Monday, October 05, 2015

Wira-wira negara yang terabai



Baru-baru ini bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Tan Sri Yuen Yuet Leng telah meninggal dunia pada usia 88 tahun. Beliau merupakan salah seorang wira negara kerana terlibat dalam pelbagai operasi menentang pengganas kominis dan turut terlibat dalam membawa mereka kemudiannya ke meja perundingan sehingga termetrainya Perjanjian Damai Hatyai 1989.

Jika mendiang berusia 88 tahun bermakna beliau telah bersara sekitar awal tahun 1980an.
Saya membawa perkara ini kerana teringat baru-baru ini bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Khoo Ah See yang juga pernah terlibat dalam operasi bersama Pasukan Polis Hutan (PPH) menentang pengganas kominis sekitar tahun 60an sehingga 80an, ada menulis di ruangan surat pembaca dalam akhbar The Star.

Datuk Khoo dalam suratnya merayu bagi pihak bekas anggotanya dalam pasukan polis khasnya PPH yang pernah banyak berjasa kepada negara dalam tempoh 60-80an apabila menghadapi keganasan pihak PKM. Beliau memohon agar kerajaan memberi perhatian pada kebajikan mereka ini.

Kata Datuk Khoo dengan kegawatan ekonomi hari ini dan kos sara hidup yang meningkat, beliau tidak dapat membayangkan bagaimanakah agaknya keadaan hidup mereka. Kiranya mereka iaitu anggota polis pangkat rendah, bersara sekitar 10 ke 15 tahun dahulu, iaitu tahun  2000-2005, dan pencen mereka adalah 50% gaji pokok terakhir sudah pastilah ianya terlalu kecil untuk hidup hari ini.

Bagaimana pula mereka yang bersara sekitar tahun 1980an sebagaimana mendiang Tan Sri Yuen?

Kata Datuk Khoo yang beliau tahu seorang sub inspektor menerima pencen sekitar RM1400. Cukupkah jumlah itu bagi menampng zaman tua mereka dan isteri pada hari ini? Bagaimana dengan konstabel yang pencen yang sudah tentu lebih rendah lagi jumlah pencennya.

Tambah Datuk Khoo lagi semasa beliau bersama anggotanya dalam PPH menghadapi pengganas kominis dulu, berbagai cabaran telah mereka hadapi di hutan. Ini termasuklah terpaksa menghadapi keadaan pakaian dan kasut yang lembap dan basah semasa di hutan berhari-hari. Kadangkala mereka terpaksa bermalam dalam keadaan demikian apabila situasi memaksa. Keadaan sedemikian dimasa muda sudah pasti menganggu kesihatan mereka di usia yang lanjut kini.

Mereka telah berkorban untuk negara. Tanpa mereka barangkali para pengganas kominis berkemungkinan masih menjadi anacaman buat negara.

Menurut Datuk Khoo beliau pernah berjumpa dengan seorang bekas Sarjan yang berkhidmat dalam unit komando Polis yang sekarang berusia sekitar 70an tahun. Demi mendapatkan rezeki yang lebih sarjan tadi terpaksa berkeja sebagai pemotong rumput ditepi jalan di Ipoh. Adilkah seorang wira terpaksa melakukan demikian di usia 70an tahun?
Wajar sangatlah pihak kerajaan memandang serius nasib wira-wira kita ini khasnya yang telah menggadai dan mengorbankan nyawa demi keselamatan dan kedaulatan negara. Bilangan mereka pun sudah tidak ramai dikalangan kita.

Dalam surat beliau Datuk Khoo mencadangkan agar pencen mereka yang terlibat ini dinaikkan 50%. Apalah sangat kenaikkan kecil ini dibandingkan dengan jasa mereka yang terlalu besar itu.

Mudah-mudahan dalam sidang belanjawan nanti jika perkara ini tidak diberi perhatian, mohon ahli-ahli parlimen kita menyuarakannya. Belalah nasib mereka yang selama ini terabai.

Pelihara maruah umat Islam hormati bukan Muslim

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2085 Edisi Isnin muka F15


Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa kesemua pembesar suara yang ditempatkan di bahagian luar masjid dan surau di seluruh negeri tersebut hanya boleh digunakan untuk laungan azan dan iqamat sahaja.

Satu surat pekeliling difahamkan telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAINPP) bertarikh 1 September bagi menguatkuasakan keputusan berkenaan.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira aduan yang diterima termasuk dari masyarakat Islam sendiri yang terganggu dengan pembesar suara masjid dan surau yang dipasang untuk ibadat dan acara lain selain azan dan iqamat.

Menurut Mufti berkenaan juga persekitaran hidup umat Islam hari ini sudah berubah dengan ramai yang tinggal di kawasan perumahan yang jaraknya sangat hampir dengan masjid. Tambah beliau acara ibadat umat Islam sepatutnya tidak menganggu orang lain.

Dari tinjauan yang dibuat rata-rata pengguna laman sosial khasnya tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan mendakwa ianya dibuat kerana desakkan politik. Begitu juga pandangan masyarakat Islam yang lain.

Walaubagaimanapun keputusan tersebut sesungguhnya tidak mengharamkan laungan azan dan iqamat melalui corong-corong pembesar suara di masjid dan surau, akan tetapi ianya melibatkan ibadat dan acara yang lain dari pada laungan azan dan iqamat termasuklah bacaan al Quran sebelum solat dan khutbah Jumaat.

Pihak yang marah dan kecewa dengan keputusan ini berhak berbuat demikian sebagaiamana mereka yang barangkali  bersetuju dan berpuas hati dengannya.

Saya tidak bermaksud mahu menghasut mana-mana pihak. Dan kita menghormati institusi Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Jabatan Mufti. Walaubagaimanapun tidakkah lebih molek jika perbincangan dan pandangan pihak-pihak yang terlibat diambil kira terlebih dahulu khasnya para Nazir dan jawatankuasa masjid dan surau selain pimpinan masyarakat kita sebelum sesuatu keputusan sebesar ini dibuat.

Saya kira buat permulaan sepatutunya jawatankuasa berkenaan terbit dengan arahan agar “volume” atau pun had bunyi alat-alat pembesar suara ini dihadkan pada tahap-tahap tertentu apabila tidak melaungkan azan atau iqamat. Satu tahap yang toleran patut dikaji dan dilaksanakan terlebih dahulu dari mengambil tindakan drastik menghentikanyan sama-sekali.

Apabila tindakan drastik diambil khasnya dalam situasi Pulau Pinang, lantaran itulah pelbagai spekulasi timbul dan ianya menyemarakkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat Islam bukan hanya dalam negeri itu malah yang di luar walaupun mungkin ianya tidak ada kena mengena atau dipengaruhi oleh tekanan dan desakkan politik.

Apa pun dengan keputusan ini sekali lagi umat Islam di Malaysia terbit sebagai umat yang sangat toleran dan bertolak-ansur walaupun dalam perkara yang melibatkan haknya beragama.

Demi menghormati masyarakat berbilang kaum dan agama banyak perkara-perkara baru sebenarnya telah dan mungkin terpaksa diperkenalkan oleh pihak-pihak berkuasa agama Islam. Dan kadangkala keputusan-keputusan itu dilihat sebagai lebih merugikan umat Islam dan merendahkan maruahnya sedangkan sebelum ini tidak pernah perkara-perkara seumpama ini berbangkit.

Untuk berlaku adil sepatutnya jangan hanya kita dilihat memelihara hati dan perasaan serta ketenteraman satu pihak sahaja, sedangkan perkara yang sama yang melibatkan kita tidak pula terpelihara atas nama toleransi dan tolak ansur.

Banyak apa yang didakwa ketidakselesaan dan gangguan terhadap masyarakat bukan Islam yang berpunca dari amalan masyarakat Islam sesungguhnya kalau mahu dibandingkan turut dirasai oleh orang-orang Islam apabila ianya melibatkan amalan dan kepercayaan bukan Islam pula. Tetapi atas sifat toleransi dan tolak ansur ianya diterima atau didiamkan sahaja tanpa mahu memanjang-manjangkannya.

Saya pernah menjadi ahli majlis disatu pihak berkuasa tempatan di Selangor. Ketika itu bulan Ramadhan dan ianya bertembung dengan perayaan “Hungry Ghost Festival” atau “Phor Thor” . “Phor Thor” ini biasanya melibatkan majlis memuja mereka yang telah meninggal dunia. Ianya melibatkan himpunan selama beberapa hari disatu-satu tapak dan diadakan upacara memuja roh, membakar colok dan hantaran buat simati dan kadangkala diserikan dengan majlis hiburan.

Kebetulan tapak “Phor Thor” yang mahu diadakan itu kira-kira beberapa ratus meter dari surau yang akan sibuk dengan ibadah bulan Ramadhan khasnya majlis berbuka dan solat tarawih. Setelah berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat kelulusan diberikan untuk majlis “Phor Thor” itu.

Kelulusan diberikan kerana sebagaimana masyarakat Islam di kawasan-kawasan lain di Malaysia, amalan toleransi dan tolak ansur ini sudah menjadi darah daging dan budaya masyarakat kita sejak berpuluh-puluh tahun lagi.

Begitulah juga kita apabila berhadapan dengan majlis budaya dan kegamaan rakyat Malaysia yang lain, contohnya Thaipusam, pembakaran mercun dan tarian singa sepanjang musim Tahun Baru Cina,  perarakan memperingati rahib dan wali-wali Kristian. Selain itu umat Islam contohnya tidak protes apabila terpaksa lalu dan menghidu bau khinzir bakar dan daging salai yang dijual di restoran dan kedai-kedai kopi Cina di kawasan-kawasan bandar selain bau-bau colok yang dibakar di depan-depan rumah dan tepi-tepi jalan kerana perayaan tertentu.

Semangat toleransi dan tolak ansur yang menjadi budaya masyarakat kita yang dilahirkan oleh nenek moyang kita orang-orang Melayu, Cina dan India zaman berzaman diakui semakin luntur dan perlu diperbaiki dan dihidupkan semula.

Jika perkara ini tidak diberi perhatian lama-kelamaan masyarakat akan mengasingkan diri dan terjadilah pengasingan komuniti menurut kaum dan agama semata-mata kerana tidak ada lagi toleransi dan budaya tolak-ansur.

Berbalik kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang itu, sewajarnya satu semakkan semula dilakukan. Semoga satu keputusan yang lebih praktikal dan boleh diterima oleh semua pihak dapat diambil yang mengambil kira budaya tolak-ansur dan toleransi tadi.

Biarlah dalam mengambil satu-satu keputusan itu maruah umat Islam terpelihara dan dalam waktu yang sama kepentingan dan keharmonian semua kaum dapat dipertahankan. roslansms@gmail.com

Friday, October 02, 2015

Demi al Aqsa jumpa anda di Masjid Jamek hari ini

Acapkali bila terpapar gambar penindasan ke atas penduduk Islam Palestin oleh regim haram zionis Israel kita di rumah menggeleng kepala dan mengurut dada.

Saudara-saudara kita disepak, diterajang, dipukul, ditahan, dipenjarakan dan ada yang syahid, tua mahupun muda angkara keganasan menggila regim yang dilaknat Allah swt itu. Kita tontoton dengan hiba dalam keselesaan rumah masing-masing.

Bukan kita tidak prihatin. Kita sedar bumi Palestin khasnya Masjid al Aqsa di Baitul Maqdis adalah merupakan tempat suci ketiga umat Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, hari ini dijajah Israel. Bumi Palestin, bumi para anbiya menjadi bumi yang diperkosa sesuka nafsu bangsa pembunuh para nabi ini iaitu Zionis Israel.

Apa yang boleh kita lakukan di sini?

Berdoa dan hulurkanlah sumbangan kewangan dan material.

Sementara itu hari ini, ayuh kita turun beramai-ramai bersama PAS dan NGO-NGO Islam yang lain. Solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Lumpur di Jalan Tun Perak dan kemudiannya berhimpun menyatakan solidariti kita bersama saudara-saudara Islam kita di sana.

Kita ikuti dan dengar pesanan pimpinan gerakan Islam kita.

Anda di KL, jangan sekadar selesa menggeleng kepala dan mengurut dada, ketepikan perbezaan politik dan fahaman kita, demi Palestin demi Al Aqsa ayuh kita turun beramai-ramai.

Jumpa anda di sana!!!



Thursday, October 01, 2015

Bagaimana pakatan pembangkang PRU 14 ini

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2084 Edisi Jumaat muka F8



Bagaimanakah bentuk pakatan pembangkang yang bakal menghadapi Barisan Nasional dalam PRU ke 14 nanti belum dapat dipastikan. Yang pastinya BN berada pada tahap yang sangat kritikal kebelakangan ini. Kegagalan menyusun dan mengatur strategi yang ampuh bagi menghadapi “gergasi yang sedang nazak” ini boleh mengakibatkan ia kembali pulih dan terus berkuasa buat dekad-dekad seterusnya.

 
Baru-baru ini atas inisiatif Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, satu pakatan pembangkang yang baru yang diberi nama Pakatan Harapan telah ditubuhkan menggantikan Pakatan Rakyat yang kononnya telah mati apabila DAP mengisytiharkannya demikian baru-baru ini.

Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan tiga parti pembangkang terbesar dalam negara iaitu PAS, PKR dan Dap telah ditubuhkan selepas PRU 2008 lalu apabila ketiga-tiga parti ini berjaya menguasai kerajaan negeri-negeri Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang selain mempertahankan Kelantan.

PR inilah yang telah digunakan dalam menghadapi BN pada PRU 2013 baru-baru ini, namun belum cukup berkesan apabila masih ada kelompok pengundi-pengundi Melayu umpamanya yang masih enggan berubah dan sebaliknya memberi pula nyawa dan keyakinan kepada BN melalui Umno.

Kini mengikut DAP Pakatan Rakyat telah “mati” dan berkubur. Namun keperluan pada satu pakatan pembangkang yang baru bagi menghadapi BN masih diperakui. 

Telah Menyedari realiti sedemikian DAP yang secara terbuka berkonfrantasi dengan PAS atas isu prinsip, berjaya melahirkan satu parti alternatif bagi menggantikan PAS dan parti inilah yang telah DAP yakinkan pada PKR agar dijadikan komponan baru dalam pakatan baru pembangkang dengan mengenepikan PAS sama-sekali.

Bagi DAP Islam yang dibawa PAS tidak bersesuaian dengan perjuangannya. DAP perlukan satu parti yang boleh memudahkan Islam yang PAS bawa demi kejayaan perjuangannya.
Lalu parti baru Amanah yang dianggotai oleh kalangan besar para pengkhianat PAS melangkah ke hadapan dengan sokongan dan dokongan DAP dan kini dengan sokongan mereka jugalah tertubuh pakatan baru iaitu Pakatan Harapan.

Walaupun peranan PAS mahu dihapuskan sama-sekali oleh DAP namun dalam sidang meja bulat yang melahirkan PH itu terdapat suara-suara yang mempertikaikan mengapa PAS tidak dilibatkan sekali. Menurut laporan terdapat wakil NGO yang membangkitkan isu ini dan kemudiannya bertindak meninggalkan majlis.

Majlis rundingan meja bulat yang melahirkan PH itu dikatakan mendapat sokongan beberapa NGO besar dan parti-parti politik lain. Rupa-rupnya dengan melangkah keluarnya Datuk Ambeega Sreneevasan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia dan Maria Chin penganjur BERSIH 4.0, sidang akhbar dipenghujung majlis yang menyaksikan pengisytiharan penubuhan PH, cuma dihadiri pimpinan kanan PKR, DAP dan Amanah sahaja, tidak sebagaimana dirancang.

Parti-parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak selain PSM juga tidak dilibatkan dan ini mencerminkan betapa PH itu sebenarnya tidak mewakili suara ramai kecuali segelintir yang tergesa-gesa bersungguh mahu menghidup dan memberi pengiktirafan pada Amanah semata-mata. Bolehkah tumbang Putrajaya tanpa penglibatan semua pihak begini?

PAS sejak awal-awal telah menyatakan bahawa ia tidak akan hadir memandangkan majlis meja bulat itu melibatkan DAP, yang telah memutuskan hubungan dengannya selain Amanah yang dianggotai oleh mereka yang telah mengkhianati PAS.

Bagaimana PAS mahu berkerjasama dengan dua parti ini, satu yang memutuskan hubungan dengannya  atas dasar prinsip manakala yang satu lagi yang telah mengkhianati perjuangannya.

Namun demikian PAS bersedia meneruskan kerjasama dan hubungan politiknya dengan PKR dan terbuka dalam hubungan dengan parti-parti serta NGO lain yang boleh menerimanya. Penganjuran Kongres Rakyat baru-baru ini adalah bukti komitmen dan keterbukaan PAS yang telah menjalin kerjasama dengan hampir 200 NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

Dalam pada itu Wan Azizah mengakui bahawa perbezaan antara PAS dan DAP bukanlah satu perkara yang baru dan malah telah demikian sejak sebelum penubuhan Pakatan Rakyat lagi. PKR menurut beliau bersedia menjadi jambatan menghubungkan PAS dan DAP. Bagaimana perkara itu mahu dilakukan terpulanglah pada kebijaksanaan beliau.

PAS dalam pada itu terus mengatur persiapan dan melaksanakan gerak-kerja bagi memperkasakan kedudukannya, khasnya dikalangan ahli-ahlinya. PAS yang kukuh dan perkasa diyakini dapat menambat dan menguasai sokongan dan simpati masyarakat ramai khasnya orang-orang Melayu selain masyarakat bukan Melayu.

PAS akui suasana semasa paling kondusif untuk ia merihatkan Umno sama-sekali dari tampuk kuasa. Justeru semua pihak yang boleh membantu sangatlah dialu-alukan olehnya. 

Lantaran itu kerjasama dengan PKR dan NGO lain amat dihargai dan PAS bersedia bertanding disemua kerusi yang ditandinginya dalam PRU lalu selain mengintai-intai peluang di kawasan-kawasan lain yang tidak melibatkan kawan-kawannya termasuklah yang sesuai ditandingi calon-calonnya dari DHPP.

Realiti politik di Malaysia meletakkan pertarungan utama dalam mana-mana pilihanraya umum adalah diantara PAS dan Umno. PAS yang telah berada di persada politik tanahair lebih 60 tahun memiliki pengalaman, keupayaan dan jentera berhadapan dengan Umno dan ini diakui semua pihak. Adapaun kerusi-kerusi yang tidak ditandinginya diserahkan kepada rakannya PKR atau mana-mana pihak yang bersekutu dengannya.

Dengan yang demikian mana-mana pakatan pembangkang yang mahu berhadapan dengan BN mustahil boleh berjaya tanpa PAS.

Hakikatnya mana-mana parti yang cuba menggantikan PAS, seawal Berjasa, Hamim, AKIM, atau kelompok Islah semuanya telah terbukti gagal dan ditolak oleh rakyat Malaysia khasnya pengundi Melayu yang hanya mengenali dua pilihan iaitu Pas atau Umno sepanjang usia politik Malaysia. Malah sebenarnya begitulah juga nasib mana-mana pihak yang mahu menggantikan Umno, termasuklah Parti Negara, IMP, Semangat 46, semuanya kecundang dalam lipatan sejarah.

Adalah diyakini semua pihak yang menghargai peranan PAS meletakkan harapan tinggi pada PKR khasnya dengan bimbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat melahirkan satu angkatan pakatan pembangkang yang benar-benar tersusun dan bersedia menggegarkan BN.

Pembangkang yang bepecah dan bermusuhan sudah semestinya merugikan perjuangan dan mencerahkan harapan BN.

PAS telah menyatakan pendiriannya, dan kiranya PKR bijak mengatur langkah, PAS dan PKR berserta mana-mana sahaja pihak yang menghormati perjuangan PAS dan mahu berkerjasama dengannya akan bersama menghadapi BN dalam PRU akan datang dan mencorkakkan Malaysia yang baru dan bermakna buat semua.  roslansms@gmail.com