesaan yang diberikan oleh perwakilan Dewan Ulamak Kedah Ustaz Ahmad Yahya ketika membahaskan Ucaputama Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Ustaz Ahmad menggesa agar ahli PAS di semua peringkat memberikan hak kepada pimpinan tertinggi parti khususnya Presiden, Majlis Syura dan PAS Pusat, untuk memimpin parti.
Kata beliau:

"Kita beri hak kepada Presiden, tapi jangan ada dua, tiga presiden. Sukar nanti untuk dia mempimpin. Kita beri hak kepada pesuruhjaya negeri, tapi jangan ada dua atau tuga pesuruhjaya negeri. Saya yakin jika diberi hak kepada pemimpin mereka dapat memimpin dengan baik,"
Mesejnya jelas dan inilah yang perlu difahami, dipatuhi dan perakui oleh seluruh ahli PAS. Kiranya lancar, PAS akan memiliki nasib dan masa depan yang baik bergerak atas landasan Islam.

Inilah juga yang pernah diluahkan oleh Mursyidul Am PAS satu ketika dahulu bahawa:
"PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik,"

Orang PAS sebelum ini faham akan perkara ini, malahan memelihara adab berjemaah dengan baik sehinggalah muncul beberapa kalangan yang cuba menerobos diri keluar dari disiplin dan amalan jemaah sehingga nampak pincang dan sumbang.
Contoh, Presiden PAS terbit dengan pengarahan, ada pula yang di bawahnya memintas dan mematahkan pengarahan itu dengan pandangan kontra dan malah kritikkan pula terhadapnya secara terbuka.

Contoh, Pesuruhjaya PAS Selangor mengumumkan keputusan dan pendirian PAS negeri, bangkit pula mereka yang tidak duduk dalam haraki kepimpinan, malah di bawah PJ dengan pandangan dan penidirian yang berbeza.

Akibatnya keberkesanan kepimpinan terganggu, akibatnya kelancaran perjalanan jemaah kelihatan tidak kemas. Lalu PAS dipandang  lekeh, parti yang sepatutnya ke hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam ini dilihat goyang dan kacau.
Satu suara Presiden disanggah diperkecil dan diperendahkan oleh dua tiga individu dan kumpulan walaupun suara itu diketahui dibimbing dengan perakuan Dewan Ulamak dan Majlis Syura Ulamak. Maka jadilah PAS kelihatan diasak dari dalam oleh satu kumpulan yang terang-terangan menentang dan mencabar kepimpinan Presiden dan Majlis Syura Ulamak serta Dewan Ulamak.

Bahana dari dalam ini perlu ditangani dari dalam juga kerana jika dibiarkan menular, ianya menjejaskan politik PAS, menjejaskan hubungan PAS dengan rakan-rakannya dalam Pakatan dan malah membangkitkan fitnah dan syak wasangka yang sudah pasti tidak sihat dan baik buat PAS keseluruhannya.
Mukatamar adalah forum yang terbaik untuk menegaskan bahawa PAS cuma ada satu Presiden dan bahawa pimpinan Pusatnya teguh di belakang nakhodanya. Mukatamar perlu memperakui bahawa kelangsungan survival politik PAS mestilah dengan dukungan berterusan terhadap Kepimpinan Ulamak yang memberi jiwa dan nafas Islam pada PAS.

Muktamar Dewan-dewan telah bangkit menjunjung aspirasi ini dan hari ini bermulalah pula Muktamar PAS Pusat. Semoga para perwakilan yang mewakili akar umbi PAS seluruh pelusuk Negara akan bersama-sama menjiwai ketegasan dewan-dewan ini dan kembali menunjukkan pada dunia bahawa bahtera PAS berknakhodakan Tuan Guru Presiden di bawah bimbangan Majlis Syura Ulamak akan terus bertahan dan konsisten dalam mencorak dan menerajui PAS ini mendepani cabaran semasa sampai bila-bila.
Selamat bermuktamar.

Sunday, September 14, 2014

Mungkinkah senajata makan tuannya (14/9/14)


Joceline Tan di dalam ruangannya di akhbar The Sunday Star hari ini memilih untuk mengulas berkenaan Muktamar PAS kali ke 60 yang dijadual diadakan di Johor hujung minggu ini. Beliau  menulis:
Hadi, 67, is said to be facing a rebellion of sorts within his own party, hence the storm clouds gathering over the PAS muktamar in Johor this week.These are unsettling times for PAS and Pakatan and many are expecting an emotion-charged muktamar, heated debates and even some unruly behaviour at the annual meeting.

(Hadi, 67 dikatakan akan menghadapi seakan penentangan dari dalaman partinya sendiri, lantas Muktamar PAS di Johor minggu ini dijangka “panas”. PAS dan Pakatan sedang melalui tempoh pancaroba dan ramai menjangkakan muktamar kali ini bergelora, dengan perbahasan yang panas dan mungkin juga luahan ketidakpuasan hati secara terbuka dalam mesyuarat agung berkenaan.)
Benarkah jangkaan Joceline itu?

Memang perkembangan di dalam PAS kebelakangan ini kelihatan tegang. Presiden kelihatan ditentang secara terbuka oleh rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Agung Pusat termasuklah oleh Timbalan Presidennya (saya pernah mendengar dari seorang perwakilan Terengganu bahawa ketika Mat Sabu mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden beliau ditanya mengapa mahu bertanding jawatan itu, katanya mahu bantu Presiden) sendiri.
Tetapi Presiden bukan keseorangan. Walaupun kelihatan ditentang oleh golongan “cerdik pandai” dalam JK Agung, blok Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak berdiri teguh di belakang Presiden.

Di sinilah lahirnya kekuatan Presiden kerana PAS sebagai sebuah parti Islam, beraut  dan bergantung kuat pada kepimpinan ulamak.
Lalu suka tak suka terbentuklah dua blok dalam PAS hari ini, satu yang bersama Presiden, Majlis Syura dan Dewan Ulamak dan satu lagi yang sudah tidak yakin dengan kepimpinan Presiden, termasuklah mempertikaikan peranan Majlis Syura Ulamak.

Blok yang kedua ini menyerang parti dan Presiden secara terbuka. Tidak cukup dengan itu digerakkan pula satu NGO (atas ikhsan Naib Presiden PAS)untuk memanjangkan agenda mereka kononnya untuk memperteguhkan Pakatan, tetapi realitinya beragenda mahu menyahkan Presiden dan kepimpinan ulamak.
Tidak cukup dengan NGO yang menganjurkan forum menyerang Presiden, mereka dapat pula bantuan media alternatif tertentu yang tiada lain kerjanya selain menyerang dan merendah-rendahkan blok pertama tadi. Penulis upahan digunakan sehingga ada yang menghina para ulamak termasuklah Timbalan Mursyidul Am yang dikatakan bukannya bermimpi berjumpa Rasullah s.a.w tetapi berjumpa iblis!!

Terlalu kuat tampaknya blok ini sehingga ada desas desus kononnya akan dibawa usul tergempar undi tidak percaya terhadap Presiden selain mahu menolak Ucapan Dasar Presiden.
Jika semua ini meletus dalam Mukatamr kali ini, PAS benar-benar menghadapi uiannya yang paling besar dalam sejarahnya.

Bagi saya, tin-tin kosong yang berbunyi ini, buaya-buaya yang timbul dari kolam ini, pengkhianat-pengkhianat yang tidak tahu malu, semuanya sebenarnya seolah mahu menunjukkan yang mereka itu punya pengaruh dalam PAS. Buat bising, buat kecoh, buat sensasi, biar dalam muktamar nanti para perwakilan akan buta-buta ikut mereka. Bukankah orang-orang PAS ini mudah dipengaruhi, buktinya walau tiada kelayakan tinggi tetapi sebab petah dan pedas bercakap boleh naik jadi pemimpin tertinggi, bukti orang PAS mudah dipengaruhi!
Mereka lupa bahawa yang mahu mereka rebahkan, yang mahu mereka runtuhkan adalah institusi teras dalam PAS iaitu Kepimpinan Ulamak. Mereka boleh memperlekeh dan mengatakan apa sahaja terhadap Presiden PAS, lantaran gatal mulut dan mudah dapat liputan media, tetapi mereka lupa bahawa orang-orang PAS, bertungkus lumus berjuang mengalir keringat, airmata dan darah untuk menaikkan kepimpinan yang diterajui oleh para ulamak yang takutkan Allah swt.

Segala langkah Presiden yang mereka serang sebenarnya didukung oleh Majlis Syura Ulamak, yang terdiri dari sekelompok ulamak yang diiktiraf oleh ahli-ahli PAS sebagai yang paling pakar dan berilmu. Dalam senarainya Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz, Dato Dr Ustaz Hj Harun Din, Ustaz Dato Nik Muhamad Zawawi, Dato Ustaz Tuan Ibrahim, Dato Ustaz Hj Abd Halim Abd Rahman, Dato Ustaz Hj Ahmad Yakob, Dato Dr Hj Mahfodz, Dato Ustaz Hj Muhammad Daud Iraqi, Ustaz Hashim Jasin dan lain-lain
Bayangkan pengalaman, ilmu dan amalan mereka ini semua dihimpunkan dan dibandingkan dengan pemuka-pemuka blok penentang tadi.

Benar PAS berhadapan dengan zaman paling mencabar. Di sinilah kebjiksanaan penyelesaian Islam dituntut dan siapakah yang lebih alim dan berilmu dalam hal ini jika tidak kepimpinan yang orang-orang PAS sendiri perjuangankan zaman berzaman untuk diletakkan di atas.

Saya percaya, oleh kerana PAS ini adalah bahtera besar perjuangan Islam, yang kekal terus belayar sehingga hari ini, datang Muktamar nanti bolehlah sekerat dua pengacau bangkit melepaskan geram dan amarah masing-masing samada dari atas pentas atau di bawah (setelah beria-ia merancang dan membikin onar), tetapi akhirnya, para perwakilan yang beriman dan bertaqwa, yang merupakan wakil kepada akar umbi PAS seluruh pelusok negara, yang telah melalui proses tarbiyah dalam jemaah, yang bergadai nyawa membina dan melancarkan bahtera keramat ini sejak sekian lama, bernakhodakan pemimpin yang mereka akui mendapat bantuan dan bimbangan “dari atas”, insyallah bahtera ini akan kekal kukuh belayar mengejar destinasinya. Yang “mabuk” yang rimas, yang terlalu bernafsu, merekalah yang akhirnya akan cedera dan terluka.  
“Storm clouds” yang Joceline bayangkan itu, insyallah tidak akan merosak atau menenggelamkan bahtera ini, kerana ia penuh dengan doa mereka yang ikhlas dan menuntut janji Allah swt. Sebaliknya “storm clouds” itu akan membadai dan memukul keluar mereka yang lain.

Belayarlah terus bahtera ini menuju keredhaan Allah swt., yang angkuh dan bongkak menghunus senjata, biarlah senjata itu nanti mengajar mereka.
Teringat kata-kata Presiden pada saya dahulu, mereka ini tidak nampak dinding besar di hadapan, setelah terhantuk kepala, baru sedar.

Antara media alternatif dan suratkhabar "alas kaki" (14/9/14)


The Malaysian Insider (TMI) merupakan salah sebuah portal berita yang lahir sebagai media alternatif yang mengambil kesempatan dari luasnya dunia tanpa sempadan di internet untuk mencapai sasarannya, khasnya pembaca tempatan di Malaysia. Sebelum daripadanya telah wujud Malaysiakini (MK), Malaysia Today (MT) dan lain-lain.
Media alternatif menjadi popular di Malaysia apabila media saluran perdana khasnya TV dan beberapa akhbar cetak tertentu dilihat terlalu condong dan malah menjadi jurucakap parti kerajaan sehinggakan sering terlibat dalam penulisan dan laporan putar belit yang memual dan membosankan rakyat.

Kehadiran media alternatif ini mengisi kekosongan laporan objektif dan seimbang yang sering ketandusan dalam media arus perdana.Maka popularlah TMI, MK, MT dan lain-lain.

Namun malangnya kebelakangan ini beberapa portal berita yang bangkit atas runtuhan kebebasan media di atas, rupa-rupanya bukan bersaing untuk menjadi lebih baik dari media arus perdana sebaliknya menjadi sama taraf dan terkadang lebih memutar belit dari media arus perdana yang sepatutnya disainginya.
Contohnya hari ini dengan sebaris maklumat dari Ketua AMK Malaysia, Nik Nadzmi, TMI telah melakukan “spin” setaraf Utusan Malaysia dengan menonjolkan tajuk: “Aksi sarkas krisis Selangor: Hadi pantau Khalid”.

Maklumatnya sekadar sebaris tetapi “gorengnya” memburukkan Presiden PAS sehingga hangit dan tengit.
Saya rasa bukan saya seorang yang merasakan keterlaluan TMI ini kebelakangan ini, tetapi lihatlah dari komen pembacanya:

Incik Rie: Bodoh betul si nik nazmi ni. Belum apa apa lg dah dedahkan isi perbincangan. Biasalah, berbeza pendapat dalaman. Itu je kerja pkr ni, mengutuk dan menikam sesama dari belakang .. Budaya luar tabii. TMI jadi syaitan pengantara fitnah..
Insan Ehsan: Ketara sangat corak penulisan berita TMI membenci TGHH. Nampaknya bagaimana sikap Utusan Malaysia terhadap Anwar, begitulah sikap TMI terhadap TGHH.

Fadhillah Yusof: Malaysia Insider nampaknya bersungguh-sungguh utk buruk & jatuhkan Tuan Guru Hadi. Sebelum tu habis TSKI dibelasahnya. Buat laporan berat sebelah. No different dari suratkhabar alas kaki UMNO.Agak2 nya siapa lah yg bayar ye....
Yusri Yusof: .........rubbish article in garbage media!

Ternyata TMI mempunyai agenda tertentu khasnya dalam mencorak hala tuju dan kepimpinan dalam PAS. PKR dan DAP sering dijulang sebagai wira dan hebat, tetapi apabila sahaja melaporkan darihal PAS khasnya Presiden dan Kepimpinan Ulamak, maka tiadalah Bahasa yang baik dan adil dapat diberikan selain mengutuk, mengkritik dan merendahkan.
Mungkinkah TMI (meminjam kata-kata pengulasnya di atas) sudah setaraf Utusan Malaysia, suratkhabar alas kaki Umno, atau sebaris dengan “garbage media” lain? Tahniah para “spin doctors” yang merupakan pasukan upahan yang berkemungkinan tak lama lagi lebih baik dari yang di Utusan.

Saturday, September 13, 2014

Mat Sabu dari Khomeini ke Jokowi (13/9/14)


PAS adalah sebuah parti Islam. Tanyalah siapa sahaja di Malaysia, samada professional, orang kebanyakkan, berpendidikan tinggi atau tidak, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban semua akan mengatakan bahawa PAS berjuang untuk Islam.
Dasar perjuangannya disebut dengan jelas dalam Perlembagaannya yakni Fasal 5(1) memperjuangkan Islam, bermakna PAS memilih menyertai politik untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan hukum dan pemerintahan Islam. Lebih nyata lagi peruntukkan Fasal 6 (1) dan (2) iaitu demi memperolehi apa yang dinyatakan dalam 5(1) PAS akan berusaha:

6(1) Menyeru umat manusia kepada Syari‟at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
6(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari‟at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Kalau orang-orang PAS berkempen untuk melaksanakan Islam, ianya biasa bukanlah sesuatu yang janggal atau ganjil kerana itulah PAS. Sejak 1951 iaitu hampir 63 tahun usianya itulah PAS.
Akan tetapi apabila pemimpin PAS, dalam kes ini orang nombor dua tertinggi dalam parti, Timbalan Presidennya menyatakan bahawa PAS kini perlu berhati-hati dalam menggunakan Islam untuk mendapat undi atau sokongan, ianya pasti sesuatu yang janggal dan ganjil.

Untuk tidak mahu menokok tambah saya petik wawancara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dalam Malaysiakini:
“The PAS Islamists should be wary of using Islam alone to get the votes of the people, for there will come a time when a "Jokowi" will be voted in by Malaysians and PAS hardline Islamists would have to mellow (down) and give their support to the one who will be getting the popular vote.That popular vote - when that time comes - might go to a 'Jokowi-like' (person).”

Terjemahan (saya):
“ (PAS Islamist = ulamak) Golongan ulamak perlu berhati-hati dalam hanya menggunakan Islam untuk memenangi undi rakyat, kerana akan datang masanya apabila “Jokowi” yang akan diundi oleh rakyat Malaysia dan ketika itu (PAS hardline Islamist = ulamak) puak ulamak perlu bersederhana dan memberi sokongan kepada sesiapa yang boleh mendapatkan undi popular. Undi popular itu nanti apabila tiba masanya  akan pergi kepada seseorang umpama “Jokowi”.

Mohamad Sabu bukan Timbalan Presiden Umno atau PKR atau Gerakan atau DAP tetapi beliau adalah Timbalan Presiden PAS, sebuah parti yang ditubuhkan oleh para ulamak dan pejuang Islam yang berdekad-dekad berjuang mahu menjunjung dan memartabatkan Islam.
Dahulu beliau bersama mendukung konsep “Kepimpinan Ulamak” dalam PAS. Beliau kemudian menjadi pengkagum Khomeini dan Republik Islam Iran, beliau menafikan yang beliau Syiah tetapi sekadar pengkagum Khomeini dan Iran. Mahu Malaysia mencontohi Republik Islam itu. Kemudian beliau turut bersimpati dengan perjuangan golongan kiri, memberi tafsiran sendiri terhadap perjuangan Regimen ke 10 PKM. Dan hari ini melalui wawancara Malaysiakini ini beliau menjadi pengkagum Jokowi pula.

Demikianlah evolusi Mohamad Sabu, yang selangkah lagi boleh menjadi Presiden PAS!!!
Saya membangkitkan perkara ini kerana ternyata Timbalan Presiden PAS ini berdasarkan wawancaranya itu sedang mahu membawa perjuangan PAS kearah yang berlainan. Satu arah yang tidak pernah diteroka atau didukungi oleh mana-mana pimpinan PAS, dahulu mahupun sekarang. Beliau turut dipetik sebagai berkata:

"PAS tops should not be too proud of using Islam to defend themselves for all their actions,"
Terjemahan (saya):

“Pimpinan PAS jangan terlalu ghairah menggunakan Islam untuk mempertahankan diri mereka terhadap sebarang tindakan mereka”
Kalau diteliti keseluruhan wawancara beliau itu ternyata beliau menyerang, menyindir dan memperlekeh para ulamak dalam PAS. Ulamak PAS seolah tidak mengikuti arus perdana. Ulamak PAS seolah jumud tidak mementingkan kebajikan rakyat dan urustadbir baik. Dan seperti juga Umno Mohamad menuduh ulamak PAS sebagai menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.

Sebagaimana katanya:
"We may have a Jokowi soon and (when that time comes) those who use religion for their personal gain but ignore the people will be pushed aside,"

“Kita berkemungkinan akan nada seorang Jokowi (apabila tiba masanya) mereka yang memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan mengabaikan rakyat akan ditolak ketepi”
Saya meminta maaf kepada Mohamad dan pengikut-pengikutnya, tetapi saya secara peribadi tidak boleh terima langsung hujahnya itu yang ternyata langsung tiada rasional dan asasnya. Apapun sebagai seorang pemimpin nombor dua tertinggi dalam PAS kenyataan beliau ini hanya akan melarikan sokongan terhadap PAS, mengecewakan para pejuang yang ikhlas dan memberi ruang kepada musuh-musuh PAS mengambil kesempatan dan terus menjatuhkan PAS.

Sesunggunya kekuatan PAS bertunjang dan bersandar pada Islam. PAS menarik minat dan perhatian rakyat khasnya pengundi-pengundi Melayu/Islam kerana PAS istiqomah memperjuangkan Islam di bawah teraju para ulamak yang berilmu, berwibawa dan disegani. Malah sejak kebelakangan ini para pengundi bukan Islam turut cenderung pada PAS lantaran kejujuran dan keikhlasan kepimpinannya yang menterjemahkan kepimpinan Islam itu sendiri.
Menyeru PAS untuk mengendurkan nafas Islamnya, samalah bagai mahu membunuh PAS!

Saya menunggu Mohamad Sabu menarik balik kenyataan beliau itu atau barangkali menyatakan yang beliau telah disalah petik. Jika tidak maaf beliau tidak sesuai langsung untuk duduk di jawatan yang beliau sandang kini.

 

 

 

 

Monday, September 08, 2014

Allah selamatkan PAS (8/9/14)


“Mutiny in PAS” tajuk muka depan akhbar The Star hari ini. “Mutiny” menurut Wikipedia bermaksud:
“Mutiny is a criminal conspiracy among a group of individuals (typically members of the military; or the crew of any ship, even if they are civilians) to openly oppose, change or overthrow a lawful authority to which they are subject.”

"…..konspirasi (jenayah) oleh sekumpulan individu (lazimnya anggota tentera; atau anak-anak kapal, walaupun mereka mungkin orang awam) untuk menentang secara terbuka, merobah atau menggulingkan pihak yang berkuasa yang berada di atas mereka."
Laporan akhbar berkenaan merujuk kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat semalam yang bermesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Mohammad Sabu. Tuan Guru Presiden PAS tidak hadir kerana menyertai persidangan Kesatuan Ulamak Sedunia di Indonesia atas kapasitinya sebagai Naib Presiden kesatuan antarabangsa tersebut.

Menurut The Star Md Sabu berkata bahawa PAS akan menolak jawatan MB Selangor sekiranya ditawarkan oleh Tuanku Sultan Selangor, ini berikutan senarai nama calon-calon dari Presiden PAS yang diserahkan kepada istana yang dilaporkan mengandungi nama pemimpin PAS Selangor.
Kononnya PAS akan kekal dengan senarai dua nama yang dicadangkannya sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Azmin Ali kedua-duanya dari PKR.

“Mutiny” yang dimaksudkan oleh The Star itu adalah apabila keputusan ini jelas bertentangan dengan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini yang telah menyatakan bahawa Wan Azizah tidak layak untuk jawatan berkenaan dan bahawa beliau telah mengemukakan tiga calon kepada istana.
“Mutiny” juga kerana keputusan PAS Pusat itu turut bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada hari yang sama yang telah memutuskan bahawa Jawatankuasa PAS Pusat perlu akur dengan keputusan Presiden oleh kerana keputusannya itu merupakan budibicara yang dibenarkan oleh Artikel 26 (9) Perlembagaan PAS. Majlis Syura turut menegaskan bahawa kuasa mentafsir perlembagaan parti sebagaimana disebut oleh Artikel 8 (1) (a) Perlembagaan PAS adalah merupakan kuasanya.

Malah “mutiny” juga oleh kerana Dewan Ulamak PAS Pusat yang bermesyuarat sehari sebelumnya telah memutuskan (dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada 7 September):
“…….bahawa tindakan dan arahan Presiden PAS dalam isu berkaitan dengan Menteri Besar Selangor merupakan kuasa prerogatif Presiden yang diperuntukkan oleh Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS, Pindaan (2011).

Majlis Syura Ulamak sebagai badan yang diberi kuasa untuk menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS sebagaimana termaktub dalam fasal 8 (1a), dalam persidangannya hari ini turut mengesahkan hak Presiden tersebut.
Oleh itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menasihati ahli-ahli PAS menghormati tindakan Presiden tersebut dan memberikan ketaatan serta thiqah (kepercayaan) atas tindakan beliau.”

Apa pun bagi ahli-ahli PAS, yang menerima dan mengiktiraf konsep Kepimpinan Ulamak, yang telah berjuang jatuh dan bangun atas doa, airmata dan darah para pejuangnya yang ikhlas zaman berzaman, tahu bahawa memandangkan PAS adalah sebuah parti siyasah Islam, maka sandarannya dalam apa sahaja kemelut dan krisis adalah pada kumpulan yang takutkan Allah swt sebagaimana firman Allah swt:
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.” (Fathir: 28)

Dan Rasulullah saw telah berpesan kepada kita:
“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Hadits ini diriwayatkan Al-Imam At-Tirmidzi di dalam Sunan beliau no. 2681, Ahmad di dalam Musnad-nya (5/169), Ad-Darimi di dalam Sunan-nya (1/98), Abu Dawud no. 3641, Ibnu Majah di dalam Muqaddimahnya dan dishahihkan oleh Al-Hakim dan Ibnu Hibban. Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah mengatakan: “Haditsnya shahih.”

Berbalik kepada isu “mutiny” tadi jelas dan nyata bahawa dalam krisis ini PAS hari ini terbahagi kepada dua, samada berpegang pada: pertama keputusan dan pendirian Tuan Guru Presidennya, yang disahkan oleh Majlis Syura Ulamak dan didukung oleh Dewan Ulamak PAS Pusat atau kedua ikut Timbalan Presiden dan rakan-rakannya sebahagian AJK Pusat yang telah menolak bulat-bulat yang pertama tadi.
Dalam hal ini “mutiny” adalah apabila kita memilih untuk mengikuti yang kedua. Kerana apa ianya “mutiny” kerana bermakna kita menolak keputusan Tuan Guru Presiden, nakhoda bahtera besar PAS ini. Keputusan itu bukan keputusan Tuan Guru Presiden tetapi disahkan oleh Majlis Syura dan didukung oleh Dewan Ulamak PAS Pusat lantas kita turut menolak keseluruhan hiraki kepimpinan ulamak PAS!

Kalau kita sudah tidak thiqah, tidak lagi mengiktiraf, tidak lagi hurmat pada Kepimpinan Ulamak, maka lebih baik kita bawa kepala-kepala “mutiny” kita itu terus keluar dan berpayunglah kepada apa sahaja konsep kepimpinan yang baru kerana bagi kita ulamak sudah tidak relevan, sudah lekeh, sudah ketinggalan zaman.
 Ahli-ahli PAS yang komited dan istiqomah dengan perjuangan Islam dan kepimpinan ulamak tidak perlu fikir panjang.

Lihatlah dan tenunglah pada wajah-wajah Tuan Guru Presiden, Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Timbalan Mursyidul Am, Tuan Guru Ketua Dewan Ulamak Pusat dan seluruh saf Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak PAS Pusat, orang-orang yang kasihkan Allah, ikhlas berjuang, memimpin ratusan ribu ahli-ahli dan pendukung PAS dengan ilmu dan amal dan bandinglah dengan puak-puak “mutiny” yang ternyata rimas dan muak dengan para alim ulamak ini.
Bahtera PAS ini adalah bahtera al Quran kata Tuan Guru Presiden. Insyallah ia akan terus belayar dengan ratusan ribu mungkin jutaan anak-anak kapal yang menjunjung dan mendaulatkan al Quran dan tidak redha sekali-kali bersekongkol dengan “mutineers” yang coba membawa onar pada bahtera ini.

Teruskan perjuangan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abd Aziz, Tuan Guru Dato Dr Haron Din, Ustaz Dato Hj Ahmad Yakob dan lain-lain para ulamak yang kami kasihi, kami akan mengaminkan doa Tuan-tuan kerana hujan atau panas, tenang atau gelombang susah atau senang, jiwa dan raga kami letakkan di hadapan demi bersama Bahtera al Quran dan Kepimpinan Ulamak!
Allah selamatkan PAS

 

 

Friday, September 05, 2014

Bangkit mempertahankan Kepimpinan Ulamak tanggungjawab kita (5/9/14)


Posting terakhir saya “Jangan izinkan bahtera ini dibocorkan” ternyata mengundang minat beberapa kalangan. Saya tidak menulis fiksyen apa lagi dongeng, saya bukan penulis upahan yang menulis ikut selera Tuannya (banyak Tuannya bayar dia menjelir lidah sambil menggoyangkan deras ekornya, tapi bila tak bayar akan digigit tuannya sampai lumat), saya sekadar menitipkan realiti yang berlaku, sedang berlaku dan bakal berlaku jika kita tidak berhati-hati. Di masjid ketika mahu solat Jumaat tadi seorang Ketua PAS Cawangan mengucap tahniah atas posting saya itu dan bertegas menyatakan PAS harus terus berjuang atas matalamat “Islam”.
Saya percaya ramai ahli, penyokong dan mereka yang simpati pada PAS dan perjuangan Islam mahu PAS kekal berterajukan para ulamak dalam mendepani perjuangan Islam di Malaysia. PAS dengan kepimpinan ulamak yang menempatkan Majlis Syura Ulamak (yang terdiri dari cerdik pandai Islam yang paling berkelayakan) sebagai badannya yang tertinggi sesungguhnya disegani dan dihormati ramai, kerana ialah satu-satunya gerakan Islam yang masih kekal istiqomah dalam mahu membawa perlaksanaan Islam secara syumul dalam Negara.

Namun PAS bukanlah gerakan teokrasi atau sesuatu yang mirip Mullah Syiah di Iran.
PAS adalah parti politik yang berdaftar yang menerima siapa sahaja yang mendukung dan menyokong dasar perjuangannya. Jangankan para ulamak dan professional, yang tiada pendidikan tinggi, yang tiada pendidikan langsung, yang kaya, yang miskin, yang buta yang celik, semuanya boleh menjadi ahli dan penyokong PAS selagi mana ia berpegang kepada dasar dan matlamat perjuangannya. Malah yang bukan Islam, menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS pun boleh bersama kerana sayang dan cinta pada PAS.

PAS berbeza dari yang lan kerana ia meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya, dan dalam waktu yang sama menobatkan para ulamak sebagai teras kepimpinannya.
Jadi sebenarnya tidak ada ulamak dan professional dalam PAS, yang ada adalah mereka yang ikhlas (ulamak atau professional atau yang tidak ulamak dan tidak professional) mahu memperjuangkan Islam dan berpegang teguh kepada al Quran dan as Sunnah yakni rujukan tertinggi PAS. Oleh kerana rujukan tertinggi PAS adalah yang demikian, bukannya tulisan Smith, Marx atau Keynes atau Rousseau atau Shaw maka yang berada di baris hadapan yang memimpin dan memberi tafsir kepada PAS adalah para ulamak (dalam hal ini lebih tepat lagi Majlis Syura Ulamak), sesuatu yang diterima dan diiktiraf apabila kita duduk di bawah panji-panji PAS.

Kalau seseorang mendakwa diri menjadi ahli hatta pemimpin PAS sekalipun tetapi tidak dapat menerima apa lagi thiqah kepada Majlis Syura yakni kepimpinan ulamak, malah memandang pula mereka sebagai tidak mahir dan lekeh, jelas orang atau pemimpin inilah yang bermasalah. Dia samada telah terlalu besar kepala dan nafsunya atau lebih tepat lagi sudah tidak sesuai, tidak kena tempat untuk duduk di bawah panji-panji PAS.
Oleh itu tak perlulah terbit dengan imaginasi atau dongeng yang kononnya ada projek “Langgar Golongan Profesional” dalam PAS. Kemudian nak dilebih sedapkan lagi dipercik dan digumpalkan rempah-rempah kononnya mahu dekat dan duduk bersama Umno semata-mata untuk melahirkan kebimbangan, kemarahan dan mungkin kebencian ahli-ahli PAS pada golongan Ulamak.

Benar sekarang ini ada gerakan untuk menyatakan taat setia dan thiqah secara terang-terangan kepada Tuan Guru Presiden PAS dan Majlis Syura Ulamak PAS, kerana apa, kerana ahli-ahli semua peringkat mahu PAS terus kekal memperjuangkan Islam berteraskan kepimpinan ulamak. Mungkin ada individu, pihak atau puak merasakan lantaran gelombang ini diri dan puak mereka dilanggar, sedarlah, jika mereka merupakan dalang atau aral yang membocorkan bahtera jemaah atau punya agenda menjatuhkan kepimpinan Ulamak untuk menjadikan PAS lebih liberal, lebih moderat lebih pragmatis ikut suasana maka tidak kiralah samada mereka professional, ulamak, atau siapa sahaja, mereka memang wajar dilanggar dan ditunjukkan jalan keluar dari PAS.
Mengapa mahu dijolokkan fitnah kononnya institusi tertentu dalam PAS (sebut sahaja ulamak) mahu bawa keluar PAS dari Pakatan. Apakah matlamat menghamburkan fitnah demikian? Supaya ahli marah, supaya ahli berubah selera menyokong puak-puak seumpama mereka begitu?

Majlis Syura Ulamak telah menegaskan bahawa PAS kekal dalam Pakatan. Namun kerana PAS adalah rakan kongsi dalam Pakatan yang punya hak yang sama atas konsep konsesus bersama, maka sudah pasti dan tidak salah apabila PAS memberi tafsir akan satu-satu isu itu selari dengan dasar perjuangannya. Adakah apabila kita berbeza, maka dikata ada pihak mahu bawa PAS keluar Pakatan, begitu?
Takkanlah PAS hanya menjadi tukang angguk, mengiakan apa sahaja sedangkan, dasar yang didukungnya begitu besar dan berharga. Bukan professional malah bahlul kalau kita jadikan PAS begitu.

Ada yang punya keyakinan bahawa jika PAS kekal begini, maka ia tidak dapat menang besar. Kalau kerana berpegang pada Islam maka PAS didakwa akan kalah, biarlah, kerana Islam bagi kita yang ikhlas samada professional, ulamak atau apa sahaja lebih mahal dan berharga dari dunia dan segala isinya.
Bagi mereka yang menambatkan diri pada perjuangan Islam PAS ini, mereka insaf bahawa diri dan individu tidak penting dalam perjuangan ini. Yang penting adalah dasar dan matlamat perjuangan. Menang kita bukan atas kehebatan individu atau mana-mana kumpulan dan segmen, tetapi menang adalah atas dasar pertolongan Allah swt. PAS pernah menang besar dan pernah kalah, tetapi semuanya diterima dengan tenang malah jiwa yang besar kerana matlamat perjuangan adalah redha Allah swt.

Kalau dari ukuran moden dan logik akal atau kajian dan analisa bijak pandai mungkin kita yang berkata demikian akan dituduh akan dikira bodoh, tetapi renunglah kata-kata hikamh Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad ketika beliau Timbalan Presiden PAS hampir 50 tahun dahulu:

“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa,  mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya  lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada  diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”.
Dan saya meminjam tulisan YB Ustaz Idris Ahmad Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat:

“Jamaah tidak boleh bergerak seandainya tidak ada semangat ikhlas di kalangan anggota dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya dilahirkan dalam tarbiah Pas sehingga mereka berjuang bukan kerana individu tetapi kerana Islam dan jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Pas telah berjaya menanamkan kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan. Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh Pas. Tidak hairanlah kepada kita beberapa orang pemimpin tertinggi  Pas yang telah mengkhianat perjuangan namun ahli Pas tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian daripada tarbiah untuk melihat sejauhmanakah mereka yang telah tahan diuji semasa dalam perjuangan.”
Kesimpulannya marilah kita bersama-sama memastikan satu-satunya gerakan Islam di Malaysia ini iaitu PAS kekal relevan bertunjangkan kepimpinan ulamak yang sama-sama kita hormati dan segani. Biarlah kita ikhlas walau kelihatan tidak bijak pada mata mereka yang jahil, tetapi di sisi Allah swt kita dilihat ikhlas dan terus diberkati.

Kita akan berdiri ikhlas mempertahankan Tuan Guru Presiden PAS, Majlis Syura Ulamak PAS, dasar dan matlamat perjuangan PAS samada kita menang atau syahid.

 

 

Wednesday, September 03, 2014

Jangan izinkan bahtera ini dibocorkan (3/9/14)


Igauan dan kebimbangan ramai hari ini jelas menjadi nyata.

 Gerakan Islam PAS yang sekian lama stabil mengharungi kancah politik Malaysia berpanji-panjikan al Quran dan As Sunnah hari ini sedang menghadapi kocakkan dari dalam. Bukan ia tidak pernah menghadapi krisis dalaman, sesungguhnya pelbagai krisis telah ia lalui dari zaman awalnya, namun kali ini dalam keadaan gagah dan selesa krisis kali ini kelihatan benar-benar mencabar keutuhan dan kelangsungannya. Berpunca dari pendekatan politik dan pentafsiran strategi, ia kini meledak kepada adu domba dan jatuh-menjatuh.

Dalam PAS ahli-ahlinya melalui pelbagai proses tarbiyah dan kefahaman. Salah satu dari banyak hadis yang sering menjadi panduan dan iktibarnya dalam  perjuangan adalah:

 Daripada Nu’man bin Basyir r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

 Perumpamaan mereka yang berada dalam batasan sempadan (agama) Allah dan mereka yang terjerumus ke dalamnya adalah seperti kaum yang mengundi untuk mendapatkan tempat masing-masing dalam sebuah kapal, antara mereka ada yang dapat di tingkat atas kapal dan sebahagian lain beroleh di tingkat bawah. Mereka yang berada di bawah akan melalui yang berada di bahagian atas untuk mengambil air, mereka berkata sekiranya kita tebuk saja tempat kita ini kita tidak perlu  mengganggu mereka (yang di atas) lagi. Sekiranya dibiarkan mereka laksanakan cadangan tersebut, maka akan binasalah sekalian penumpang, dan kalau dicegah rancangan itu akan selamatlah mereka dan penumpang semuanya.” (Riwayat Bukhari)

 Berasaskan tunjuk-ajar terus dari Rasulullah s.a.w inilah maka Tuan Guru Presiden PAS sering mengingatkan ahli-ahli dan pendukung parti:

 Yang menyelamatkan manusia hari ini bukan lagi bahtera Nabi Nuh,,

Tapi bahtera Al-Quran,

 Kita mengajak manusia bersama dengan bahtera Al-Quran ini,

Saya minta supaya ahli-ahli kita terus bersama bahtera ini,

Bahtera perjuangan kita,

Jangan bocorkan bahtera ini,

Jangan tebuk bahtera ini,

Walaupun tidak puas dengan makanannya,

Tak puas hati dengan masanya,

Pelayaran lama sangat, nak terjun cepat....Ada yang terjun,

Pelayaran lama sangat...Lari kepada bahtera lain,

 Mereka yang lari ke bahtera lain...TAK SELAMAT,

 Berdasarkan tunjuk-ajar dan kupasan Tuan Guru Presiden inilah saya percaya mendorong Dr Azman Ibrahim, untuk mengulas dalam sebuah artikelnya

“………saya juga diajar bahawa menyertai perjuangan Islam bagaikan kita menaiki sebuah bahtera menempuh perjalanan yang sangat jauh merendah ombak, angin serta gelombang di lautan yang sangat luas. Dikepalai oleh seorang nakhoda, bahtera yang diberi nama PAS ini telah 59 tahun berjaya mengharungi badai walaupun hujung perjalanannya masih jauh. Kita bersabar di sini kerana inilah sunnah perjalanan sebuah perjuangan.

Memang bukan semua keputusan yang diputuskan oleh nakhoda dalam pelayaran ini kita persetujui, tetapi jangan pula kita tebuk kapal kerana tak bersetuju dengan nakhoda.

 Saya inginkan seorang pemimpin yang dipilih nanti adalah mereka yang boleh bersabar menempuh pelayaran ini dan sanggup memberikan wala’ dan kepercayaan kepada nakhoda yang sedia ada untuk terus memegang kemudi pelayaran. Dengan izin Allah, bahtera kita akan selamat.”

Melihat perkembangan mutakhir dalam PAS saya percaya hari ini sudah ada usaha pihak tertentu yang bangkit tidak berpuas-hati atas satu-satu isu, lalu mahu muncul menjadi “juara”, mahu konon-kononnya merobah laluan dan layar bahtera besar PAS ini. Kalau perlu dibocor akan dibocorkan demi membawa agenda dan kepentingan peribadi mereka yang dilihat tidak boleh diterima oleh nakhoda.

PAS yang kita sayangi sedang menghadapi tribulasi ini.

 Dalam isu MB Selangor sahaja kita sudah lihat, ada ADUN PAS Selangor (dalam kes ini 2 dari Selangor) yang telah berbuat demikian. Melangkah dan melangkau kepala kepimpinan, demi kononnya mahu menyelematkan bahtera. Syukurlah ada 13 lagi yang istiqomah dan tidak tergamak mahu membocorkan bahtera yang telah dibina dengan doa, darah dan air mata para pejuang Islam zaman berzaman. Itupun ada pimpinan Pusat yang meraikan, menimang dan mengaung-agungkan langkah 2 pengkhianat itu.

 Hari ini dengan sedihnya kita dimaklumkan pula darihal penubuhan sebuah gerombolan yang diberi nama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau PASMA (sila lihat http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/pas-group-campaigns-to-keep-islamist-party-in-pakatan )

 Kononnya ia ditubuhkan oleh lebih 100 orang ahli PAS dan dilancarkan di Kota Bharu Ahad lalu. Matlamat utamanya adalah untuk menangani sebarang usaha untuk mencetuskan perkongsian kuasa antara PAS dan Umno. Kononnya mahu memastikan PAS terus di atas landasan perjuangannya.

 Laporan yang sama menyebut bahawa Naib Presiden PAS Husam Musa baru-baru ini menyatakan  bahawa terdapat usaha mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor antara PAS, Umno dan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipelopori kumpulan Tan Sri Muhyuddin Yassin. Kumpulan Muhyuddin itu dikatakan mahu mempengaruhi satu institusi tertentu dalam PAS.

 Benarkah ada usaha demikian atau adakah ini semata-mata pelancaran satu serangan politik adu-domba jahat mahu menjatuhkan pimpinan tertentu dan menyerang institusi tertentu dalam PAS sebagaimana disentuh Husam itu?

 Yang kita tahu berperanan memastikan PAS terus utuh di atas landasan perjuangannya yang dipelopori lebih 50 tahun lalu oleh para ulamak, adalah sebuah institusi yang sangat disegani dan dihormati dalam PAS iaitu Majlis Syura Ulamak. Adakah kita bakal melihat satu serangan besar-besaran terhadap Majlis Syura dan kepimpinan ulamak oleh golongan penebuk bahtera yang mahu membikin bahtera baru menggantikan yang ada?

Atau adakah serangan halus dan biadap ini telah pun bermula?

 Malaysian Insider melaporkan:

 A source told The Malaysian Insider that PasMa will conduct briefings across the country to explain why PAS must remain with PR and reject Umno. The first briefing will be held at a hotel in Shah Alam on September 8, and will be conducted by three panellists: PAS vice-president Datuk Husam Musa, central committee member Datuk Mujahid Yusof Rawa and former Shura council member Ahmad Awang.

 PASMA mengikut laporan MI di atas bakal mengundang Husam, Mujahid dan Ahmad Awang, apakah agenda mereka ini?

 Saya melihat hanya kerana ada usaha mahu menyemak dan menilai semula tahaluf siyasi dalam PR (bukan keluar PR pun) maka ada puak-puak tertentu termasuklah bertaraf pimpinan menjadi “panas punggung” lantas terus mencetuskan angkara sehingga bersedia bukan hanya merobah haluan bahtera malah sanggup merobohkan yang ada dan membina bahtera baru!

 Presiden PAS perlu dilekeh dan dicalar-balarkan imejnya, institusi ulamak yang kuat mendukungnya juga perlu diperlakukan sama, biar bahtera PAS baru yang lebih liberal, moderat dapat dibina. Kalau perlu dihantu-hantukan ahli-ahli PAS dengan kisah kerjasama Umno semata-mata untuk membangkitkan kebencian dan kemarahan ahli-ahli PAS terhadap Presiden dan institusi ulamak, mereka akan lakukan malah telah pun dimulakan.

 Apa akan jadi pada PAS nanti?

 Benarlah sebagaimana ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden ketika merasmikan Nadwah Pemerkasaan Duat (NEKAD) anjuran Lajnah Dakwah PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) Taman Melewar baru-baru ini, bahawa PAS tidak sama dengan PKR dan DAP (apalagi Umno). PAS berjuang atas dasar kebenaran (Islam), PAS berjuang mahu menegakkan Islam yang sempurna.

Kerana itu kita yakin PAS akan berjaya menempuh tribulasi ini, yang ikhlas dan isitqomah teguh mahu mendokong Islam dengan izin Allah akan kekal bertaut pada bahtera ini walaupun ia dilambong ombak dan angin kencang, manakala yang selebihnya, terutama yang punya agenda peribadi, samada akan terlontar keluar, turun dengan sendiri atau angkat kaki membina bahtera baru, biarkanlah.

Kerana itu teruslah bersama dan mempertahankan kepimpinan ulamak, dengan izin Allah kita dan bahtera al Quran ini akan terus kekal selamat! Bangkit dan bekerjalah jangan izinkan bahtera ini dibocorkan!

 

Tuesday, September 02, 2014

Orang PAS jangan mudah dihantu-hantukan (2/9/14)


Kalau semasa kita kecil-kecil dahulu apabila sahaja orang dewasa khasnya orang-orang tua kita menyebut perkataan “hantu” atau “momok” maka pantas kita akan cemas dan takut. Nak takutkan budak-budak kata orang tua-tua di hantu-hantukan.
Demikian juga sebaik tamat Penjajahan Jepun di Malaya, orang akan takut apabila dikaitkan dengan perkataan “tali barut” Jepun. Siapa sahaja yang pernah bekerja dengan penjajah Jepun khasnya dalam pasukan keselamatannya, akan dipandang hina oleh masyarakat malah ada laporan mengatakan mereka yang bertugas sebagai pengintip Jepun diambil tindakan sehingga ada yang dibunuh. Ringkasnya masyarakat ketika itu takut apabila dikaitkan dengan perkataan berkenaan.

Begitulah dalam politik satu ketika dahulu demi mahu menakutkan-nakutkan masyarakat Melayu pada perjuangan DAP contohnya, maka mereka yakni DAP dikaitkan dengan kominis. Orang Melayu rata-rata memang bencikan kominis. Maka takutkan orang Melayu pada DAP, gambarkanlah parti berkenaan sebagai penyambung perjuangan kominis.
Takut-takut ini modal orang yang bangkrap. Kerana sering apabila orang menakut-nakutkan ia biasanya suatu pembohongan, tiadalah asas pun, direka-reka atau dipungut-pungut cebisan-cebisan atau perca-perca demi membangkitkan kebencian atau apa sahaja keuntungan yang boleh diperolehi bagi si yang membangkitkannya.

PAS kebelakangan ini jangan sahaja dikaitkan dengan Umno. Ahli dan penyokong PAS sangat phobia atau takut (benci) pada Umno memandangkan parti berkenaan sekian lama merupakan musuh politik tradisinya. Kerana itu bagi mereka yang punya agenda, muslihat apa sahaja, kalau mahu membangkit atau mengukir kebencian khasnya orang-orang PAS sendiri terhadap mana-mana pimpinan, maka kaitkanlah pimpinan tadi dengan Umno. Si polan si polan ada pakatan dengan Umno, mahu bikin kerajaan perpaduan, mahu jatuhkan orang itu orang ini, maka siaplah akan bergoncang jantung orang-orang PAS.
Dalam erti kata lain, bagi mereka yang ketandusan modal, ciptalah satu dongeng kononnya ada pakatan sulit dengan Umno oleh pimpinan tertentu, tambah pula dijaja dan dilariskan modal tadi oleh media alternatif tertentu yang mereka punya pengaruh, maka siaplah…..

Pemimpin yang tidak berdosa akan dipandang serong dan penuh syak wasangka.
Dalam lipatan sejarah PAS, apabila Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dahulu mahu dirihatkan, petualang sebeginilah juga yang telah menjaja kononnya Almarhum masih menyimpan ideologi Sosialisma/ Komunisma, masih bersimpati dengan perjuangan arus kiri ditambah pula dengan tindakan mahkamah yang dikenakan oleh Kerajaan Perikatan ke atas Almarhum selain ditahan di bawah ISA bertahun-tahun. Akhirnya Almarhum tidak layak bertanding dalam PRU dan kerana lama dalam tahanan beliau dipinggirkan sehingga berjayalah naik kelompok yang baru dalam ketiadaan beliau itu.

Hari ini ada pemimpin kanan PAS yang berkata bahawa TPM sedang berusaha mewujudkan kerajaan campuran dengan PAS dan Tan Sri Khalid bagi membentuk kerajaan baru seterusnya meraih 2/3 majoriti bagi BN di Dewan Rakyat guna untuk meminda sempadan baru pilihanraya.
Portal berita tertentu memainkan cerita ini.

Ahli-ahli PAS mula tertanya-tanya benarkah begitu? Siapakah pemimpin PAS yang terlibat?
Malah tak berapa hari lalu portal yang sama menabur fitnah kononnya dalam satu pertemuan antara Presiden PAS dan Timbalan Presiden PKR, Tuan Guru Presiden telah menwarkan Azmin jawatan MB dengan membentuk kerajaan campuran bersama Umno.

Setiausaha Politik Tuan Guru Presiden telah mengeluarkan penafian dan menuntut portal berkenaan meminta maaf, kerana memfitnah.
Semoga orang PAS hari ini lebih masak dan bijak, tidak mudah terpengaruh dan dipengaruhi dengan hantu-hantu dan momok-momok yang cuba dicipta untuk membangkitkan kebencian terhadap individu dan kelompok pimpinan tertentu. Fitnah hari ini semakin halus dan mencabar.

Apabila kita tewas dengan kisah karut dan dongeng ini, maka kita mula bersyak wasangka dan berfikiran buruk terhadap orang-orang tertentu. Kepada orang-orang seperti ini, semoga mereka tidak terus menangguk di air keruh. Kiranya benar apa yang mereka dakwa, pasti Allah bersama mereka, tetapi kiranya fitnah dan reka-rekaan, maka bersedialah menanggung azab yang dijanjikan Allah terhadap pembawa fitnah walau apa sekalipun jawatan anda.

Pengkhianat yang cari pasal (2/9/14)


Terkini Dewan Ulamak PAS Selangor sebulat suara meluluskan usul mengutuk serta mengecam tindakan dua ADUN pembelot PAS dari Morib dan Hulu Kelang yang telah memisahkan diri dari jemaah dengan menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon MB Selangor. Usul itu diluluskan oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Selangor kali yang ke 26 dan akan dibawa untuk dibahas di Mukatamr Dewan Ulamak PAS Pusat pada 17 September nanti.
Sebelum itu PAS Selangor, PAS Terengganu dan PAS Wilayah Persekutuan selain Dewan Pemuda PAS Selangor turut menuntut Jawatankuasa Disiplin agar bertindak ke atas kedua-dua pembelot berkenaan.

Menariknya salah seorang ADUN berkenaan Saari Sungib dilaporkan berkata (ekoran tindakan Dewan Ulamak PAS Selangor itu) :
"Hukum jatuh tanpa memberi ruang untuk membela diri dan membuktikan ketepatan tindakan kutuk dan kecam. Budaya ini tak patut wujud dalam sebuah parti Islam. Saya ingatkan para ulama yang berilmu, mendukung Al-Quran dan Sunnah, mendukung prinsip keadian, agar menyemak kembali adakah ia wajar perkara itu wujud dalam PAS,"

Bagaikan meludah ke langit, beliau tidak sedar bahawa tindakan beliau dan rakannya melompat keluar dari saf dan menyokong pencalonan Wan Azizah itu sesungguhnya lebih melangkaui apa sahaja amalan dan peraturan yang ada. Disiplin parti dan adab berjemaah dilontar malah diterajang begitu sahaja. Kalau benar beliau menghormati ulamak, apa pula kelebihan tnidakan beliau dan rakannya itu adakah berlandaskan Al Quran dan Sunnah atau akal fikiran dan nafsu peribadi?
PAS dibina atas kekuatan jemaahnya yang berpegang dan mendukung al Quran dan As Sunnah di bawah kepimpinan para ulamak zaman berzaman. Tidak dinafikan kadangkala terdapat mereka yang duduk di dalam PAS merasakan diri terlebih cerdik, lebih pantas dan lebih ke hadapan, semua yang lain dipandangnya lekeh, lembab dan dungu. Maka sewajarnyalah manusia jenis ini mengangkat kaki keluar dari jemaah kerana PAS sudah tidak sesuai bagi mereka, malah PAS sendiri puns ebenarnya tidak memerlukan mereka.

Apa pun rasional yang mahu mereka bawa, pada asasnya mereka telah bertindak membelakangkan jemaah. Pendirian dan pandangan pimpinan dan ahli-ahli PAS tidak dihormati. Mereka akan tercatat dalam sejarah hitam PAS sebagai ADUN PAS pembelot khasnya yang pertama di Selangor. Berani buat berani tanggung. Angkara pilihan sendiri maka pandai-pandailah bawa diri keluar kerana ternyata PAS tidak ada tempat lagi buat mereka.