Melihat kepada gambar dan laporan dalam akhbar The Sunday
Star hari ini : “Injured guard gets royal visitor” di:
saya pasti ramai
seperti saya tersentuh perasaan. Lantas mengingatkan saya kepada persetiaan
yang membentuk apa yang ada pada kita hari ini.
Petikan dari Sejarah Melayu:
Maka titah Sri Tri Buana:”Hendaklah pada akhir zaman kelak
anak cucu bapak jangan derhaka pada anak cucu hamba.Jikalau ia zalim dan jahat
pekertinya sekalipun.”Maka sembah Demang Lebar Daun:”Baiklah tuanku.Tetapi
jikalau anak cucu tuanku dahulu mengubahkan dia,(maka) anak cucu patik pun
mengubahkan dia”.Maka titah Seri Tri Buana,”Baiklah,kabullah hamba akan waad
itu.”Maka keduanya pun bersumpah-sumpahlah,barang siapa mengubahkan
perjanjiannya itu di balik Allah subhanahu wataala bumbungan rumahnya
kebawah,kaki tiangnya keatas.Itulah sebabnya maka dianugerahkan Allah subhnahu
wa taala kepada segala raja-raja Melayu,tiada pernah memberi aib pada segala
hamba Melayu;jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya,tiada diikatnya dan
digantungnya dan difadihatkannya dengan kata yang jahat.
Tidak seperti Negara lain dalam dunia, Raja-raja kita
sememangnya mempunyai kedudukan dan tempat yang istimewa dalam Negara dan
kedudukan ini dihormati oleh rakyat lantas memberikan keseimbangan yang positif
dalam hubungan raja dan rakyat bukan hanya sejak Merdeka tetapi sejak
terbentuknya Kesultanan Melayu di tanahair ratusan tahun dahulu.
Sejak Merdeka Raja-raja Melayu menjadi Raja berperlembagaan
di negeri masing-masing dan demikian juga Yang Dipertuan Agong diperingkat
nasional. Kedudukan ini kekal sehingga hari ini kerana masing-masing Raja dan
rakyat menyedari dan menginsafi hakikat betapa masing-masing perlu-memerlu dan
lengkap-melengkap di antara satu sama lain, terganggu atau tergugat sahaja
hubungan ini maka ianya akan merosak dan meruntuhkan kedaulatan Negara dan
keharmonian yang telah dibina dengan darah dan air mata zaman-berzaman.
Sebagai Raja berperlembagaan diperingkat negeri atau
Persekutuan, segala tindak-tanduk dan urusan Tuanku perlulah selari dan selaras
dengan peruntukkan yang telah ditetapkan dan diterima. Atas hakikat itu maka
Tuanku menjadi payung kepada rakyat, negeri dan Negara. Dalam urusan agama
Islam Tuanku menjadi teraju dan demikian juga dalam urusan hal ehwal dan adat
istiadat orang-orang Melayu.
Kerana itu Tuanku tidak seperti orang awam, terlibat dalam
politik atau cenderung kepada mana-mana pihak atau kelompok, Tuanku adalah Raja
kepada semua tanpa mengira fahaman, kepercayaan, anutan mahupun keturunan dan
kaum, selagi sesiapa sahaja rakyat di bawah naunagn payung Tuanku maka selagi
itulah hubungan Raja dan rakyat itu tidak pernah terpisah.
Rakyat menghormati Tuanku atas sifat dan peranan Tuanku itu.
Sebagaimana persetiaan antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun itu, keadilan
Tuanku dalam ruang lingkup peranan Tuanku tadi itulah yang dinanti dan
disanjung rakyat.
Raja-raja Melayu hari ini apabila sahaja menghamburkan
perasaan kasih kepada rakyatnya ketika itulah penghormatan dan taat setia
rakyat semakin menebal. Rakyat bukannya menuntut untuk tinggal di istana atau
menaiki kenderaan di Raja, tetapi yang dituntut adalah kasih sayang dan murah
hati Tuanku.
Dalam sejarah Negara lantaran Raja-raja Melayu terus
berperanan demikianlah maka rakyat terus menerus memberikan taat setia tidak
berbelah bahagi.
Saya pernah menukilkan di blog ini akan beberapa “sentuhan”
Raja-raja Melayu yang mencerminkan betapa besarnya hati Baginda dan betapa
prihatinnya Raja-raja Melayu sesungguhnya terhadap nasib dan masa depan
rakyatnya.
Saya pernah catatkan di blog ini akan seorang Raja Melayu
yang pernah menziarah tahanan ISA semasa zaman British dahulu, juga akan Raja
Melayu yang pernah berkhutbah, menulis kitab, menghadiahkan istana untuk
dijadikan institusi agama dan banyak lagi. Tun Salleh Abbas di dalam bukunya “Mayday
for Justice” ada merakamkan keprihatinan Raja-raja Melayu terhadap pemecatannya
satu ketika dahulu sehingga pernah mengadakan pertemuan tertutup dengan Tun untuk
mencari jalan penyelesaian.
Alhamdulillah sehingga hari ini “sentuhan” ini terus
diwarisi dan ada dikalangan Raja-raja Melayu begitu “sejuk” di hati rakyat
lantaran tidak jemu-jemu mempertingkatkan “sentuhan” nya itu dengan rakyat dari
masa ke semasa.
Rakyat tersentuh perasaan apabila Tuanku turun mencemar duli
mengambil tahu nasib rakyat, terutama ketika mereka dilanda malapetaka atau
derita. Atau juga semasa hari-hari biasa, tambah lagi apabila Tuanku
mengimamkan solat seperti di sebuah negeri hari ini.
Kalau ada Negara di dunia yang bosan dan sudah tidak mahukan
lagi sistem beraja di Negara mereka, tidaklah begitu di sini.
Malah sistem beraja “ala” Malaysia ini insyallah bakal kekal
lama selagi mana persetiaan Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun terus kekal dan
dihormati semua pihak. Sesungguhnya banyak telah kita lalui dan tempuhi
sehingga sampai ke destinasi hari ini, tiada kita hari ini tanpa pengorbanan
dan sumbangan semua pihak terdahulu sehingga membawa kita ke hari ini.
Janganlah ada pihak yang mempertikaikan hakikat ini.
No comments:
Post a Comment