Friday, June 22, 2012

Pendapatan Raja-raja Melayu 1870an (22/6/12)


Menelaah dan mencungkil sejarah Melayu lama khususnya berkaitan kehidupan di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu terus kekal sebagai minat saya sehingga kini. Banyak pengajaran dapat dipunggah dan dimanfaatkan dari sana khasnya apabila kita sedar dan akur akan asal-usul kita.
Di tangan saya kini sebuah buku karangan JM Gullick University of London (1956) bertajuk “ Indigenous political systems of Western Malaya”. Di dalamnya beliau mengisahkan darihal pendapatan pembesar-pembesar Melayu sejurus sebelum British mengambil-alih kutipan cukai apabila berlaku campurtangan mereka bermulatahun 1874.

Menurut beliau Sultan Abdullah dari Perak contohnya mengutip sejumlah $24,000 setahun dari cukai (dari perahu dan tongkang serta kapal kecil yang berdagang) di Kuala Sungai Perak. Namun demikian kerja kutipan itu (lebih kurang tol lebuhraya hari ini) diswastakan (bukan kepada PLUS) kepada suatu pihak yang jumlah kutipan tahunannya adalah $30,000 setahun.
Ini tidak termasuk pendapatan sekitar $25,000 ke $100,000 setahun merupakan kutipan dari cukai bijih timah dari daerah-daerah yang mengeluarkannya.

Sultan Pahang ketika itu pula memungut sekitar $50,000 setahun cukai dari Kuala Sungai Pahang.
Walaubagaimanapun menurut penulis, Sultan dan Raja-raja Melayu punya tanggungan yang besar. Beliau menulis:

“The people look to their chiefs and especially the Sultans for assistance whenever they are in difficulty and they expect to receive it”
“Rakyat dalam kesusahan akan mengharapkan bantuan dari pembesar-pembesar negeri terutama dari Sultan.”

Adalah dianggarkan ketika itu Sultan Pahang sahaja memerlukan sekitar $2,000 sebulan untuk menyara tanggungan-tanggungan termasuklah membantu rakyat yang susah seperti di atas. Dan Sultan Perak pula memerlukan $4,000 sebulan kerana Baginda mempunyai sekitar 60-100 orang rakyat untuk ditanggung ketika itu.
Demikianlah keadaannya ketika itu disebahagian negeri-negeri Melayu sehinggalah British campurtangan dan menguruskan kutipan cukai serta membayar elaun kepada Raja-raja dan pembesar-pembesar negeri. Liciknya Biritsh selain menguruskan perkara ini dalam masa yang sama memunggah kekayaan negeri untuk di bawa balik ke Negara mereka termasuk memberi makan dan pakai Raja dan pembesar mereka.

No comments: