Dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat naik tanpa bayang mahu turun-turun sudah pastilah pengumuman penyelarasan gaji baru kakitangan awam berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) oleh pihak kerajaan sangat dialu-alukan. Turut berada dalam pakej berkenaan adalah kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50.00 bagi kawasan B dan C.
Sedikit sebanyak sudah pastilah kenaikan ini akan membantu sekitar 1.3 juta warga kakitangan awam diberbagai peringkat dalam mengharungi hidup diri dan keluarga masing-masing.
Cuma saya perhatikan dalam ruangan SMS dari pembaca dalam akhbar The Star hari ini pengumuman kerajaan ini sekali lagi dilihat tidak mengambil kira warga pesara kerajaan yang tidak kurang besar juga bilangannya dalam Negara.
Why are pensioners not given COLA even though cost of living is affecting them more?
Benarlah bagi warga yang bekerja, mereka masih muda dan masih boleh ikhtiar mendapat belanja tambahan dengan berbagai cara dan usaha, tetapi apakah sama dengan warga pesara yang telah lewat usianya?
Kita akui kos hidup sebagai menekan dan membebankan, itu bagi kita yang sihat tulang empat kerat, bagaimana dengan yang tua khasnya pesara? Kalau mereka punya anak-anak yang boleh diharapkan, anak-anak yang pendapatan mereka juga selesa, tak mengapa. Tetapi jika anak-anak pun sempit kehidupannya apalagi anak-anak yang tak memperdulikan kebajikan orang tuanya, bagaimana?
Kita mengharapkan agar pihak kerajaan turut prihatin dan mendengar rintihan warga emas ini. Dan semoga isu ini diangkat dan di bawa kehadapan oleh wakil-wakil rakyat kita apabila Parlimen mula bersidang esok. Jangan hanya sibuk ber”politik” tetapi warga emas kita susah dan merempat di bumi sendiri.
No comments:
Post a Comment