Friday, January 04, 2013

Orang Melayu di Singapura boleh berjaya (4/1/13)


Saya sentiasa kagum dengan saudara-saudara kita orang Melayu di Singapura. Walaupun mereka bukan majoriti sebagaimana kita di sini, walaupun tiada menerima sebarang kesitimewaan sebagaimana kita di sini, mereka terus bertahan dan mampu mengekalkan jati diri dalam suasana yang sangat berbeza berbanding di sini.
Dalam ketiadaan kesitimewaan mereka bangkit mempertahankan diri, meredah cabaran namun tetap berjaya, walaupun ada juga sebahagian kecil yang tidak sebagaimana di sini juga.

Sebelum ini kita pernah terbaca seorang pemandu teksi berbangsa Melayu mengaku memperolehi pendapatan 7,000 Dolar Singapura sebulan ( iaitu bersamaan RM17, 500) dan masih punya masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Hari ini pula Berita Harian Singapura melaporkan satu-satunya syarikat Melayu yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX) iaitu Second Chance Properties Limited berjaya naik 18 tangga dalam SGX iaitu dari nombor 234 tahun 2011 ke 216 tahun 2012 dari sudut prestasi syarikat. Jumlah syarikat yang tersenarai di SGX adalah sebanyak 700.
Memetik akhbar tersebut:

Berdasarkan perangkaan terbaru, permodalan pasaran SCP melonjak kepada $270.2 juta tahun lalu berbanding $181.8 juta pada 2011, naik 48.6 peratus.
Ini membolehkan SCP meningkatkan lagi kedudukannya di kalangan syarikat tersenarai dalam SGX , daripada tempat ke-298 pada 2010 kepada tempat ke-234 pada 2011 dan seterusnya ke tempat 216 pada tahun lalu.

Berbanding tahun sebelumnya, SCP naik 18 tangga pada 2012 daripada keseluruhan 700 syarikat tersenarai dalam bursa saham berdasarkan saiz permodalan pasaran.
Malah, dengan kedudukan yang lebih kukuh itu, SCP berupaya mengatasi beberapa syarikat terkemuka seperti Hotel Royal, Amara Hotel, BreadTalk, Isetan, Cortina, Challenger, Singapore Shipping, Old Chang Kee, Best World dan Food Junction yang tersenarai dalam SGX.

Semoga kejayaan mereka menjadi iktibar dan pendorong buat kita di sini. Saya yakin jika mereka melangkah masuk ke pasaran Malaysia, pasti mereka akan beroleh kejayaan yang lebih besar.
Saya tidak maksudkan bantuan dan keistimewaan buat Bumiputera disini wajar dihapuskan. Status quo itu perlu dikekalkan. Walaubagaimanapun, sepatutnya dengan kesitimewaan itu lebih ramai lagi boleh berjaya, mengapa tidak?


 

No comments: