Monday, December 18, 2017

Perhimpunan Umno dan isyarat PRU

Indikator terbaik tarikh PRU ke 14 sudah pastilah sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2017. Kerana parti tertua dalam negara itu menghimpunkan hampir separuh anggota kabinet Malaysia termasuklah Perdana Menteri.

Dan ternyata perhimpunan di PWTC itu yang baru sahaja berakhir telah memberi isyarat melalui pidato Presiden dan pimpinannya bahawa PRU ke 14 akan diadakan sebaik selesai proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya yang sedang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia SPR. Bermakna paling awal ianya akan diadakan sekitar Mac setelah proses berkenaan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dengan majoriti mudah.

Apa pun ternyata semua parti dalam negara tatkala ini sedang sibuk membega dan menyempurnakan jentera pilihanraya masing-masing bagi memastikan jentera mereka itu dalam keadaan baik dan mampu beroperasi sepenuhnya sewaktu pilihanraya nanti.

Bagi PAS, pilihanraya ini nanti akan menjadi suatu cabaran yang baru buat ia kerana setelah terputus dan memutuskan hubungan politik atau tahaluf siyasi bersama dua rakan politiknya sebelum ini iaitu DAP dan PKR, PAS akan berhadapan BN dan parti-parti ini dalam apa yang dijangkakan pertandingan pelbagai penjuru di seluruh negara.

BN sebagai musuh politik tradisi sudah pastilah akan PAS hadapi seperti biasa dan selain itu bekas rakan-rakannya iaitu DAP dan PKR yang kini telah membentuk gabungan politik baru yang dikenali Pakatan Harapan atau PH akan turut juga PAS hadapi di kerusi-kerusi yang sama. PH turut menggabungkan dua parti baru iaitu Pan dan Bersatu.

Setelah selesa dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dalam PRU ke 12 dan 13 lalu, kini cabaran getir buat PAS adalah menghadapi serentak musuh tradisinya BN selain bekas kawan-kawannya yang kini menganggotai PH.

Bagi menghadapi cabaran baru ini PAS juga telah mengambil inisiatif membentuk gabungan politik baru yang dikenali Gagasan Sejahtera yang menggabungkan beberapa parti politik, NGO dan individu serta tokoh masyarakat tertentu untuk berhadapan BN dan PH.

PAS tidak pernah berhajat mahu mencetuskan pertandingan pelbagai penjuru seperti yang dijangka pada PRU ke 14 ini, akan tetapi perpecahan dan perpisahan ini adalah atas kehendak dan pilihan DAP dan PKR sendiri yang mula merasakan peranan PAS sudah tidak “significant” buat mereka sedangkan sebelum ini jentera PAS lah yang banyak menghidupkan dan membuka peluang buat calon-calon mereka memenangi di beberapa kerusi khasnya di kawasan campuran dan majoriti Melayu.

Islam yang merupakan dasar dan prinsip perjuangan PAS dilihat sebagai batu penghalang ke atas mencapai cita-cita rakus mereka untuk menawan Putrajaya. Atas itu tercetuslah perpisahan ini yang memaksa PAS untuk segera mengambil posisi baru bagi meneruskan cita-cita perjuangan mereka.

Setelah tiada lagi hubungan atau ikatan politik dengan DAP dan PKR, PAS sudah pasti terpanggil untuk bertanding lebih bilangan kerusi DUN dan Parlimen. Umpamanya di Selangor sekiranya sebelum ini lantaran kerjasama PAS sekadar bertanding di 20 daripada 56 kerusi DUN. Sudah pastilah kini PAS bebas bertanding lebih dari jumlah 20 berkenaan termasuklah di kerusi-kerusi yang kini diwakili DAP dan PKR.

Agak nampak janggal di Selangor apabila PAS menyediakan pasarana untuk bertanding di kerusi-kerusi yang kini diwakili bekas rakan-rakannya itu, tetapi itulah realiti politik. Dasar dan prinsip perjuangan bagi PAS terlalu mahal dan penting mengatasi ikatan persahabatan., inilah yang membezakan PAS dengan parti-parti lain yang mendakap doktrin matlamat menghalalkan cara.

PAS istiqamah mempertahankan Islam dan meletakannya di hadapan sejak mula ia ditubuhkan dan konsisten begitu sehinggalah ke hari ini, atas itu rakyat meletakkan penghormatan yang tinggi pada PAS, satu-satunya parti yang punya prinsip dan tidak mudah goyang atau ditundukkan.

Lantaran itu jentera pilihanraya PAS di seluruh negara termasuklah di negeri-negeri yang PAS memerintah umpama Kelantan dan Selangor yang PAS perintah bersama dalam kerajaan campuran telah digembeling dan diarahkan untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.

Ada yang punya pandangan bahawa PAS bakal mencatatkan kekalahan terbesarnya kerana menggadaikan peluang apabila enggan duduk berkerjasama dengan DAP dan PKR. Tetapi sebagaimana ditegaskan oleh Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam satu pidatonya di Kajang, Selangor baru-baru ini, apa juga bentuk kerjasama mestilah dalam situasi mendaulatkan Islam.

Bagi PAS kata Tuan Guru tidak ada tawar-menawar dalam bab berkenaan Islam, kerana ketegasan sikap itulah maka PAS terlalu yakin dan mengharap pertolongan Allah swt. Kekuatan mana-mana parti lain bukanlah penentu kemenangan jika kita membelakangkan Islam. PAS tidak akan menoleh ke belakang lagi setelah segala pintu perundingan ditutup rapat. Pintu itu telah dipeteri dan dimatikan kuncinya kerana Islam tidak sanggup PAS korbankan.

Jentera PAS akan bergerak ke hadapan dengan penuh komintmen dan keyakinan di bawah teraju Presiden dan kepimpinan parti, membawa rekod kepimpinan yang bersih, telus dan berkualiti untuk dikemukakan kepada rakyat sebagai alternatif dan pilihan terbaik.

Terbukti wakil-wakil rakyat Parlimen dan DUN PAS dari negeri-negeri yang ia kuasai umpama Kelantan dan Selangor serta di negeri-negeri lain yang belum ia kuasai masing-masing punya rekod perkhidmatan yang cemerlang dan terpuji juga lantara Islam yang menjadi asas pegangangan dan panduan masing-masing.

Dengan Islam insyallah rakyat dan negara selamat. PAS teraju kesejahteraan Malaysia. roslansms@gmail.com



ROSLAN SHAHIR BIN MOHD SHAHIR

No comments: