Sebentar tadi saya sempat menonton dokumentari terbitan BBC
berkenaan kesan seni di Sepanyol.
Ia berkisar berkenaan sejarah warna-warni Sepanyol yang
dijajah beberapa kali seawal zaman keagungan Rom dan terakhir oleh Tentera
Islam Moor dari Afrika Utara dikepalai Panglima Tariq ibnu Ziad sekitar tahun
711.
Pemerintahan Islam berlangsung selama 781 tahun di Sepanyol
yang dikenali sebagai Andalusia di bawah pemerintahan Islam yang berkahir pada
tahun 1492 apabila pemerintah Islam ketika itu Abu Abdallah Muhammad ke XII
menyerah kuasa kepada kebangkitan tentera Kristian pimpinan Isabella dan Ferdinand.
Apa yang menarik menurut BBC adalah kesan seni bina
peninggalan pengaruh Islam yang begitu meluas khasnya di Selatan Sepanyol,
antaranya yang terneal adalah Masjid di Cordoba dan Kota Alhambra di Granada. Begitu
hebat dan teguhnya senibina Islam sehingga kuasa Kristian yang membebaskan
Sepanyol kemudiannya sekadar membina sebuah gereja di dalam perkarangan masjid,
yang sesungguhnya menurut BBC mencacatkan senibina asal yang indah itu.
Apa pun yang lebih menarik bagi saya untuk kita belajar dari
sejarah lama ini adalah bezanya pentadbiran Moor dan Kristian Sepanyol selepas
kejatuhan Islam sebagaimana diulas oleh BBC. Semasa kerajaan Andalusia, rakyat
Sepanyol yang rata-rata bukan Islam, iaitu Kristian dan sebahagiannya Yahudi,
dianggap sebagai zimmi dan diberikan kebebasan mengamal dan menganut agama
mereka. Tiada gereja atau rumah ibadat Yahudi yang dirobohkan. Malah ratusan
tahun pemerintahan Islam telah melihat sebahagian besar rakyat Andalusia yang
bukan Islam memeluk Islam.
Akan tetapi apabila militan Kristian menghalau keluar tentera
Islam, antara kanun yang diperkenalkan adalah memaksa penduduk Andalusia “lama”
memakan khinzir. Orang Islam ditawan dan akhirnya dihalau keluar dari Sepanyol
termasuklah rakyat tempatan yang memeluk Islam. Malah akhirnya rakyat menganut
agama Yahudi juga dihalau keluar. Masjid dirobohkan dan atas robohannya dibina
gereja.
Banyak pengajaran boleh kita pungut dari sejarah ini, yang
pnetingnya mana yang kejam dan tidak berperikemanusiaan jangan kita ulangi.
Mana yang baik kita ikuti, itulah pentingnya sejarah bagi kita.
No comments:
Post a Comment