Bersama pertahankan Selangor dari kembali ke tangan BNMuka 6 akhbar NST hari ini membawa tajuk: “Muhyiddin – We can win back Selangor”
Dimana Timbalan Presiden Umno yang juga TPM dalam satu majlis bersama pimpinan BN Selangor telah menyatakan walaupun sukar namun tidak mustahil BN dapat menawan kembali Selangor. Syaratnya kata beliau BN mesti memberi khidmat baik kepada rakyat dan mencapai mereka.
Ternyata setelah 2 tahun 8 bulan kehilangan negeri Selangor yang bertuah ini, Umno dan BN tidak berterusan kempunan dan tidur tak lena. Sesungguhnya Selangor ini dahulunya sememang merupakan kubu kuat BN. Adapun hamper kecundang dalam Pilihanraya 1969 tetapi sebelum dan selepas itu Umno mencengkam kuat negeri ini.
Kuatnya mereka bertapak dahulu sehinggakan ada pimpinan yang berani mengeluarkan kenyataan di Selangor ini kalau kita letak calon hatta tunggul kayu sekali pun ia tetap menang dan diteima rakyat.
Tetapi itu dahulu.
Dari tahun ke tahun ketidakpuasan hati rakyat membara. Pada awalnya ia sekadar bara yang kecil, tidak banyak mendatangkan kesan.
Pimpinan negeri mengambil kesempatan sepenuhnya atas sokongan dan dokongan rakyat. Korapsi bermaharajalela, penyelewengan, kepincangan, salah guna kuasa timpa menimpa dari tahun ke tahun. Walaupun pimpinan bertukar ganti namun penyakit dan kemelut ketempangan ini terus membusung dan berleluasa.
Tanah-tanah, hutan dan hasil mahsul negeri dikikis tanpa memperdulikan nasib dan masadepan rakyat dan negeri tercinta ini. Pernah Almarhum Tuanku Sultan sehingga mengeluh di TV: Habis tanah di Selangor Beta nak tinggal kat mana? Kat Pulau Ketam?!
Satu demi satu bukit diserahklan kepada pemaju tanpa banyak usul bicara. Digondol dan ditarah untuk meraih kekayaan yang dibahagi-bahagi hasilnya termasuk kepada orang politik. Hutan diperkosa, lombong dan sungai pun begitu.
Rakyat di bawah yang mahukan bantuan, diperalatkan dan dipergunakan untuk kepentingan politik. Subsidi dan bantuan diagihkan cuma pada kroni. Yang susah terus susah manakala kroni senang-lenang.
Wakil rakyat bukan berkhidmat untuk rakyat tetapi untuk diri dan kepentingan kroni. Begitu juga EXCO dan MB.
Demikianlah Selangor dahulu.
Bara kebencian rakyat akhirnya bangkit menyala dan menyambar hangus kedurjanaan mereka itu. Mac 2008 Selangor dibersihkan dari pimpinan yang tempang. Selangor diserahkan kepada saf kepimpinan baru, yang lebih bertenaga, ikhlas dan bersungguh mahu membela dan memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat.
Walaupun mereka baru dan belum diuji namun hakikatnya mereka bersih dan memberi pengharapan yang baru buat rakyat di negeri yang makmur dan kaya ini.
Rakyat tidak mahu kembali mengundang ketempanagan yang lampau. Baru beberapa hari lalu mereka melihat bekas pimpinan negeri diseret ke mahkamah angkara rasuah. Cukuplah mimpi ngeri yang lalu sebagai pengajaran buat semua.
Muhyuddin mungkin mahu BN “win back Selangor” . Tetapi ia bukan keputusan Muhyuddin, ia keputusan rakyat. Realitinya rakyat Selangor yang bijak dan berilmu tidak sekali-kali akan terjun kembali ke lubuk puaka setelah mereka berjaya menongkah keluar darinya.
Bersama kita mempertahankan Selangor dari kembali ke tangan BN!