Monday, March 05, 2012

Jangan amalkan hasad dengki (5/3/12)

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah swt telah selesailah tugas yang dimanahkan kepada saya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya MPSJ iaitu dalam tiga penggal selama 3 tahun 8 bulan. Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor kerana memberi saya peluang memikul amanah ini dan lebih penting lagi saya mengharapkan agar segala yang telah saya curahkan sepanjang tempoh berkenaan berguna buat kerajaan negeri dan pihak majlis.

Saya ditanya mengapa tidak disambung tempoh perkhidmatan saya, saya menjawab suka tak suka ini satu proses biasa dalam parti politik, yang kalah beri laluan pada yang menang yang lebih layak biarlah menganti yang layak. Saya sedikit pun tidak berkecil hati kepada parti dan pimpinan yang tidak mengesyorkan agar tempoh saya dilanjutkan malah bersyukur ke hadrat Allah swt bahawa amanah yang berat ini telah ditarik dari atas bahu saya dan diberikan kepada orang lain. Semoga yang lain itu dapat lebih cemerlang dan baik.

Yang penting saya yakin saya telah memberikan yang terbaik buat kerajaan negeri dan parti yang saya wakili. Soal diberi penghargaan, diiktiraf atau tidak saya serah kepada Allah swt sebab sebagaimana kata Saidina Khalid al Walid Panglima besar Islam apabila dilucutkan jawatannya oleh Khalifah Omar al Khatab dan digantikan dengan Abu Ubaidah al Jarrah,: “Aku berjuang kerana Allah bukan kerana Omar.....”

(Khalid tidak sabotaj Omar. Khalid akur dan patuh, tiada dendam tiada usaha mahu memburuk-burukkan Omar, tidak mengidam mahu merebut jawatan Omar...........alangkah indahnya akhlak yang dibentuk Rasulullah saw itu)

Yang penting juga kita perlu akur dan taat pada adab dan disiplin berjemaah (bagi mereka yang masih demikian), akhlak dan keperibadian Islam perlu dijelmakan dalam tindak tanduk kita jika tidak tak ada beza kita dengan yang lain. Saya akui saya lemah dalam hal ini oleh itu biarlah yang kuat-kuat ke hadapan untuk dipertanggungjawabkan oleh Allah swt.

Biar Islam menjelma dalam wajah kita. Kita pemimpin Islam, biarlah menjunjung dan memartabatkan Islam dan tidak sebaliknya.

Rasulullah saw bersabda: Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasad terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Dari Ibrahim bin Aliyah dari Abbad bin Ishaq dari Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad s.a.w.: "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorangpun iaitu: buruk sangka, hasad dengki dan takut sial kerana sesuatu.

Oleh kerana saya tiada lagi tugas dan jawatan dalam parti selain ahli biasa maka saya bercadang untuk menulis menyuarakan hati dan perasaan secara bebas di sini. Insyallah blog ini tidak akan diperalatkan untuk menjatuhkan sesiapa (memang itu pun kandungannya sejak dihidupkan lebih 8 tahun lalu) apa lagi memaki hamun dan mengaibkan sesiapa (sebagaimana yang lain), sebaliknya digunakan untuk kebaikan ummah insyallah.

2 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah. Ribuan terima kasih atas perkhidmatan yg telah diberikan. Juga semoga tuan semakin berazam dan berusaha utk memajukan parti aslam di selangor khususnya..

abu amir said...

Sunnah perjuangan....akan sentiasa diuji dlm pelbagai ujian keperitan...