Saturday, June 23, 2012

Urusan sekolah jangan diganggu (23/6/12)


Isu pakaian “sopan” sekali lagi menjadi kontroversi di sekolah-sekolah kita. Apabila isu ini mula bangkit saya bimbang ianya sekali lagi menjadi isu pertembungan nilai mungkin antara Pengetua dengan murid yang berbeza budaya atau agama seperti kes-kes yang sebelumnya. Syukur kerana kali ini ia tidak seperti itu. (Bimbang juga nanti dikatakan Pengetua mahu memaksa nilai dan budayanya atas murid yang berbeza nilai dan budaya)
Insiden membabitkan Sekolah Menengah Perempuan Methodist Melaka. Pengetuanya Puan Chong Chew Yoong dan pelajarnya seorang murid tingkatan lima iaitu adik Stephanie Tan. Adik Tan mewakili sekolah beliau ke sebuah majlis resmi amal anjuran sebuah NGO.

Ternyata walaupun majlis ini bukan di perkarangan sekolah tetapi ia membabitkan murid-murid sekolah yang mewakili sekolah masing-masing.
Kata Pengetuanya satu dasar atau etika berpakaian yang jelas menggariskan cara berpakaian bagi semua murid di sekolah berkenaan samada ketika di sekolah mahupun ketika mewakili sekolah ke mana-mana majlis resmi telah pun dikeluarkan. Malah tambah beliau dua orang guru berkaitan telah pun menasihatkan Tan agar mematuhi etika berkenaan dalam majlis itu.

Malangnya beliau hadir ke majlis berkenaan berpakaian “mini skirt” yang jelas tidak sopan dan melanggar peraturan yang telah dikeluarkan pihak sekolah. Akibatnya beliau telah dihukum gantung sekolah selama seminggu.
Isunya adakah pihak sekolah berhak berbuat demikian? Isunya salahkah adik Stephanie berpakaian sedemikian?

Sebelum ini turut dilaporkan pihak PIBG sekolah turut menyokong tindakan pihak sekolah itu.
Bagi saya sekolah adalah sebuah pusat yang membentuk anak-anak kita selain memberikan pendidikan akademik ia turut membentuk akhlak dan sakhsiyah anak-anak kita. Displin diri dibentuk dan dipupuk di sekolah agar anak-anak kita nanti keluar sebagai insan yang baik dan berguna kepada masyarakat.

Dalam hal ini sekolah mengeluarkan peraturan, namun murid melanggarnya. Peraturan dikeluarkan sangat berpatutan, oleh itu tindakan murid melanggarnya sewenang-wenangnya bagi saya wajarlah dihukum.
Berpakaian sopan tujuannya agar murid tadi menghormati majlis dan menjaga nama baik sekolah, dimanakah keterlaluannya.

Saya khuatir jika urusan sekolah mahu membentuk anak-anak kita ini menjadi orang yang baik pun mahu diganggu dan dicampur tangan, apalah nasib anak-anak kita di masa depan kelak?




No comments: