“Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa”, itu
pepatah lama Melayu yang memberi pengajaran agar kita berhati-hati dalam
menyuarakan sesuatu. Fikir dan pastikan ianya benar dan tepat sebelum
dimuntahkan keluar dari mulut, samada dalam bentuk lisan atau tulisan. Malah
kadangkala ia mungkin benar atau tepat tetapi ada pula yang lebih baik
dipendamkan sahaja. Demikianlah adab dan pantang larang kita.
Ia bukan kekangan atau sekatan terhadap hak seseorang tetapi
ia adab, dan adab sebagaimana konvensyen lain, perlu dijaga dan dipelihara
takut nanti kita dikatakan tiada atau kurang adab.
Malah dalam agama sendiri kita sudah sedia maklum akan adab
dan pantang larang ini. Ayat-ayat Allah berkenaan perkara ini bukan bermaksud
menyekat hak dan kebebasan kita bersuara, tetapi memilihara adab dan akhlak
kita agar menjadi Muslim yang baik.
Islam mengajar agar kita jangan sesuka mendengar atau
menerima sesuatu kenyataan tetapi ia perlulah ditapis dan disaring. Allah swt
berfirman yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu
seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang
tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al Hujarat:6)
Malah apabila perkara yang palsu kita terima dan ulangi pula kepada yang lain maka
ia menjadi fitnah dan Allah swt berfirman:
…….dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar
bahayanya daripada pembunuhan……(al Baqarah:191)
Dan dalam hal ini Rasulullah saw mengajar kita dalam
sabdanya:
"Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan
fitnah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Malah al Quran sebagai rujukan dan panduan kita (bagi yang
menjadikannya demikian) menyatakan secara jelas “SOP” (standard operating procedure) seorang Muslim dalam adab
menerima dan menyampaikan maklumat (al Hujarat 11-12):
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari
kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula
sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan
yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan
janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan
gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang
melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada
seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat
(daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah
tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang
tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima
taubat, lagi Maha mengasihani.
Sesunggunya masalahnya adalah pada diri kita sendiri. Ada
dikalangan kita sudah menganggap dirinya (samada disedari atau tidak) sebagai
insan kelas “satu”. Terlalu sempurna dan baik sehingga punya hak untuk menjatuhkan
hukum ke atas orang lain dan dirinya sendiri seolah maksum dan terpelihara dari
sebarang cela dan kelemahan.
Semoga apa yang saya nukilkan ini menjadi iktibar dan
pengajaran paling penting kepada diri saya sendiri dan selebihnya kepada
kawan-kawan yang lain.
Saya terpanggil untuk mengulas hal ini ekoran berita terkini
dalam The Star Online sebentar tadi di bawah tajuk:
"Veteran journalist apologises for defamatory tweets”
Demikianlah mahalnya harga apabila yang terlajak bukannya
perahu tetapi kata, kerana pepatah mengajar “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata
buruk padahnya.”
Dalam salah satu wasiatnya Imam as Syahid Hassan al Banna
ada menyebut:
"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau
melukai mereka dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik.”
Memang sukar direalisasikan kerana yang tak baik itulah
selalu menjadi ikutan dan kemahuan umat manusia. Semoga Allah swt memelihara
kita.
No comments:
Post a Comment